KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Khamis, 17 Februari 2011

Rentak T-Team masih sumbang, mana 3 serangkai???



YUNUS (kanan) akan pastikan T-Team bangkit dalam usaha mengubah reputasi dalam liga.



APA sudah jadi dengan pasukan T-Team?
Pasukan bertaraf kelab yang dicanang bakal menggegar pentas Liga Super itu dilihat seperti tidak berselera untuk menghadapi saingan musim ini.
Sekalipun ‘menang’ dalam kontroversi melibatkan pembelian tiga bekas pemain Kelantan, namun kelab dari Terengganu itu masih kempunan untuk memenangi sebarang perlawanan setakat ini.
Malah, reputasi skuad kendalian Yunus Alif itu juga semakin hari semakin tercalar selepas hanya mengutip satu mata daripada empat perlawanan untuk menduduki tangga kedua tercorot liga.
Persoalannya, adakah percaturan yang dibuat pengurusan tertinggi T-Team musim ini benar-benar tidak menjadi atau ada punca lain di sebalik prestasi memalukan itu?
“Kami tidak menghadapi sebarang masalah, tetapi mungkin faktor terlalu kerap beraksi di gelanggang lawan sehingga menyebabkan pemain keletihan menjadi punca kami gagal bermain dengan baik,” jelas Yunus kepada Kosmo! semalam.
Bagaimanapun, Yunus tanpa mahu berselindung tetap mengakui bahawa psikologi para pemainnya ketika ini sangat terjejas.
Katanya, tewas tiga perlawanan berturut-turut dan seri 1-1 dengan Kedah pada perlawanan pertama lalu bukanlah satu rekod yang baik untuk difikirkan oleh setiap pemain.
“Semua kena ingat bahawa kami belum lagi bermain di gelanggang sendiri (Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu) dalam empat perlawanan ini.
“Jadi, ia sedikit memberi kesan kepada kecergasan pemain apabila kami perlu bertandang ke gelanggang lawan dalam tempoh masa yang singkat,” katanya lagi.
Menurut Yunus lagi, apa yang difikirkannya ketika ini adalah mencari kemenangan pertama bagi menyuntik semangat baru di kalangan pemain-pemainnya.
Menambahkan lagi keyakinannya adalah berita kehadiran semula penjaga gol, Syamsuri Mustafa yang dijangka kembali mengisi posisi utama selepas tidak beraksi dalam empat perlawanan awal.
“Saya tidak mahu mengulas mengenai prestasi satu-satu pemain walaupun saya akui pasukan ini memiliki ramai pemain berpengalaman.
“Apa yang penting adalah kami perlu mencari kemenangan pertama yang mana ia akan menjadi titik kebangkitan kepada kami,” ujarnya.
Sesuatu yang menarik, Yunus mahu menjadikan juara Piala Malaysia, Kelantan sebagai mangsa pertama kepada kebangkitan anak buahnya apabila dua pasukan itu bertemu pada aksi awal Piala FA esok.
“Kalau ikutkan jadual, kami akan bermain di gelanggang sendiri menentang Kelantan Khamis ini dan saya harap kami mampu meraih kemenangan,” jelas Yunus.
Awal musim ini, T-Team mencuri perhatian peminat apabila berjaya mengikat Indra Putra, Nor Farhan dan Azizi Matt Rose.

Kelantan kekal rekod bersih


Ramzul Zahini (kiri) penggempur baru Kelantan yang perlu diberi perhatian.


"SAYA gembira dengan komitmen yang dipamerkan oleh semua pemain."
Demikian luahan ketua jurulatih Kelantan, Datuk M.Karathu selepas melihat kejayaan skuad bimbinganya memperoleh tiga mata penuh hasil kemenangan keatas Kuala Lumpur pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV malam kelmarin.
Menurutnya, kejayaan tersebut amat bermakna buatnya meskipun barisan pemainya dipaksa bekerja keras sepanjang perlawanan tersebut.
Tambahnya, kejayaan tersebut hasil kesungguhan barisan pemainnya yang berjaya mencipta peluang serta berjaya menjaringkan gol pada babak kedua biarpun seakan-akan hilang punca pada separuh masa pertama.
"Percaturan kami pada separuh masa kedua berjaya walaupun kelibat penggempur sensasi kita Norshahrul Idlan Talaha agak terbatas dalam perlawanan tersebut.
"Walaupun Norshahrul dikawal ketat oleh tiga pemain Kuala Lumpur, namun aksi dua lagi rakannya iaitu Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) dan Mohd. Nizab (Ayub) jelas tidak mengecewakan. Kedua-duanya menunjukkan satu permainan yang bagus," katanya ketika ditemui di kota Bharu, semalam.
Jelasnya, beliau turut memuji aksi barisan pemainya yang menunjukkan komitmen yang tinggi sepanjang perlawanan tersebut.
"Ini perlawanan kedua bagi Muhammad Ramzul dan saya fikir sudah ada peningkatan yang beliau pamerkan," katanya.
Pada perlawanan tersebut, Kelantan berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam empat perlawanan berturut-turut selepas menewaskan Kuala Lumpur 2-0.
Penyerang muda Kelantan, Ramzul Zahini Adenan muncul wira pasukan apabila jaringanya pada minit ke-46 menjadi titik tolak kebangkitan pasukan selepas mempamerkan aksi hambar di separuh masa pertama.
Jaringan tersebut nyata menyemarakkan semangat barisan pemain The Red Warriors apabila mempamerkan corak menyerang sehingga memaksa Kuala Lumpur lebih banyak bertahan di separuh masa kedua.
Penggempur sensasi kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha membuktikan ketajaman penyudah apabila menjaringkan gol kedua Kelantan pada minit ke-87 selepas bijak menyudahkan hantaran pemain sayap kiri, Nurul Azuwan Roya.
Kemenangan ini menyaksikan Kelantan terus selesa dipuncak liga dengan kelebihan tiga mata mengatasi seteru utama Selangor yang berada di kedudukan empat.

