KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Selasa, 26 Oktober 2010

Hukuman Sathia ditangguh


HUKUMAN terhadap Sathianathan (kanan) ditangguhkan oleh FAM buat sementara waktu selepas badan induk bola sepak negara itu menerima rayuan daripada jurulatih terbabit semalam.


BERITA penangguhan terhadap hukuman penggantungan yang dikenakan ke atas ketua jurulatih Kelantan, B. Sathianathan sedikit sebanyak menjadi suntikan moral buat pemain-pemain skuad The Red Warriors.
Ini kerana, anak-anak buah Sathianathan itu bakal turun berdepan Negeri Sembilan pada aksi final Piala Malaysia 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.
Namun, bagi Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), mereka sebenarnya masih belum boleh menarik nafas lega kerana keputusan penuh terhadap rayuan yang dikemukakan mereka hanya akan diketahui selepas Jawantankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), bersidang semula dalam masa terdekat.
Pengurus Kelantan, Azman Ibrahim berkata, KAFA sebenarnya menghantar surat rayuan kepada FAM agar meri- ngankan hukuman yang dikenakan terhadap Sathianathan dan bukannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut.
“Diakui, keputusan FAM yang menangguhkan pelaksanaan terhadap hukuman yang dikenakan ke atas Satianathan sememangnya menjadi suntikan semangat kepada kami (Kelantan) menjelang aksi menentang Negeri Sembilan nanti.
“Begitupun, kami masih belum jelas tentang situasi sebe- nar kerana Satianathan sudah mula menjalani hukuman tersebut ketika aksi separuh akhir kedua menentang Kedah di Kota Bharu, Sabtu lalu.
“Jadi... kami mahu kepastian sama ada dalam tempoh tersebut adakah hukuman penggantungan Satianathan itu akan tetap diambil kira ataupun sebaliknya dan diharapkan FAM akan segera memberikan maklum balas,” kata Azman.
Terdahulu, Satianathan yang juga merupakan bekas pengendali skuad kebangsaan, menerusi KAFA telah mengemukakan rayuan kepada FAM bagi meringankan hukuman yang dikenakan ke atasnya semalam.
Setelah menyerahkan surat rayuan tersebut kepada Pengerusi Jawatankuasa Rayuan FAM, A. Ganarajah, pihaknya telah membuat keputusan untuk menangguhkan hukuman penggantungan yang dikenakan berkuat kuasa serta-merta.
“Berdasarkan Perkara 7.1.1 dan 7.5.1 Kod Tatatertib FAM 2010, Pengerusi Jawatankuasa Rayuan FAM dengan ini telah memutuskan hukuman penggantungan yang dikenakan ke atas Satianathan ditangguhkan berkuat kuasa serta-merta,” jelas kenyataan media yang dikeluarkan FAM semalam.
Sebelum ini, Satianathan terpaksa menerima padah digantung untuk tempoh enam bulan dan denda RM2,000 gara-gara memberikan komen mengenai perlawanan antara pasukan Perlis menentang Terengganu yang diadakan di Kuala Terengganu kira-kira tiga bulan lalu.

'Jangan harap rampas piala'


