KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Jumaat, 28 Januari 2011

Karathu kembali ke Kelantan

KARATHU (dua dari kiri) pernah menjadi jurulatih Perak pada tahun 1990 sekali gus membawa skuad tersebut menjuarai Piala FA.


IBARAT sirih pulang ke gagang. Itulah peribahasa yang sesuai buat ketua jurulatih bola sepak Kelantan yang baru, Datuk M. Karathu yang pernah membimbing skuad Kelantan pada tahun 1993.
Menurutnya, kembali melatih Kelantan merupakan sesuatu yang cukup mengembirakannya selepas hampir 18 tahun meninggal pasukan tersebut.
"Saya gembira dapat kembali semula melatih Kelantan, terima kasih kepada pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) terutama Tan Sri Annuar Musa kerana masih lagi mempercayai kemampuan saya untuk membimbing pasukan musim ini.
“Walaupun sudah lama meninggalkan Kelantan, namun sebaik sahaja kembali semula ke sini, saya masih lagi terasa bahang membimbing pasukan sewaktu tahun 1993 dulu," katanya ketika ditemui semalam.
Tambahnya, Kelantan merupakan pasukan yang diminatinya sejak tahun 1993 sewaktu beliau menjadi jurulatih.
“Pasukan Kelantan sama seperti pasukan Brazil yang mempunyai keghairahan yang memuncak dalam bola sepak selain turut mempunyai pemain yang berbakat.
"Walaupun saya tidak tahu banyak mengenai pemain pasukan ini dan perlu mengambil sedikit masa, namun itu bukan masalah besar bagi saya untuk mengendalikan pasukan,” ujarnya.
Karathu sebelum ini berjaya membimbing pasukan Perak menjulang Piala FA pada tahun 1990 selain membawa Kelantan melangkah ke perlawanan separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia pada tahun 1993.
Selain itu, beliau juga mempunyai pengalaman luas di peringkat antarabangsa iaitu menjadi ketua jurulatih pasukan Sri Lanka, kelab Woodlands Wellington FC (Singapura) dan pernah membimbing skuad Negeri Sembilan.
Karathu memberitahu, beliau akan mendapatkan maklum balas daripada bekas jurulatih, B. Sathianathan selain dua pembantunya iaitu Hashim Mustapha dan Sidek Samsudin bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pasukan ini.
“Saya kena mengambil sedikit masa untuk mengenal pasti kelemahan pasukan kerana jadual perlawanan cukup padat dan termasuk juga bagaimana corak taktikal yang akan saya gunakan.
"Sasaran saya untuk musim ini ialah memastikan Kelantan berada di tiga kelompok yang terbaik selain memburu dan mengekalkan kejuaraan yang dimenangi pada tahun lepas," ujarnya.
Mengulas mengenai perlawanan pembukaan tirai menentang Selangor bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Shah Alam esok, Karathu menganggap perlawanan tersebut merupakan ujian pertama buatnya.
"Ini ujian pertama saya. Saya belum tahu keadaan fizikal pasukan dan difahamkan Kelantan mengalami banyak kekalahan sepanjang perlawanan persahabatan, ini adalah sebahagian daripada proses membentuk sebuah pasukan baru ke arah yang lebih mantap.
“Untuk itu, saya menuntut disiplin yang tinggi daripada semua pemain. Mereka juga perlu menunjukkan karakter serta kebolehan yang tinggi apabila bersama pasukan ini kerana kita akan bermain dalam satu liga yang kompetetif bermula Sabtu ini,” katanya.
Karathu mengikat kontrak sebagai pengendali Kelantan untuk tempoh setahun bermula semalam.

Liverpool mula menyengat

LIVERPOOL - Pengurus Liverpool, Kenny Dalglish berjaya meletakkan pasukan itu menduduki tangga ketujuh Liga Perdana England selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Fulham awal pagi semalam.
Jaringan sendiri John Pantsil pada minit ke-52 pada aksi di Anfield itu membolehkan Liverpool berada pada kedudukan terbaik mereka sepanjang musim ini.
"Ini merupakan salah satu perlawanan yang saya akui bahawa nasib sedikit menyebelahi pasukan kami. Apa pun kami gembira kerana berjaya naik ke tangga ketujuh.
"Para pemain telah mengharungi empat atau lima perlawanan yang cukup sukar ketika ini dan kami ternyata amat berpuas hati dengan tiga lagi mata yang berjaya dikutip ini.
"Tapi saya berasakan yang kami mampu melakukan lebih baik daripada ini. Kami akan teruskan usaha untuk meningkatkan prestasi pasukan pada perlawanan akan datang," katanya.
Dalglish turut mengakui Fulham telah memberi tentangan yang cukup sengit dan wajar untuk pasukan pelawat itu berasakan mereka mampu mencuri sekurang-kurangnya satu mata.
"Tapi kami juga pernah mengalami keadaan seumpama itu. Banyak perlawanan yang kami rasa layak untuk menang tetapi kami gagal.
"Apa pun kami telah menunjukkan usaha yang gigih serta semangat tidak berputus asa. Pujian wajar diberikan kepada para pemain Liverpool," jelasnya.
Sementara itu, pengurus Fulham, Mark Hughes berkata: Kami jangka dapat mendominasi perlawanan. Tapi kami membiarkan Liverpool menguasai permainan dan ia satu keputusan yang mengecewakan." - Agensi

Safee buru hadiah hari lahir

SAFEE (kanan) mencari hadiah hari lahir.


PENYERANG Selangor, Mohd. Safee Mohd. Sali mahu menjadikan sambutan hari lahirnya yang ke-27 esok lebih bermakna dengan menjulang trofi Piala Sultan Ahmad Shah untuk musim ketiga berturut-turut, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.
Secara kebetulan aksi sumbangsih yang juga perlawanan sulung Liga Super 2011 di antara Selangor dengan Kelantan di Stadium Shah Alam itu jatuh pada tarikh yang sama dengan hari lahir Safee.
Selain itu, Safee turut meledak satu gol pada kedua-dua aksi sumbangsih sebelum ini iaitu ketika Selangor menewaskan Kedah 4-1 di Alor Setar pada 2009 dan menewaskan Negeri Sembilan 2-1 di Paroi pada 2010.
Bagi Safee, dia mahu mengekalkan rekod tersebut selain rentak jaringan ketika Piala Suzuki AFF 2010 bulan lalu apabila turun bertemu Kelantan malam esok.
"Apabila menyambut hari lahir, mestilah seseorang itu mahu menyambutnya dengan kegembiraan. Jadi saya pun mahu menjadikan sambutan kali ini lebih bermakna dengan sekali lagi menjulang Piala Sultan Ahmad Shah.
"Saya juga bertekad meneruskan rekod jaringan saya pada dua aksi sumbangsih sebelum ini dengan meletakkan sasaran untuk menjaringkan satu atau dua gol pada Sabtu ini (esok)," kata Safee ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Biarpun kesuntukan masa untuk membentuk keserasian bersama pemain-pemain baru musim ini kerana tugasan Piala Suzuki AFF, Safee yakin gandingannya bersama Fadzli Saari musim ini mampu menggegar.
"Memang masa cukup singkat. Tapi sepanjang latihan kami bekerja keras dan akhirnya persefahaman itu sudah menampakkan keserasian," katanya.