KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Isnin, 10 Januari 2011

Gerrard perlu tinggalkan The Reds


GERRARD (kiri) cuba ditenangkan rakan sepasukan, Kuyt sebaik gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika tewas 1-3 kepada Blackburn baru-baru ini.


LONDON - Bekas pengurus Liverpool, Kevin Keegan membuat kejutan apabila memberitahu bahawa satu-satunya jalan buat Steven Gerrard untuk memenuhi impiannya memenangi kejuaraan utama ialah dengan meninggalkan Liverpool.
Gerrard yang hampir menyertai Chelsea ketika di bawah era pengurus Rafael Benitez, telah memenangi banyak kejuaraan di peringkat kelab, kecuali gelaran juara Liga Perdana England setakat ini.
Paling hampir dia berjaya melakukannya ialah ketika The Reds menamatkan saingan sebagai naib juara dua tahun lalu.
Begitu pun Liverpool masih belum memenangi gelaran liga tersebut sejak 1990 dan Keegan mengakui bahawa satu-satunya peluang Gerrard untuk melakukannya ialah dengan menyertai kelab yang lebih besar.
"Gerrard seorang pemain yang luar biasa dan dia akan sentiasa berfikir siapakah lagi (pemain baru) yang akan membantunya memenangi kejuaraan di Liverpool?," kata Keegan.
"Ini kerana dia tidak pernah memenangi banyak kejuaraan di kelab ini.
"Dia telah berusia 30 tahun sekarang. Hanya ada dua pilihan yang tinggal iaitu kekal bersama Liverpool dan cuba memenanginya di sini atau berpindah ke kelab lain sebagai usaha terakhir.
"Dia tidak akan memenangi sebarang trofi di sini. Andainya dia masih mampu bermain sehingga usia 34 tahun, peluangnya untuk menang kejuaraan amat tipis dengan Liverpool.
"Walaupun Liverpool melakukan perubahan besar-besaran seperti Manchester City lakukan, masih tiada petunjuk bahawa mereka akan memenanginya dalam masa dua tahun lagi.

Arsenal masih ada peluang


WENGER sugul ketika pasukannya seri 1-1 dengan Leeds, kelmarin.


LONDON - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger masih berkeyakinan bahawa skuad bimbingannya itu mampu menangani segala tekanan dalam usaha menamatkan kemarau kejuaraan selama lima tahun.
Arsenal gagal meraih sebarang gelaran selepas menjuarai Piala FA 2005 bakal berkunjung ke Ipswich pada awal pagi Khamis ini untuk separuh akhir pertama Piala Liga setelah mereka hampir tewas kepada Leeds pada pusingan ketiga Piala FA malam kelmarin.
Pada perlawanan tersebut, Arsenal ketinggalan 0-1 menerusi sepakan penalti Robert Snodgrass pada minit ke-54 sebelum berjaya menyamakan kedudukan di minit terakhir hasil sepakan penalti Cesc Fabregas bagi menempah pertembungan ulangan di Elland Road.
"Kegagalan kami menjulang piala dalam tempoh yang agak lama tidak akan memberi kesan menjelang aksi bertemu Ipswich ini.
"Apa yang akan lebih memberi kesan ialah kami kini hanya tinggal dua perlawanan saja lagi sebelum melangkah ke final.
"Keputusan seri 1-1 dengan Leeds ini memberi amaran yang cukup berguna kepada kami. Sebelum perlawanan lagi kami sudah mengetahui bahawa Leeds berjaya menundukkan Manchester United musim lalu serta mengikat Tottenham.
"Leeds mempunyai keyakinan diri untuk beraksi selepas kejayaan itu dan mereka tampil secara agresif kali ini," kata Wenger.
Sementara itu, Fabregas melahirkan kekecewaan terhadap persembahan pasukannya.
"Kini kami perlu beraksi sekali lagi dalam perlawanan ulangan," ujar Fabregas.

Malam penentuan tiga bintang Barca


XAVI


BERNE - Trio Barcelona, Xavi, Lionel Messi dan Andres Iniesta bakal bersaing untuk merebut anugerah pemain terbaik tahunan, Ballon D'Or yang buat kali pertamanya dianjur Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) malam ini.
Anugerah itu merupakan gabungan daripada anugerah Pemain Terbaik FIFA yang diperkenalkan pada 1991 dengan anugerah Ballon D'Or yang diilhamkan majalah France Football pada 1956.
Buat pertama kali juga, jurulatih terbaik tahunan bakal diumumkan dengan tiga calon akhir bersaing iaitu jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque, jurulatih Barcelona, Pep Guardiola dan jurulatih Real Madrid yang membawa Inter Milan menjuarai Liga Juara-Juara musim lalu, Jose Mourinho.
FIFA turut akan mengumumkan senarai 11 pemain untuk kesebelasan terbaik 2010 dengan seorang penjaga gol, empat pertahanan, tiga pemain tengah dan tiga penyerang dengan lima pemain disenaraikan bagi merebut setiap posisi tersebut.
Dengan penggabungan dua anugerah pemain terbaik tahunan itu, ia menjadikan panel pemilihannya semakin besar dengan melibatkan undian dari kalangan wartawan terpilih serta jurulatih dan kapten skuad kebangsaan setiap negara.
Persembahan luar biasa Messi dianggap cukup untuk membolehkannya memenangi anugerah tersebut.
Namun kegagalannya membantu Argentina pada Piala Dunia 2010 mungkin akan membuka ruang buat Xavi dan Iniesta yang berjaya membantu Sepanyol muncul juara.
"Xavi dan Iniesta layak untuk memenangi anugerah ini kerana mereka berdua juga pemain yang cukup hebat," kata Messi kepada media Sepanyol.
Namun Pemain Terbaik Piala Dunia 2010, Diego Forlan tidak terpilih untuk berada dalam senarai tiga calon terakhir itu.

