KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Ahad, 22 Ogos 2010

Ozil jelmaan Zidane


OZIL dianggap permata baru Real Madrid di bawah bimbingan Jose Mourinho.


SPEKULASI mengenai perpindahan bintang muda Jerman, Mesut Ozil akhirnya terjawab apabila dia kini sah menjadi milik kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid.

Tanggal 18 Ogos 2010 menjadi tarikh keramat buat Ozil apabila dia secara rasminya menandatangani kontrak selama enam tahun untuk beraksi di Santiago Bernabeu.

Ozil, 21, dibawa masuk dari kelab Jerman, Werder Bremen dengan yuran perpindahan bernilai £12 juta (RM58.8 juta).

Biarpun belum membuat penampilan bersama Real, perancang antarabangsa Jerman itu diramalkan bakal menjadi aset berharga buat skuad bimbingan Jose Mourinho.

"Dia (Ozil) seorang pemain yang boleh beraksi untuk Real sepanjang tempoh 10 tahun akan datang.

"Kontraknya bersama Bremen hampir tamat dan kami dapat membelinya dengan harga lebih murah daripada pasaran sebenar.

"Dengan kecederaan yang dialami Kaka, saya merasakan Ozil merupakan pemain yang bakal memainkan peranan penting untuk pasukan ini," jelas Mourinho.

Terdahulu, teka-teki mengenai masa depan Ozil mula menjadi persoalan selepas beberapa kelab gergasi Eropah telah menyatakan minat bagi mendapatkan khidmat Ozil.

Antara kelab-kelab yang telah menyatakan minat bagi mendapatkan Ozil termasuklah dua kelab gergasi England, Manchester United dan Chelsea.

Ia ekoran prestasi menakjubkan yang dipamerkan Ozil ketika membantu Jerman mengharungi kempen Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan bulan lalu.

Disebabkan aksi hebatnya itu, Ozil turut dijulang sebagai wira biarpun skuad Die Mannschaft sekadar menamatkan saingan pada kempen Piala Dunia 2010 di tempat ketiga.

Ozil dilihat sebagai nadi utama kepada jaringan gol Jerman pada kempen di Afrika Selatan itu menerusi gerakan-gerakan menarik dari bahagian tengah.

Memiliki kebolehan mengawal bola dengan baik, Ozil sememangnya bijak dalam mengatur serangan ke kubu pertahanan pihak lawan.

Ternyata setiap gerak-geri Ozil sukar dibaca menerusi kelibatnya yang mampu beraksi di segenap sudut padang.

Menjadikan bekas legenda bola sepak Perancis, Zinedine Zidane sebagai idolanya, Ozil kini berazam untuk membantu Real mencipta lebih banyak kejayaan selepas ini.

Malah, ada segelintir pihak yang menganggap kualiti serta bakat yang dimiliki Ozil tidak jauh bezanya seperti Zidane yang pernah menyarung jersi Real selama lima musim sejak 2001 hingga 2006.

"Jika benar ada yang mengatakan sedemikian rupa, saya anggapnya sebagai satu pujian kerana Zidane sudah menjadi idola saya sejak daripada kecil lagi.

"Sebagai seorang kanak-kanak pada ketika itu, saya sekadar berpeluang menyaksikan persembahannya di televisyen ataupun video.

ZIDANE pernah mengharumkan nama Real Madrid suatu ketika dahulu.


"Segala gerak-geri serta skil yang dimiliki Zidane akan saya cuba praktikkan kerana saya mahu menjadi pemain terbaik sepertinya," kata Ozil.

Jika Zidane menamatkan kariernya pada 2006 dengan menjulang trofi Piala Dunia 1998 di Perancis, lain pula ceritanya dengan Ozil.

Ini kerana, Ozil kariernya ditamatkan dengan menjulang trofi Liga Juara-Juara bersama Real.

"Tidak kiralah apa jua trofi sekalipun sama ada Liga Juara-Juara atapun sebaliknya, yang pasti saya sememangnya dahagakan kejuaraan.

"Sebab itu, saya membuat keputusan untuk menyarung jersi Real kerana saya yakin mereka memiliki sebuah pasukan yang hebat bagi merealisasikan impian saya itu," katanya lagi.

