KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Khamis, 20 Januari 2011

Benteng City rapuh


TEVEZ tetap diberi pujian meskipun dia gagal menyempurnakan sepakan penalti buat kali kedua berturut-turut awal pagi semalam.


LONDON - Roberto Mancini mengakui kerapuhan benteng pertahanan Manchester City akan menyebabkan mereka terlepas beberapa gelaran utama musim ini.
Buat kali kedua berturut-turut pertahanan City kelihatan rapuh selepas dibolosi dua gol ketika menewaskan Leicester 4-2 pada pusingan ketiga Piala FA awal pagi semalam.
Selepas memboloskan gol ketujuh dalam tiga perlawanan dan Carlos Tevez gagal menyempurnakan sepakan penalti, sekali gus membolehkan Leicester merapatkan kedudukan 3-2, Mancini memberi amaran kepada para pemainnya.
"Pada mulanya, kami ingat perlawanan ini telah berakhir tetapi kemudian gawang kami dibolosi," kata Mancini.
"Saya tidak sukakannya. Ia memang memberi keterujaan kepada peminat tetapi saya lebih suka kalau kami menang 4-1, 1-0 atau 2-0.
"Jika kamu tidak terlepas banyak gol, maka pada hujung musim ini kamu sudah pasti akan memenangi sesuatu. Jadi kami perlu perbaiki lagi kelemahan ini. Semuanya mengenai konsentrasi.
"Dalam tiga perlawanan terakhir, benteng pertahanan kami agak rapuh. Kami harus tingkatkan lagi kualiti di posisi ini kerana kami dibolosi banyak gol dan perlu berusaha keras memperbaikinya."
Pada perlawanan tersebut, Tevez membuka jaringan buat City sebelum Paul Gallagher menyamakan kedudukan menerusi penalti.
Dua jaringan berturut-turut menerusi Patrick Vieira dan Adam Johnson meletakkan City selesa 3-1 di depan.
Namun apabila Tevez gagal menyempurnakan penalti, Lloyd Dyer mencerahkan peluang buat Leicester dengan jaringan pada minit ke-83 sebelum Aleksandar Kolarov meledakkan gol pada lewat permainan untuk menjamin kemenangan City.
Mancini turut memuji kaptennya, Tevez meskipun dia gagal menyempurnakan penalti buat kali kedua berturut-turut.
Penyerang Argentina itu telah meledakkan enam gol dalam enam perlawanan sejak mengumumkan niatnya meninggalkan kelab itu Disember lepas.
"Carlos pemain yang heba. Dia seorang pemain yang mampu melakukan apa saja. Satu-satunya perkara yang dia gagal buat ketika ini ialah menyempurnakan penalti," kata Mancini.