KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Ahad, 24 Oktober 2010

Peluang baik City

TAK SABAR...Adebayor ingin menjaringkan gol ketika berdepan bekas kelabnya.
TAK SABAR...Adebayor ingin menjaringkan gol ketika berdepan bekas kelabnya.

MANCHESTER: Manchester City berdepan peluang keemasan untuk membuktikan keupayaan mereka tampil sebagai pencabar sebenar kejuaraan Liga Perdana Inggeris hari ini apabila menanti kunjungan satu lagi pencabar kejuaraan, Arsenal.
Buat seketika minggu ini kelihatan Wayne Rooney bersedia untuk mempertimbangkan menyertai City selepas penyerang Manchester United itu melahirkan hasratnya untuk meninggalkan Old Trafford.

Penyokong City teruja dengan prospek mendapatkan khidmat pemain bintang pasukan musuh mereka tetapi kontroversi itu berakhir apabila Rooney memilih untuk menandatangani kontrak baru lima tahun dengan United.

Bagaimanapun tanpa Rooney, City patut muncul pencabar kejuaraan musim ini ketika pasukan kendalian Roberto Mancini (gambar kecil) itu kini hanya dua mata di belakang pendahulu Chelsea, yang berdepan Wolverhampton Wanderers 24 jam sebelum kunjungan Arsenal ke Eastlands.

Pasukan Mancini akan menentang pasukan Arsene Wenger menyedari kemenangan akan membuka jarak enam mata antara mereka dengan Gunners.

Kempen mungkin masih di peringkat permulaan, tetapi City sudah mula mendapat rentak dan selepas mengalahkan Chelsea bulan lalu, satu lagi kemenangan ke atas pencabar utama mereka bermakna mereka boleh memberikan amaran bahawa skuad mahal Mancini benar-benar bersedia mencabar kejuaraan liga.


Kunci kemenangan adalah persembahan David Silva, yang mempamerkan aksi mengagumkan ketika menang ke atas Lech Poznan dalam kempen Liga Europa pada pertengahan minggu dan mula menunjukkan prestasi sebenar yang menyebabkan Mancini membeli pemain sayap Sepanyol itu dari Valencia.

Namun, Silva tidak berilusi mengenai ancaman yang boleh diberikan Arsenal dan rakan senegaranya Cesc Fab- regas.

“Arsenal bermain dengan amat bagus, mereka mempunyai pemain muda dengan keinginan kuat untuk bermain,” kata Silva.

“Mereka adalah satu ancaman, tiada keraguan mengenainya - mereka akan berjuang merebut kejuaraan dengan Manchester United, Chelsea dan sudah tentu, Manchester City.

“Tapi jika kami menang, kami akan berada enam mata di depan mereka. Ia satu jarak yang bagus pada peringkat ini dan ia juga akan meningkatkan tekanan terhadap Chelsea.

“Cesc dan saya amat baik, kami kawan baik. Kami bermain bersama dalam pasukan Bawah 17 Tahun buat Sepanyol dan daripada situ kami semakin rapat.

“Kami bercakap dan menghantar mesej ringkas. Tapi saya tidak akan menghantar sebarang mesej kepadanya sebelum perlawanan, kerana saya tidak mahu menimbulkan kemarahan - dan saya harap saya akan melahirkan simpati kepadanya selepas itu!” Emmanuel Adebayor menjaringkan hatrik menentang Lech Poznan dan tidak sabar untuk berdepan bekas kelabnya selepas menjaringkan satu gol menentang lawan musim lalu.

Reaksi Adebayor - dia berlari sepanjang padang untuk meraikan gol itu di depan penyokong Arsenal - mencetus kritikan hebat tetapi Mancini memberikan bayangan penyerang Togo itu akan bermula dalam kesebelasan utama.

