KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Sabtu, 12 Februari 2011

Safee buru gol ke-110



SAFEE mengintai jaringan ke-110 pada aksi menentang Kuala Lumpur malam ini.

ANGKA 10 tampak sudah sebati dalam diri Mohd. Safee Mohd. Sali apabila dia menggunakan nombor berkenaan pada jersi skuad kebangsaan dan skuad Selangor.
Malah untuk pasukan barunya, Pelita Jaya yang akan disertai Safee pada Isnin ini, penyerang sensasi negara itu turut diberikan jersi No. 10.
Justeru bagi aksi terakhirnya bersama Selangor apabila turun menentang Kuala Lumpur di Stadium Shah Alam malam ini, Safee, 27, bakal memburu satu lagi angka penting iaitu gol ke-110 peribadinya bagi aksi peringkat kelab.
Sejak bergelar pemain profesional pada 2003, Safee kini sudah pun menjaringkan 109 gol dalam saingan Liga Super, Liga Premier, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala AFC.
Safee menjaringkan 24 gol sepanjang tiga musim bersama Kuala Lumpur (2003-2005), 19 gol sepanjang semusim bersama Sarawak (2006) dan 65 gol sepanjang empat musim bersama Selangor (2007-2010).
Bagi musim 2011, selepas beraksi dua perlawanan, Safee berjaya merekodkan gol ke-109 ketika dia membuka jaringan Selangor sewaktu menewaskan Perlis 2-0 pada 1 Februari lalu.
"Memang semangat untuk turun perlawanan terakhir bersama Selangor esok (hari ini) agak lain macam. Lebih-lebih lagi bertemu Kuala Lumpur, pasukan pertama saya.
"Apa pun saya berhajat mencari gol ke-110 pada perlawanan ini dan memberikan tiga mata penuh buat Selangor sebagai menghargai para penyokong yang hadir ke stadium," katanya ketika dihubungiKosmo! semalam.
Ditanya tentang hajat Kuala Lumpur mahu 'mencalarkan' malam perpisahannya itu, Safee tetap yakin bahawa Selangor memiliki kelebihan untuk meraih kemenangan.
"Memang saya akui Kuala Lumpur kini pada tahap terbaik selepas mereka seri 1-1 dengan Perak dan menewaskan Sabah 1-0.
"Tapi Selangor memiliki barisan pemain yang lebih berkualiti. Jadi tiada sebab untuk kami tewas kepada Kuala Lumpur, lebih-lebih lagi di gelanggang sendiri," jelas Safee.
Pemain kelahiran Kajang itu turut menyatakan bahawa dia akan melakukan penghormatan terakhir kepada para penyokong selepas perlawanan malam ini.
"Ini perlawanan terakhir saya bersama Selangor musim ini tetapi ia bukan perlawanan terakhir saya bersama Selangor. Saya akan tetap kembali suatu hari nanti," tambah Safee yang akan berlepas ke Jakarta, Indonesia pada Isnin ini.

The Red Warriors mahu memburu tiga mata


NORSHAHRUL (kanan) watak penting di jentera serangan Kelantan.

SELEPAS gagal mengambil kesempatan mengutip tiga mata penuh ketika melayan kunjungan Terengganu awal bulan lalu di laman sendiri, Kelantan tidak mahu episod kekecewaan tersebut berulang kembali.
Menanti kehadiran Johor FC di Kota Bharu malam ini, skuad kendalian Datuk M.Karathu sedar bahawa lawan mereka bukan calang-calang pasukan kerana Sang Lebah antara pasukan berstatus kelab yang berjaya dengan reputasi selaku semifinalis Piala Malaysia musim lalu.
Bagi Karathu, pertembungan malam ini amat penting buat pasukannya untuk mencari mata maksimum bagi mengekalkan kedudukan di kelompok tiga pasukan teratas liga selain memberikan hadiah kepada penyokong sendiri.
Menurutnya, biarpun musim 2011 baru bermula dan baru perlawanan ketiga, pasukannya perlu lebih konsisten dan fokus bagi memastikan mereka tidak keciciran mata ketika Kelantan kini mengidamkan lebih banyak trofi termasuk juara Liga Super.
“Memiliki pasukan yang lengkap adalah impian semua jurulatih dan saya bangga berada disini dan bersama pasukan ini yang sentiasa mempunyai semangat dan matlamat yang jelas. Namun, saya bimbang jika ada di antara mereka (pemain) mengambil mudah setiap perlawanan.
“Beraksi dan memenangi perlawanan bukan tugas yang senang.
Turun menentang Kelantan khususnya, pemain lawan pasti akan memberikan komitmen yang lebih sebab itu saya mahu pemain saya sentiasa berwaspada,” katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, tempoh rehat hampir 10 hari yang diberikan berjaya dimanfaatkan sepenuhnya apabila beliau sudah mengenal pasti kekuatan dan kelemahan setiap pemain dan memudahkan tugasnya untuk menyenaraikan kesebelasan utama pasukan Kelantan.
Jelasnya, hanya pemain yang benar-benar cergas serta mempamerkan aksi terbaik akan diturunkan menentang Johor FC sambil membayangkan akan berlaku rombakan pada bahagian serangan pasukannya.
“Kita akan melakukan rombakan pada bahagian tertentu terutama di bahagian hadapan dengan meletakkan seorang lagi penggempur untuk digandingkan bersama Norshahrul Idlan (Talaha) dan saya mempunyai tiga pilihan.
“Ketiga-tiga pemain ini mempunyai kelebihan masing-masing, Khalid (Jamlus) mempunyai pengalaman yang luas terutama ketika berada di dalam box (kotak penalti) manakala Ramzul (Zahini Adenan) dan Nizad (Ayub) memiliki kepantasan. Siapa saja yang saya senaraikan esok (hari ini) akan melakukan tugas dengan baik,” ujarnya.
Katanya, beliau berharap para pemainnya akan lebih fokus dan memberi komitmen sepenuhnya dalam usaha menghadiahkan kemenangan pertama di laman sendiri selain mengingatkan barisan pertahanannya supaya tidak terlalu ghairah membantu serangan sehingga menyebabkan kubu mereka di robek lawan.

