KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Khamis, 28 Oktober 2010

Anjing pengesan 'jaga' pintu masuk stadium


PIHAK polis akan menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) di semua pintu masuk Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memastikan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dengan Negeri Sembilan Sabtu ini berjalan lancar.
Langkah tersebut adalah wajar untuk memastikan penyokong kedua-dua pasukan tidak membawa masuk barang larangan seperti bahan letupan termasuk mercun dan bunga api serta senjata tajam yang dikhuatiri boleh mencetuskan pergaduhan.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Khalid Abu Bakar (gambar) berkata, selain khidmat anjing pengesan, penyokong kedua-dua pasukan juga perlu menjalani pemeriksaan badan sebelum memasuki stadium.
“Polis telah bersiap sedia sepenuhnya terhadap mereka yang mahu mengambil kesempatan untuk membuat kecoh pada perlawanan itu kelak.
“Jangan cuba menyeludup masuk barang-barang larangan seperti mercun, bunga api. Malah minuman di dalam botol pun kita tidak benarkan dijual di stadium,” katanya di Bukit Aman, semalam.
Menurut Khalid, sebagai langkah berjaga-jaga pihaknya turut melarang penjualan minuman di dalam botol sebaliknya minuman tersebut dijual menggunakan cawan plastik dan tanpa ais.
Jelas beliau, pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang cuba dan didapati menyeludup barang larangan ke dalam stadium.
Selain PDRM, pihak berkuasa lain yang terlibat ialah Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).
Khalid juga berharap agar penyokong kedua-dua pasukan dapat datang awal ke stadium selain menggunakan kenderaan awam bagi mengelak kesesakan.

Mourinho lega Real ikat Murcia


BENZEMA (kiri) masih gagal beraksi dengan cemerlang bersama Real sejak berpindah dari Lyon musim lalu.


MADRID - Real Madrid sekadar seri tanpa jaringan dengan kelab divisyen tiga, Real Murcia pada aksi pertama pusingan keempat Piala Raja Sepanyol kelmarin.
Begitupun, keputusan itu sudah cukup untuk mengelak kelab gergasi Sepanyol itu daripada mencatat kekalahan yang memalukan selepas tewas kepada Alcorcon musim lalu.
"Saya gembira dengan pasukan ini," kata pengurus Real, Jose Mourinho.
"Mereka bermain dengan penuh semangat dan mahu memenangi perlawanan itu.
"Kritikan yang saya lakukan dituju kepada pemain yang tidak bekerja keras tetapi ia tidak berlaku pada perlawanan ini.
"Saya gembira dengan pasukan ini meskipun tidak berpuas hati dengan keputusan ini kerana saya seringkali mahukan kemenangan."
Pada perlawanan itu, penyerang antarabangsa Perancis, Karim Benzema gagal beraksi cemerlang.
Sebelum ini, laporan akhbar di Sepanyol mendedahkan, perlawanan itu dianggap sebagai peluang terakhir Benzema untuk kembali memikat hati Mourinho.
Benzema yang gagal beraksi cemerlang di Real sejak berpindah dari Lyon musim lalu, diberi tugas untuk menggantikan tempat Gonzalo Higuain.
Real yang kali terakhir memenangi trofi ini pada tahun 1993 memperoleh peluang terbaik untuk menjaringkan gol pada minit ke-31 tetapi rembatan kencang Esteban Granero terkena palang gol.
Dalam satu lagi perlawanan, Barcelona menang 2-0 ke atas Ceuta hasil jaringan pemain Scherer Andrade Maxwell dan Pedro (ke-25).
Begitupun Barca terpaksa membayar dengan harga yang tinggi untuk kemenangan itu apabila penyerang kelahiran Paraguay, Jeffren Suarez telah dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan bahu kiri.

Hernandez selamatkan United


HERNANDEZ menjaringkan gol kemenangan United ketika mereka menewaskan Wolves 3-2 kelmarin.