Safee sedia timbang tawaran


SAFEE (kiri) mempertimbangkan tawaran menyertai kelab Indonesia.


PENJARING terbanyak Piala Suzuki AFF 2010, Mohd. Safee Mohd. Sali hampir pasti meninggalkan Selangor untuk menyertai salah sebuah kelab di Indonesia, Persib Bandung, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.
Nada pemain kelahiran Kajang yang bakal mencecah usia 27 tahun pada 29 Januari depan itu semalam jelas membuktikan bahawa dia begitu teruja untuk beraksi bersama kelab luar.
Safee seakan-akan memberi isyarat awal yang dia berkemungkinan besar akan menyertai kelab Persib Bandung biarpun turut diburu dua lagi kelab Indonesia, Pelita Jaya dan Persiba Balikpapan serta sebuah kelab Vietnam.
"Memang saya nak sangat belajar dan sudah lama sebenarnya impian saya untuk beraksi di luar negara. Buat masa ini keputusan saya untuk menerima tawaran tersebut adalah 70-30. Saya mungkin akan memberi pertimbangan tawaran sebuah kelab Indonesia itu.
"Daripada tiga kelab tersebut, Persib Bandung yang betul-betul menunjukkan minat. Lagipun saya sendiri rasa jarak Bandung paling dekat. Saya juga pernah ke sana dan sudah tahu suasananya.
"Mungkin jika segalanya menjadi kenyataan, memang ada dalam perancangan untuk membawa bersama keluarga ke sana," kata Safee ketika ditemui pada majlis meraikan skuad kebangsaan oleh Nike Malaysia di One Utama, Damansara petang semalam.
Namun Safee menjelaskan bahawa dia tidaklah akan terus berhijrah ke kelab berkenaan dalam masa terdekat dan kemungkinan besar akan melengkapkan perpindahan tersebut pertengahan tahun ini.
"Saya baru pulang dari Perth, Australia bersama skuad Selangor pagi tadi (semalam). Sepatutnya dalam sehari dua ini akan berlangsung perbincangan di antara saya, Datuk Hamidin Mohd. Amin (Setiausaha Agung FAS) dan wakil kelab terbabit.
"Harap keputusan perbincangan tersebut mencapai sesuatu yang positif. Sebagai pemain profesional, saya mahu mengambil peluang ini sebagai satu cabaran," jelas Safee.
Andai Safee sah menyarung jersi Persib Bandung, dia akan menjadi rakan sepasukan beberapa pemain kebangsaan Indonesia seperti Cristian Gonzales, Markus Harison, Maman Abdurahman dan Eka Ramdani.

'Satu bulan, satu perlawanan'

K. RAJAGOBAL (kiri) beraksi dalam perlawanan pertunjukan semasa sesi bertemu peminat anjuran Nike di Damansara semalam.


JURULATIH kebangsaan, K. Rajagobal berharap skuad bimbingannya itu mendapat peluang untuk beraksi sekurang-kurangnya satu perlawanan persahabatan berstatus A setiap bulan sepanjang tahun ini.
Bagi Rajagobal, aksi berterusan penting dalam memastikan skuad juara Piala Suzuki AFF 2010 itu dapat mengekalkan rentak cemerlang itu menjelang beberapa tugasan penting yang akan menyusul.
"Untuk masa terdekat, kita akan mengadakan satu perlawanan persahabatan pada bulan Februari. Kalau boleh, tiap-tiap bulan kita mahukan aksi persahabatan berstatus A.
"Ia penting untuk memastikan pasukan ini terus konsisten kerana kita akan menghadapi kelayakan Piala Dunia 2014 pada Jun depan dan juga pertemuan dengan Chelsea pada Julai depan.
"Kita sememangnya sudah mempunyai rancangan jangka panjang empat tahun dengan sasaran utama ialah melepasi saingan kelayakan Piala Asia dan beraksi pada pusingan akhir Piala Asia 2015 di Australia.
"Kejayaan menjuarai Piala Suzuki AFF ini hanyalah sebagai satu permulaan ke arah itu," katanya pada sidang media bersempena majlis meraikan skuad kebangsaan oleh Nike Malaysia di One Utama, Damansara petang semalam.
DARI kanan: Safee Sali, Amirulhadi dan Khyril Muhymeen menurunkan tandatangan pada baju salah seorang peminat semasa sesi bertemu peminat semalam.


Lebih separuh pemain skuad kebangsaan yang menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 hadir pada majlis tersebut bersama tiga pemain yang tidak tersenarai akibat kecederaan iaitu Aidil Zafuan Radzak, Zaquan Adha Radzak dan Baddrol Bakhtiar.
Rajagobal turut berharap semua pemainnya dapat mempamerkan aksi terbaik dan konsisten sepanjang saingan Liga Malaysia yang akan bermula 29 Januari depan selain tidak gusar ganjaran demi ganjaran bakal melekakan anak-anak buahnya.
"Saya mahu Aidil, Zaquan dan Baddrol tampil lebih bertenaga apabila mereka kembali beraksi nanti. Jika prestasi mereka tidak mencapai tahap konsisten, berkemungkinan saya tidak akan panggil mereka semula.
"Tentang ganjaran, saya tahu pemain-pemain saya tidak akan lupa diri. Saya kenal mereka semua dan yakin dengan komitmen mereka.
"Mereka juga tahu, jika mereka malas, sudah pasti saya akan ketepikan mereka untuk menganggotai skuad kebangsaan," tegas Rajagobal.