KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Khamis, 3 Mac 2011

KAFA tubuh akademi bola sepak


SATHIANATHAN (kiri) menerima replika kunci kereta Proton Inspira daripada Annuar di Kota Bharu semalam.


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) terus maju selangkah ke hadapan dengan menubuhkan Akademi Red Warriors Al-Hambra (ARMY) dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai bakat baru dalam sukan bola sepak di negeri tersebut.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, akademi tersebut akan diuruskan oleh bekas ketua jurulatih The Red Warriors musim lalu, B. Sathianathan yang akan bertindak sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) ARMY.
Menurut beliau, buat permulaan Sathianathan ditugaskan untuk menyediakan perancangan bagi mewujudkan satu akademi bola sepak yang baik.
"Bulan ini, kita akan menyiapkan satu manual yang merupakan kurikulum kepada akademi tersebut. Manual ini akan di cetak dan bukukan, kerana kita mahu semua jurulatih mesti mengikut kurikulum yang jelas seperti ditetapkan oleh pihak akademi.
"Kita tidak mahu jurulatih mengikut kepandaian masing-masing. Jadi, tugas pertama Sathianathan ialah untuk menyiapkan modul, keduanya memilih jurulatih daripada kalangan bekas-bekas pemain Kelantan dan kita mahukan seramai 12 orang untuk mengisi jawatan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan kunci kereta Proton Inspira kepada CEO ARMY, B. Sathianathan di The Red Warriors Station, Kota Bharu semalam.
Annuar memberitahu untuk permulaan seramai 240 peserta akan diambil menyertai akademi tersebut dan mereka akan bermula selewat-lewatnya sebelum April depan.
Katanya, sebanyak enam pusat latihan akan dibuka di seluruh Kelantan iaitu di Tumpat-Pasir Mas, Tanah Merah, Bachok, Machang-Kuala Krai dan dua di Kota Bharu.
"Kesemua peserta akan dikenakan syarat-syarat kemasukan tertentu dan kita sedang menyediakan apakah bentuk kriteria serta undang-undang untuk peserta di enam akademi tersebut.
"Selepas sesi latihan dijalankan kita akan bentuk 12 pasukan iaitu enam di peringkat umur 12 dan 13 manakala enam lagi di peringkat 15 dan 16 tahun. Setiap pasukan akan didedahkan dalam satu kejohanan sesama mereka bagi menguji kebolehan masing-masing," ujarnya.
Tambahnya, peserta akademi tersebut akan diberikan latihan merangkumi aspek teknikal, kecergasan dan sebagainya mengikut garis panduan dan kurikulum sebenar permaianan bola sepak.

The Red Warriors dalam kelas tersendiri


NORSHAHRUL (tengah) membuktikan dirinya sebagai penggempur berbisa dalam skuad Kelantan pada aksi menentang Negeri Sembilan kelmarin.


KELANTAN berada pada kelas tersendiri apabila membenam cabaran Negeri Sembilan 3-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu malam kelmarin.
Apa yang nyata, ia adalah suatu yang cukup sempurna untuk diraikan seluruh kem Kelantan ketika pencabar utama, Perak hanya sekadar berkongsi mata selepas mencatat keputusan seri dengan Harimau Muda A sekali gus membolehkan The Red Warriors mendahului kedudukan liga dengan kelebihan dua mata.
Skuad yang dibimbing jurulatih Datuk M. Karathu itu bingkas daripada aksi hambar pada babak pertama perlawanan dengan mempamerkan permainan yang cukup bertenaga sehingga memaksa bahagian pertahanan Negeri Sembilan terpaksa bekerja keras.
Menurut Karathu, keyakinan anak-anak buahnya berada pada tahap yang cukup baik selepas keluar daripada bilik persalinan untuk aksi babak kedua selain komitmen serta disiplin yang ditunjukkan terutama di benteng pertahanan.
"Apabila pemain tidak meragui keyakinan yang ada pada mereka, sasaran akan menjadi jelas. Nyata mereka (pemain) mahukan kemenangan dan itu yang dilakukan pada perlawanan malam tadi (kelmarin).
"Sasaran kami adalah untuk sentiasa menunjukkan peningkatan pada setiap perlawanan.
"Kami mahu menjadi pasukan yang kompetitif dan sentiasa bersedia memberi saingan," katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, babak pertama perlawanan menyaksikan Kelantan dan Negeri Sembilan bergilir-gilir melakukan serangan menyebabkan keseluruhan permainan yang dipamerkan agak pantas sehingga menyebabkan tekanan terhadap pemain agak tinggi.
Jelasnya, separuh masa kedua beliau menukar sedikit taktikal pasukan dengan menggunakan Nurul Azuan Roya dan S Chanturu yang berada di bahagian sayap untuk melancarkan gerakan.
"Separuh masa pertama kita cuba bawa masuk bola melalui kawasan tengah dan itu menyebabkan kita kerap kehilangan bola kerana Negeri Sembilan memiliki pemain yang cukup baik. Kemudian kita menyerang menggunakan pemain sayap dan perubahan tersebut berhasil.
"Pujian juga harus saya berikan kepada kesemua pemain terutama di bahagian pertahanan yang cukup kental mengekang asakan lawan. Semua pemain telah memainkan peranan dengan baik," katanya.