Real sedia melabur untuk Fabregas


FABREGAS (kanan) masih berada dalam senarai buruan Real Madrid.


MADRID - Real Madrid kini bersedia untuk membelanjakan £50 juta (RM245 juta) bagi mendapatkan khidmat kapten Arsenal, Cesc Fabregas pada saingan liga musim depan.
Menurut laporan, Fabregas yang sebelum ini dikaitkan akan berhijrah ke Barcelona kini menjadi matlamat utama The Galaticos untuk membawanya masuk ke Santiago Bernabeu.
Sekiranya menjadi kenyataan, Real bakal melepaskan penyerang Perancis, Karim Benzema kepada Arsenal sebagai pertukaran.
Ternyata, nilai tawaran yang akan dibuat Real itu lebih lumayan jika dibandingkan dengan apa yang ditawarkan Barcelona bagi mendapat Fabregas awal saingan musim ini.
Sebelum ini, pengurus Arsenal, Arsene Wenger berjaya memenangi persaingan diantara kelabnya itu dengan Barcelona berhubung isu perpindahan peracang antarabangsa Sepanyol itu ke Nou Camp.
Bagaimanapun, ketika itu, Fabregas ada mengeluarkan kenyataan bahawa dia mahu meninggalkan The Gunners bagi kembali pangkuan kelab asalnya sewaktu remaja.
"Saya merupakan salah seorang penyokong Barcelona. Saya merupakan salah seorang daripada kelab tersebut sama seperti datuk saya, pak cik saya dan juga sepupu saya. Saya adalah Catalan," jelas Fabregas

City waspada ancaman United


VIEIRA (kanan) menjangkakan United akan tampil lebih bertenaga menentang City pada aksi di Old Trafford hari ini.


LONDON - Pemain tengah Manchester City, Patrick Vieira bimbang Manchester United akan tampil lebih bertenaga apabila menyambut kedatangan mereka di Old Trafford malam ini.
Menurut Vieira, kekalahan 1-2 United kepada Wolves minggu lalu pasti membuatkan barisan anak-anak buah Alex Ferguson itu begitu bersemangat untuk bangkit semula.
"Sudah tentu kami menjangkakan satu kebangkitan daripada United dan juga satu pertarungan sengit pada perlawanan ini.
"Kelab besar seperti United pasti akan menitikberatkan situasi yang mereka sudah tentu tidak mahu tewas dua perlawanan berturut-turut.
"Mereka seboleh-bolehnya mahu bangkit untuk kembali mencatat kemenangan dengan segera," kata Vieira.
Kata-kata pemain veteran dari Perancis itu turut disokong penolong pengurus City, David Platt yang menganggap United tidak akan sewenang-wenangnya membenarkan City meraih tiga mata penuh di laman sendiri mereka.
"Kami cuma boleh berharap untuk melakukan sesuatu untuk memenangi setiap perlawanan yang kami harungi ketika ini sehingga penghujung musim nanti.
"Ia memang satu tugas yang sukar tetapi kami akan memberi fokus satu demi satu perlawanan bermula dengan aksi di Old Trafford ini. Jika kami berjaya mencuri tiga mata, ia sesuatu yang baik," kata Platt.
City sudah tentu akan mengharapkan sentuhan bekas penyerang United, Carlos Tevez yang sudah meledak 18 gol musim ini, hanya kurang satu gol daripada penggempur utama United, Dimitar Berbatov