KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Jumaat, 10 Disember 2010

Bayern pamer kehebatan sebenar


RIBERY (tengah) menamatkan kemarau jaringan sejak April lalu dengan menjaringkan dua gol awal pagi semalam.


MUNICH - Finalis musim lalu, Bayern Munich mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara selaku juara Kumpulan E selepas menang 3-0 ke atas Basel di Munich awal pagi semalam.
Dua jaringan Franck Ribery yang merupakan gol pertamanya selepas kemarau panjang sejak April lalu serta satu lagi gol menerusi Anatoliy Tymoshchuk memastikan kemenangan bergaya kelab gergasi Jerman itu.
Ia kemenangan kelima dicatat Bayern pada saingan Eropah musim ini dan skuad bimbingan Louis van Gaal itu diiringi AS Roma di tempat kedua kumpulan manakala Basel di tempat ketiga sekadar meneruskan saingan di Liga Europa.
"Tak banyak pasukan yang mampu menang lima daripada enam aksi peringkat kumpulan. Pada perlawanan ini, kami berjaya menjaringkan tiga gol dan saya cukup berasa gembira.
"Kemenangan selesa ini turut akan memberi kami keyakinan diri untuk menghadapi perlawanan seterusnya," kata van Gaal.
Begitupun ujian sebenar Bayern hanya akan menanti pada saingan kalah mati yang akan berlangsung Februari depan dengan majlis undian bakal berlangsung pada 17 Disember depan.
Kapten Bayern, Mark van Bommel bagaimanapun masih tidak berpuas hati dengan persembahannya dan rakan-rakan sepasukan.
"Kami memulakan perlawanan ini dengan teruk. Tiada banyak pergerakan menarik sehingga Ribery membuka jaringan.
"Kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol. Ia cukup penting bagi membina keyakinan menjelang aksi Liga Jerman menentang St. Pauli selepas ini," jelas van Bommel.

Benzema ledak hatrik


BENZEMA (kanan) meledakan hatrik ketika membantu Real Madrid membelasah Auxerre 4-0 awal pagi semalam.


MADRID - Karim Benzema membuktikan ketajaman sentuhannya apabila berjaya meledak hatrik ketika membantu Real Madrid membelasah Auxerre 4-0 pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Benzema, 22, sebelum ini hanya menjaringkan tiga gol dalam mana-mana kejohanan sepanjang musim ini dan sekadar menjadi pilihan kedua di belakang penyerang utama, Gonzalo Higuain sejak Jose Mourinho mengemudi kelab Sepanyol itu.
Biarpun Real hanya menurunkan barisan simpanan setelah layak ke pusingan kalah mati, Benzema tetap bertenaga meledak tiga gol manakala satu lagi gol disumbang oleh Cristiano Ronaldo.
Ia merupakan gol ke-20 berjaya dijaringkan Ronaldo dalam semua kejohanan musim ini.
"Saya cukup gembira kerana dapat menjaringkan tiga gol dalam perlawanan ini. Saya berasa semakin baik setiap hari dan ia ternyata memberi kesan terhadap persembahan saya di atas padang.
"Saya akan terus bekerja keras supaya dapat melakukan apa yang telah saya pamerkan pada perlawanan ini pada setiap perlawanan lain," kata Benzema.
Real kini mahu menamatkan badi dalam saingan Liga Juara-Juara apabila mereka sudah enam musim sering terkandas pada pusingan kalah mati tanpa berjaya melangkah ke suku akhir.
Peluang mereka tampak cerah kali ini apabila dapat mengelak daripada diundi bertemu pasukan handalan di pusingan kedua apabila menamatkan saingan peringkat kumpulan di tangga teratas.
Pada perlawanan awal pagi semalam, Mourinho yang menjulang kejuaraan musim lalu bersama Inter Milan terpaksa berada di tempat duduk penonton.
Dia digantung satu perlawanan apabila didapati bersalah kerana mengarahkan Xabi Alonso dan Sergio Ramos sengaja menerima kad merah ketika bertemu Ajax bulan lalu

Arsenal tidak gentar jumpa Barcelona


VAN PERSIE (tengah) menjaringkan gol pertama Arsenal ketika menang 3-1 ke atas Partizan Belgrade pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi semalam.


