KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Khamis, 6 Januari 2011

Kejayaan Tidak Melalaikan Saya – Apek



KOTA BHARU – Penjaga gol utama skuad kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat tidak menyangka bakal menerima hadiah sebuah rumah oleh pihak Kerajaan Negeri Kelantan di atas kejayaan beliau membantu pasukan negara muncul juara buat pertama kali Kejohanan Piala AFF Suzuki minggu lalu.
“Alhamdulilah ini satu rezeki yang tidak diduga. Saya bersyukur sangat-sangat dan hadiah ini begitu bermakna bagi keluarga saya. Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan kerana menghadiahkan sebuah rumah kepada saya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Majlis Sambutan Kepulangannya di Kampung Cherang dekat sini semalam.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat seperti Kerajaan Negeri  yang meraikan kepulangan saya dan juga penduduk kampung yang bertungkus lumus menjayakan majlis ini. Saya memang tidak menyangka dengan sambutan luar biasa bermula dari Machang sehingga ke sini (Kampung Cherang, Kota Bharu).
“Walaupun diberi publisiti meluas oleh pihak media tetapi saya percaya kejayaan yang saya kecapi pada hari ini tidak akan melalaikan saya. Tekanan tetap ada tetapi saya harus meletakkan semangat juang yang tinggi pada kedudukan yang sama. Saya harus memikirkan perkara-perkara yang positif sahaja,” katanya.
Khairul Fahmi berkata, beliau belum layak digelar pemain bintang kerana masih banyak perkara yang perlu dipelajari untuk itu tumpuan beliau kini terarah untuk memperkembangkan karier bola sepak beliau.
“Saya mahu fokus kepada karier saya selepas ini. Keluarga merupakan sumber inspirasi utama diatas kejayaan saya ini selain daripada rakan-rakan sepasukan dan penduduk kampung.
“Ini merupakan satu permulaan, saya akan buat yang terbaik untuk untuk negeri dan juga negara. Apa yang lebih penting selepas ini ialah terus memberikan tumpuan sepenuhnya untuk memantapkan lagi persembahan saya,” katanya.
Menurut Khairul Fahmi, belum pasti bila akan kembali menjalani latihan bersama skuad Kelantan setelah baru menyelesaikan tugasan bersama skuad kebangsaan minggu lalu.
“Saya perlu menghubungi jurulatih terlebih dahulu. Saya tidak ada banyak masa untuk berehat kerana perlu kembali menjalani latihan bersama rakan-rakan sepasukan Kelantan dalam masa terdekat.
Menyentuh azam sempena tahun baru ini, Khairul Fahmi atau lebih disapa dengan panggil Apek berazam membawa Kelantan menjuarai piala yang belum pernah dimenangi oleh Kelantan sebelum ini iaitu Piala Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih.

Saya bernasib baik - Ancelotti


LONDON - Carlo Ancelotti mengakui yang dia bernasib baik apabila masih lagi memegang jawatan selaku pengurus Chelsea.
Setakat ini, Chelsea hanya berjaya mengutip 10 mata daripada 30 mata yang sepatutnya diperoleh sehingga menyebabkan pasukan itu kini tersingkir daripada empat kedudukan teratas dalam saingan Liga Perdana England.
Situasi itu telah mencetuskan pelbagai spekulasi mengenai masa depan Ancelotti di Stamford Bridge.
"Saya cukup bertuah. Saya tahu ramai jurulatih lain telah dipecat jika pasukan mereka mencatat keputusan teruk seperti ini," kata Ancelotti.
Namun pengendali dari Itali itu masih yakin dia akan dapat menamatkan tugasnya sehingga tamat musim ini kerana masih berharap dapat membawa Chelsea mengungguli saingan Liga Juara-Juara.
Ancelotti pernah menjulang trofi tersebut sebanyak empat kali ketika membimbing AC Milan, dua kali sebagai pemain dan dua kali sebagai jurulatih.
"Jika kamu ke restoran, kamu perlu bayar bil apabila selesai makan. Sama seperti di sini. Kami perlu bayar bil pada penghujung musim. Selepas itu barulah kelab boleh menilai kedudukan saya.
"Sudah tentu hidangan terbaik adalah Liga Juara-Juara. Saya sudah merasainya sebelum ini," jelas Ancelotti. 

Hernandez pencabar utama posisi Rooney


HERNANDEZ semakin menunjukkan peningkatan sejak akhir-akhir ini.


MANCHESTER - Pengurus Manchester United, Alex Ferguson menegaskan Wayne Rooney bakal berdepan masalah.
Ini kerana, Ferguson menghadapi kesukaran untuk mengetepikan Javier Hernandez yang ketika ini berada pada prestasi terbaik.
Hernandez atau nama gelarannya Chicharito serta Nani menjaringkan gol buat United ketika menewaskan Stoke City 2-1 di Old Trafford awal pagi semalam.
Kemenangan itu terus meletakkan skuad Red Devils di tangga teratas Liga Perdana England dengan tiga mata di hadapan pencabar terdekat, Manchester City.
"Sudah tentu sukar untuk saya mengetepikan Chicharitoselepas ini. Ia pasti menjadi masalah buat saya dan sejak beberapa tahun lalu posisi penyerang sentiasa menyukarkan saya membuat pilihan.
"Tapi jika Chicharito kekal konsisten menjaringkan gol, ia tidak akan memberi masalah kepada saya," kata Ferguson.
Jaringan pada awal pagi semalam merupakan gol kesembilan Chicharito untuk musim ini berbanding Rooney yang hanya meledak tiga gol setakat ini.
Rooney telah mengalami kecederaan buku lali pada minggu lalu dan akan menyebabkan dia terlepas aksi Piala FA menentang Liverpool pada hujung minggu ini.
"Sejarah telah menunjukkan bahawa kami akan beraksi lebih baik pada babak kedua musim dan kami akan mengungguli perlawanan-perlawanan penting," jelas Ferguson.
United kini masih mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang musim ini tetapi mereka tetap dikritik kerana dikatakan tidak bermain dengan cantik.
"Kamu boleh lihat banyak statistik. Tapi lihat kepada rekod kami di laman sendiri. Beberapa perlawanan menyaksikan kami tampil dengan cukup bergaya.
"Kami perlu mengetepikan segala kritikan tersebut dan memberi sepenuh fokus terhadap sasaran kami iaitu untuk menjuarai liga," tegas Ferguson.
Pada aksi awal pagi semalam, Chicharito meletakkan United di hadapan pada minit ke-27 sebelum Stoke menyamakan kedudukan menerusi Dean Whitehead pada minit ke-50.
Namun Nani memastikan tiga mata penuh milik United menerusi gol kemenangan pada minit ke-62.