KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Ahad, 14 November 2010

Malaysia tumbang angkara pengadil


REAKSI Safiq yang ternyata kecewa selepas dilayangkan kad merah pada pertemuan menentang China di Stadium Tianhe, Guangzhou, China semalam. Malaysia tewas 0-3.


MALAYSIA tewas 0-3 kepada China pada perlawanan penuh kontroversi dalam saingan Kumpulan A temasya Sukan Asia 2010 di Stadium Tianhe, Guangzhou malam tadi.
Ini kerana pengadil dari Australia, Ben Williams telah melayangkan tiga kad merah kepada Mahali Jasuli, Safiq Rahim dan S. Kunanlan.
Selain itu, lima pemain lain iaitu Fadhli Shas, Norshahrul Idlan Talaha, Amar Rohidan, Asraruddin Putra Omar dan Muslim Ahmad turut dilayangkan kad kuning berbanding pemain China yang langsung tidak diberi sebarang kad.
Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal jelas begitu berang dengan keputusan 'berat sebelah' pengadil yang sama sekali telah meranapkan hasrat Malaysia sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri dengan China.
"Ini pertama kali dalam sejarah saya melihat pengadil seteruk ini. Ini juga pertama kali saya bertindak untuk memberi komen terhadap pengadil.
"Saya cukup kecewa. Jika satu kad merah tidak mengapa. Ini kami terpaksa main sembilan pemain sepanjang 55 minit dan lapan pemain pada 10 minit terakhir," kata Rajagobal pada sidang media selepas perlawanan semalam.
Pada minit ke-24, Mahali dilayangkan kad merah setelah didakwa sengaja menyepak bola ke luar padang manakala Safiq turut menerima nasib sama kerana dikatakan cuba membantah keputusan pengadil.
Kunanlan pula menerima kad kuning pertama pada minit ke-79 dan kad kuning kedua seterusnya kad merah seminit kemudian kerana memberikan sepakan penalti.
"Semua pemain telah berkerja keras biarpun terpaksa lawan 11 pemain. Cuma sukar untuk terus bertahan pada baki 45 minit dengan kekurangan pemain," jelasnya.
Gol pertama China dijaringkan Li Jianbin menerusi tandukan selepas sepakan percuma pada minit ke-61 diikuti gol kedua hasil sepakan percuma Zhao Honglue pada minit ke-64 sebelum Zhang Linpeng menyudahkan sepakan penalti pada minit ke-82.

Kelantan pancing pemain baru


HAIRUDDIN dijangka menyarung jersi Negeri Sembilan bagi menghadapi Liga M musim depan.


KELANTAN dilapor mula memancing beberapa muka baru bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Beberapa pemain dikatakan hampir pasti menandatangani kontrak bersama juara Piala Malaysia itu.
Sumber dalaman Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) memberitahu, antara muka baru yang bakal disenaraikan adalah tiga pemain KL Plus yang menarik diri daripada saingan Liga M musim depan.
“Salah seorang pemain tersebut merupakan bekas pemain kebangsaan yang pernah menyarung jersi beberapa pasukan sebelum ini, antaranya Kedah, Pahang dan UPB-My Team.
“Kita kini dalam proses terakhir untuk membawa masuk Irwan Fadzli Idrus yang merupakan seorang pemain pertahanan kanan. Kemasukan Irwan dijangka menguatkan lagi posisi pertahanan.
“Selain Irwan, kita juga memancing seorang lagi pemain pertahanan KL Plus, Mohamad Abdul Aziz Ismail yang juga merupakan anak jati Kelantan dan kemasukan kedua-dua pemain ini membolehkan kita mempunyai beberapa pilihan untuk barisan pertahanan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Tambahnya, Kelantan juga turut akan memperkuatkan jentera tengah dengan membawa masuk seorang lagi pemain, Reeshafiq Alwi.
Jelasnya, walaupun kombinasi sedia ada antara Badri Radzi dan Shakir Shaari dilihat semakin mantap dan serasi, kehadiran Reeshafiq akan membantu Kelantan untuk mempelbagaikan lagi corak permainan.
“Dia (Reeshafiq) pemain yang cukup kreatif serta memiliki kepantasan dan hantaran yang baik dan kita memerlukan seorang pemain yang mampu mengisi kekosongan di jentera tengah sekiranya berlaku kecederaan pemain yang sedia ada.
“Kita juga mendapat khabar gembira apabila seorang lagi anak Kelantan, Nurul Azwan Roya juga hampir pasti pulang selepas berkelana ke Johor FC,” jelasnya.
Kelantan kini dikhabarkan sedang mengintai beberapa pemain penyerang yang akan digandingkan bersama Norshahrul Idlan Talaha selepas hampir pasti kehilangan Hairuddin Omar yang akan ke Negeri Sembilan.