Mengimbas kembali detik permulaan Ozil selaku pemain bola sepak, dia memulakan aksinya dalam saingan liga profesional dengan menyarung jersi kelab Turki, Schalke 04.

Ketika itu dia baru berusia 17 tahun, namun kematangan yang ditunjukkannya sepanjang beraksi bersama kelab tersebut telah membuktikan bahawa dia mampu menyinar suatu masa nanti.

Selepas dua musim menimba pengalaman bersama Schalke 04, Ozil mula mencuri perhatian dan kali ini kelab negara asalnya, Werder Bremen pula menjadi destinasi terbaru.

Dengan yuran perpindahan bernilai £3.5 juta (RM17 juta), Ozil sah menjadi milik Bremen apabila menandatangani kontrak pada 31 Januari 2008 sehingga 30 Jun 2011.

Namun 'jangka hayat' Ozil bersama Bremen tidak panjang apabila dia membuat keputusan menyertai The Galacticoc musim ini

Balotelli sedia robek Liverpool



BALOTELLI sedia mengetuai jentera serangan City pada pertemuan
menentang Liverpool awal pagi Selasa ini.


LONDON - Bintang baru Manchester City, Mario Balotelli memberitahu, dia akan pulih sepenuhnya menjelang aksi menentang Liverpool awal pagi Selasa ini.

Terdahulu, Balotelli mengalami kecederaan lutut ketika membantu City mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Timisoara FC dalam saingan playoff Liga Europa di Stadium Dan Paltinisanu, Bucharest kelmarin.

Ekoran kecederaannya itu, Balotelli terpaksa menerima rawatan ketika sesi latihan bersama City di Eastlands semalam.

Namun dia dijangka tidak berdepan masalah untuk diturunkan apabila City melayan kunjungan Liverpool pada perlawanan kedua saingan Liga Perdana England musim ini.

"Tidak dinafikan, saya ada merasakan kesakitan pada kaki kanan saya. Saya fikir ia mungkin ada kaitan dengan masalah tulang lutut saya.

"Ia bukanlah kesan daripada terjahan keras yang saya terima dalam perlawanan kelmarin tetapi kesinambungan daripada kecederaan lutut yang pernah saya alami sebelum ini.

"Memang ia mendatangkan masalah buat saya tetapi saya yakin kecederaan ini bakal pulih dengan segera. Justeru, saya untuk diturunkan pada aksi menentang Liverpool nanti (awal pagi Selasa)," jelas Balotelli.

Mengulas mengenai aksinya ketika perlawanan menentang Timisoara FC kelmarin, Balotelli berkata: "Ia merupakan perlawanan yang saya nanti-nantikan.

"Biarpun perlawanan pertama, namun kami berjaya menunjukkan persefahaman yang begitu baik sekali

Mascherano kekal di Anfield, Kuyt mahu berhijrah ke San Siro


LONDON - Pengurus Liverpool, Roy Hodgson mengesahkan Inter Milan telah menarik balik tawaran yang dikemukakan bagi mendapatkan khidmat perancangnya, Javier Mascherano.

Ini bermakna, kapten skuad kebangsaan Argentina itu terpaksa mengharungi tempoh enam bulan lagi beraksi bersama The Redssekiranya tidak ada mana-mana kelab yang berminat mendapatkan khidmatnya.

Sebelum ini, Mascherano telah menyatakan hasratnya untuk berhijrah ke San Siro selepas keluarganya dilapor masih tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran di England.

Baru selesai isu membabitkan Mascherano, Hodgson terpaksa berdepan satu lagi masalah berhubung perpindahan Dirk Kuyt apabila jurulatih Inter, Rafael Benitez dilapor mahu mendapatkan pula penyerang antarabangsa Belanda itu.

Begitupun, Hodgson menjelaskan, presiden Inter, Massimo Moratti telah memberi jaminan bahawa kelab Itali itu tidak akan lagi mengemukakan tawaran bagi membeli mana-mana pemain Liverpool.

"Saya sendiri telah bercakap dengan Moratti mengenai hal ini Rabu lalu," jelas Hodgson.

