KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Ahad, 16 Januari 2011

Bale kembali menghantui Ferguson


BALE boleh memusnahkan impian United malam ini.


LONDON - Alex Ferguson bimbang kegagalannya mendapatkan Gareth Bale empat tahun lalu akan kembali menghantuinya malam ini.
Pengurus Manchester United itu cuba mendapatkan pemain sayap Wales itu ketika dia bersama Southampton pada 2007.
Namun Tottenham lebih bernasib baik apabila berjaya mendapatkan Bale, 21, dengan harga £5 juta (RM24.3 juta)
Sejak itu, Bale terus muncul sebagai antara pemain muda paling menyerlah di Eropah sehingga prestasi hebatnya dalam kempen Liga Perdana England dan Liga Juara-Juara musim ini menyaksikan harganya mencecah £40 juta (RM194.3 juta).
Malam ini, pemain sayap itu mampu menamatkan rekod tanpa kalah United musim ini apabila The Red Devils akan berkunjung ke White Hart Lane dalam aksi Liga Perdana England.
Ferguson berkata: "Kami cuba mendapatkannya ketika dia berusia 16 atau 17 tahun. Tetapi ia tidak pernah berjaya.
"Bale mempunyai kepantasan yang menakjubkan dan dia juga mampu membuat hantaran lintang yang baik.
"Dia banyak memberi sumbangan kepada Spurs musim ini. Tetapi Spurs juga mempunyai Luca Modric, Rafael van der Vaart dan Aaron Lennon, jadi mereka ada beberapa pemain yang bagus."
Meskipun van der Vaart yang dibeli dari Real Madrid lebih banyak menarik tumpuan media di England musim ini, namun Ferguson tetap menganggap Bale sebagai pemain terbaik dalam pasukan Spurs.
"Van der Vaart telah memberi Spurs satu semangat baru yang tidak pernah dimiliki Harry daripada mana-mana pemain perancangnya," kata Ferguson.
"Saya tahu kita juga boleh menganggap van der Vaart sebagai penyerang, tetapi dia lebih bagus bermain di tengah dan membantu jentera serangan.
"Tetapi sumbangan paling banyak dalam skuad Spurs ialah Bale yang meledakkan 11 gol setakat ini." - Agensi

Wenger cari pemain atasi krisis


LONDON - Arsene Wenger (gambar) hanya berminat mendapatkan pemain untuk jangka masa pendek pada musim perpindahan pemain bulan ini.
Tindakan tersebut adalah sebagai langkah untuk mengatasi krisis kecederaan yang dialami The Gunners ketika ini khususnya di bahagian pertahanan.
Buruan utama pengurus Arsenal itu ialah Gary Cahill, namun pengurus Bolton, Owen Coyle menegaskan dia tidak akan melepaskan pemain tersebut.
Keputusan Coyle itu memaksa Arsenal untuk kembali semula kepada usaha mendapatkan pertahanan West Ham, Matthew Upson.
Wenger mengakui dia hanya mahu seorang pertahanan yang berkualiti dengan tawaran kontrak jangka masa pendek.
Ditanya sama ada dia perlu membeli pemain baru untuk menyelesaikan masalahnya, Wenger berkata: "Perancangan saya hanyalah untuk jangka masa pendek.
"Kami mempunyai banyak lagi perlawanan untuk diharungi. Jika pemain kami terus berdepan dengan kecederaan, ia akan memberi banyak masalah kepada pasukan." - Agensi