KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Jumaat, 24 Disember 2010

Arsenal miliki barisan terkuat


VAN PERSIE (kanan) dan Nasri antara pemain muda yang sedang meningkat naik di Arsenal musim ini.


LONDON - Berdepan Chelsea pada Isnin ini sedikit melegakan Arsenal apabila mereka berpeluang menurunkan kesemua pemain utama yang sudah pulih daripada kecederaan.
Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berkata, kekuatan penuh itu akan digunakan sebaiknya untuk terus menekan pendahulu Liga Perdana England, Manchester United.
Antara pemain yang dimaksudkan Wenger bakal menerima kunjungan Chelsea itu ialah Robin van Persie, Cesc Fabregas, Abou Diaby dan penjaga gol, Lukasz Fabianski.
"Mereka sempat cergas selepas perlawanan ditunda minggu lalu. Tempoh tersebut digunakan khusus untuk bersiap menghadapi Chelsea. Ia memang banyak membantu," katanya.
Arsenal tidak boleh kalah apabila berdepan Chelsea di Stadium Emirates pada 27 Disember ini jika tidak mahu melihat United lebih jauh meninggalkan mereka.
Malah selepas tewas 0-1 kepada United dua minggu lalu, Arsenal juga perlu sedar mereka tidak lagi kebal apabila sudah tiga kali kalah di gelanggang sendiri musim ini.
Sementara itu, Wenger berkata, mereka sudah bersedia untuk beraksi tanpa khidmat Thomas Vermaelen sekurang-kurangnya untuk tempoh satu bulan lagi.
Pemain pertahanan Belgium itu tidak beraksi sejak Ogos lalu selepas mengalami kecederaan Achilles.
Awal bulan ini, Arsenal berharap Vermaelen akan sembuh sepenuhnya tetapi Wenger berkata: "Saya memberi jaminan dia akan beraksi semula pada akhir Januari.
"Dia masih belum cergas dan kami perlu membentuknya. Ia akan mengambil masa tiga atau empat minggu lagi.
"Dia sudah mula bermain dan memberi petanda yang baik. Tetapi saya telah melalui banyak peristiwa hitam, sekali gus menjadi saya lebih berhati-hati dengan Vermaelen."

Bruce mahu padam badi United


BRUCE hampir mencipta kemenangan di Old Trafford musim lalu.


SUNDERLAND, England - Steve Bruce kembali ke Old Trafford pada Ahad ini dengan matlamat untuk membantu Sunderland menamatkan badi tidak pernah menang ke atas Manchester United dalam saingan Liga Perdana England.
Bekas pemain pertahanan United itu yang kini merupakan pengurus Sunderland gagal mengakhiri kemarau 42 tahun sejak memegang jawatan tersebut.
Kali terakhir Sunderland menang ke atas United dalam liga domestik ialah pada 1968 manakala 10 tahun lalu pernah menang 2-1 dalam saingan Piala Liga.
Sejak itu termasuk di era Bruce, Sunderland terus kempunan. Namun mereka hampir menamatkan badi itu musim lalu di Old Trafford.
Ketika itu Sunderland mendahului 2-1 sebelum mereka dikecewakan gol sendiri Anton Ferdinand pada masa kecederaan untuk keputusan berakhir 2-2.
Musim ini, penampilan Sunderland lebih menyerlah termasuk menewaskan Chelsea 3-0 di tempat lawan. Mereka kini di tangga keenam dengan hanya dipisahkan tujuh mata berbanding United yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah.
"Saya telah berusaha keras tetapi belum lagi berjaya (atasi United). Tapi kami akan terus mencuba. Mungkin ramai pengurus yang sedar United belum kalah lagi setakat ini.
"Kami juga sedar tentang perkara itu dan boleh menjangkakan bakal berdepan kesukaran. Jadi kami akan mempamerkan permainan terbaik untuk berdepan pasukan terbaik," katanya.
United berjaya mencatat sembilan kemenangan dan tujuh seri setakat ini namun Bruce percaya apa jua yang berlaku, pasukannya tidak gentar untuk mencari kemenangan yang diharapkan.
Sementara itu, Sunderland bakal beraksi tanpa tujuh pemain utama termasuk Danny Welbeck yang tidak cedera tetapi terikat dengan perjanjian pinjaman dengan United.
Welbeck berpindah secara pinjaman daripada United. Menyertainya adalah ketua pasukan, Lee Cattermole yang digantung manakala Titus Bramble, Michael Turner, John Mensah, Fraizer Campbell dan David Meyler masih cedera