LONDON - Javier Hernandez meledakkan gol kemenangan pada minit-minit terakhir untuk membantu juara bertahan, Manchester United menempah slot ke suku akhir Piala Liga kelmarin.
Pada perlawanan di Old Trafford itu, United menang tipis 3-2 ke atas Wolverhampton Wanderers pada aksi pusingan keempat.
Hernandez yang lebih dikenali sebagai Chicharito menjaringkan kedua-dua gol ketika United mencatat kemenangan dramatik ke atas Stoke City pada Sabtu lalu, sekali lagi menjadi penyelamat skuadThe Reds.
Meskipun masuk sebagai pemain gantian ketika perlawanan berbaki sembilan minit, penyerang kelahiran Mexico ini masih mampu untuk mempamerkan kehebatannya.
Penyerang berusia 22 tahun itu berjaya mengkucar-kacirkan benteng pertahanan lawan sebelum menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90.
Pengurus United, Alex Ferguson memuji persembahan Hernandez selepas membantu kelab gergasi England itu untuk memenangi gelaran Piala Liga buat kali ketiga berturut-turut.
"Kami cuba untuk melahirkan hero secepat yang mungkin di sini (United) tetapi dia (Hernandez) wajar untuk menerima pujian buat masa ini," kata Ferguson.
"Dia seorang pemain profesional yang hebat.
"Dia pemain pertama yang hadir ke lokasi latihan dan pemain terakhir yang meninggalkan tempat itu setiap hari. Jaringan yang dilakukan itu telah memberi banyak pujian.
"Apabila dia memasuki padang, kamu hanya perlu lihat sekiranya dia memperoleh peluang, dia tidak akan mempersia-siakannya.
Sebelum itu, United memperoleh dua gol masing-masing satu menerusi Bebe dan Park Ji-Sung manakala gol Wolves hasil jaringan George Elokobi serta Kevin Foley

Hadiah untuk Sultan Kelantan


SATHIANATHAN (kiri) ketika mengendalikan sesi latihan skuad Kelantan di Kota Bharu semalam sebagi persiapan menghadapi final menentang Negeri Sembilan, Sabtu ini.


HADIAH untuk Sultan Muhammad Ke-V. Itulah yang diluahkan oleh ketua jurulatih Kelantan, B.Sathianthan yang mahu semua pemainnya beraksi cemerlang merampas Piala Malaysia daripada Negeri Sembilan untuk dihadiahkan kepada Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V yang baru ditabalkan.
Menurutnya, peluang beraksi pada final kali ini perlu digunakan sebaik mungkin untuk memastikan mereka muncul juara dan membawa pulang piala paling berprestij ke Kota Bharu.
"Seluruh rakyat Kelantan gembira apabila menerima Sultan baru dan saya rasa kegembiraan tersebut mungkin lebih bermakna jika pasukan mereka mampu membawa pulang Piala Malaysia ke Kota Bharu.
"Saya dan semua pemain berjanji akan memberikan yang terbaik supaya impian tersebut akan menjadi kenyataan dan kejayaan itu kita akan hadiahkan kepada Tuanku Sultan yang memayungi seluruh rakyat Kelantan," katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, segala persiapan berjalan dengan lancar dan semua barisan pemain sudah pun bersedia untuk turun beraksi pada perlawanan akhir itu nanti.
Jelasnya, semua pemainnya kini bebas daripada masalah penggantungan dan kecederaan kecuali tiga pemain iaitu Azizi Mat Rose dan S. Subramaniam untuk posisi pertahananan yang hampir pasti tidak dapat diturunkan.
"Kita sedang memantau perkembangan Akmal (Rizal Rakhli) yang masih belum pulih dan cergas sepenuhnya daripada kecederaan. Saya harap beliau akan pulih dalam masa terdekat ini dan dapat diturunkan pada final kelak.
"Jika ketiga-tiga mereka tidak dapat diturunkan sekali pun, ia tidak merencatkan persiapan pasukan kerana saya masih ada pemain lain yang standard mereka tetap sama dan mampu beraksi baik," ujarnya.
Katanya, beliau mengharapkan para pemainnya fokus ketika aksi di padang, berdisiplin selain sentiasa yakin pada diri sendiri bagi memastikan mereka tidak mudah patah semangat.
"Untuk perlawanan Sabtu ini, saya harap pemain yang akan diturunkan memberikan tumpuan sepenuhnya sepanjang perlawanan, jangan gugup dan sentiasa ingat bahawa kita adalah pasukan yang hebat, jadi kena beraksi sebagai pasukan yang hebat.
"Jangan jadi macam tahun lepas, selepas kena satu jaringan kita hilang fokus dan tidak bermain dengan baik. Pengalaman lalu harus dijadikan pengajaran berguna buat kita untuk perlawanan Sabtu ini," jelasnya.

