KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Isnin, 16 Ogos 2010

Sathianathan bagi 'kerja rumah'



SATHIANATHAN mahu melakukan persiapan terbaik bagi menghadapi kempen Piala Malaysia musim ini.


SELEPAS saingan Liga Super melabuhkan tirainya Selasa lalu, ketua jurulatih Kelantan, B. Sathianathan terus melakukan persiapan bagi menghadapi kempen Piala Malaysia, lapor YATIMIN ABDULLAH.

Sathianathan berkata, anak-anak buahnya telah diberikan 'kerja rumah' walaupun sebahagian daripada mereka kini sedang mengerjakan umrah di Mekah selama dua minggu.

"Kerja rumah yang diberikan itu bertujuan untuk memastikan tahap kecergasan pemain berada ditahap sebenar seperti yang kita kehendaki.

"Saya tidak mahu tahap kecergasan mereka menurun dan berharap mereka dapat memberikan tumpuan sepenuhnya agar ia berjalan dengan lancar," katanya ketika dihubungi Kosmo! di Kota Bharu baru-baru ini.

Sathianathan menambah, bagi pemain yang tidak mengikuti rombongan umrah itu, 'kerja rumah' mereka akan dipantau sendiri oleh beliau.

"Pemain-pemain yang mengerjakan umrah pula, kerja rumah mereka akan di pantau oleh pembantu saya, Hashim Mustafa dan Sidik Samsudin.

Sathianathan memberitahu, sebaik sahaja pemain pulang dari mengerjakan umrah, beliau akan mengadakan sesi latihan berserta dengan ujian kecergasan.

"Latihan akan bermula pada 20 Ogos ini dan sehari selepas itu, saya akan adakan ujian kecergasan kepada semua pemain.

"Ujian ini penting sebagai langkah awal untuk memastikan tahap kecergasan para pemain tidak menurun," ujarnya.

Pada kempen Piala Malaysia musim ini, Kelantan yang muncul naib juara musim lalu diundi dalam Kumpulan A bersama penyandang juara, Negeri Sembilan, KL Plus dan PKNS FC

Hughes mampu halang hajat Schwarzer



SCHWARZER sekadar memanaskan bangku simpanan ketika seri tanpa jaringan dengan Bolton pada aksi Liga Perdana England kelmarin.


LONDON - Mark Hughes menegaskan dia mampu menghalang perpindahan Mark Schwarzer ke Arsenal.

Skuad The Gunners kini dalam usaha mendapatkan penjaga gol Fulham itu yang berhajat untuk berpindah ke kelab utara London tersebut.

Hughes sebelum ini menjelaskan isu penjaga gol adalah keutamaannya apabila dilantik sebagai pengurus di Craven Cottage.

Ketika ditanya sama ada Schwarzer akan terus kekal di Fulham, Hughes berkata: "Memang itulah niat kami. Tiada siapa yang akan berpindah.

"Saya dan Mark telah duduk berbincang dan saya faham sepenuhnya mengapa dia mahu diberi peluang menyertai Arsenal.

"Tetapi saya rasa dia juga faham mengapa kami perlu mempertahankan posisi tersebut dalam pasukan ini dan itulah apa yang kami sedang buat.

"Kami tidak akan membuatkan reputasi dan kedudukan Fulham dalam risiko dengan memberi janji yang tidak mampu penuhi.

"Jadi buat masa ini, tiada sebarang perubahan akan berlaku."

Schwarzer duduk dibangku simpanan ketika The Cottagers seri tanpa jaringan dengan Bolton pada aksi pembuka musim Liga Perdana England kelmarin.

Begitupun, pegawai kelab berkenaan memberitahu penjaga gol Australia itu tidak melepasi ujian kecergasannya.

Mancini 'panas punggung'



KEDUDUKAN Mancini masih belum selamat selepas City bermula hambar kelmarin.


LONDON - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini mula terasa bahang tekanan apabila skuad kendaliannya tidak bermain seperti yang diharapkan.

City hanya mampu seri tanpa jaringan menentang Tottenham Hotspurs meskipun mereka telah berbelanja besar untuk membeli pemain baru musim ini.

Terdesak dengan keadaan itu, pengendali dari Itali itu merayu kepada penyokong City supaya bersabar bagi membolehkannya mencari gandingan terbaik dalam tempoh sebulan ini.