AIDIL (kanan) akan pastikan benteng pertahanan Negeri Sembilan tidak dibolosi pada final Piala Malaysia menentang Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.
"JANGAN fikir boleh rampas Piala Malaysia daripada kami."
Itu amaran pemain pertahanan Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abd. Radzak yang akan memainkan peranan sebagai benteng terakhir skuad Hoben Jang Hoben itu pada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.
Katanya, final ulangan dengan Kelantan ini dijangka lebih menarik apabila Negeri Sembilan mempunyai misi mempertahankan kejuaraan manakala Kelantan ghairah untuk membalas dendam, sekali gus turut ingin menjulang piala berprestij itu.
Menurut Aidil, piala yang menjadi kemegahan dan dinanti-nantikan Negeri Sembilan sejak 61 tahun yang lalu itu tidak akan diserahkan dengan mudah kepada Kelantan.
Ujarnya, secara peribadi, dia mahu rakan-rakan sepasukannya mengulangi kejayaan seperti tahun lalu dan tidak perlu ada rasa gentar untuk berdepan dengan skuad Kijang.
"Mungkin dari segi penyokong, Kelantan dilihat hebat apabila lautan merah akan membanjiri stadium. Tetapi itu bukan faktor, sebaliknya nasib kedua pasukan ditentukan dalam tempoh 90 minit sehingga wisel penamat dibunyikan.
"Kedua-dua pasukan akan menurunkan barisan pemain yang sama seperti tahun lepas dan mungkin satu atau dua pemain baru akan diturun buat kali pertama, namun ia akan ditentukan oleh jurulatih kelak," katanya kepada Kosmo! semalam.
Kata Aidil, antara pemain Kelantan yang akan diberi tumpuan ketika berada di ka- wasan pertahanan Negeri Sembilan ialah Norshahrul Idlan, Akmal Rizal dan Indra Putra Mahayuddin.
Ujarnya, perkara penting yang harus dilakukan mereka ialah mengawal rentak permainan selain mencari gol awal.
Aidil yang bermain di posisi pertahanan akan bergandingan dengan Shukor Adan dan mereka bertekad untuk tidak membiarkan penyerang pasukan lawan bergerak bebas sepanjang perlawanan itu nanti.
Sementara itu, kembar Aidil, Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak yang direhatkan akibat kecederaan berkata, dia sedih kerana tidak dapat berjuang bersama rakan- rakan lain untuk mempertahankan piala yang menjadi kebanggaan semua.
Dia berharap rakan-rakan sepasukannya mampu menampilkan aksi terbaik dalam usaha mempertahankan piala tersebut di Negeri Sembilan.
"Saya sedih kerana tidak dapat bersama, namun saya yakin kami akan muncul juara," katanya.
Mohd. Zaquan terpaksa berehat selama enam bulan selepas menjalani pembedahan lutut dan dia kini sedang menjalani latihan fisioterapi di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Ferguson bangga komitmen pemain

LONDON - Alex Ferguson melontarkan pujian ke atas semangat juang Man- chester United selepas menyaksikan anak-anak buahnya mencatat kemenangan penting 2-1 ke atas Stoke City dalam aksi Liga Perdana England kelmarin.
United kini mengekori pendahulu liga, Chelsea dengan perbezaan lima mata hasil dua jaringan Javier Hernandez di Satdium Britannia itu.
Penyerang Mexico yang diturunkan bagi menggantikan Wayne Rooney yang masih mengalami kecederaan buku lali, meledakkan gol pertama menerusi tandukan pada minit ke-27 sebelum Tuncay Sanli menyamakan kedudukan 1-1 sembilan minit sebelum permainan berakhir.
Namun, Hernandez hadir tepat pada masanya dengan sentuhannya pada minit ke-86, sekali gus menghadiahkan tiga mata penting buat United.
Dengan pertemuan menentang Wolves dalam kempen Piala Liga awal pagi Rabu ini, dan aksi Liga Perdana England dengan Tottenham, Sabtu depan, Ferguson percaya kemenangan ini sangat penting buatThe Red Devils.
"Selepas mereka menyamakan kedudukan, kami mula berasa ia sama seperti musim-musim lalu yang mengecewakan," kata Ferguson.
"Apabila kamu terlepas satu gol ketika permainan berbaki 10 minit, kamu akan berasa bimbang. Kamu pasti fikir kejadian yang sama akan berulang.
"Tetapi kami berharap mampu bangkit selepas ini. Kami ada beberapa perlawanan penting sehingga Krismas dan kami perlu mengukuhkan semula kedudukan dalam liga sekarang."

Ancelotti atasi rekod Mourinho


TERRY (belakang) kagum dengan corak permainan yang dipamerkan pemain Chelsea setakat ini.