Namun ejen Kuyt, Rob Jansen tetap dengan pendiriannya yang menegaskan, Inter sememangnya mahu melihat kelibat penyerang Liverpool itu beraksi di San Siro

United mahu langsai 'hutang' lama



Ferguson


LONDON - Sama ada sengaja melancarkan perang psikologi atau sebaliknya, pengurus Manchester United, Alex Ferguson seakan-akan memandang rendah kemampuan Fulham.

Jelasnya, Fulham tidak akan mempunyai peluang bagi mencipta kejutan ke atas skuad bimbingannya apabila kedua-dua pasukan berentap pada aksi Liga Perdana England di Craven Cottage, malam ini.

Aksi menentang Fulham sudah pasti antara yang dinanti-nantikan Ferguson selepas The Red Devils tewas 0-3 kepada lawan yang sama musim lalu.

Justeru, Ferguson menganggap ia merupakan peluang terbaik buat anak-anak buahnya untuk membalas dendam biarpun sedar Fulham tidak akan memberi laluan mudah setiap kali mereka beraksi di halaman sendiri.

"Kami sentiasa mengharungi detik-detik sukar setiap kali berdepan Fulham.

"Musim lalu sahaja saya terpaksa meletakkan pemain di bahagian serangan beraksi di posisi pertahanan selepas beberapa pemain mengalami masalah kecederaan.

"Disebabkan itu, kami terpaksa akur dengan kekalahan 0-3 kepada Fulham biarpun pada suatu ketika, kami bermula dengan agak baik," jelas Ferguson.

Namun Ferguson tetap mengakui Fulham kini tidak lagi boleh dipandang rendah kerana percaya kredibiliti yang dimiliki pengurus, Mark Hughes mampu membawa skuad tersebut mencipta lebih banyak kejayaan.

"Sewaktu membimbing Blackburn (Rovers), skuad tersebut tidaklah sebesar mana, namun dia (Hughes) masih mampu mengendalikannya dengan baik.

"Dengan pengalamannya itu, saya percaya dia mampu membawa Fulham mencipta lebih banyak kejutan memandangkan musim lalu kelab tersebut hampir bergelar juara dalam saingan Liga Europa," katanya.

Walcott hatrik


WALCOTT melakukan percubaan ke gawang Blackpool pada aksi Liga Perdana England di Emirates se malam. Arsenal menang 6-0.


LONDON – Theo Walcott meledak hatrik bagi membantu Arsenal mencipta kemenangan 6-0 ke atas Blackpool pada aksi Liga Perdana England di Emirates semalam.

Walcott menyumbang gol pembukaan Arsenal pada minit ke-12 selepas menyudahkan hantaran Andrey Arshavin.

Arshavin kemudiannya meletakkan namanya selaku penjaring apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-32.

Sepakan penalti itu berpunca apabila pemain pertahanan Blackpool, Ian Evan mengasari penyerang Arsenal, Marouane Chamakh dalam kawasan kotak penalti.

Ekoran kekasaran yang dilakukannya itu, Evan telah dilayangkan kad merah.

Beraksi dengan sepuluh pemain ternyata merencatkan strategi Blackpool untuk mengasak kubu Arsenal.

Sebaliknya, The Gunners terus garang menggempur benteng pertahanan lawan sebelum Walcott menjaringkan gol ketiga Arsenal pada minit ke-39.

Berselang sepuluh minit kemudian, gawang Blackpool bolos lagi, kali ini giliran Abou Diaby merobek gawang pasukan pelawat hasil hantaran lintang Bacary Sagna.

Walcott melengkapkan hatrik apabila meledak gol kelima Arsenal menerusi rembatan kaki kiri pada minit ke-58.

Chamakh mengesahkan kemenangan bergaya Arsenal di hadapan penyokong sendiri apabila menyumbang gol keenam The Gunners tujuh minit sebelum perlawanan berakhir

Sementara itu, Tottenham Hotspur turut mengutip tiga mata penuh selepas menewaskan Stoke City 2-1.

Gareth Bale menjaringkan kedua-dua gol Spurs manakala gol tunggal Stoke disumbangkan oleh Ricardo Fuller