KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Khamis, 28 Oktober 2010

Anjing pengesan 'jaga' pintu masuk stadium


PIHAK polis akan menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) di semua pintu masuk Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memastikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dengan Negeri Sembilan Sabtu ini berjalan lancar.
Langkah tersebut adalah wajar untuk memastikan penyokong kedua-dua pasukan tidak membawa masuk barang larangan seperti bahan letupan termasuk mercun dan bunga api serta senjata tajam yang dikhuatiri boleh mencetuskan pergaduhan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Khalid Abu Bakar (gambar) berkata, selain khidmat anjing pengesan, penyokong kedua-dua pasukan juga perlu menjalani pemeriksaan badan sebelum memasuki stadium.
“Polis telah bersiap sedia sepenuhnya terhadap mereka yang mahu mengambil kesempatan untuk membuat kecoh pada perlawanan itu kelak.
“Jangan cuba menyeludup masuk barang-barang larangan seperti mercun, bunga api. Malah minuman di dalam botol pun kita tidak benarkan dijual di stadium,” katanya di Bukit Aman, semalam.
Menurut Khalid, sebagai langkah berjaga-jaga pihaknya turut melarang penjualan minuman di dalam botol sebaliknya minuman tersebut dijual menggunakan cawan plastik dan tanpa ais.
Jelas beliau, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang cuba dan didapati menyeludup barang larangan ke dalam stadium.
Selain PDRM, pihak berkuasa lain yang terlibat ialah Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).
Khalid juga berharap agar penyokong kedua-dua pasukan dapat datang awal ke stadium selain menggunakan kenderaan awam bagi mengelak kesesakan.

Mourinho lega Real ikat Murcia


BENZEMA (kiri) masih gagal beraksi dengan cemerlang bersama Real sejak berpindah dari Lyon musim lalu.


MADRID - Real Madrid sekadar seri tanpa jaringan dengan kelab divisyen tiga, Real Murcia pada aksi pertama pusingan keempat Piala Raja Sepanyol kelmarin.
Begitupun, keputusan itu sudah cukup untuk mengelak kelab gergasi Sepanyol itu daripada mencatat kekalahan yang memalukan selepas tewas kepada Alcorcon musim lalu.
"Saya gembira dengan pasukan ini," kata pengurus Real, Jose Mourinho.
"Mereka bermain dengan penuh semangat dan mahu memenangi perlawanan itu.
"Kritikan yang saya lakukan dituju kepada pemain yang tidak bekerja keras tetapi ia tidak berlaku pada perlawanan ini.
"Saya gembira dengan pasukan ini meskipun tidak berpuas hati dengan keputusan ini kerana saya seringkali mahukan kemenangan."
Pada perlawanan itu, penyerang antarabangsa Perancis, Karim Benzema gagal beraksi cemerlang.
Sebelum ini, laporan akhbar di Sepanyol mendedahkan, perlawanan itu dianggap sebagai peluang terakhir Benzema untuk kembali memikat hati Mourinho.
Benzema yang gagal beraksi cemerlang di Real sejak berpindah dari Lyon musim lalu, diberi tugas untuk menggantikan tempat Gonzalo Higuain.
Real yang kali terakhir memenangi trofi ini pada tahun 1993 memperoleh peluang terbaik untuk menjaringkan gol pada minit ke-31 tetapi rembatan kencang Esteban Granero terkena palang gol.
Dalam satu lagi perlawanan, Barcelona menang 2-0 ke atas Ceuta hasil jaringan pemain Scherer Andrade Maxwell dan Pedro (ke-25).
Begitupun Barca terpaksa membayar dengan harga yang tinggi untuk kemenangan itu apabila penyerang kelahiran Paraguay, Jeffren Suarez telah dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan bahu kiri.

Hernandez selamatkan United


HERNANDEZ menjaringkan gol kemenangan United ketika mereka menewaskan Wolves 3-2 kelmarin.


