KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Isnin, 29 November 2010

Mourinho mahu calar rekod Guardiola




MADRID - Real Madrid meletakkan harapan yang tinggi kepada Cristiano Ronaldo (gambar) untuk menyaingi kehebatan penyerang Barcelona, Lionel Messi pada pertemuan El Clasicoawal pagi ini.
Skuad bimbingan Jose Mourinho itu akan berkunjung ke Stadium Camp Nou untuk menebus kekecewaan selepas tewas kesemua empat perlawanan berturut-turut sebelum ini.
Ketika ini, Real mengungguli kedudukan teratas liga dengan kelebihan satu mata di depan Barcelona.
Pertemuan El Clasico itu adalah yang pertama bagi Mourinho yang berazam untuk menebus kekecewaan ke atas Barcelona yang disingkirkan oleh bekas pasukan, Inter Milan pada aksi separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu.
Ia juga adalah yang pertama bagi Mourinho yang bertugas sebagai penterjemah di Barcelona di bawah bimbingan jurulatih Bobby Robson.
Mourinho juga berharap dia lebih bernasib baik berbanding dua bekas pengurus Real, Juande Ramos dan Manuel Pellegrini yang tewas kepada skuad bimbingan Pep Guardiola sebelum ini.
"Ia adalah menarik untuk kembali ke Barcelona bersama Chelsea dan Inter tetapi balik bersama Real akan menjadi lebih manis," kata Mourinho.
"Saya pernah menewaskan Barcelona ketika bersama Chelsea dan Inter. Kini, saya memimpin kelab yang besar iaitu Real. Kali ini, saya akan disambut sebagai musuh."
Untuk rekod, Real tidak pernah menewaskan Barcelona di Camp Nou sejak Disember 2007 apabila jaringan tunggal Julio Baptista memberikan kemenangan 1-0 kepada mereka.
Kemenangan terakhir mereka adalah pada Mei 2008 apabila Barcelona memberikan penghormatan kepada Real selaku juara di Stadium Santiago Bernabeu di mana mereka menang 4-1.
Sejak itu, Barcelona telah memenangi empat pertemuan berturut-turut di bawah bimbingan Guardiola yang berazam untuk mengekalkan rekod 100 peratus. 

City akan bangkit semula


MANCINI


STOKE - Roberto Mancini menegaskan para pemain bintang Manchester City akan bangkit semula selepas terikat 1-1 dengan Stoke City pada aksi Liga Perdana England semalam.
Pengurus City itu berkata, mereka akan mempamerkan kekuatan sebenar apabila berdepan SV Salzburg pada aksi Liga Europa, Rabu ini dan Bolton Wanderers di Eastlands minggu depan.
City mencatat keputusan yang mengecewakan di Stadium Britannia selepas mempersia-siakan peluang untuk mencipta kemenangan kedua di tempat lawan dalam tempoh enam hari.
Skuad bimbingan Mancini ini memboloskan gol penyamaan pada masa kecederaan hasil jaringan Matthew Etherington selepas Micah Richards meletakkan mereka di depan pada minit ke-80.
"Ia adalah satu ujian yang sukar bagi kami kerana Stoke lebih banyak melakukan hantaran jarak jauh.
"Tetapi saya gembira kerana pasukan saya bermain bola sepak dengan baik dan ia sangat sukar di sini (Stoke). Saya fikir kami bermain lebih baik terutamanya pada separuh masa kedua.
"Saingan musim ini masih panjang dan setiap perlawanan sangat sukar untuk semua pasukan."
Sementara itu, pengurus Stoke, Tony Pulis enggan mengulas lanjut mengenai kritikan yang dilemparkan oleh Mancini mengenai taktikal pasukan itu.
Sebaliknya Pulis berpuas hati kerana skuad bimbingannya masih belum tewas daripada empat perlawanan liga dan mereka berhak memperoleh keputusan seri itu.

Beckham teruja terima tawaran Moyes


SYDNEY - Bekas pemain tengah England, David Beckham mengakui dia berasa teruja dengan tawaran yang diberikan oleh pengurus Everton, David Moyes kelmarin.
Moyes dilaporkan mengemukakan tawaran kepada bekas kepten England itu untuk menyertai kelab Liga Perdana England itu secara pinjaman daripada Los Angeles (LA) Galaxy.
Dalam masa yang sama, Beckham yang ketika ini berada di Australia untuk menyertai satu perlawanan pertunjukan menentang kelab tempatan, Newcastle Jets memberitahu, dia masih belum memikirkan mengenai persaraan.
Bekas pemain tengah Real Madrid itu berkata, bermain bersama pasukan yang berjaya, pasukan yang baik dan para pemain yang baik menjadikan dia teruja untuk terus bermain.
"Saya cukup bertuah untuk melalui apa yang berlaku dalam karier saya," katanya.
"Gelaran Liga Perdana England, Liga Juara-Juara dan Piala FA atau Liga Sepanyol yang telah saya menangi. Saya mahu memenanginya dan mahu terus berjaya.
"Jadi, sebab itu saya bermain di Amerika Syarikat dan saya cukup bertuah sepanjang karier untuk bermain bersama pasukan terbaik ini."
Beckham berkata, dia masih lagi mempunyai baki kontrak setahun bersama LA Galaxy dan akan melihat apa tawaran yang datang selepas itu. 

Chelsea hilang takhta


CARROLL (kiri) meletakkan Newcastle di depan seawal minit keenam ketika seri 1-1 dengan Chelsea semalam.


LONDON – Chelsea kehilangan takhta Liga Perdana England yang dikuasainya sejak beberapa bulan lalu apabila sekadar seri 1-1 dengan Newcastle pada perlawanan di St. James Park semalam.
Ini kali pertama Chelsea terpaksa menyerahkan kedudukan pendahulu liga yang kini menjadi milik Manchester United selepas kelab bimbingan Alex Ferguson itu membelasah Blackburn 7-1 awal pagi semalam.
Tidak banyak yang dapat dilakukan Chelsea untuk menembusi kubu Newcastle terutama tanpa kehadiran pemain tonggak yang masih cedera seperti John Terry, Frank Lampard dan Michael Essien.
Malah pasukan bimbingan Carlo Ancelotti lebih dulu ketinggalan menerusi jaringan Andy Carroll hasil kesilapan pertahanan sendiri seawal minit ke-6.
Alex tertolak bola melepasi Petr Cech yang terbabas ke depan sebelum Carrol yang mengekori rapat daripada belakang mengambil kesempatan menolak mudah bola masuk ke dalam gawang.
Mujur Salomon Kalou menyelamatkan maruah Chelsea daripada tercalar lebih teruk apabila menjaringkan gol penyamaan di penghujung babak pertama.
Walaupun diasak hebat pada babak kedua, Chelsea gagal menembusi kubu pertahanan Newcastle apabila tidak berupaya memanfaatkan banyak peluang yang diperoleh.
Keputusan seri ini bermakna Chelsea gagal mencatat kemenangan dalam empat perlawanan berturut-turut dalam saingan liga domestik.
Sebelum ini mereka kalah dalam tiga daripada empat perlawanan terbaru termasuk tewas 0-1 kepada Birmingham minggu lalu.
Chelsea kini menghuni tangga kedua liga biar pun mengumpul 29 mata sama dengan Arsenal tetapi memiliki kelebihan perbezaan jaringan.
United buat kali pertama menguasai takhta liga dengan mengumpul 31 mata manakala Manchester City di tangga keempat dengan 26 mata.