Indonesia dilabel jaguh kampung

RAJAGOBAL tidak menganggap Indonesia hebat kerana menang kesemua lima perlawanan di gelanggang sendiri iaitu Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta.


JAGUH kampung. Itulah label yang sepatutnya diberikan kepada skuad bola sepak Indonesia.
Biarpun para penyokong skuad garuda itu menganggap pasukan mereka yang dilatih jurulatih dari Austria, Alfred Riedl sebagai paling ampuh pada saingan Piala AFF Suzuki 2010, sebenarnya mereka tidaklah hebat mana.
Memang Indonesia menang kesemua lima perlawanan yang diharungi mereka iaitu membelasah Malaysia 5-1, membelasah Laos 6-0, menundukkan Thailand 2-1 serta dua kali menewaskan Filipina 1-0 pada aksi separuh akhir.
Namun kesemua kemenangan tersebut dicatat kerana mereka hanya beraksi di laman sendiri iaitu gelanggang keramat mereka, Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta.
Atas faktor tersebut, jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal mahu membina keyakinan di kalangan para pemain mudanya bahawa tiada apa yang perlu digentarkan sangat untuk menghadapi Indonesia pada final pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Ahad ini.
“Apa yang memberi saya keyakinan untuk menghadapi final ini ialah kita dapat lihat bahawa inilah kali pertama skuad Indonesia beraksi di luar gelanggang mereka pada Piala AFF Suzuki kali ini.
“Saya teruja untuk melihat bagaimana tahap permainan sebenar pasukan Indonesia apabila beraksi di tempat lawan kerana mereka begitu selesa dari peringkat kumpulan hingga separuh akhir beraksi di Jakarta.
“Situasi ini sama sekali berbeza dengan pasukan kita. Main dua perlawanan awal menentang Indonesia dan Thailand di Jakarta kemudian bertemu pula Laos di Palembang.
“Hanya sekali saja kita main di Bukit Jalil dan kemudian berdepan Vietnam di Hanoi,” kata Rajagobal ketika ditemui selepas perlawanan ujian menentang Felda United di Wisma FAM, Kelana Jaya malam kelmarin.
Pada perlawanan tersebut, Rajagobal menurunkan barisan pemain simpanan pada separuh masa pertama sebelum memasukkan kesebelasan utamanya pada babak kedua dan mencatat kemenangan 2-0 hasil jaringan Ashari Samsudin dan Safee Sali.
RAJAGOBAL (kanan) dan pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal berharap para pemain tidak gentar untuk berdepan Indonesia pada perlawanan akhir pertama, Ahad ini.


Seperkara lagi yang menarik tentang final kali ini, Malaysia hanya membuat persiapan suntuk untuk Piala AFF Suzuki selain dibelenggu masalah kecederaan berbanding Indonesia yang persiapannya lebih mantap.
“Sudahlah ramai tonggak utama kita terpaksa diketepikan akibat kecederaan, kita juga hanya sempat berlatih seminggu saja selepas menyertai Sukan Asia di Guangzhou.
“Indonesia pula, tidak menghantar langsung pasukan ke Sukan Asia kerana mereka mahu melakukan persiapan penuh bagi kejohanan ini. Apa pun, sesuatu yang boleh dibanggakan apabila kita tetap berjaya mara ke final,” jelas Rajagobal.