LONDON - Javier Hernandez meledakkan gol kemenangan pada minit-minit terakhir untuk membantu juara bertahan, Manchester United menempah slot ke suku akhir Piala Liga kelmarin.
Pada perlawanan di Old Trafford itu, United menang tipis 3-2 ke atas Wolverhampton Wanderers pada aksi pusingan keempat.
Hernandez yang lebih dikenali sebagai Chicharito menjaringkan kedua-dua gol ketika United mencatat kemenangan dramatik ke atas Stoke City pada Sabtu lalu, sekali lagi menjadi penyelamat skuadThe Reds.
Meskipun masuk sebagai pemain gantian ketika perlawanan berbaki sembilan minit, penyerang kelahiran Mexico ini masih mampu untuk mempamerkan kehebatannya.
Penyerang berusia 22 tahun itu berjaya mengkucar-kacirkan benteng pertahanan lawan sebelum menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90.
Pengurus United, Alex Ferguson memuji persembahan Hernandez selepas membantu kelab gergasi England itu untuk memenangi gelaran Piala Liga buat kali ketiga berturut-turut.
"Kami cuba untuk melahirkan hero secepat yang mungkin di sini (United) tetapi dia (Hernandez) wajar untuk menerima pujian buat masa ini," kata Ferguson.
"Dia seorang pemain profesional yang hebat.
"Dia pemain pertama yang hadir ke lokasi latihan dan pemain terakhir yang meninggalkan tempat itu setiap hari. Jaringan yang dilakukan itu telah memberi banyak pujian.
"Apabila dia memasuki padang, kamu hanya perlu lihat sekiranya dia memperoleh peluang, dia tidak akan mempersia-siakannya.
Sebelum itu, United memperoleh dua gol masing-masing satu menerusi Bebe dan Park Ji-Sung manakala gol Wolves hasil jaringan George Elokobi serta Kevin Foley

Hadiah untuk Sultan Kelantan


SATHIANATHAN (kiri) ketika mengendalikan sesi latihan skuad Kelantan di Kota Bharu semalam sebagi persiapan menghadapi final menentang Negeri Sembilan, Sabtu ini.


HADIAH untuk Sultan Muhammad Ke-V. Itulah yang diluahkan oleh ketua jurulatih Kelantan, B.Sathianthan yang mahu semua pemainnya beraksi cemerlang merampas Piala Malaysia daripada Negeri Sembilan untuk dihadiahkan kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V yang baru ditabalkan.
Menurutnya, peluang beraksi pada final kali ini perlu digunakan sebaik mungkin untuk memastikan mereka muncul juara dan membawa pulang piala paling berprestij ke Kota Bharu.
"Seluruh rakyat Kelantan gembira apabila menerima Sultan baru dan saya rasa kegembiraan tersebut mungkin lebih bermakna jika pasukan mereka mampu membawa pulang Piala Malaysia ke Kota Bharu.
"Saya dan semua pemain berjanji akan memberikan yang terbaik supaya impian tersebut akan menjadi kenyataan dan kejayaan itu kita akan hadiahkan kepada Tuanku Sultan yang memayungi seluruh rakyat Kelantan," katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, segala persiapan berjalan dengan lancar dan semua barisan pemain sudah pun bersedia untuk turun beraksi pada perlawanan akhir itu nanti.
Jelasnya, semua pemainnya kini bebas daripada masalah penggantungan dan kecederaan kecuali tiga pemain iaitu Azizi Mat Rose dan S. Subramaniam untuk posisi pertahananan yang hampir pasti tidak dapat diturunkan.
"Kita sedang memantau perkembangan Akmal (Rizal Rakhli) yang masih belum pulih dan cergas sepenuhnya daripada kecederaan. Saya harap beliau akan pulih dalam masa terdekat ini dan dapat diturunkan pada final kelak.
"Jika ketiga-tiga mereka tidak dapat diturunkan sekali pun, ia tidak merencatkan persiapan pasukan kerana saya masih ada pemain lain yang standard mereka tetap sama dan mampu beraksi baik," ujarnya.
Katanya, beliau mengharapkan para pemainnya fokus ketika aksi di padang, berdisiplin selain sentiasa yakin pada diri sendiri bagi memastikan mereka tidak mudah patah semangat.
"Untuk perlawanan Sabtu ini, saya harap pemain yang akan diturunkan memberikan tumpuan sepenuhnya sepanjang perlawanan, jangan gugup dan sentiasa ingat bahawa kita adalah pasukan yang hebat, jadi kena beraksi sebagai pasukan yang hebat.
"Jangan jadi macam tahun lepas, selepas kena satu jaringan kita hilang fokus dan tidak bermain dengan baik. Pengalaman lalu harus dijadikan pengajaran berguna buat kita untuk perlawanan Sabtu ini," jelasnya.