KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Isnin, 11 Oktober 2010

The Red Warriors dalam kelas tersendiri

PENGGEMPUR utama Kelantan, Norshahrul Idlan (kiri) belum pasti diturunkan esok gara-gara kecederaan.


KELANTAN sekali lagi membuktikan kejaguhan mereka apabila mara ke pusingan suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan KL Plus 4-0 di Kelana Jaya malam kelmarin.

Lapan gol dalam dua perlawanan terakhir yang dihasilkan The Red Warriors membuktikan bahawa jentera penggempur B. Sathianathan kini 'kemaruk' jaringan dengan rentak permainan yang semakin konsisten.

Bagi Sathia, permainan yang dipamerkan malam kelamrin begitu membanggakan apabila semua pemainnya berjaya mengekalkan disiplin selain disifatkannya sebagai bermotivasi tinggi untuk layak ke suku akhir.

Menurutnya, Kelantan berjaya menguasai keseluruhan permainan dengan serangan-serangan yang cukup berbahaya dan hampir menambah beberapa lagi jaringan sebelum dihalang oleh nasib yang tidak menyebelahi.

"Dalam bola sepak tidak semua serangan akan berakhir dengan gol. Apabila tempoh 90 minit dimanfaat dengan sebaiknya bermakna anda akan memperoleh hasil yang cukup membanggakan dan saya gembira apa yang dilakukan pemain malam semalam (kelmarin).

"Kita memulakan saingan Piala Malaysia dengan agak perlahan sehingga terpaksa menerima beberapa keputusan yang agak mengejutkan tetapi kita berjaya kembali kepada rentak asal dan pemain juga sudah mendapat semula keyakinan serta semangat mereka," katanya ketika ditemui semalam.

Tambahnya, sehingga kini Kelantan sudah menepati sasaran iaitu layak ke suku akhir namun, percaya perjalanan pasukan kendaliannya tidak akan terhenti setakat ini kerana pemainnya masih mahu membuktikan sesuatu kepada peminat setia.

Jelasnya, beliau cukup berpuas hati dengan aksi penyerang-penyerang dan jentera tengah yang berjaya mencipta beberapa peluang menarik sehingga gagal dikekang oleh pertahanan KL Plus sehingga berjaya merekodkan empat gol.

"Bagaimanapun, kita masih ada kelemahan. Pertahanan kita sedikit longgar dan ini perlu segera dibaiki sebelum turun menentang Selangor di Shah Alam, Selasa ini.

"Apa yang merisaukan saya, beberapa pemain berada dalam keadaan ragu-ragu untuk diturunkan Selasa ini. Azizi (Mat Rose), Piya (Badri Radzi) dan Norshahrul (Idlan Talaha) mengalami kecederaan dan saya hanya akan menerima laporan perubatan mereka esok (hari ini)," ujarnya.

Jelasnya, beliau yakin siapa juga pemain yang akan diturunkan menentang Selangor pada suku akhir pertama pastinya akan memberikan komitmen penuh ketika di padang selain pastinya sokongan peminat yang akan memberikan mereka tonik tambahan

Azam gergasi Eropah


BARISAN pemain Belanda gigih berlatih sebagai persediaan menghadapi Sweden, Rabu ini.


LONDON - Jerman, Belanda dan Sepanyol merupakan antara pasukan utama Eropah yang mahu meneruskan kecemerlangan mereka pada aksi kelayakan Euro 2012 apabila bertemu lawan masing-masing awal pagi Rabu ini.

Ketiga-tiga pasukan ini berada di tangga teratas kumpulan mereka ketika ini.

Jerman akan bertemu Kazakhstan di tempat lawan, Belanda menanti kunjungan Sweden manakala juara bertahan, Sepanyol yang kurang satu perlawanan bertandang ke Glasgow untuk bertemu Scotland.

Sepanyol kini mengungguli Kumpulan I dengan enam mata selepas menewaskan Lithuania 3-1 pada awal pagi Sabtu lalu dan penyerang Valencia, Aritz Aduriz yang membuat kemunculan sulung pada pertemuan itu telah mempamerkan aksi yang baik.

