KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Isnin, 20 September 2010

Syed Adney membara julang Kelantan




SYED ADNEY tidak mahu mempersia-siakan peluang yang diberikan oleh jurulatih musim ini.

PENJAGA gol Kelantan, Syed Adney Syed Hussain bersedia meneruskan aksi cemerlangnya pada pertarungan menentang KL Plus dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam ini.

Keyakinan tersebut diluah Syed Adney selepas dia mendapat semula sentuhan kemas dalam dua perlawanan terdahulu.

Menurutnya, peluang yang diberikan oleh ketua jurulatih, B. Sathianathan tidak akan dipersia-siakan, malah menganggap ia sebagai peluang terbaik buatnya untuk membuktikan sesuatu selepas gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama sebelum ini.

Katanya, inilah masa terbaik buat dirinya untuk meneruskan rentak cemerlang dan merampas semula tempat dalam kesebelasan utama Kelantan.

"Saya berterima kasih kepada jurulatih kerana memberikan peluang kepada saya untuk membuktikan sesuatu dan akhirnya saya berjaya melakukanya.

"Selepas ini, saya tidak mahu lagi menoleh ke belakang dan akan terus berusaha untuk memberikan yang terbaik buat pasukan," ujarnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ketika ditanya mengenai peluang Kelantan pada pertemuan menentang KL Plus malam ini, Syed Adney memberitahu, dia yakin pasukannya mampu meraih tiga mata penuh.

"Berdasarkan persembahan semasa, saya yakin kita mampu meraih tiga mata ditambah pula beraksi di tempat sendiri.

"Dengan sokongan padu dari penyokong setia, kami sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan tersebut," katanya.

Pada perlawanan menentang PKNS di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Jumaat lalu, Syed Adney muncul wira Kelantan apabila menyelamatkan sepakan penalti untuk memastikan pasukannya membawa pulang tiga mata hasil kemenangan 1-0.

Kemenangan tersebut menyaksikan Kelantan kembali menghidupkan peluang untuk mencabar kedudukan juara bertahan, Negeri Sembilan selaku pendahulu Kumpulan A

Pamer aksi terbaik - Sathia


SEBAHAGIAN daripada pemain Kelantan memanaskan badan sebelum perlawanan menentang Negeri Sembilan di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu baru-baru ini.


KETUA Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan menuntut anak-anak buahnya mempamerkan aksi terbaik ketika melayan kunjungan KL Plus pada aksi Kumpulan A Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam ini.

Menurutnya, perlawanan ini sangat penting dalam menentukan hala tuju pasukan itu pada saingan Piala Malaysia musim ini.

"Ini merupakan perlawanan hidup mati buat Kelantan, justeru itu tiga mata harus diraih jika mahu layak ke pusingan seterusnya.

"Beraksi di tempat sendiri harus digunakan sebaik mungkin untuk mengumpul mata penuh. Jadi pemain perlu memberikan aksi yang terbaik pada perlawanan malam esok (ini)," katanya ketika dihubungiKosmo! semalam.

Tambah beliau, walaupun turun tanpa kelibat pemain sayap lincah, Nor Farhan Mohammad yang mengalami kecederaan, beliau tetap yakin dengan barisan pemain yang bakal menggantikannya.

"Saya ada banyak pilihan pemain dan kesemuanya bersedia untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Farhan.

"Untuk perlawanan ini saya mengharapkan sentuhan kapten pasukan, Indra Putra untuk terus memberikan motivasi dan membimbang rakan-rakan sepasukan," ujarnya.

Sathianathan berkata, beliau akan menurunkan kesebelasan yang sama ketika menentang Selangor PKNS pada Jumaat lalu.

Katanya, pemain-pemain terbabit mempamerkan aksi yang membanggakan termasuk penjaga gol, Syed Adney Syed Hussein.

Dalam pada itu, menurut beliau, kemampuan lawan yang bakal dihadapinya juga tidak boleh diragui kerana mereka telah mempamerkan aksi terbaik ketika menentang juara bertahan Negeri Sembilan Jumaat lalu.

Jelasnya, pasukan itu memiliki pemain yang cukup berpengalaman seperti Julaizi Sameon, Irwan Fadli Idrus, Khairul Nizam Shahbudin dan beberapa pemain muda yang berbakat yang mampu menjadi penghalang buat Kelantan untuk meraih tiga mata.

"Kita hormat KL Plus. Mereka sebuah pasukan yang hebat, lihat sahaja pada perlawanan lalu di mana mereka hampir-hampir mengecewakan Negeri Sembilan

Chelsea kukuhkan kedudukan


DROGBA (kanan) dan Kalou menjaringkan gol untuk membantu kemenangan Chelsea awal pagi tadi.


LONDON, England – Chelsea mengekalkan rekod kemenangan besar pada kempen Liga Perdana England musim ini.

Pada aksi awal pagi tadi, skuad bimbingan Carlo Ancelotti itu membelasah Blackpool 4-0 untuk memenangi kesemua lima perlawanan pertama dengan 21 jaringan dan hanya bolos satu gol.

Kesemua gol skuad The Blues diperoleh pada babak pertama menerusi Florent Malouda yang meledakkan dua gol pada minit kedua dan 41.