Rabu, 27 Oktober 2010

Arsenal makin membara


FABREGAS berazam membantu Arsenal meneruskan rentak kemenangan, sekali gus merampas takhta selaku pendahulu liga daripada Chelsea.


LONDON – Kapten Arsenal, Cesc Fabregas menganggap kemenangan 3-0 ke atas Manchester City dalam saingan Liga Perdana England Ahad lalu tidak berguna andai mereka gagal merapatkan jurang mata dengan pendahulu, Chelsea.
Skuad kendalian Arsene Wenger itu kini melonjak ke tangga kedua liga biarpun terpaksa berkongsi 17 mata dengan Manchester United yang menghuni tangga ketiga.
Justeru, Fabregas mahu rakan-rakan sepasukannya meneruskan rentak kecemerlangan tersebut sambil mengintai peluang bagi merampas kedudukan selaku pendahulu daripada Chelsea.
“Kemenangan ke atas City baru satu perlawanan dan masih banyak lagi perlawanan yang perlu diharungi.
“Masa untuk mengatakan sama ada kami bertambah matang atau lebih baik daripada sebelum ini hanya boleh dibincangkan pada penghujung musim nanti.
“Dalam bola sepak, kamu akan tahu apa yang bakal orang ramai perkatakan jika kamu menang dan begitu juga sebaliknya.
“Apa yang lebih penting, kamu perlu terus fokus terhadap apa yang kamu lakukan baik semasa latihan mahupun dalam perlawanan. Berjuanglah atas nama pasukan,” jelas Fabregas.
Sementara itu, penjaga gol Arsenal, Lukasz Fabian- ski berkata, kemenangan ke atas City membuktikan The Gunners masih berbisa.
Sebelum ini, Arsenal dilabel sebagai budak belasa- han apabila bertemu pasukan hebat seperti Manches- ter United mahupun Chelsea.
Namun, Fabianski percaya mereka telah menunjuk- kan potensi sebenar dengan meledak tiga gol pada pertemuan di Eastlands Ahad lalu, sekali gus melon- jak ke tangga kedua liga.
“Saya masih ada keyakinan yang tinggi dalam pasukan ini tetapi apa yang penting ialah keupayaan kami untuk memenangi perlawanan penting seperti ini,” kata Fabianski.
“Ia kemenangan penting bagi kami kerana sebelum ini kami berada di belakang City dalam liga. Sekarang kami di tempat kedua dan mengekori pendahulu, Chelsea