United kalah angkara pengadil


LAMPARD (kiri) meledakkan gol kemenangan Chelsea ke atas Manchester United pada aksi Liga Perdana England di Stamford Bridge awal pagi semalam.


LONDON - Frank Lampard muncul wira Chelsea apabila meledak gol kemenangan 2-1 ke atas Manchester United pada aksi Liga Perdana England di Stamford Bridge awal pagi semalam.
Begitupun, gol yang dijaringkan pemain tengah skuad The Blues itu mengundang kontroversi apabila ia diperoleh menerusi sepakan penalti pada minit ke-79.
Pengadil perlawanan, Martin Atkinson menghadiahkan sepakan penalti itu selepas tonggak pertahanan United, Chris Smalling menjatuhkan Yuri Zhirkov dalam kotak penalti.
Terdahulu, skuad The Red Devils berjaya membuka jaringan menerusi penyerang England, Wayne Rooney pada minit ke-29 sebelum tonggak pertahanan Chelsea, David Luiz menyamakan kedudukan (ke-54).
Kemenangan yang dilakar Chelsea itu turut membuka pintu buat kelab-kelab teratas liga bersaing bagi memburu trofi kejuaraan musim ini.
Begitupun, pengurus United, Alex Ferguson tidak dapat menyembunyikan perasaan kecewa dengan beberapa keputusan pengadil yang dianggap tidak tepat.
Ia termasuk keputusan Atkinson menghadiahkan sepakan penalti kepada Chelsea dan tidak melayangkan kad merah kepada Luiz yang melakukan terjahan keras.
"Kami (United) gagal bertahan dengan baik ketika melepaskan gol pertama buat Chelsea. Ia memang tidak sepatutnya berlaku tetapi sepakan penalti yang diberikan pengadil kepada mereka memang satu keputusan yang tidak boleh diterima.
"Sudah tiga tahun berturut-turut keputusan pengadil mengubah situasi perlawanan di sini (Stamford Bridge). Ia memang luar biasa.
"Luiz telah melakukan kekasaran ke atas (Javier) Hernandez dan tidak ada apa-apa tindakan yang dikenakan ke atas pemain itu. Bukan itu sahaja, dia juga melakukan perkara yang sama ke atas Rooney.
"Sekiranya kamu bercakap mengenai apa yang mengubah situasi perlawanan pada babak kedua, ia adalah disebabkan keputusan pengadil yang sepatutnya tidak berlaku," jelas Ferguson.
Sementara itu, pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti mengakui pertemuan menentang United itu bukan satu tugas yang mudah buat anak-anak buahnya.
"Ia merupakan perlawanan yang sukar buat kami (Chelsea) apabila menentang sebuah kelab hebat seperti United yang mempamerkan kualiti begitu tinggi dalam corak permainan mereka.
"Kami sukar untuk mendekati pemain-pemain mereka tetapi pada babak kedua perlawanan, kami beraksi dengan lebih baik kerana kami memberi tekanan kepada mereka dan beraksi dengan lebih agresif," kata Ancelotti.