LONDON - Kemenangan 2-0 Chelsea ke atas Wolves pada aksi Liga Perdana England, Sabtu lalu mencatat satu lagi rekod baru buat kelab dari London itu.
Skuad kendalian Carlo Ancelotti itu berjaya memadam rekod Jose Mourinho apabila tidak dibolosi sebarang gol di Stamford Bridge dalam saingan liga musim ini.
Ketika di bawah bimbingan Mourinho, Chelsea kebal di gelanggang sendiri dalam tujuh perlawanan liga pada saingan musim 2004-2005.
Namun kali ini, tiada penyerang lawan dapat membolosi gawang The Blues dalam lapan perlawanan liga.
Pemain terakhir yang meledakkan gol ke gawang mereka ialah John Carew dari Aston Villa pada 27 Mac lalu.
Kapten Chelsea, John Terry berkata: "Kami bertahan dengan baik, bukan sahaja menerusi empat pemain pertahanan kami tetapi penjaga gol, Peter (Cech) juga beraksi cemerlang setakat ini.
"Saya bermain dengan beberapa pemain terbaik dunia seperti Ashley Cole, Branislav Ivanovic, Alex dan juga (Jose) Bosingwa yang semakin yakin dengan corak permainan masing-masing.
"Ashley (Cole) sangat hebat. Dia sangat pantas. Pernah sekali saya lihat dia naik membantu jentera serangan, kemudian sekelip mata saya perasan dia sudah berada di bawah bersama saya.
"Dia pertahanan kiri terbaik pernah saya lihat. Tiada satu perlawanan pun dia gagal menyajikan aksi terbaiknya."
Pertahanan kanan, Bosingwa pula beraksi dalam perlawanan liga pertamanya Sabtu lepas sejak berehat lebih setahun.
Ancelotti memuji pertahanan Portugal itu dengan berkata: "Kami boleh menggunakannya di posisi kanan sama seperti Ashley (Cole) di posisi kiri.
"Dia mempunyai kemahiran yang sama dengan Ashley, jadi dia memberi satu lagi dimensi baru kepada kami."

"Kini Fokus Pada Piala Malaysia" B. Sathianathan

Perkataan yang terpacul dari mulut ketua jurulatih ini akan dijadikan azimat buat semua barisan pemain dalam menghadapi saingan terakhir pada tahun ini. Tiada lagi isu B. Sathianathan di tempat duduk penyokong sabtu nanti. Keputusan FAM menangguhkan penggantungan B. Sathianathan amat dihargai dan disambut baik oleh seluruh peminat bolasepak Kelantan supaya aura yang dimiliki beliau dapat diturunkan sepenuhnya pada pertempuran ini nanti