Penyokong kecoh harga tiket naik




MAHAL, zalim dan cekik darah. Itu antara rungutan peminat setia pasukan The Red Warriors yang menyelar tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menaikkan harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dengan Negeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.
Tahun lepas, kedua-dua pasukan juga pernah bertembung di pentas akhir merebut piala berprestij tanah air itu yang mana kehadiran penyokong mencatat sejarah paling ramai pernah dihimpunkan dalam satu perlawanan bola sepak tempatan.
Ketika itu tiket dijual dengan harga RM20 dan secara tiba-tiba, musim ini FAM menaikkan harga tiket kepada RM30 sehingga menimbulkan kemarahan seluruh peminat bola sepak Kelantan yang merasakan harga tersebut adalah terlalu tinggi.
Timbalan Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Klate.Net), Nik Mohd. Sallehuddin Nik Abdul Razak berkata, tindakan tersebut dilihat satu lagi usaha FAM untuk menjatuhkan masa depan bola sepak Kelantan.
Menurutnya, selepas pelbagai usaha dilakukan termasuk yang terbaru menggantung khidmat jurulatih B. Sathianathan sebelum kes tersebut ditangguhkan untuk perbicaraan semula, isu tiket kembali menjadikan FAM mangsa kecaman.
"Saya tidak melihat di mana relevannya harga tiket tersebut perlu dinaikkan. FAM perlu memberi penjelasan kenapa harga tiket ini naik berbanding tahun lalu yang dijual pada harga RM20.
"Pada pendapat saya, harga ini dinaikkan selepas melihat penyokong Kelantan yang begitu ramai membanjiri stadium pada perlawanan akhir musim lalu dan ini adalah masa yang baik untuk FAM mengaut keuntungan," katanya ketika ditemui semalam.
Tambahnya, pertimbangan- pertimbangan yang sewajarnya perlu diambil kira oleh FAM termasuklah peminat bola sepak Kelantan bukannya terdiri daripada golongan yang berada tetapi mereka yang berpendapatan rendah, namun cintakan bola sepak tempatan.
Jelasnya, sekiranya FAM menggunakan helah menaikkan harga untuk mengaut keuntungan berlipat kali ganda kerana menyangka peminat bola sepak Kelantan pasti akan ke stadium walaupun dengan tiket yang mahal, tidak mustahil sambutan perlawanan akhir kali ini akan dingin.
"Penyokong tidak bodoh. Kami bukan orang berada. Ada yang bekerja sebagai buruh dan petani hanya memperoleh gaji sekitar RM150 seminggu dan ini pastinya membebankan dan tidak mustahil sekiranya mereka membatalkan hasrat untuk ke stadium.
"Sepatutnya FAM memberi sokongan dalam usaha memajukan bola sepak tempatan selepas melihat sambutan peminat yang semakin ramai mengunjungi stadium tetapi tindakan ini sekali lagi dilihat sebagai cubaan 'membunuh' masa depan bola sepak khasnya di Kelantan," ujarnya.
Selain itu, mereka juga turut kecewa dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang seperti 'menangguk di air keruh' apabila menaikkan lagi harga tiket daripada RM30 kepada RM40 dengan kononnya menyediakan pakej termasuk barangan cenderahati.
Bagi mereka, selepas sekian lama menunjukkan sokongan tanpa berbelah bagi kepada pasukan Kelantan termasuk menjelajah ke seluruh negara setiap kali pasu- kan mereka beraksi, tindakan KAFA itu membuatkan mereka terkilan.
Semalam, lebih 100 penyokong skuad Kelantan mengadakan piket membantah kenaikan harga tiket oleh FAM di hadapan Stadium Sultan Muhammed IV dan turut menggesa KAFA membatalkan hasrat menjual tiket tersebut secara pakej dengan harga yang lebih mahal.
Seorang lagi peminat bola sepak Kelantan, Mahizi Mahmood, 32, memberitahu, selain marah dengan tindakan FAM menaikkan harga tiket, dia juga nyata kesal dengan sikap KAFA yang dilihat tidak prihatin dengan nasib para penyokong.
"Sudahlah FAM mengenakan tiket dengan harga yang tinggi, KAFA pula turut sama bersekongkol menaikkan lagi harga sebanyak RM10 kononnya atas nama pakej dengan memberi barangan cenderahati.
"Kalaulah KAFA tahu mengenang budi, mereka seharusnya membantu memberi subsidi atau sekurang-kurangnya mengekalkan harga tiket RM30 itu, bukannya dengan menekan lagi penyokong dengan menaikkan kepada RM40," jelasnya.
Selain itu, bagaikan ada kewajaran di sebalik kemarahan para penyokong kerana jarak antara Kota Bharu dan Kuala Lumpur itu cukup panjang perjalanannya menjadikan mereka juga terpaksa mengeluarkan perbelanjaan untuk kos pengangkutan.
Bukan sahaja tiket, dikhabarkan kos pengangkutan awam termasuk kadar sewa bas juga melambung dengan begitu mendadak iaitu antara RM3,200 hingga RM3,800 berbanding harga biasa hanya sekitar RM2,400 hingga RM2,600.
Sementara itu, Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa tampil memberi penjelasan yang dilihat sedikit melegakan kemarahan penyokong Kelantan apabila pihaknya bersetuju mengekalkan harga tiket kepada RM30.
Jelasnya, sebanyak 30,000 keping tiket diperuntukkan untuk penyokong Kelantan iaitu dengan 10,000 akan mula dijual secara biasa pada pukul 10 pagi ini di kesemua lapan kaunter jualan tiket di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu.
"Manakala 10,000 keping lagi akan dijual bersama barangan cenderamata, sementara selebihnya akan diperuntukkan kepada rombongan kelab penyokong. KAFA sedang berusaha untuk mendapat tiket tambahan untuk memenuhi permintaan

Trio Barca calon pilihan


INIESTA antara calon pilihan bagi merangkul anugerah Pemain Terbaik Eropah 2010.