Seperti City, pasukan Wenger turut menikmati kempen selesa di Eropah minggu ini, dengan Gunners membelasah Shakhtar Donetsk 5-1 di Stadium Emirates dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah

Final ulangan





DUA gergasi bola sepak tempatan, Negeri Sembilan dan Kelantan sekali lagi akan berentap pada final Piala Malaysia, 30 Oktober ini, lapor NASRI JAMALUDIN dan KHAIRI MOHAMAD.
Tatkala Negeri Sembilan menyingkirkan Johor FC, Kelantan pula membenam cabaran Kedah.
Pada aksi separuh akhir kedua malam tadi, Negeri Sembilan yang tampil selaku penyandang juara mencipta kemenangan 2-0 di Stadium J.Corp, Pasir Gudang.
Mohd. Shukor Adan meledak gol pembukaan Negeri Sembilan pada minit ke-36.
Shahurain Abu Samah melengkapkan gol kedua Negeri Sembilan menerusi sepakan penalti pada minit ke-61.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Hoben Jang Hoben mara ke final dengan agregat 2-1 selepas mereka tewas 0-1 pada aksi separuh akhir pertama di Paroi Rabu lalu.
Kelantan pula berpeluang membalas dendam kekalahan 1-3 kepada Negeri Sembilan pada aksi final musim lalu apabila menyingkirkan Kedah dengan agregat 1-0.
Selepas seri tanpa jaringan di Alor Setar, Kelantan ternyata memiliki kelebihan apabila tampil di hadapan ribuan penyokong mereka di Stadium Sultan Muhammed IV.
Sebaik wisel permulaan dibunyikan, Kelantan terus memulakan asakan untuk mencari gol awal dalam tempoh 20 minit pertama.
Bagaimanapun, benteng Kedah yang diterajui penjaga gol, Helmi Eliza Alias bijak menafikan setiap peluang yang dicipta Kelantan sepanjang babak pertama.
Babak kedua menyaksikan Kedah memperoleh rentak dan berjaya mengimbangi permainan dengan melakukan beberapa asakan ke pintu gol Kelantan.
Bagaimanapun, gol yang dinantikan peminat Kelantan akhirnya hadir pada minit ke-78 hasil jaringan cantik Norshahrul Idlan Talaha.
Kejayaan mara ke pentas final Piala Malaysia pastinya memberikan keceriaan buat Kelantan selepas mereka 'kehilangan' jurulatih, B. Sathianathan.
Terdahulu, Sathianathan digantung selama enam bulan serta denda RM2,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Ia berpunca daripada kenyataan Sathianathan yang melahirkan rasa tidak puas hati apabila aksi Liga Super antara Perlis dan Terengganu yang sepatutnya berlangsung di Stadium Utama Negeri, Kangar terpaksa diadakan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Final Piala Malaysia dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil Sabtu ini.

