KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Isnin, 7 Mac 2011

Safee cipta aura di Karawang


ARDAN ARAS (depan, kanan) mengakui jaringan Safee (belakang, dua dari kiri) kelmarin telah melonjakkan semangat para pemain pasukan Pelita Jaya.


HANYA selepas beraksi satu perlawanan bersama Pelita Jaya, penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Mohd. Sali sudah mencipta satu aura baru di kalangan penyokong kelab itu yang rata-ratanya penduduk di Karawang, Jawa Barat, Indonesia.
Suasana Stadium Singaperbangsa berkapasiti 12,000 tempat duduk buat kali pertamanya mencatat kehadiran tertinggi musim ini iaitu 6,000 penonton pada aksi bertemu Sriwijaya FC kelmarin yang berkesudahan Pelita Jaya menang 1-0 menerusi jaringan Safee.
Sebelum ini suasana agak hambar memandangkan Pelita Jaya menduduki tangga tercorot iaitu ke-15 dalam saingan Liga Super Indonesia (ISL) setelah berakhir 14 perlawanan pusingan pertama.
Namun selepas hanya satu perlawanan pusingan kedua berlangsung, Pelita Jaya kini sudah melonjak dua anak tangga ke kedudukan ke-13 mengatasi Persela dan Bontang FC.
"Safee memang bagus. Kehadirannya ke kelab ini cukup membantu. Harap Safee dapat terus kekalkan prestasi baik seperti ini.
"Ternyata selepas Safee menjaringkan gol tersebut, ia telah meningkatkan semangat kami sepasukan.
"Pasukan ini dibarisi ramai pemain muda, harap kehadiran Safee dapat menambah keyakinan mereka bagi mengharungi baki saingan liga," kata kapten Pelita Jaya, Ardan Aras ketika ditemui Kosmo!selepas perlawanan kelmarin.
Ardan yang beraksi di posisi pertahanan turut memuji kekebalan dua pertahanan import yang baru diambil minggu lalu iaitu Christopher Ross Doig dan Troy Hearfied.
"Selain Safee, kehadiran dua tonggak baru di bahagian pertahanan ini juga sesuatu yang penting kerana mereka berjaya menyekat jentera serangan Sriwijaya FC dengan cukup baik," ujar Ardan.
Sementara itu, pengurus peribadi Safee, Zakaria Ab. Rahim ternyata lega kerana bekas penyerang Selangor itu berjaya melepasi ujian sulungnya namun mengingatkan Safee supaya tidak cepat leka.
"Pada perlawanan pertama ini, Safee sepatutnya mampu menjaringkan lebih daripada satu gol. Apa pun saya harap Safee tidak hanyut dengan pujian.
"Dia perlu fokus perlawanan akan datang kerana saingan musim ini masih berbaki 13 perlawanan," kata Zakaria.
Perlawanan ke-16 bagi Pelita Jaya pada Sabtu ini ialah berdepan Persib Bandung di gelanggang sendiri.

Kedah tukar jurulatih?


MUNGKINKAH akan berlaku perubahan dalam barisan kejurulatihan Kedah berikutan kemerosotan prestasi skuad Hijau Kuning itu pada musim ini?
Begitupun, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) melihat beberapa pilihan termasuk memberi peluang kepada barisan jurulatih sedia ada untuk membimbing skuad Hijau Kuning hingga akhir musim.
Setiausaha Kehormat, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib memberitahu, KFA turut menimbang untuk merehatkan ketua jurulatih, Ahmad Yusoff dan tugas itu akan di pangku penolongnya, Radhi Mat Din.
Katanya, sekiranya keputusan itu dipersetujui, Ahmad bakal bertindak sebagai penaung kepada pasukan kerana Radhi tidak mempunyai lesen kejurulatihan kelas A.
"KFA juga ada pilihan untuk meminta Ahmad menumpukan kepada pembangunan bola sepak remaja Kedah dan ketua jurulatih baru bakal mengambilalih tempatnya dalam pasukan itu," katanya ketika dihubungi di Alor Setar semalam.
Beliau mengulas desakan penyokong skuad Kenari yang mahu pengurus pasukan, Datuk Khazali Din dan tiga jurulatih Hijau Kuning meletak jawatan berikutan prestasi buruk pasukan itu pada musim ini termasuk tersingkir dari saingan Piala FA baru-baru ini.
Penyokong Kedah yang dikejutkan dengan kekalahan tipis 0-1 kepada Felda United pada saingan Piala FA mengadakan demonstrasi selama 30 minit sejurus tamat perlawanan itu di Stadium Darul Aman, Jumaat lalu.
Mereka menggesa Khazali, Ahmad, Radhi dan jurulatih penjaga gol, Ahmad Sobri Ismail meletak jawatan.
Menurut Dr. Hamdan, pertimbangan KFA dalam hal ini ialah mengambil kira pandangan pelbagai pihak melibatkan pemain, barisan kejurulatihan, pengurusan, penyokong serta pakar-pakar sukan bola sepak di negeri ini.
"Keputusan itu mesti adil bagi mewujudkan situasi menang-menang antara mereka yang terlibat," katanya.
Hamdan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Warisan dan Kebudayaan negeri memberitahu, pemain Kedah turut berasa bersalah dengan situasi ini dengan menyifatkan nasib belum menyebelahi mereka.
Katanya, pemain mengakui berasa tertekan dengan situasi pada saingan awal musim ini apabila kebanyakan perlawanan berlangsung di gelanggang sendiri ketika mereka bertungkus lumus memantapkan permainan pasukan.
"Pemain turut mengakui mereka tiada masalah dengan jurulatih. Saya berharap semua pihak akan terus berada di belakang skuad Kedah dengan memberi sokongan tidak berbelah bahagi tidak kira apa pun keadaan yang berlaku," katanya.

Liverpool malukan United



KUYT (tengah) meledakkan hatrik untuk membantu Liverpool menewaskan Manchester United 3-1 pada aksi Liga Perdana England di Anfield malam tadi.


STATUS Manchester United selaku pendahulu Liga Perdana England semakin tercalar selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut.
Setelah tewas 1-2 kepada Chelsea pada awal pagi Rabu lalu, skuad kendalian Alex Ferguson itu menerima malu lebih besar apabila tunduk 1-3 kepada Liverpool di Anfield malam tadi.
Hatrik daripada penyerang Belanda, Dirk Kuyt sudah cukup untuk membuatkan Liverpool terus melonjak ke tangga keenam liga.
United kini kekal dengan kelebihan tiga mata di persada liga berbanding pasukan di tangga kedua, Arsenal tetapi skuad The Gunners kurang satu perlawanan.
Kuyt membuka tirai jaringan pada minit ke-34 setelah mudah menolak masuk bola hasil gerakan solo Luis Suarez yang berjaya memperdayakan beberapa pemain pertahanan United.
Lima minit kemudian, Kuyt sekali lagi mudah menolak masuk gol kedua Liverpool berpunca daripada kesilapan Nani.
Sejurus kemudian, Nani terpaksa diusung keluar setelah diterjah keras oleh Jamie Carragher.
Sisa perjuangan United berakhir selepas Kuyt melengkapkan hatriknya pada minit ke-65 setelah penjaga gol United, Edwin van der Sar gagal menangkap kemas sepakan percuma Suarez.
Javier Hernandez yang masuk menggantikan Nani bagaimanapun berjaya menjaringkan gol sagu hati buat United pada masa kecederaan