ZURICH - Tujuh pemain Sepanyol yang menjulang Piala Dunia 2010 iaitu trio Barcelona, Andres Iniesta, David Villa dan Xavi Hernandez terpilih dalam senarai calon bagi anugerah Pemain Terbaik Eropah FIFA (Bola Emas) 2010.
Dalam senarai 23 pemain itu, turut terpilih ialah tiga pemain yang beraksi cemerlang dalam kempen Piala Dunia 2010 dan kelab masing-masing musim lalu iaitu Diego Forlan (Uruguay dan Atletico Madrid), Wesley Sneijder (Belanda dan Inter Milan) dan Thomas Mueller (Jerman dan Bayern Munich).
Bekas pemenang anugerah tersebut, Lionel Messi (Argentina dan Barcelona) serta Cristiano Ronaldo (Portugal dan Real Madrid) turut dicalonkan meskipun pasukan kebangsaan mereka gagal pada kempen Piala Dunia 2010.
Bagaimanapun, pemenang edisi 2007, Kaka tidak terpilih dalam senarai kali ini, sebaliknya rakan sepasukannya di Brazil, Daniel Alves (Barcelona) dan dua pemain Inter Milan, Julio Cesar serta Maicon disenaraikan.
Penyerang Chelsea, Didier Drogba (Ivory Coast) dan kapten Arsenal, Cesc Fabregas (Sepanyol) adalah antara pemain yang beraksi dalam kancah Liga Perdana England yang turut dicalonkan.
Anugerah ini mula dianjurkan bersama oleh FIFA dan majalah France Football pada 1956 dan pemenang akan ditentukan menerusi undian daripada kapten dan ketua jurulatih skuad kebangsaan yang terpilih termasuk bebe- rapa wartawan undangan.
Senarai pendek tiga calon utama akan diumumkan pada 6 Disember depan dengan pemenang anugerah tersebut akan dinobatkan pada satu majlis di Zurich, 10 Januari 2011.
Selain 10 calon bagi kategori wanita, anugerah bagi jurulatih terbaik lelaki dan wanita turut diperkenalkan buat kali pertama

Selasa, 26 Oktober 2010

Hukuman Sathia ditangguh


HUKUMAN terhadap Sathianathan (kanan) ditangguhkan oleh FAM buat sementara waktu selepas badan induk bola sepak negara itu menerima rayuan daripada jurulatih terbabit semalam.