Ketika penjaga gol, Joe Hart melegakan seketika nasib Mancini menerusi kecemerlangan menyelamatkan City daripada kalah kepada Spurs kelmarin, ternyata kehadiran pemain baru seperti Aleksandar Kolarov, Yaya Toure dan David Silva jelas tidak membawa impak besar.

"Kita masih tidak dapat menggunakan khidmat empat atau lima pemain tonggak ketika ini. Jadi, perlu tiga atau empat minggu lagi untuk bersama membentuk persefahaman mantap," katanya.

Kenyataan Mancini itu mungkin merujuk kepada kehadiran Mario Balotelli (Inter Milan) yang baru sahaja menyertai City di samping James Milner (Aston Villa) yang mana sedang diusahakan proses perpindahannnya.

Begitupun Hart berjaya mencuri tumpuan Mancini yang masih bermasalah membentuk kubu mantap di bahagian pertahanan yang kerap bocor seperti musim lalu.

"Namun saya masih berharap seorang lagi penjaga gol kami, Shay Given dapat terus kekal bersama City untuk memberikan saingan sihat kepada Hart memandangkan ada empat pertandingan berbeza bakal dilalui," tegasnya.

Begitupun perlawanan menentang Spurs kelmarin belum menjamin kedudukan Mancini daripada terselamat kerana hanya masa bakal menentukan nasibnya

Rooney bergelut untuk sembuh


ROONEY (kanan) masih belum pulih daripada kecederaan hamstring yang dialaminya pada Rabu lalu.


LONDON - Penyerang Manchester United, Wayne Rooney dilaporkan belum pasti akan beraksi pada perlawanan sulung Liga Perdana England menentang Newcastle United awal pagi esok.

Rooney masih bergelut untuk pulih daripada kecederaan hamstring yang dialaminya ketika membantu England menewaskan Hungary 2-1 pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Wembley, Rabu lalu.

Meskipun Rooney telah menjalani rawatan intensif sejak pulang ke United, Khamis lalu, dia belum pasti akan bermain pada aksi menentang Magpies di Old Trafford itu.

Kecederaan yang menimpa Rooney ini telah mencetuskan kerisauan kepada pengurus United, Alex Ferguson.

Pada Jun lalu, Ferguson menjadi berang selepas dituduh menjadi punda Rooney mempamerkan persembahan yang buruk pada pusingan akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Pemain Terbaik Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional England (PFA) itu telah meledakkan 34 gol daripada 44 penampilan untuk The Reds musim lalu.

Tetapi dia gagal menjaringkan sebarang gol sejak mengalami kecederaan pergelangan kaki ketika United tewas kepada Bayern Munich pada aksi Liga Juara-Juara pada akhir Mac lalu.

United terpaksa menurunkan Rooney pada pertemuan kedua menentang kelab gergasi Jerman itu tetapi dia tidak memberikan impak kerana masih belum pulih sepenuhnya.

Penyerang berusia 24 tahun itu juga tidak meledakkan gol sepanjang empat perlawanan di Afrika Selatan

Sevilla kejutkan Barcelona



KANOUTE meledakkan dua gol untuk membantu Sevilla menewaskan Barcelona 3-1 pada aksi pertama Piala Super Sepanyol awal pagi semalam.


MADRID - Sevilla bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Barcelona 3-1 pada aksi pertama Piala Super Sepanyol awal pagi semalam.

Barcelona turun tanpa lapan pemain Sepanyol iaitu Victor Valdes, Gerard Pique, Carles Puyol, Andres Iniesta, Sergio Busquets, Xavi Hernandez, Pedro Rodriguez dan David Villa yang akan beraksi menentang Mexico pertengahan minggu lalu.

Penyerang Sweden, Zlatan Ibrahimovic berjaya meletakkan Barcelona di hadapan pada minit ke-20 selepas bijak menyudahkan hantaran Maxwell.

Begitupun Sevilla bangkit untuk mendominasi separuh masa kedua dengan penyerang Brazil, Luis Fabiano berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-60.

Selepas itu, Lionel Messi masuk menggantikan Ibrahimovic tetapi bintang Argentina itu dibayangi kehebatan penyerang veteran, Freddie Kanoute yang meledak dua gol untuk memberi Sevilla kelebihan menjelang aksi kedua Sabtu ini.

Kanoute menjaringkan gol kedua Sevilla pada minit ke-74 apabila dia menyudahkan hantaran jauh Negredo menewaskan penjaga gol Barcelona, Ruben Mino.