Salomon Kalou serta Didier Drogba turut meletakkan nama mereka selaku penjaring apabila menambah gol Chelsea masing-masing pada minit ke 12 dan 30.

Kemenangan itu turut membantu Chelsea mengukuhkan kedudukan di tangga teratas liga dengan 15 mata, empat mata di depan Arsenal dan Manchester United.

Pada pertemuan lain semalam, Manchester City turut mencatat kemenangan 2-0 ke atas Wigan Athletic hasil jaringan penyerang Argentina, Carlos Tevez dan Yaya Toure.

Manakala jaringan hatrik Dimitar Berbatov membantu United menang 3-2 ke atas Liverpool.

Dua gol menerusi tandukan pada minit ke-42 dan 84 dan satu gol menerusi sepakan gunting yang cantik pada minit ke-59 sudah cukup menyekat kebangkitan Liverpool yang memperoleh gol menerusi Steven Gerrard pada minit ke-64 dan 70

Wenger berdepan musibah


ATKINSON (kiri) menjadi sasaran Wenger selepas Arsenal seri 1-1 dengan Sunderland awal pagi semalam.


LONDON - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger bakal dihukum Persatuan Bola Sepak (FA) England.

Ia gara-gara tindakan Wenger yang dilihat seperti sengaja menolak pengadil keempat, Martin Atkinson ketika Arsenal seri 1-1 dengan Sunderland pada aksi Liga Perdana England awal pagi semalam.

Wenger meluru ke arah Atkinson sebelum dilihat bertikam lidah dengan pegawai perlawanan tersebut kerana mempertikai jaringan Darren Bent yang meledak gol penyamaan buat Sunderland 15 saat melebihi masa kecederaan yang diberikan.

Tindakan berbentuk fizikal ke atas mana-mana pegawai perlawanan adalah disifatkan sebagai reaksi keras daripada FA, namun Wenger menafikan tuduhan dia sengaja menolak Atkinson.

Sebaliknya, Wenger menegaskan dia hanya cuba menarik perhatian Atkinson ketika membantah jaringan Bent.

"Cuba ambil gambar dan tengok semula apa yang berlaku. Saya tiada masalah," kata Wenger.

Wenger juga berang apabila Alex Song dilayangkan kad merah pada minit ke-55 dan dia kecewa kerana skuad The Gunners gagal mengutip mata penuh berikutan tindakan pengadil, Phil Dowd.

"Saya tahu masa tambahan ialah empat minit tetapi tiada apa-apa yang berlaku dalam tempoh tersebut yang boleh membuatkan mereka (pengadil) melanjutkannya sedikit masa lagi.

"Tetapi apa lagi yang boleh saya buat," kata Wenger.

Selain Song, Wenger turut kehilangan kapten Cesc Fabregas yang menjaringkan gol pembukaan Arsenal pada minit ke-14 ekoran kecederaan.

"Cesc mengalami hamstring... teruk atau tidak, saya tidak tahu," kata Wenger mengenai kaptennya itu.

"Saya percaya kami telah berjuang dengan sedaya upaya dan pada babak kedua kami beraksi lebih baik walaupun bermain dengan 10 pemain.

"Ia amat mengecewakan tetapi kami tetap melihatnya dari sudut yang positif."

Mourinho dihalang bimbing Portugal



REAL enggan melepaskan Mourinho untuk membimbing skuad kebangsaan Portugal.


MADRID - Jose Mourinho ternyata kecewa apabila pihak pengurusan Real Madrid enggan membenarkannya menjadi jurulatih sementara skuad kebangsaan Portugal bagi dua aksi kelayakan Euro 2010 bulan depan.

Sebelum ini, Persekutuan Bola Sepak Portugal (FPF) telah menghubungi Mourinho untuk bertanya sama ada dia berminat untuk membimbing Portugal pada aksi menentang Denmark, 8 Oktober depan dan Iceland (12 Oktober).

"Saya tidak faham mengapa Real enggan membenarkan saya membimbing Portugal ketika saya tidak mempunyai benda lain untuk dilakukan di Madrid," kata Mourinho selepas kejayaan 2-1 Real ke atas Real Sociedad dalam aksi Liga Sepanyol awal pagi semalam.

"Saya mempunyai masa rehat selama sembilan hari di Madrid ketika jadual perlawanan antarabangsa itu berlangsung."

Sementara itu, ketua pengarah Real, Jorge Valdano pula pantas menjelaskan mengenai pendirian kelab gergasi Sepanyol itu.

"Perkara ini telah menjadi tajuk sensasi dalam media, jadi presiden FPF telah menghubungi presiden Real, Florentino Perez untuk memberitahu bahawa mereka telah membatalkan idea tersebut.

"Kami anggap isu ini telah berakhir. Mourinho kecewa kerana semua orang pasti mahu membantu pasukan kebangsaan mereka dan tidak terkecuali bagi dirinya.

"Tetapi tiada sesiapa pun dalam kelab ini yang harus dipersalahkan," tegas Valdano.

FPF telah memecat Carlos Queiroz sebagai jurulatih Portugal baru-baru ini selepas dia digantung selama enam bulan kerana mengganggu proses ujian air kencing sebelum kempen Piala Dunia 2010