Safiq dilabel 'arkitek' muda negara


SAFIQ kini antara tonggak utama skuad kebangsaan.
PADA awalnya, cita-cita Safiq Rahim untuk melibatkan diri dalam arena bola sepak secara profesional mendapat tentangan.
Bukan mahu menghalang tetapi sudah menjadi menjadi impian setiap ibu bapa untuk melihat anak mereka me lanjutkan pelajaran sehingga ke menara gading.
Begitu jugalah yang terjadi ke atas Safiq apabila kedua orang tuanya, Rahim Muhd. Yatim dan Aidah Majid se akan-akan berat hati untuk membenarkan dia bergiat aktif dalam sukan bola sepak.
Ketika itu, Safiq menuruti sahaja kata kedua ibu bapanya apabila melanjutkan pengajian di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) selama tiga tahun.
Namun bak kata pepatah - ‘Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’.
Selepas tujuh tahun bergelumang dalam sukan kegemarannya itu secara profesional, Safiq telah membuktikan kepada ibu bapanya bahawa dia mampu berjaya.
Safiq kini antara tonggak utama skuad kebangsaan serta pasukan Selangor.
“Orang tua-tua selalu berpesan, kalau mahu buat sesuatu, pastikan kita berjaya dengan apa yang hendak dilakukan.
“Itulah yang saya pegang sehingga hari ini dan akhirnya mereka akur dengan cita-cita saya.
“Saya tidak pernah mengambil mudah dengan apa yang mahu saya lakukan kerana saya tidak mahu mengecewakan mereka,” kata Safiq kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Mengakui ‘mencintai’ bola sepak sejak di bangku sekolah rendah lagi, anak muda berusia 23 tahun ini bagaimanapun tidak pernah termimpi untuk berada di tahap sekarang.
Semuanya bermula apabila Safiq diserapkan menyertai skuad remaja Selangor pada tahun 2006 sehingga dia diberi kepercayaan menyarung jersi skuad senior Gergasi Merah.
Bagaimanapun, Safiq ‘beralih angin’ pada awal tahun lalu apabila dia membuat keputusan menyertai pasukan ber status kelab, KL Plus.
Namun ‘jodoh’ Safiq bersama KL Plus tidak lama apabila dia kembali memperkuat cabaran Selangor musim ini.
Sehingga hari ini, nama Safiq bukan lagi satu nama yang asing di kalangan peminat fanatik Selangor mahupun pe nyokong bola sepak tanah air.
Dia dilabel antara ‘arkitek’ muda terbaik yang ada ketika ini.
“Bola sepak sudah sebati dengan jiwa saya. Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk menampilkan aksi terbaik setiap kali turun beraksi.
“Jika jurulatih telah memberi kepercayaan kepada saya, sudah tentu saya akan membalas kepercayaan yang di berikan itu,” katanya.
Menjelang temasya Sukan Asia di Guangzhou, China bulan depan, Safiq berazam membantu skuad negara mara sekurang-kurangnya ke pusingan kedua.
“Saya harap agar kami akan layak sehingga ke pusingan kedua tetapi kalau boleh pergi lagi jauh, itu lebih baik.
“Saya harus akui lawan kami di China nanti bukan calang-calang pasukan. Pada aksi peringkat kumpulan, kami akan menentang dua gergasi Asia, China dan Jepun selain Kyrgyzstan.
“Bagaimanapun, itu semua tidak melunturkan semangat saya untuk membantu skuad negara melakar kejayaan.
“Kalau nak berjaya, kita tidak boleh malas, kena selalu bekerjasama. Rajin dan jangan cepat putus asa.
“Selain itu, mentaliti kita mesti selalu positif sentiasa mahukan kemenangan. Jangan mudah mengalah, sebaliknya usaha keras itu tangga kejayaan,” jelasnya.
Menyedari masih banyak yang belum dicapai khususnya di pentas antarabangsa, Safiq meletakkan sasaran sehingga usianya mencecah 35 tahun sebelum dia menggantung but.
“Mungkin saya akan bersara ketika usia 35 tahun tetapi jika saya masih mampu beraksi lagi saya akan kekal.
“Sepanjang terlibat dengan bola sepak, saya tidak pernah berdepan dengan sebarang masalah.
“Saya gembira dengan karier saya sekarang,” jelas Safiq yang meminati kelab gergasi Sepanyol, Barcelona

Tottenham melonjak


VAN DER VAART meledak gol penyamaan Spurs ketika menentang Everton di White Hart Lane semalam. Kedua-dua pasukan terikat 1-1.