Gol ketiga Sevilla diperoleh pada minit ke-83 selepas hantaran lintang Diego Perotti ditanduk kemas Kanoute

Chelsea perlu sedikit masa lagi


DROGBA meledakkan hatrik untuk membantu Chelsea membelasah West Brom 6-0 awal pagi semalam.


LONDON - Carlo Ancelotti yakin Chelsea akan mencapai kemuncak prestasi dalam tempoh dua minggu lagi.

Kehadiran Ramires dilihat bakal melengkapkan penampilan skuadThe Blues yang membuka tirai Liga Perdana England dengan membelasah West Brom 6-0 awal pagi semalam.

Pada pertemuan itu, skuad bimbingan Ancelotti mempamerkan aksi penuh bergaya dalam usaha mempertahankan kejuaraan musim lalu apabila Didier Drogba meledak hatrik, Florent Malouda menyumbang dua gol manakala satu lagi gol dijaringkan Frank Lampard.

Sebelum ini, Ancelotti gusar barisannya itu belum bersedia menghadapi kempen musim ini setelah mereka tewas 1-3 kepada Manchester United pada aksi Perisai Komuniti minggu lalu.

Kini dengan kehadiran Ramires daripada Benfica yang sedia untuk beraksi pada perlawanan menentang Wigan hujung minggu ini, Ancelotti yakin lebih banyak peningkatan akan dipamerkan Chelsea selepas ini.

"Ini adalah mesej untuk kami, bukan kepada pasukan lain. Kami telah mengharungi pra musim yang sukar tetapi kini semuanya nampak baik. Tiada apa yang istimewa, kami cuma buat kerja kami.

"Kami sedar masalah akan timbul apabila memberi cuti panjang kepada pemain yang beraksi pada Piala Dunia 2010. Tapi mereka memerlukan tempoh pemulihan.

"Ashley Cole, Lampard dan John Terry mampu meningkatkan prestasi mereka. Dalam tempoh dua minggu lalu, mereka akan cergas 100 peratus," kata Ancelotti.

Ditanya tentang isu pembayaran bonus pemain, Ancelotti berkata: "Saya tak cakap dengan pemain hal itu. Saya tak berminat. Ia antara pemain dan pemilik kelab. Saya tak rasa mereka tidak gembira."

Sementara itu, pengurus West Brom, Roberto di Matteo berkata, barisan pemainnya perlu segera menampilkan peningkatan jika tidak mahu mereka kembali turun ke saingan Liga Kejuaraan musim depan.

"Kami terpaksa berdepan juara bertahan pada hari pertama dan kami sedar ia tugas sukar. Biarpun jumlah jaringan ini sukar diterima, tapi tak banyak pasukan yang pulang berjaya dari Stamford Bridge," katanya.

Liverpool hampa


PENYERANG Liverpool, Dirk Kuyt (tengah) diasak dua pemain Arsenal, Andriy Arshavin (kanan) dan Marouane Chamakh pada aksi Liga Perdana England di Anfield semalam. Liverpool dan Arsenal seri 1-1.


LIVERPOOL – Liverpool kempunan untuk meraih tiga mata penuh pada aksi sulung Liga Perdana England apabila sekadar seri 1-1 dengan Arsenal di Anfield semalam.

Namun skuad bimbingan Roy Hodgson itu wajar diberi pujian kerana mereka beraksi dengan 10 pemain sepanjang separuh masa kedua setelah Joe Cole dilayangkan kad merah pada penghujung babak pertama.

Bagaimanapun, Liverpool mengejutkan Arsenal apabila memperoleh gol pertama hanya seminit selepas babak kedua bermula menerusi rembatan kencang David Ngog yang gagal diselamatkan penjaga gol, Manuel Almunia.

Usaha berterusan Arsenal yang melakukan serangan demi serangan akhirnya berhasil pada minit ke-90 setelah penjaga gol Liverpool, Pepe Reina gagal menangkap kemas bola percubaan Marouane Chamakh.

Pada masa kecederaan, Arsenal turut beraksi dengan 10 pemain setelah Laurent Koscielny dilayangkan kad kuning kedua.

Sementara itu, penyandang juara, Chelsea seakan-akan mahu memberi amaran awal kepada barisan pencabar mereka musim ini.

Skuad The Blues itu membuka tirai kempen liga dengan penuh bergaya apabila membenam West Brom 6-0.

Pada aksi di Stamford Bridge itu, Didier Drogba meledak hatrik, Florent Malouda menyumbang dua gol manakala satu lagi gol dijaringkan oleh Frank Lampard.