Ramai penyokong mengandaikan penangguhan kes ini sebagai meredakan kemarahan penyokong Kelantan yang kini mula marah dengan kenaikan melampau harga tiket perlawanan akhir, sekaligus menjadikan harga tiket ini paling mahal sejak TM Piala Malaysia diperkenalkan. Namun melihat reaksi para penyokong melalui laman-laman sosial, rata-rata mengutuk kenaikan harga tiket tetapi kenaikan ini bukan alasan untuk mereka tidak ke stadium sabtu ini.
Perlawanan akhir ini merupakan perlawanan idaman seluruh penyokong Kelantan yang sentiasa berdoa agar skuadnya melangkah ke final dan akan memiliki sekurang-kurangnya 1 piala pada tahun ini walaupun terpaksa akur dengan harapan merangkul 3 piala tahun pada ini tidak kesampaian.
Hanya tinggal 3 hari sahaja lagi peluang untuk para pemain dan penyokong mengasah segala senjata tempur mereka bagi menghadapi pertempuran yang dijangka sengit ini. Kelab-kelab penyokong kini mula sibuk dengan idea-idea mencipta kelainan antara satu sama lain dari segi sepanduk terbesar, terpanjang, rentak lagu dan pelbagai lagi kreativiti yang akan dijelmakan nanti.
Penyokong Kelantan di seluruh Malaysia juga mula sibuk mengumpul ahli dan tiket bagi memastikan stadium Bukit Jalil sekali lagi bertukar wajah dan berseri dari kawasan sunyi sepi akan menjadi riuh dengan sorakan padu kedua-dua penyokong.
Sekembalinya jurulatih utama untuk bersama anak buahnya di Bukit Jalil nanti, diharap dapat memperkemaskan lagi segala taktikal dan strategi pasukan. Disamping mengharapkan keserasian dan kecemerlangan kesebelasan pemain yang diturunkan yang akan dibantu sorakan semangat pemain ke 12.
Selain itu, KAFA juga menyeru para penyokong Kelantan menjaga tingkah laku mereka daripada lensa kamera media yang sentiasa ditugaskan mencari segala keburukan yang dipamerkan penyokong Kelantan untuk disensasikan. Elakkan daripada membawa mercun, provokasi, keganasan, vandalisme dan yang seumpamanya kerana pihak pengurusan stadium akan membenarkan para penyokong memasuki stadium seawal pukul 4 lagi bagi mengadakan kawalan dan pemeriksaan yang ketat dipintu-pintu masuk tadium. KAFA sekali lagi mengingatkan KAFA tidak akan berkompromi dengan insiden yang terbukti dicetuskan oleh penyokong Kelantan. Hormatilah kehadiran penyokong istimewa kita yang terdiri daripada wanita, kanak-kanak dan warga emas yang juga ingin menyaksikan perlawanan ini dengan tenang dan aman. Buktikan pada mereka kini penyokong Kelantan lebih berdisplin dari yang digambarkan oleh sesetengah masyarakat dan media. Cukuplah! Cukuplah! kita dikeji, inilah masanya kita akan dipuji dan dihormati bersama kehebatan yang akan dibuktikan pasukan The Red Warriors sabtu nanti.
"Lelaki yang paling berani dan hebat adalah lelaki yang boleh mengawal segala kemarahan mereka"
SAMA-SAMA KITA DOAKAN KEMENANGAN THE RED WARRIORS.
Sokong Bia Bijok , Napok Bijok , Betindok Bijok , Main Bijok , Bijok Sokmo...... Gomo Kelate Gomo

Terdesak sangatkah FAM sekarang ini?

Terperanjat dan amat menyedihkan semua peminat Kelantan apabila hari ini tepat jam 3 petang tadi KAFA menerima pemberitahuan tentang FAM telah membuat keputusan menaikkan harga tiket daripada RM20 kepada RM30. Kenaikan mendadak 50% harga tiket ini amat memeranjatkan kerana sekiranya untuk menampung kos kerosakan selepas perlawanan sudah pasti KAFA yang dikenakan denda dan membayarnya.


Amat malang lagi apabila pihak KAFA juga telah memberitahu wakil jualan TRWC semalam, harga tiket masih kekal sepertimana harga asal tiket perlawanan akhir sebelum ini. Lihasrizad Ismail pengarah urusan TRWC  dan penyelaras penjualan tiket ketika ditanya masalah terbaru ini, beliau amat terkilan dengan kenaikan ini dan memberitahu kepada pelanggan yang telah membuat tempahan dan bayaran boleh memilih untuk mengarahkan pihak TRWC mengembalikan bayaran atau pelanggan menambah kos RM10 sepertimana kenaikan harga tiket asal RM20 kepada RM30. Dengan menghubungi dan memberitahu beliau di talian 0126868835 atau email izad@theredwarriors.com.
Kenaikan harga tiket ini menjadikan harga tiket perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2010, tiket paling mahal dalam sejarah Piala Malaysia. KAFA amat kecewa dengan kenaikan ini dan akan cuba mengemukakan satu rayuan tentang kenaikan harga tiket ini.
TRWC akan mengemaskini info tiket ini dari masa ke semasa. Berharap kelab-kelab penyokong boleh menghantar memorandum atau mengadakan bantahan kepada FAM yang dianggap mengambil kesempatan dari semangat berkobar-kobar para penyokong Kelantan ini. Terdesak sangatkah FAM sekarang ini?
Sokong Bia Bijok , Napok Bijok , Betindok Bijok , Main Bijok , Bijok Sokmo...... Gomo Kelate Gomo