BERITA penangguhan terhadap hukuman penggantungan yang dikenakan ke atas ketua jurulatih Kelantan, B. Sathianathan sedikit sebanyak menjadi suntikan moral buat pemain-pemain skuad The Red Warriors.
Ini kerana, anak-anak buah Sathianathan itu bakal turun berdepan Negeri Sembilan pada aksi final Piala Malaysia 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.
Namun, bagi Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), mereka sebenarnya masih belum boleh menarik nafas lega kerana keputusan penuh terhadap rayuan yang dikemukakan mereka hanya akan diketahui selepas Jawantankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), bersidang semula dalam masa terdekat.
Pengurus Kelantan, Azman Ibrahim berkata, KAFA sebenarnya menghantar surat rayuan kepada FAM agar meri- ngankan hukuman yang dikenakan terhadap Sathianathan dan bukannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut.
“Diakui, keputusan FAM yang menangguhkan pelaksanaan terhadap hukuman yang dikenakan ke atas Satianathan sememangnya menjadi suntikan semangat kepada kami (Kelantan) menjelang aksi menentang Negeri Sembilan nanti.
“Begitupun, kami masih belum jelas tentang situasi sebe- nar kerana Satianathan sudah mula menjalani hukuman tersebut ketika aksi separuh akhir kedua menentang Kedah di Kota Bharu, Sabtu lalu.
“Jadi... kami mahu kepastian sama ada dalam tempoh tersebut adakah hukuman penggantungan Satianathan itu akan tetap diambil kira ataupun sebaliknya dan diharapkan FAM akan segera memberikan maklum balas,” kata Azman.
Terdahulu, Satianathan yang juga merupakan bekas pengendali skuad kebangsaan, menerusi KAFA telah mengemukakan rayuan kepada FAM bagi meringankan hukuman yang dikenakan ke atasnya semalam.
Setelah menyerahkan surat rayuan tersebut kepada Pengerusi Jawatankuasa Rayuan FAM, A. Ganarajah, pihaknya telah membuat keputusan untuk menangguhkan hukuman penggantungan yang dikenakan berkuat kuasa serta-merta.
“Berdasarkan Perkara 7.1.1 dan 7.5.1 Kod Tatatertib FAM 2010, Pengerusi Jawatankuasa Rayuan FAM dengan ini telah memutuskan hukuman penggantungan yang dikenakan ke atas Satianathan ditangguhkan berkuat kuasa serta-merta,” jelas kenyataan media yang dikeluarkan FAM semalam.
Sebelum ini, Satianathan terpaksa menerima padah digantung untuk tempoh enam bulan dan denda RM2,000 gara-gara memberikan komen mengenai perlawanan antara pasukan Perlis menentang Terengganu yang diadakan di Kuala Terengganu kira-kira tiga bulan lalu.

'Jangan harap rampas piala'


AIDIL (kanan) akan pastikan benteng pertahanan Negeri Sembilan tidak dibolosi pada final Piala Malaysia menentang Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.
"JANGAN fikir boleh rampas Piala Malaysia daripada kami."
Itu amaran pemain pertahanan Negeri Sembilan, Aidil Zafuan Abd. Radzak yang akan memainkan peranan sebagai benteng terakhir skuad Hoben Jang Hoben itu pada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Kelantan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu ini.
Katanya, final ulangan dengan Kelantan ini dijangka lebih menarik apabila Negeri Sembilan mempunyai misi mempertahankan kejuaraan manakala Kelantan ghairah untuk membalas dendam, sekali gus turut ingin menjulang piala berprestij itu.
Menurut Aidil, piala yang menjadi kemegahan dan dinanti-nantikan Negeri Sembilan sejak 61 tahun yang lalu itu tidak akan diserahkan dengan mudah kepada Kelantan.
Ujarnya, secara peribadi, dia mahu rakan-rakan sepasukannya mengulangi kejayaan seperti tahun lalu dan tidak perlu ada rasa gentar untuk berdepan dengan skuad Kijang.
"Mungkin dari segi penyokong, Kelantan dilihat hebat apabila lautan merah akan membanjiri stadium. Tetapi itu bukan faktor, sebaliknya nasib kedua pasukan ditentukan dalam tempoh 90 minit sehingga wisel penamat dibunyikan.
"Kedua-dua pasukan akan menurunkan barisan pemain yang sama seperti tahun lepas dan mungkin satu atau dua pemain baru akan diturun buat kali pertama, namun ia akan ditentukan oleh jurulatih kelak," katanya kepada Kosmo! semalam.
Kata Aidil, antara pemain Kelantan yang akan diberi tumpuan ketika berada di ka- wasan pertahanan Negeri Sembilan ialah Norshahrul Idlan, Akmal Rizal dan Indra Putra Mahayuddin.
Ujarnya, perkara penting yang harus dilakukan mereka ialah mengawal rentak permainan selain mencari gol awal.
Aidil yang bermain di posisi pertahanan akan bergandingan dengan Shukor Adan dan mereka bertekad untuk tidak membiarkan penyerang pasukan lawan bergerak bebas sepanjang perlawanan itu nanti.
Sementara itu, kembar Aidil, Mohd. Zaquan Adha Abd. Radzak yang direhatkan akibat kecederaan berkata, dia sedih kerana tidak dapat berjuang bersama rakan- rakan lain untuk mempertahankan piala yang menjadi kebanggaan semua.
Dia berharap rakan-rakan sepasukannya mampu menampilkan aksi terbaik dalam usaha mempertahankan piala tersebut di Negeri Sembilan.
"Saya sedih kerana tidak dapat bersama, namun saya yakin kami akan muncul juara," katanya.
Mohd. Zaquan terpaksa berehat selama enam bulan selepas menjalani pembedahan lutut dan dia kini sedang menjalani latihan fisioterapi di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Ferguson bangga komitmen pemain

