KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Isnin, 24 Januari 2011

'Pengalaman jadi kelebihan United'

'Pengalaman jadi kelebihan United'

BERBATOV meledak hatrik untuk membantu United membelasah Birmingham 5-0.


MANCHESTER – Alex Ferguson yakin pengalaman Manchester United mampu meletakkan pasukan bimbingannya itu untuk terus menerajui Liga Perdana England setelah mereka berjaya meneruskan rekod tanpa kalah.
Pada aksi malam kelmarin, United mudah membelasah Birmingham 5-0 hasil jaringan hatrik Dimitar Berbatov serta masing-masing satu gol daripada Ryan Giggs dan Nani.
United seterusnya akan bertemu Blackpool awal pagi Rabu ini.
“Kemenangan besar ke atas Birmingham ini membantu kami menambah jumlah perbezaan gol dalam kedudukan liga.
“Tapi sudah pasti kami akan berdepan beberapa perlawanan sukar selepas ini. Harap pemain dapat menanganinya kerana mereka memiliki pengalaman luas.
“Saya gembira dengan persembahan mereka pada perlawanan ini. Kami berjaya menghasilkan gol awal dan selepas selesa mendahului, saya dapat merehatkan beberapa pemain utama,” kata Ferguson.
Giggs, 37, berjaya menarik perhatian Ferguson apabila menyumbang satu gol malam kelmarin selepas menyatakan hasrat untuk beraksi semusim lagi bersama United.
“Saya yakin Giggs masih mampu beraksi lagi musim depan. Dia masih segar dan mampu meletakkan dirinya di landasan yang betul,” kata Ferguson.
Apa pun, hero sebenar United pada aksi malam kelmarin pastinya Berbatov yang kini sudah menjaringkan 18 gol.

Happy penaja utama Kelantan


ANNUAR (kanan) diperkenalkan kepada pemain Kelantan pada majlis menandatangani tajaan di Kota Bharu semalam.


KELANTAN melengkapkan persiapan untuk mengharungi Liga Super musim 2011 dengan mengumumkan penaja-penaja yang akan bersama pasukan itu dengan syarikat jenama prabayar Happy sebagai rakan kongsi dan penaja utama dengan tajaan bernilai jutaan ringgit.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa memberitahu, selain Happy, enam lagi penaja, Al-Hamra Group, TRW Station, Umbro, Al-Jabbar, Sinar Harian dan Yusmira Trading turut bersama-sama memberikan sumbangan dalam usaha mengukuhkan lagi dana The Red Warriors.
Menurutnya, dengan adanya penajaan ini terutama beberapa syarikat yang dipelopori anak jati Kelantan ini mampu menaikkan semangat pasukan Kelantan yang pastinya berdepan cabaran hebat untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi sebelum ini.
"Saya tidak bercadang untuk mendedahkan jumlah keseluruhan penajaan ini tetapi ia cukup memberi suntikan baru kepada KAFA dan pasukan Kelantan yang pastinya berdepan cabaran hebat untuk musim baru bola sepak tempatan.
"Happy bukan sekadar penaja utama untuk pasukan Liga Super Kelantan tetapi sebagai rakan kongsi dalam program pembangunan akar umbi bola sepak Kelantan dengan penubuhan pusat, klinik dan karnival bola sepak serta liga bawah umur," katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani dokumen penajaan oleh semua penaja selain memperkenalkan jersi Kelantan untuk musim 2011 bersama logo penaja di Pusat Dagangan Kelantan, Kota Bharu semalam.