LONDON - Arsene Wenger melontarkan amaran selepas Arsenal menang 3-1 ke atas Partizan Belgrade untuk menempah slot ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Pengurus skuad The Gunners itu berkata, dia tidak gentar berdepan dengan mana-mana lawan yang bakal dihadapi selepas ini.
Arsenal dijangka bertemu pasukan gergasi dan pilihan Eropah termasuk Barcelona selepas menamatkan saingan peringkat Kumpulan H selaku naib juara di belakang Shaktar Donetsk.
Kemenangan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan di tempat sendiri itu memberi keyakinan kepada Wenger, sekali gus mengakui mereka mampu pergi jauh musim ini.
Pada pertemuan itu, Arsenal bangkit daripada ketinggalan menerusi gol Theo Walcott dan Samir Nasri sebaik dikejutkan dengan jaringan penyamaan Cleo bagi menafikan gol pembukaan Robin Van Persie.
"Saya tidak nafikan kemungkinan itu adalah untuk diundi bertemu Barcelona. Kami perlu realistik bahawa mereka memang antara pasukan terhebat musim ini.
"Tetapi kami perlu terima hakikat jika ia Barcelona. Kami pernah hadapi mereka musim lalu dan ditewaskan. Namun tahun ini, kita lihat siapa yang kena," katanya.
Musim lalu, Arsenal berjaya mengikat Barcelona 2-2 di tempat sendiri sebelum dibelasah 1-4 di Nou Camp dan tersingkir awal.
Selain Barcelona, Arsenal turut berdepan kemungkinan terpaksa berdepan Real Madrid, Bayern Munich atau Schalke 04.
Saingan pusingan kedua bakal disambung pada Februari depan dan ia memberi keyakinan dan kesempatan kepada Wenger untuk menyenaraikan pemain terbaiknya.
"Secara keseluruhannya, cabaran besar menanti kami. Namun kami punya banyak ruang untuk memperbaiki prestasi dan saya percaya kami mampu melakukannya," tegas Wenger.
Arsenal bakal menghadapi satu lagi ujian besar menentang Manchester United dalam Liga Perdana England, Isnin ini.

Rekod Chelsea tercalar


BRANDAO (kiri) meledakkan gol tunggal perlawanan ketika menang 1-0 ke atas Chelsea awal pagi semalam.


MARSEILLE - Chelsea terus dirundung malang apabila tewas 0-1 kepada Marseille pada aksi terakhir Kumpulan F saingan Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Ternyata hasrat skuad The Blues ini untuk mengubah rentak sumbang mereka ketika ini tidak kesampaian.
Dengan dua peluang untuk mendapatkan sepakan penalti telah dinafikan pengadil, kekalahan itu membuatkan Chelsea gagal mencatat rekod bersih selepas menang lima aksi awal peringkat kumpulan itu.
Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti sebelum perlawanan mahu anak-anak buahnya turun dengan penuh bersemangat untuk mencipta kemenangan setelah mereka hanya menang sekali pada enam aksi terakhir Liga Perdana England.
"Kami tidak beraksi 100 peratus. Mungkin hanya 50 peratus saja. Apa pun kami perlu tingkatkan semula prestasi terutama apabila berdepan Tottenham Hotspur, Manchester United dan Arsenal selepas ini.
"Memang saya akui, kami kini kehilangan tahap keyakinan," jelas Ancelotti.
Sementara itu, kapten Chelsea, John Terry berkata, dia sedar bahawa mereka gagal beraksi dengan baik tetapi masih berharap agar ia dapat dipertingkatkan dalam masa terdekat.
"Pengurus (Ancelotti) telah beritahu kami betapa pentingkan untuk mengembalikan persembahan baik. Lagipun kami mempunyai tugas berat bertemu Tottenham pada Ahad ini. Harap keadaan akan berubah," kata Terry.
Pada perlawanan awal pagi semalam, Ancelotti telah membuat tiga pertukaran dengan Paulo Ferreira, Josh McEachran dan Ramires berada dalam kesebelasan utama, John Mikel Obi di bangku simpanan manakala Ashley Cole dan Nicolas Anelka direhatkan.
Gol kemenangan Marseille dijaringkan penyerang dari Brazil, Brandao pada minit ke-81