LONDON - Alex Ferguson melontarkan pujian ke atas semangat juang Man- chester United selepas menyaksikan anak-anak buahnya mencatat kemenangan penting 2-1 ke atas Stoke City dalam aksi Liga Perdana England kelmarin.
United kini mengekori pendahulu liga, Chelsea dengan perbezaan lima mata hasil dua jaringan Javier Hernandez di Satdium Britannia itu.
Penyerang Mexico yang diturunkan bagi menggantikan Wayne Rooney yang masih mengalami kecederaan buku lali, meledakkan gol pertama menerusi tandukan pada minit ke-27 sebelum Tuncay Sanli menyamakan kedudukan 1-1 sembilan minit sebelum permainan berakhir.
Namun, Hernandez hadir tepat pada masanya dengan sentuhannya pada minit ke-86, sekali gus menghadiahkan tiga mata penting buat United.
Dengan pertemuan menentang Wolves dalam kempen Piala Liga awal pagi Rabu ini, dan aksi Liga Perdana England dengan Tottenham, Sabtu depan, Ferguson percaya kemenangan ini sangat penting buatThe Red Devils.
"Selepas mereka menyamakan kedudukan, kami mula berasa ia sama seperti musim-musim lalu yang mengecewakan," kata Ferguson.
"Apabila kamu terlepas satu gol ketika permainan berbaki 10 minit, kamu akan berasa bimbang. Kamu pasti fikir kejadian yang sama akan berulang.
"Tetapi kami berharap mampu bangkit selepas ini. Kami ada beberapa perlawanan penting sehingga Krismas dan kami perlu mengukuhkan semula kedudukan dalam liga sekarang."

Ancelotti atasi rekod Mourinho


TERRY (belakang) kagum dengan corak permainan yang dipamerkan pemain Chelsea setakat ini.


LONDON - Kemenangan 2-0 Chelsea ke atas Wolves pada aksi Liga Perdana England, Sabtu lalu mencatat satu lagi rekod baru buat kelab dari London itu.
Skuad kendalian Carlo Ancelotti itu berjaya memadam rekod Jose Mourinho apabila tidak dibolosi sebarang gol di Stamford Bridge dalam saingan liga musim ini.
Ketika di bawah bimbingan Mourinho, Chelsea kebal di gelanggang sendiri dalam tujuh perlawanan liga pada saingan musim 2004-2005.
Namun kali ini, tiada penyerang lawan dapat membolosi gawang The Blues dalam lapan perlawanan liga.
Pemain terakhir yang meledakkan gol ke gawang mereka ialah John Carew dari Aston Villa pada 27 Mac lalu.
Kapten Chelsea, John Terry berkata: "Kami bertahan dengan baik, bukan sahaja menerusi empat pemain pertahanan kami tetapi penjaga gol, Peter (Cech) juga beraksi cemerlang setakat ini.
"Saya bermain dengan beberapa pemain terbaik dunia seperti Ashley Cole, Branislav Ivanovic, Alex dan juga (Jose) Bosingwa yang semakin yakin dengan corak permainan masing-masing.
"Ashley (Cole) sangat hebat. Dia sangat pantas. Pernah sekali saya lihat dia naik membantu jentera serangan, kemudian sekelip mata saya perasan dia sudah berada di bawah bersama saya.
"Dia pertahanan kiri terbaik pernah saya lihat. Tiada satu perlawanan pun dia gagal menyajikan aksi terbaiknya."
Pertahanan kanan, Bosingwa pula beraksi dalam perlawanan liga pertamanya Sabtu lepas sejak berehat lebih setahun.
Ancelotti memuji pertahanan Portugal itu dengan berkata: "Kami boleh menggunakannya di posisi kanan sama seperti Ashley (Cole) di posisi kiri.
"Dia mempunyai kemahiran yang sama dengan Ashley, jadi dia memberi satu lagi dimensi baru kepada kami."