Gol tunggal Spurs malukan Milan


CROUCH (kiri) menjaringkan gol tunggal Spurs ketika menang 1-0 ke atas AC Milan di San Siro awal pagi semalam.


MILAN - Impian Tottenham Hotspur untuk meneruskan cabaran pada kempen Liga Juara-Juara semakin cerah.
Awal pagi semalam, penyerang Tottenham, Peter Crouch menjaringkan gol tunggal buat pasukan itu menang 1-0 ke atas AC Milan di San Siro.
Meskipun beraksi tanpa Gareth Bale yang mengalami kecederaan, Spurs tetap mempamerkan aksi yang menarik dan mendominasi pertemuan pusingan kalah mati yang pertama kali disertai mereka.
Jaringan Crouch ketika permainan berbaki 10 minit hasil serangan balas yang pantas akhirnya memerangkap Milan di hadapan peminat sendiri.
Kemenangan ini meletakkan kelab dari England itu dalam kedudukan terbaik menjelang aksi kedua di White Hart Lane tiga minggu lagi.
"Satu aksi yang menakjubkan daripada kami. Pujian kepada semua pemain terutamanya Sandro, Steven Pienaar, Michael Dawson, Heurelho Gomes... dan ramai lagi," kata pengurus Spurs, Harry Redknapp.
"Saya beritahu mereka ketika rehat supaya memberi bola kepada Aaron Lennon jika ada peluang kerana dia telah mengucar-kacirkan pertahanan kiri lawan sepanjang masa.
"Malah sumbangan ketika gol tersebut amat menakjubkan. Ini adalah malam penuh kejayaan kepada peminat dan juga pasukan ini."
Jurulatih Milan, Massimiliano Allegri berkata, pasukannya masih belum cukup memberi tentangan kepada pasukan lawannya.
"Pada babak pertama, kami terlalu takut untuk menyerang, amat sukar untuk bermain jika tidak banyak diberi ruang dan kami juga banyak melakukan kesilapan," kata Allegri.
"Itulah yang membuatkan Spurs merampas bola dan melakukan serangan balas. Pada babak kedua kami cuba mengubahnya, namun usaha tersebut masih belum cukup.

Raul sekat hajat Valencia


RAUL (tengah) meledakkan gol penyamaan Schalke 04 ketika seri 1-1 dengan Valencia pada aksi pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara awal pagi semalam.


MADRID - Penyerang veteran, Raul Gonzalez membuat penampilan semula yang cemerlang di negara kelahirannya, Sepanyol.
Awal pagi semalam, Raul meledakkan gol penyamaan untuk membantu Schalke 04 mengikat Valencia 1-1 pada aksi pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara di Stadium Mestalla.
Roberto Soldado meletakkan Valencia 1-0 di depan pada minit ke-17 tetapi Raul, 33, yang menamatkan kegemilangan selama 16 tahun di Real Madrid dengan menyertai Schalke musim panas lalu, menyamakan kedudukan pada minit ke-64 untuk memberi kelebihan dari segi jaringan di tempat lawan.
Ketika ini, Raul merupakan penjaring terbanyak dalam sejarah Liga Juara-juara dan gol yang ke-69 dalam kempen Eropah ini memberi kelebihan kepada Schalke pada aksi kedua di Gelsenkirchen pada 9 Mac depan.
"Kami sedar mereka amat berbahaya dan juga mempunyai pemain berkualiti di bahagian serangan," kata Soldado.
"Kamu tidak boleh biarkan Raul mendapat ruang, jika dia memperoleh peluang itu, lihatlah apa yang dia lakukan ke atas kami.
"Kami sebuah pasukan yang bercita-cita tinggi dan kami harap dapat mencatat keputusan yang positif tetapi kami telah mengharungi perjalanan yang jauh untuk sampai ke tahap ini dan kami tidak akan mengalah."
Jurulatih Schalke, Felix Magath menurunkan Raul dan penyerang Belanda Klaas-Jan Huntelaar di bahagian serangan dan jelas sekali gandingan tersebut membuahkan hasil.
"Ia adalah satu gol yang penting bagi pasukan dan juga sudah tentu kepada saya," kata Raul.
"Kami mencatat keputusan yang baik di sini, tetapi masih ada 90 minit permainan untuk diharungi ke atas pasukan yang berbahaya