LONDON - Tottenham Hotspur melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana England selepas seri 1-1 dengan Everton di White Hart Lane semalam.
Spurs harus berterima kasih kepada penjaga gol Everton, Tim Howard yang melakukan kesilapan sehingga membolehkan mereka memperoleh gol penyamaan.
Everton terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit ke-17 hasil jaringan Leighton Baines menerusi sepakan percuma.
Begitupun, Spurs tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila hantaran lintang Alan Hutton gagal ditumbuk kemas Howard sebelum singgah di kaki Peter Crouch.
Crouch mengambil kesempatan itu untuk melakukan hantaran kepada Rafael Van der Vaart yang berjaya merobek gawang Everton pada minit ke-20.
Meskipun mempunyai beberapa peluang terbaik, Spurs gagal untuk menambah jaringan ekoran kekebalan benteng pertahanan Everton.
"Mereka merupakan pasukan yang hebat dan bukan mudah untuk kami menewaskan Everton," kata jurulatih Spurs, Harry Redknapp.
"Kami mempunyai peluang yang lebih baik untuk menang tetapi saya tetap gembira dengan satu mata.
"Selepas ketinggalan 0-1, kami berjaya bangkit dengan menunjukkan permainan yang lebih bertenaga."
Redknapp menambah, kejayaan melonjak ke tangga ketiga terus memberi inspirasi kepada anak-anak buahnya untuk terus mencipta kemenangan.
"Diharapkan, kami mampu mencapai sasaran musim ini untuk menghuni kelompok tiga terbaik," katanya.
Pengurus Everton, David Moyes pula tetap berpuas hati dengan satu mata yang diraih selepas dia tidak dapat menggunakan khidmat tiga tonggak utama, Mikel Arteta, Marouane Fellaini dan Jack Rodwell.
"Saya cukup gembira dengan empat mata yang diperoleh pada perlawanan menentang Liverpool (Everton menang 2-0) dan Tottenham," kata Moyes.
"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pemain. Mereka telah bekerja keras.
"Meskipun tanpa Arteta, Fellaini dan Jack Rodwell, pemain saya tetap beraksi dengan baik."
Sementara itu, Chelsea terus kekal selaku pendahulu liga selepas menewaskan Wolves 2-0 di Stamford Bridge.
Florent Malouda dan Salomon Kalou masing-masing menjaringkan satu gol buat Chelsea

misi membalas dendam di bukit jalil (30-10-2010)

Alhamdullilah.Tahniah dan Terima kasih barisan pemain dan penyokong The Red Warriors. Kegembiraan tidak terhingga para penyokong Kelantan seluruh dunia meraikan kemenangan perlawanan pada milik ini yang mengesahkan tempat ke perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2010 seperti ulangan perlawanan akhir tahun lepas apabila sah bertemu Negeri Sembilan. Adakah ini Kelantan berjaya dengan misi merampas atau Negeri Sembilan yang berjaya mengekalkan milik Piala Malaysia?, bakal terjawab sabtu depan.


Alhamdullilah syukur jaringan pemusnah Norshahrul Idlan Talaha berjaya meranapkan segala impian penyokong Kedah dan pengurus pasukan Kedah yang penuh yakin dapat menumbangkan Kelantan. Kejayaan ini telah memadamkan segala sejarah buruk Kelantan di stadium Sultan Muhammad ke 4 setiap kali perlawanan penting dengan Kedah.
Perlawanan akhir menentang Negeri Sembilan merupakan perlawanan idaman bagi penyokong Kelantan kerana mengganggap perlawanan ini akan dijadikan misi membalas dendam yang terluka pada tahun lalu.
Para penyokong hari ini terpaksa membayar mahal semangat mereka apabila dalam keyakinan menghadapi Kedah malam tadi, para penyokong dikejutkan kehilangan ketua Jurulatihnya B. Sathianathan yang dihukum kerana mengkritik FAM. Namun ada hikmah kegembiraan disebalik kedukaan yang dihadapi oleh B. Sathinathan dan para penyokong.
Setiap kali pasukan The Red Warriors menghadiahkan kemenangan bolehlah kiranya kita para penyokong menghadiahkan Al-Fatihah kepada arwah penyokong kita yang terkorban ketika menyaksikan kehebatan pasukan kita dan sebagai tanda kesyukuran kita. Semoga pemergian mereka diberkati dan dirahmati sebagaimana kegembiraan yang kita kecapi daripada pasukan The Red Warriors.

KITA AKAN PASTIKAN BUKIT JALIL DIBANJIRI LAUTAN MERAH YANG AKAN MEMENUHI SEGENAP RUANG BUKIT JALIL.
GOMO KELATE GOMO.JUMPA DI BUKIT JALIL. TAHNIAH SEMUA PENYOKONG THE RED WARRIORS