KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Selasa, 18 Januari 2011

Berpijak Dibumi Yang Nyata

KOTA BHARU – Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan mahu peminat bola sepak Kelantan berpijak dibumi yang nyata dan tidak terlalu mengharapkan keajaiban daripada pemain baru, Nicholas Chan yang pernah berkelana menimba pengalaman berlatih dengan beberapa kelab luar negara sebelum ini.
Sathianathan berkata, sebagai pemain yang baru melaporkan diri menjalani latihan bersama skuad Kelantan, Nicholas Chan perlu diberi sedikit masa bagi membolehkan dia dapat menyesuaikan diri dengan suasana dan persekitaran dalam skuad Kelantan.
“Dia baru sahaja menjalani latihan bersama kita petang kelmarin. Kita kena tahu dia baru berusia 19 tahun dan dia perlu mengambil masa untuk menyesuaikan diri. Memang dia cukup berbakat tapi kita janganlah samakan dia dengan pemain yang hebat seperti Lionel Messi,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.
“Dia pemain yang biasa tetapi mempunyai bakat untuk pergi lebih jauh pada masa akan datang. Saya harap dia dapat menyesuaikan diri dalam skuad. Daripada apa yang saya lihat semalam berdasarkan diposisi yang dia beraksi, dia menunjukkan satu bakat yang berbeza.
“Dia lain daripada yang lain termasuk daripada segi kawalan bola dan juga membuat hantaran. Saya berharap dia dapat menyesuaikan diri dengan skuad dalam masa yang singkat. Tapi kita jangan minta berlebih-lebihan daripada dia walaupun dia pernah bermain dekat luar sebelum ini kerana dia bukan Superman,” katanya.
Menurut Sathianathan, setiap pemain bola sepak perlu mengambil masa dan sebagai pemain yang masih muda, para peminat seharusnya memberi masa dan ruang kepada Nicholas Chan untuk membuktikan kemahirannya yang tersendiri.
“Lainlah kalau kita mengambil awang import yang purata umur 26 hingga 27 tahun sudah tentu kita mengharap mereka mempunyai keupayaan lebih hebat daripada pemain tempatan. Dia adalah pemain tempatan cuma kelebihannya dia ada pengalaman berlatih dengan Akademi West Ham dan Akademi Cardiff City.
“Itu hanya pengalaman berlatih jadi saya berharap dia akan meneruskan latihan dan saya akan pantau perkembangan dia dalam tempoh dua hingga tiga bulan ini. Saya akan menguji dia sepertimana pemain lain. Dia bukan pemain istimewa dan semua pemain akan diberi peluang dan terpulang kepada dia untuk merebut peluang tersebut,” katanya.
Nicholas Chan merupakan pemain yang didaftarkan dalam skuad Piala Presiden Kelantan musim ini tetapi dinaiktaraf untuk menjalani latihan bersama-sama dengan skuad Liga Super Kelantan.

Barca enggan dibuai selesa


DAVID VILLA


MADRID - Barcelona kini mengatasi pencabar terdekatnya, Real Madrid dengan kelebihan empat mata selaku pendahulu Liga Sepanyol. Awal pagi semalam, kelab Catalan itu meraih tiga lagi mata berharga selepas mudah membenam Malaga 4-1 manakala Real sekadar seri 1-1 dengan Almeria.
Selesa mendahului 3-0 menerusi jaringan Andres Iniesta pada minit kelapan, David Villa (18) dan Pedro (36), Malaga merapatkan kedudukan hasil ledakan Duda (68).
Bagaimanapun, Villa mengakhiri sisa-sisa perjuangan Malaga apabila meledak gol keempat Barca pada minit ke-74.
"Adalah tidak wajar untuk terlalu berbicara tentang jurang empat mata ini kerana pada peringkat ini ia bukanlah sesuatu yang besar.
"Saingan liga masih panjang dan kami juga berkemungkinan boleh tercicir mata. Apa pun kami akan terus mengambil risiko untuk beraksi dengan gaya permainan kami ini.
"Adalah penting untuk kami terus bekerja keras dan memberi fokus terhadap perlawanan kami," kata jurulatih Barca, Pep Guardiola.
Sementara itu, jaringan Esteban Granero pada minit ke-77 menyelamatkan Real daripada mengalami kekalahan setelah mereka ketinggalan menerusi Jose Ulloa pada minit ke-60.
Ternyata Real begitu merasai ketiadaan penyerang mereka, Gonzalo Higuain yang terpaksa berehat panjang akibat kecederaan.
"Kami keciciran dua mata tetapi secara keseluruhannya, kami telah melakukan yang terbaik sepanjang separuh pertama saingan musim ini.
"Kami masih mahu muncul juara liga dan bukan semata-mata mencari keputusan terbaik.
"Jadi kita perlu tunggu dan lihat apa yang akan berlaku bermula dari sekarang," kata jurulatih Real, Jose Mourinho.
Pengendali Real itu turut berang dengan pengadil perlawanan yang tidak memberikan sepakan penalti kepada pasukannya.
"Saya harap (pengadil) Perez Lasa tidak akan dipilih mengadili perlawanan kami lagi selepas ini dan juga perlawanan Barcelona. Saya kenal dia sejak 1996 dan untuk 2011, dia tetap Lasa yang sama," ujarnya. 

