KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Sabtu, 22 Januari 2011

Logo baru Liga M dilancar Rabu



BAYANGAN logo baru Liga M yang akan dilancarkan Rabu ini.


REKA bentuk logo baru saingan bola sepak Liga Malaysia (Liga M) 2011 hanya akan didedahkan secara rasmi pada Rabu ini, tiga hari sebelum sepak mula Liga Super pada Sabtu depan.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa yang juga Pengerusi Malaysia Super League Sdn. Bhd. (MSL) berkata, pelancaran logo itu akan dibuat ketika sesi taklimat pasukan berlangsung, Rabu ini.
"Pada 26 Januari ini (Rabu) kita akan adakan satu perjumpaan dengan wakil semua pasukan bertanding dalam Liga Super dan Liga Perdana untuk sesi taklimat berhubung peraturan dan perjalanan Liga M musim ini.
"Logo baru Liga Super dan Liga Perdana juga akan kita perkenalkan pada hari tersebut. Saya rasa masih sempat untuk setiap pasukan tampal terus patch logo tersebut di jersi masing-masing," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Ditanya tentang beberapa contoh reka bentuk dikatakan logo baru Liga M 2011 yang tersebar di laman sosial Facebook dan laman web kelab-kelab penyokong bola sepak tempatan sejak beberapa minggu lalu, Annuar berkata, ia merupakan antara reka bentuk cadangan.
"Memang ia merupakan antara sample logo untuk kita muktamadkan. Kita juga melihat reaksi dan komen peminat tentang logo-logo tersebut. Apa pun logo rasmi yang dipilih akan didedahkan Rabu ini.
"Tentang siapa pula title sponsor untuk Liga M 2011, itu terpulang kepada Astro untuk mengumumkannya," jelas Annuar.
Astro menjadi rakan penaja baru Liga M selama empat musim dari 2011 hingga 2014 menggantikan Telekom Malaysia Berhad (TM), penaja utama Liga M selama tujuh musim dari 2004 hingga 2010.
Bagaimanapun kontrak FAM bersama TM hanya akan berakhir pada Rabu ini dan atas sebab itulah FAM hanya boleh mengumumkan title sponsor baru selepas tarikh tersebut.
Saingan Liga Super bermula 29 Januari ini dengan tujuh perlawanan menyaksikan Selangor bertemu Kelantan di Shah Alam, Terengganu bertemu Sabah, Kuala Lumpur bertemu Perak, Johor FC bertemu Felda United, Kedah bertemu T-Team, Negeri Sembilan bertemu Harimau Muda A dan Pahang bertemu Perlis.
Liga Perdana pula bermula 31 Januari membabitkan lima perlawanan iaitu USM bertemu PDRM, ATM bertemu MP Muar, PKNS bertemu Sime Darby, Johor bertemu Pos Malaysia dan Pulau Pinang bertemu Sarawak manakala aksi Harimau Muda B bertemu SDM Navy berlangsung sehari selepas itu.

Liverpool kemaruk cari kemenangan

LIVERPOOL - Kenny Dalglish (gambar) tidak kisah sekiranya Liverpool gagal beraksi cantik ketika berdepan Wolves malam ini asalkan skuad bimbingannya itu berjaya mengutip tiga mata penuh.

Pengurus baru Liverpool itu begitu dahagakan kemenangan demi menamatkan badi kekecewaan sejak mengambil alih pasukan tersebut awal bulan ini.
Liverpool kini berada di tangga ke-13 liga dan hanya empat mata dipisahkan daripada zon penyingkiran.
"Memang kemenangan cukup penting. Biarlah kami beraksi teruk dan hanya menang 1-0 tetapi bagi saya, ia tetap satu keputusan yang baik buat semua di kelab ini.
"Jika para pemain terus melakukan tugas yang sepatutnya mereka lakukan, kejayaan pasti akan datang," kata Dalglish.
Wolves pernah mengejutkan Liverpool menerusi kemenangan tipis 1-0 di Anfield bulan lalu yang menjadi titik tolak kepada pemecatan Roy Hodgson sebagai pengurus kelab itu.
Liverpool kini semakin hampir untuk mendapatkan khidmat penyerang Uruguay, Luis Suarez daripada Ajax manakala bekas pertahanan kiri mereka yang kini beraksi bersama Aston Villa, Stephen Warnock turut sedang diintai.
Dalglish dijangka terus mempertaruhkan skuad yang seri 2-2 dengan Everton minggu lalu selepas Jamie Carragher masih belum pulih daripada kecederaan bahu.
Sementara itu, Wolves yang dibimbing Mick McCarthy kini menduduki tangga kedua tercorot liga bakal mempertaruhkan pemain baru dari Barnsley, Adam Hammill yang pernah memulakan karier di Liverpool.
"Wolves sebuah kelab yang baik dan saya gembira kerana diberi peluang untuk mencuba nasib dalam saingan Liga Perdana England.
"Saya suka mencuba sesuatu yang baru dan saya kini sudah pun menjaringkan lapan gol musim ini sepanjang bersama Barnsley dalam saingan Liga Kejuaraan," kata Hammill.

City waspada kelibat Bent




MANCHESTER - Pengurus Manchester City, Roberto Mancini memberi amaran kepada anak-anak buahnya bahawa kehadiran Darren Bent (gambar) bakal memberikan semangat baru buat Aston Villa pada pertembungan awal pagi esok.
City di tangga kedua ketika ini bertandang ke Villa Park untuk berdepan skuad bimbingan Gerard Houllier yang kini terperosok di tangga ke-17 liga.
Namun Villa mendapat nafas baru selepas Houllier berjaya membeli Bent daripada Sunderland awal minggu lalu.
"Bent seorang penyerang yang hebat. Dia telah banyak menjaringkan gol. Pasti dengan kehadirannya, Villa bakal meningkat persembahan mereka.
"Bent telah menjaringkan purata satu gol setiap dua perlawanan. Jadi dia seorang yang berbahaya," kata Mancini.
Pengurus City itu turut mengulas mengenai pergolakan yang berlaku di Villa tetap masih beranggapan Houiller, bekas pengurus Liverpool mampu mengubah nasib kelab itu.
"Mereka telah menukar pengurus. Jadi ia pasti bermula dengan sukar. Tapi Houllier memiliki pengalaman yang mampu dimanfaatkan pasukan tersebut.
"Villa sama seperti Liverpool. Mereka cuma sedang menghadapi tempoh sukar pada ketika ini," jelasnya.
Pada aksi awal pagi esok, Mancini tidak dapat menurunkan Mario Balotelli setelah penyerang Itali itu terbang ke Amerika Syarikat untuk merawat kecederaan lututnya.
Sementara itu, Bent berkata, dia memiliki memori indah apabila menjaringkan gol kemenangan Sunderland ketika bertemu City awal musim ini dan berhajat mengulanginya bersama pasukan baru.
"Saya berjaya menewaskan Joe Hart menerusi sepakan penalti ketika Sunderland menang perlawanan itu. Jadi bersama pasukan baru ini, saya begitu teruja untuk mencatat permulaan yang baik," kata Bent.