KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Sabtu, 8 Januari 2011

KAFA, Cardiff City jalin kerjasama


ANNUAR (tiga dari kanan) ketika melancarkan kad keahlian The Red Warriors di Kota Bharu semalam.


DALAM usaha membentuk sebuah pasukan yang mantap, Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan bekerjasama dengan kelab bola sepak England, Cardiff City dalam semua aspek termasuk pengurusan.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, buat permulaan, pihaknya akan meminta bantuan daripada pemilik kelab England itu, Datuk Chan Tien Ghee untuk membantu mereka bentuk stadium baru KAFA.
Bagaimanapun beliau menjelaskan, hubungan di antara The Red Warriors dengan pasukan yang berada di tangga kedua Divisyen 1 England itu adalah atas dasar persahabatan dan belum ada hubungan secara rasmi lagi.
“Banyak benda yang dapat dipelajari daripada pasukan profesional ini. Saya berharap suatu masa nanti KAFA boleh menghantar pegawai dan pemain untuk menimba ilmu di sana.
“Sekarang kita meminta pertolongan daripada Cardiff untuk mereka bentuk stadium kerana mereka mempunyai stadium bola sepak yang cantik biarpun kecil,” katanya.
Semalam, lebih 1,000 penyokong setia The Red Warriors membanjiri salah satu pusat beli-belah di Kota Bharu untuk melihat dengan lebih dekat pemain-pemain kesayangan mereka.
Selain dapat bertemu pemain, peminat juga dapat melihat Piala Malaysia dan Piala Suzuki AFF yang turut dipamerkan pada majlis itu.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Kelab Cardiff City, Datuk Chan Tien Ghee yang turut melancarkan kad keahlian kelab The Red Warriors.
Paling istimewa anak Tian Ghee, Nicholas Chan yang berusia 18 tahun akan turut memperkuatkan skuad Kelantan musim depan dan dikatakan akan menjadi bintang baru bagi menggantikan bekas kapten pasukan, Indra Putra Mahayuddin yang berhijrah ke T-Team.
Dalam pada itu, Datuk Tien Ghee turut membuat pengumuman mengejut apabila memberikan penajaan sebanyak RM100,000 kepada Kelantan dan berjanji akan membawa pegawai, pemain dan penyokong bertuah ke Cardiff untuk bertemu dengan penyerang sensasinya, Craig Bellamy.
Mengulas mengenai masalah lampu limpah, Annuar yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, masalah tersebut akan diselesaikan secepat mungkin sebelum bermulanya perlawanan pertama Liga Super pada 28 Januari ini.
“Berdasarkan pemeriksaan yang dijalankan oleh FAM, kita diarahkan bermain pada sebelah petang sahaja kerana tidak memenuhi syarat-syarat lampu limpah yang ditetapkan.
“Saya difahamkan, pihak kera- jaan negeri telah bersetuju untuk menyelesaikan masalah ini secepat mungkin dan ia sedang diusahakan sekarang,” katanya.
Musim 2011 menyaksikan skuad The Red Wrriors membaris- kan sembilan muka baru iaitu K. Soley, Nurul Azuwan Roya, Wan Rohaimi Ismail, Daniel Fadly Abdullah, Khairan Ezuan Rozali, Nicolas Chan, Norhadi Ubaidillah, Muhammad Abdul Aziz Ismail dan Mohd. Khalid Jamlus.

Strategi baru Wenger


WENGER akan melakukan rombakan dalam skuad Arsenal ketika menentang Leeds malam ini.


LONDON - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger dijangka menggunakan sistem penggiliran pemain pada aksi pusingan ketiga Piala FA menentang Leeds United malam ini.
Wenger yang memburu trofi pertama sejak tahun 2005 bakal menurunkan pemain berlainan di posisi penyerang.
Selain aksi bertemu Leeds, skuad bimbingan Wenger juga bakal berdepan kelab Kejuaraan Liga, Ipswich Town pada aksi sepa- ruh akhir pertama Piala Liga minggu depan.
Selain itu, Wenger juga mengakui, Arsenal perlu bersiap sedia untuk menghadapi saingan Liga Perdana England dan Liga Juara- Juara bulan depan.
Sebagai permulaan, pengendali dari Perancis itu mengambil keputusan untuk menurunkan barisan pemain muda pada pertemuan menentang Leeds.
Disebabkan itu, Wenger dijangka merehatkan beberapa pemain utamanya seperti Robin van Persie dan Samir Nasri.
Ini bermakna, pemain pertahanan kiri, Kieran Gibbs yang mengalami kecederaan pergelangan kaki bakal membuat penampilan pertama sejak 8 Disember lalu.
Emmanuel Eboue juga akan kembal beraksi bagi menggantikan Bacary Sagna yang digantung perlawa- nan untuk mengemudi benteng pertahanan.
"Kami akan membuat penggiliran," kata Wenger.
"Akan berlaku pertukaran, banyak pertukaran. Berita baik, Kieran akan kembali bermain dan Eboue menggantikan Sagna.
"Saya tidak boleh memberitahu barisan pemain buat masa ini. Saya masih memikirkannya tetapi yang pasti, saya akan membuat pertukaran.
"Saya juga sudah pasti akan merehatkan van Persie dan mungkin Nasri."

Ancelotti mahu terus kekal bimbing Chelsea


ANCELOTTI berdepan kemungkinan dipecat ekoran prestasi hambar Chelsea kebelakangan ini.


LONDON - Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti menegaskan, beliau masih mendapat sokongan daripada barisan pemain The Blues.
Ancelotti juga yakin beliau masih mampu mengubah nasib juara Liga Perdana England itu biarpun masa depannya di Stamford Bridge dilihat semakin goyah.
Ketika ini, peluang Chelsea untuk mempertahankan kejuaraan liga tampak tipis apabila mereka ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu, Manchester United yang turut memiliki kelebihan satu perla- wanan.
Namun Ancelotti berkata: "Saya harap saya mampu meneruskannya (tugas sebagai pengurus) kerana saya mahu kekal di sini.
"Saya juga ada hubungan yang baik dengan pihak pengurusan kelab ini. Saya tidak lihat ada banyak masalah dalam skuad ini.
"Mereka semua bekerja keras dengan semangat yang bagus tetapi saya rasa ia masih belum mencukupi.
"Kami perlu lebih fokus ke atas perkara- perkara kecil," jelas beliau.
Ancelotti juga berkata, beliau tidak tahu bilakah pertemuan terdekatnya dengan pemilik Chelsea, Roman Abramovich.
Bagaimanapun, beliau sedar Chelsea perlu mencatat kemenangan ke atas Ipswich dalam kempen Piala FA esok jika mahu me- nyelamatkan kariernya bersama The Blues.
"Saya tidak mempunyai temu janji dengan Roman. Buat masa ini, kami sedang melihat pada perpindahan pemain dan ada beberapa pilihan.
"Ada banyak sebab untuk menerangkan kedudukan kami sekarang. Saya boleh beritahu tetapi ia memerlukan masa yang panjang untuk diterangkan," jelas Ancelotti.
Untuk rekod, bekas jurulatih AC Milan itu menghadiahkan gelaran berganda kepada Chelsea musim lalu.
Kini beliau masih berpeluang dalam tiga kempen termasuk Liga Juara-Juara apabila Chelsea akan berdepan Copenhagen pada pusingan kalah mati bulan depan.