United konsisten


PENGADIL Mike Dean melayangkan kad kuning kepada Rafael ketika United menentang Spurs awal pagi semalam.


LONDON - Sekalipun terpaksa beraksi dengan 10 pemain, Manchester United masih mampu tampil dengan aksi penuh konsisten. Ia terbukti apabila skuad kendalian Alex Ferguson itu mencatatkan keputusan seri tanpa jaringan dengan Tottenham Hotspur dalam saingan Liga Perdana England awal pagi semalam.
Keputusan itu sekali gus meyakinkan Ferguson bahawa anak-anak buahnya memiliki kekuatan mental yang tinggi bagi menjulang trofi kejuaraan liga musim ini.
Pada aksi yang berlangsung di White Hart Lane itu, skuad The Red Devils terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas tonggak pertahanan, Rafael da Silva dilayangkan kad merah ekoran menerima kad kuning kedua pada minit ke-74.
Bagaimanapun, situasi tersebut sedikit pun tidak menjejaskan tumpuan United yang kini merampas semula kedudukan selaku pendahulu liga.
Walaupun berkongsi 45 mata dengan Manchester City yang menghuni tangga kedua, United lebih layak berada di puncak liga berdasarkan jumlah jaringan gol.
Masih memiliki kelebihan dua perlawanan iaitu menentang Chelsea dan Blackpool, Ferguson percaya skuad kendaliannya mampu muncul selaku juara liga jika anak-anak buahnya terus tampil dengan aksi yang lebih konsisten.
"Seperti yang saya katakan sebelum ini, siapa yang bakal bergelar juara liga hanya akan diketahui pada penghujung saingan musim ini.
"Kesemua lima kelab teratas liga dilihat memiliki peluang yang sama rata untuk muncul selaku juara termasuk Spurs.
"Kami perlu mencatatkan kemenangan pada dua perlawanan yang menjadi kelebihan buat kami iaitu menentang Chelsea pada 1 Mac depan dan Blackpool yang kini dilihat semakin konsisten," jelas Ferguson.
Dalam pada itu, Ferguson ternyata kurang senang dengan tindakan pengadil perlawanan yang melayangkan kad merah kepada Rafael.
"Saya tidak mahu berbicara mengenai perkara ini kerana kamu sendiri boleh menilainya," kata Ferguson.
Pengurus Spurs, Harry Redknapp turut sependapat dengan Ferguson apabila dia menganggap Rafael menjadi mangsa keadaan dan tidak bernasib baik. 

Azidan berkorban demi Selangor


AZIDAN tampil dengan imej baru apabila menyarung jersi Selangor dalam saingan Liga Super musim ini.


BEKAS kapten Kuala Lumpur, Azidan Sarudin melakukan pengorbanan terbesar apabila meninggalkan pasukan yang diwakilinya sejak zaman remaja itu demi meningkatkan karier bola sepaknya, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.
Azidan yang bakal mencecah usia 25 tahun pada 31 Mei depan kini menyarung jersi Selangor untuk saingan Liga Super 2011.
Tidak cukup dengan itu, beberapa hari lalu, anak jati Kuala Lumpur itu membuat satu lagi pengorbanan apabila memotong rambut panjang yang menjadi identitinya sejak bergelar pemain profesional.
"Jurulatih (K. Devan) menyuruh saya dan Saiful Amar Sudar supaya kami potong rambut. Secara kebetulan memang saya nak potong rambut pun untuk menampilkan pembaharuan.
"Sebenarnya sejak berusia 20 tahun, saya memang sentiasa berimej rambut panjang dan inilah pertama kali saya tampil dengan rambut pendek. Harap ia mendatangkan tuah," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Azidan merupakan enam pemain baru yang diambil Selangor musim ini selain Saiful Amar, Fadzli Saari, Yosri Derma Raju, S. Sritharan dan K. Depan Sakwati.
Majlis memperkenalkan barisan pemain baru ini berserta baki 17 pemain Selangor lain bagi musim 2011 akan diadakan di Stadium Shah Alam petang ini sempena dengan pelancaran jersi dengan penaja baru, Kappa.
"Memang sayang tinggalkan Kuala Lumpur. Tapi saya nak cari angin baru, mahu mengembangkan karier dan mematangkan tahap permainan bersama pasukan baru.
"Biarpun di Selangor ini saya perlu bersaing merebut posisi tengah bersama Amri Yahyah, Hardi Jaafar, Safiq Rahim dan Fazilidin Khalid, saya anggap ini persaingan sihat dan sesuatu yang positif.
"Tekad saya bersama Selangor ialah mahu memberikan yang terbaik setiap kali diberi peluang beraksi selain menamatkan kemarau tanpa piala sejak beraksi dalam Liga Malaysia," jelas Azidan.
Menjelang sepak mula Liga Super bertemu Kelantan pada 29 Januari ini, Selangor bakal mengadakan dua lagi aksi persahabatan bertemu Sime Darby esok dan kelab Singapura, Sengkang Punggol Sabtu ini, kedua-duanya di Stadium Shah Alam bermula 8 malam.