KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Khamis, 10 Mac 2011

Carroll senjata rahsia Liverpool



CARROLL dianggap sebagai penggempur baru di Anfield.


LONDON - Bintang baru Liverpool, Andy Carroll bakal diturunkan pada pertemuan menentang Braga pada pusingan ketiga saingan Liga Europa di Stadium AXA awal pagi esok.
Sebelum ini, Carroll sempat beraksi pada lewat babak kedua ketika skuad The Reds menewaskan Manchester United 3-1 pada saingan Liga Perdana England di Anfield, Ahad lalu.
Pengurus Liverpool, Kenny Dalglish masih belum membuat keputusan untuk menurunkan Carroll ataupun sebaliknya pada pertemuan menentang kelab Portugal itu.
Bagaimanapun, ramai yang menganggap perlawanan tersebut bakal menjadi aksi sulung buat penyerang England itu untuk diturunkan dalam kesebelasan utama skuad The Reds musim ini.
Sebelum ini, Dalglish mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak mahu mengambil sebarang risiko dengan menurunkan Carroll sehingga pemain itu pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami.
Untuk rekod, Carroll terpaksa diketepikan sejak dia masih bersama Newcastle United kerana mengalami kecederaan betis pada November tahun lalu.
Carroll dibeli daripada Newcastle dengan yuran perpindahan bernilai £35 juta (RM171.863 juta) pada Januari lalu

Barcelona kecewakan Arsenal



VAN PERSIE (kiri) dilayangkan kad merah pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Nou Camp awal pagi semalam.


BARCELONA - Buat tahun kedua berturut-turut, Barcelona mengecewakan Arsenal pada aksi Liga Juara-Juara.
Selepas menyingkirkan Arsenal pada saingan suku akhir tahun lalu, Barcelona sekali lagi menewaskan skuad The Gunners pada kejohanan paling berprestij di Eropah ini.
Awal pagi semalam, bintang sensasi Argentina, Lionel Messi meledak dua gol untuk membantu Barcelona menewaskan Arsenal 3-1 pada aksi kedua pusingan kedua.
Skuad The Catalan itu melangkah ke suku akhir dengan agregat 4-3 selepas tewas 1-2 pada aksi pertama di Stadium Emirates pada 17 Februari lalu.
Pada aksi di Stadium Nou Camp itu, Messi meletakkan Barca di depan pada minit ke-45 sebelum rakan sepasukan, Sergio Busquets menjaringkan gol sendiri minit ke-59 untuk mengikat kedudukan 1-1.
Begitupun, perancang Sepanyol, Xavi kembali meletakkan Barcelona di depan hasil jaringan pada minit ke-69 sebelum Messi melengkapkan kemenangan pasukan itu hasil sepakan penalti yang diperoleh dua minit kemudian.
"Untuk bercakap sama ada ia adalah gol terbaik yang dijaringkan Messi, bagi saya itu tidak ada gunanya," kata jurulatih Barcelona, Pep Guardiola.
"Ini kerana, setiap gol yang dijaringkan Messi merupakan jaringan yang hebat dan kini ia sudah menjadi perkara biasa buat pemain itu."
Bagaimanapun, penyerang Arsenal, Robin van Persie berang dengan pengadil perlawanan, Massimo Busacca yang melayangkan kad merah kepadanya.
Penyerang Belanda ini dituduh cuba melambat-lambatkan permainan apabila tetap menendang bola meskipun Busacca telah meniup wisel kerana ofsaid.
Begitupun, rayuan Van Persie tidak diendahkan oleh Busacca.
"Saya tidak faham apa yang difikirkan oleh pengadil dalam situasi tersebut.
"Ia merupakan hari paling buruk buat kami (Arsenal). Saya tidak tahu mengapa dia (Busacca) berada di sini hari ini (awal pagi semalam). Kami terasa seperti dianiaya," kata Van Persie