"Kini Fokus Pada Piala Malaysia" B. Sathianathan

Perkataan yang terpacul dari mulut ketua jurulatih ini akan dijadikan azimat buat semua barisan pemain dalam menghadapi saingan terakhir pada tahun ini. Tiada lagi isu B. Sathianathan di tempat duduk penyokong sabtu nanti. Keputusan FAM menangguhkan penggantungan B. Sathianathan amat dihargai dan disambut baik oleh seluruh peminat bolasepak Kelantan supaya aura yang dimiliki beliau dapat diturunkan sepenuhnya pada pertempuran ini nanti

Ramai penyokong mengandaikan penangguhan kes ini sebagai meredakan kemarahan penyokong Kelantan yang kini mula marah dengan kenaikan melampau harga tiket perlawanan akhir, sekaligus menjadikan harga tiket ini paling mahal sejak TM Piala Malaysia diperkenalkan. Namun melihat reaksi para penyokong melalui laman-laman sosial, rata-rata mengutuk kenaikan harga tiket tetapi kenaikan ini bukan alasan untuk mereka tidak ke stadium sabtu ini.
Perlawanan akhir ini merupakan perlawanan idaman seluruh penyokong Kelantan yang sentiasa berdoa agar skuadnya melangkah ke final dan akan memiliki sekurang-kurangnya 1 piala pada tahun ini walaupun terpaksa akur dengan harapan merangkul 3 piala tahun pada ini tidak kesampaian.
Hanya tinggal 3 hari sahaja lagi peluang untuk para pemain dan penyokong mengasah segala senjata tempur mereka bagi menghadapi pertempuran yang dijangka sengit ini. Kelab-kelab penyokong kini mula sibuk dengan idea-idea mencipta kelainan antara satu sama lain dari segi sepanduk terbesar, terpanjang, rentak lagu dan pelbagai lagi kreativiti yang akan dijelmakan nanti.
Penyokong Kelantan di seluruh Malaysia juga mula sibuk mengumpul ahli dan tiket bagi memastikan stadium Bukit Jalil sekali lagi bertukar wajah dan berseri dari kawasan sunyi sepi akan menjadi riuh dengan sorakan padu kedua-dua penyokong.
Sekembalinya jurulatih utama untuk bersama anak buahnya di Bukit Jalil nanti, diharap dapat memperkemaskan lagi segala taktikal dan strategi pasukan. Disamping mengharapkan keserasian dan kecemerlangan kesebelasan pemain yang diturunkan yang akan dibantu sorakan semangat pemain ke 12.
Selain itu, KAFA juga menyeru para penyokong Kelantan menjaga tingkah laku mereka daripada lensa kamera media yang sentiasa ditugaskan mencari segala keburukan yang dipamerkan penyokong Kelantan untuk disensasikan. Elakkan daripada membawa mercun, provokasi, keganasan, vandalisme dan yang seumpamanya kerana pihak pengurusan stadium akan membenarkan para penyokong memasuki stadium seawal pukul 4 lagi bagi mengadakan kawalan dan pemeriksaan yang ketat dipintu-pintu masuk tadium. KAFA sekali lagi mengingatkan KAFA tidak akan berkompromi dengan insiden yang terbukti dicetuskan oleh penyokong Kelantan. Hormatilah kehadiran penyokong istimewa kita yang terdiri daripada wanita, kanak-kanak dan warga emas yang juga ingin menyaksikan perlawanan ini dengan tenang dan aman. Buktikan pada mereka kini penyokong Kelantan lebih berdisplin dari yang digambarkan oleh sesetengah masyarakat dan media. Cukuplah! Cukuplah! kita dikeji, inilah masanya kita akan dipuji dan dihormati bersama kehebatan yang akan dibuktikan pasukan The Red Warriors sabtu nanti.
"Lelaki yang paling berani dan hebat adalah lelaki yang boleh mengawal segala kemarahan mereka"
SAMA-SAMA KITA DOAKAN KEMENANGAN THE RED WARRIORS.
Sokong Bia Bijok , Napok Bijok , Betindok Bijok , Main Bijok , Bijok Sokmo...... Gomo Kelate Gomo