"Saya gembira kerana kami berjaya mencapai objektif mencuri tiga mata penuh. Tapi ia tidak semudah disangka. Kami mungkin terlalu selesa pada satu ketika.

"Jadi saya sendiri perlu berusaha lebih keras untuk beberapa hari ini dan mengharapkan tuah akan hadir untuk saya diturunkan sekali lagi bertemu Scotland nanti," kata Aduriz.

Jurulatih Sepanyol, Vicente Del Bosque pula berkata, Lithuania telah memberi kesukaran kepada pasukannya untuk menggunakan corak hantaran pendek sekali gus mendesak mereka tampil lebih agresif.

"Mereka berjaya menutup ruang dengan baik dan sukar bagi kami untuk mendapat bola. Kami hanya dapat menjaringkan gol menerusi hantaran lintang," kata Del Bosque.

Sementara itu, pemain pertahanan Scotland, Gary Caldwell memberitahu bahawa mereka menjangkakan satu pertembungan sukar bertemu Sepanyol biar apa pun corak permainan yang bakal ditampilkan lawan.

"Kami masih di landasan terbaik untuk menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat kedua. Itu sentiasa menjadi objektif kami. Tapi kami tetap akan cuba sedaya upaya pada aksi menentang Sepanyol.

"Semua tidak meletakkan harapan tinggi kepada kami dan kami bersedia untuk mencipta kejutan pada perlawanan ini," kata Caldwell.

Sementara itu, pertembungan Belanda dan Sweden dianggap paling sengit dalam Kumpulan E setakat ini.

Kapten Sweden, Zlatan Ibrahimovic dan penyerang, Johan Elmander kedua-duanya tidak turun berlatih Jumaat lalu tetapi jurulatihnya, Erik Hamren memberitahu bahawa ia sebagai langkah berjaga-jaga

Selangor sedia ratah Kijang





SELANGOR mahu menggunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di gelanggang sendiri untuk membenam naib juara musim lalu, Kelantan pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam esok.

Justeru, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd. Amin (gambar) menggesa para penyokong Red Giants hadir beramai-ramai ke stadium supaya sorakan mereka tidak ditenggelami penyokong lawan.

“Kita tahu penyokong Kelantan memang ramai di Lembah Klang ini. Jadi saya harap penyokong Selangor sendiri akan turun bagi memberi semangat kepada para pemain kita.

“Selangor memerlukan kemenangan selesa pada perlawanan pertama ini supaya kita boleh tampil lebih yakin pada perlawanan kedua di Kota Bharu, Jumaat ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Bagi memastikan tiada kesesakan berlaku di kaunter tiket malam esok, Hamidin memberitahu, pihak FAS akan menjual tiket perlawanan tersebut bermula pukul 9 pagi esok sehinggalah ke hari perlawanan.

“Saya harap para penyokong Selangor mahu pun Kelantan yang berada di sekitar Shah Alam dapat membeli tiket lebih awal. Harga tiket masih sama iaitu RM10 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak bawah 12 tahun.

“Pada masa yang sama, kita turut menjual tiket berharga RM5 bagi perlawanan Selangor bertemu Singapura untuk Piala Sultan Selangor 2010 yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam, Sabtu ini,” jelas Hamidin.

Selangor layak ke suku akhir selaku juara Kumpulan D selepas menang kesemua enam perlawanan untuk mengutip 18 mata maksimum tetapi Hamidin mahu para pemain mengambil iktibar tragedi musim lalu.

“Musim lalu juga kita mudah menjuarai saingan peringkat kumpulan tetapi akhirnya terkandas di suku akhir selepas tewas menerusi sepakan penalti kepada Terengganu.

“Jadi saya harap semua pemain sudah mengambil iktibar apa yang berlaku itu dan bersiap sedia dari segi fizikal dan mental untuk menyingkirkan Kelantan,” tegasnya.

Pada aksi Liga Super musim ini, Selangor dan Kelantan terikat tanpa jaringan di Kota Bharu sebelum turut seri 1-1 pada perlawanan pusingan kedua di Shah Alam