Chelsea derita tanpa Lampard


LAMPARD terpaksa berehat tiga minggu ekoran masalah ketegangan otot.


LONDON - Perancang Chelsea, Frank Lampard masih belum dapat diturunkan menjelang pertemuan menentang Sunderland dalam saingan Liga Perdana England di Stamford Bridge malam ini.
Ia ekoran masalah ketegangan otot yang dialami Lampard ketika menjalani sesi latihan bersama skuad The Blues Khamis lalu.
Sebelum ini, Lampard terpaksa diketepikan selama dua bulan selepas mengalami masalah kecederaan di pangkal paha.
Pada awalnya, Lampard dijangka kembali diturunkan dalam kesebelasan utama Chelsea pada pertemuan menentang Sunderland.
Namun disebabkan masalah ketegangan otot yang dialaminya, pemain berusia 32 tahun itu dilapor terpaksa menyambung rehatnya untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga minggu lagi.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh pengurus The Blues, Carlo Ancelotti.
"Saya rasa dia (Lampard) terpaksa berehat untuk tempoh dua atau tiga minggu lagi.
"Kami sangat kecewa dengan masalah kecederaan yang menimpa Lampard kerana dia sudah hampir untuk diturunkan semula dalam skuad.
"Saya tidak main-main ketika saya mengatakan Lampard akan diturunkan dalam tempoh seminggu lagi ketika sidang media terakhir saya.
"Ternyata, nasib tidak menyebelahi Lampard yang mana dia mengalami kecederaan ketika sesi latihan," jelas Ancelotti.
Situasi terbaru yang melanda skuad The Blues itu sudah pastinya meresahkan Ancelotti selepas seorang lagi perancang, Michael Essien kini menjalani hukuman penggantungan.
Ia ekoran kad merah yang dilayangkan kepada perancang antarabangsa Ghana itu ketika pertemuan menentang Fulham Rabu lalu.
"Ia merupakan berita buruk buat kami terutama selepas Essien dikenakan hukuman gantung perlawanan.
"Adalah suatu yang baik sekiranya Lampard dapat diturunkan tetapi inilah dunia bola sepak yang mana apa jua boleh terjadi

United hampir diaibkan Villa


PERTAHANAN United, Patrice Evra (kiri) bersaing dengan pemain tengah Villa, Marc Albrighton pada aksi Liga Perdana England di Villa Park semalam.


LONDON - Federico Macheda dan Nemanja Vidic muncul sebagai penyelamat selepas masing-masing meledak satu gol bagi membantu Manchester United seri 2-2 dengan Aston Villa pada saingan Liga Perdana England malam tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Villa Park itu, skuad The Red Devils dikejutkan dengan gol pendahuluan pasukan tuan rumah selepas pemain sayap England, Ashley Young menyempurnakan sepakan penaliti yang diperoleh pada minit ke-73.
Villa memperoleh sepakan penalti tersebut selepas tonggak pertahanan United, West Brown menjatuhkan Young dalam kawasan kotak penalti pada minit ke-73.
Empat minit kemudian, Villa yang kini di bawah kendalian Gerrard Houllier terus menambah derita United apabila Marc Albrighton meledak gol kedua hasil hantaran lintang daripada Young.
Tersentak dengan dua jaringan pihak lawan, The Reds Devils lantas kembali memperkemaskan jentera serangan mereka.
Ternyata, percaturan pengurus United, Alex Ferguson yang membawa masuk Macheda membuahkan hasil selepas dia menjaringkan gol pertama The Red Devils pada minit ke-81.
Sekalipun beraksi di bahagian pertahanan, ia sedikit pun tidak merencatkan kemampuan Vidic bagi menjaringkan gol setelah dia menyamakan kedudukan buat United tatkala perlawanan hanya berbaki lima minit.
Keputusan seri itu menyaksikan United kekal menghuni tangga kedua liga apabila mengumpul 25 mata.
Chelsea masih unggul selaku pendahulu liga apabila mengumpul 28 mata dan dijangka terus mengukuhkan kedudukan mereka andai berjaya mencatatkan kemenangan ke atas Sunderland malam ini