KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Khamis, 14 Oktober 2010

FAS, KAFA berdepan tindakan


INSIDEN yang dianggap keterlaluan ini berlaku di Stadium Shah Alam ketika aksi antara Kelantan dan Selangor kelmarin.


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) kini hanya menunggu laporan penuh daripada pegawai perlawanan sebelum mempertimbangkan untuk mengheret Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) ke Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, kedua-dua persatuan negeri itu boleh diambil tindakan berhubung insiden pergaduhan dan kekecohan yang ditimbulkan penyokong masing-masing pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam kelmarin.

"Kita (FAM) mempunyai peruntukan tertentu untuk mengambil tindakan ke atas pihak-pihak yang terlibat ini mengikut bidang kuasa FAM.

"Selepas mendapat dan mengumpul semua maklumat lengkap, kita akan pertimbangkan sama ada kes ini akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM atau sebaliknya," katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Namun Azzuddin menafikan bahawa kurangnya kawalan keselamatan pada perlawanan tersebut menjadi punca penyokong Selangor dan Kelantan 'bertempur' sama ada di dalam mahu pun di luar stadium.

"Mesyuarat pengurus pasukan sehari sebelum perlawanan telah berpuas hati dengan aspek keselamatan yang disediakan pihak tuan rumah.

"Tapi itulah, walau berapa ribu penyokong yang hadir sekali pun, jika pergaduhan itu nak berlaku, ia tetap akan berlaku dan ia sudah menjadi asam garam. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan penyokong Kelantan dan Selangor.

"KAFA dan FAS telah berulang kali menasihatkan penyokong mereka tetapi kekecohan tetap berlaku berpunca daripada tindak tanduk segelintir penyokong ini," jelas Azzuddin.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, hanya seorang penyokong Kelantan yang meninggal dunia akibat sesak nafas sambil menafikan terdapat seorang lagi yang mati akibat bergaduh.

"Saya sendiri berada di hospital sehingga pukul 3 pagi tadi (semalam) dan penyokong tersebut (Che Karma Sulaiman, 39) berasal dari Bachok tetapi bekerja di sini mati akibat sesak nafas dan bukannya disebabkan pergaduhan.

"Pihak FAS bersetuju memberikan RM3,000 kepada keluarga mangsa sebagai sumbangan ikhlas untuk urusan pengkebumiannya. Cuma saya harap semua penyokong lebih berdisiplin pada masa akan datang untuk mengelak insiden pergaduhan berulang," kata Hamidin pada sidang media sama.

Tentang isu mercun di stadium, Hamidin yang juga Setiausaha Agung FAS berkata: "Memang kita buat sekatan di pintu masuk. Tapi masalah stadium di Malaysia yang kelilingnya terbuka memudahkan mereka menyeludup masuk juga mercun. Kita akan fikirkan mekanisme terbaik bagi mengatasinya.

Aksi Itali, Serbia diberhentikan


INSIDEN membaling mercun ke dalam padang permainan memaksa perlawanan antara Itali dengan Serbia diberhentikan.


GENOA, Itali - Aksi kelayakan EURO 2012 di antara Itali dan Serbia terpaksa diberhentikan hanya selepas tujuh minit berlangsung awal pagi semalam.

Ia berikutan tindakan penyokong Serbia membaling objek keras dan mercun ke arah padang, membakar bendera dan memecahkan penghadang sekali gus menampakkan seperti protes itu telah dirancang.

Terdahulu, para penyokong Serbia turut bertempur dengan pihak polis dan tindakan mereka juga menyebabkan perlawanan terpaksa dilewatkan 45 minit sehinggalah pengadil, Craig Thomson menghentikan terus perlawanan pada minit ketujuh.

Dengan keputusan itu, Itali dihadiahkan kemenangan percuma 3-0 berikutan kesalahan yang dilakukan penyokong pasukan lawan.

"Pengadil berasakan keselamatan pemain tidak dapat dijamin. Jadi kini terserah kepada pihak UEFA untuk menentukan tindakan mengikut prosedur disiplin," kata Setiausaha Agung Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC), Antonello Valentini.

Sementara itu, jurucakap Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Rob Faulkner menjelaskan, apabila sesuatu perlawanan itu terganggu akibat alasan keselamatan, prosedur biasa diamalkan ialah menggunakan laporan pengadil dan perlawanan perlawanan sebelum sesuatu kes itu dibawa ke jawatankuasa tatatertib.

Rusuhan penyokong terus berlaku di luar Stadium Luigi Ferraris untuk tempoh beberapa jam selepas pembatalan perlawanan itu diumumkan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Serbia, Tomislav Karadzic berkata, protes tersebut dijangka akan diadakan semula di Belgrade selepas ini.

"Ia merupakan serangan ke atas negara dan negara perlu menyelesaikan masalah ini," katanya.

Kritikan terhadap skuad Serbia semakin meningkat selepas mereka tewas 1-3 kepada Estonia pada aksi di tempat sendiri pada awal pagi Sabtu lalu

Persatuan Bolasepak Selangor mula mencipta alasan

Situasi inilah yang mula menjadi tanda tanya dikalangan peminat bolasepak Kelantan apabila Persatuan Bolasepak Selangor mula mencipta alasan bagi menutup kelemahan kawalan keselamatan dan pengurusan stadium mereka. Dalam laporan berita RTM 1 tengah malam tadi, pihak pasukan FAS sedang menimbang untuk tidak akan beraksi di Kota Bharu atau sebaliknya.