KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Rabu, 20 Oktober 2010

Final Piala Malaysia 2010 kembali ke Stadium National Stadium, Bukit Jalil

Stadium Nasional Bukit Jalil kembali menjadi gelanggang perlawanan akhir Piala Malaysia 2010. FAM telah bersetuju memilih stadium Nasional Bukit Jalil sebagai stadium utam dan tidak lagi isu menggunakan stadium Melawati Shah Alam sebagai stadium utama seperti yang diwar-warkan sebelum ini.

Kekuatan seimbang - Sathia



NORFARHAN MOHAMAD (tengah) bakal bertindak sebagai penggempur Kelantan pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang Kedah malam ini.


"PELUANG kami seimbang."Begitulah pendapat ketua jurulatih Kelantan, B. Sathianathan ketika ditanya mengenai pertemuan dengan Kedah pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.
Menurut bekas jurulatih kebangsaan itu, peluang yang dimiliki oleh kedua- dua pasukan seimbang walaupun Kedah kehilangan beberapa tonggak utama bagi perlawanan tersebut.
Katanya, skuad Hijau Kuning itu masih mempunyai pemain muda berwibawa untuk diturunkan bagi menggantikan tonggak utama mereka.
Sehubungan itu katanya, beliau mengharapkan anak-anak buahnya dapat mempamerkan aksi cemerlang seperti persembahan ketika menewaskan Selangor 3-0 dalam perlawanan kedua suku akhir di Kota Bharu sebelum ini.
"Saya difahamkan, mereka kehilangan beberapa tonggak utama, namun pemain gantian mereka tidak kurang hebatnya. Saya yakin kita tetap mempunyai peluang pada perlawanan ini.
"Untuk itu kita akan turun berjuang habis-habisan dan tidak akan memberikan laluan mudah buat pasukan Kedah meskipun beraksi di tempat lawan," katanya.
Menurut Sathianathan, beliau juga berharap agar jentera serangan pasukannya dapat menggunakan setiap peluang yang dimiliki sebaik mungkin untuk mencari bekalan selesa sebelum mengharungi aksi kedua di Kota Bharu, Sabtu ini

'Tottenham bukan lawan mudah'


VAN DER VAART akan mengetuai jentera serangan Spurs ketika menentang Inter di San Siro awal pagi esok.


MILAN - Jurulatih Inter Milan, Rafael Benitez bakal menggunakan pengalaman enam tahunnya dalam saingan Liga Perdana England untuk menundukkan Tottenham Hotspur pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi esok.
Inter bakal menanti kunjungan anak-anak buah Harry Redknapp di San Siro dengan pasukan yang memenangi pertemuan itu bakal mendahului saingan Kumpulan A.
Inter dan Tottenham kini berkongsi empat mata selepas dua perlawanan tetapi Inter di tangga teratas berdasarkan kelebihan perbezaan gol.
Untuk rekod, Benitez sudah berdepan skuad kendalian Redknapp termasuk Southampton dan Portsmouth sebanyak 13 kali dalam saingan Liga Perdana England ketika beliau bergelar pengurus Liverpool sebelum ini.
Namun Benitez sedar, beliau bakal berdepan skuad kendalian Redknapp yang paling kuat kali ini dengan dibarisi penyerang, Rafael van der Vaart.
Lantas jurulatih Inter itu cukup berharap agar Esteban Cambiasso, Goran Pandev dan Ivan Cordoba benar-benar cergas untuk turun beraksi awal pagi esok.
"Jika kami bernasib baik, mereka bertiga ini dapat diturunkan menentang Tottenham. Tetapi saya menjangkakan ia suatu perlawanan yang sukar kerana secara mentalnya, Tottenham cukup kuat dan memiliki serangan balas yang mantap.
"Jadi kami perlu beraksi dengan cukup baik jika kami mahu mencatat kemenangan ke atas Tottenham," kata Benitez.
Inter dijangka bakal turun tanpa Diego Milito tetapi tempatnya mampu diisi penyerang Cameroon, Samuel Eto'o.
Sementara itu, Redknapp tidak terlalu bimbangkan ancaman Eto'o tetapi melihat kekuatan keseluruhan yang dimiliki Inter perlu lebih dirisaukannya.
"Kita berdepan sebuah pasukan yang lebih bagus dan tentunya sukar untuk menewaskan mereka di laman sendiri. Jika kami pulang dengan satu mata pun, ia sudah cukup menggembirakan," kata Redknapp

Man. City sedia melabur dapatkan Rooney RM493j


MASALAH Rooney di Old Trafford kini mendapat perhatian City.


LONDON – Manchester City sedia membuat tawaran perpindahan paling mahal dalam sejarah bola sepak dengan pakej berjumlah £100 juta (RM493 juta) bagi mendapatkan penyerang Manchester United, Wayne Rooney.
Penyerang England itu telah memaklumkan kepada United tentang niatnya yang enggan menyambung kontrak baru selepas perselisihan faham dengan pengurus, Alex Ferguson.
City kini bersedia mengambil kesempatan di atas masalah yang sedang melanda kelab Old Trafford itu.
Kelab Eastlands itu dikatakan merancang mengemukakan pakej perpindahan yang bakal menyaksikan mereka membayar United £50 juta (RM246.3 juta) ke atas Rooney dengan tambahan £50 juta (RM246.3 juta) bagi membayar gaji penyerang tersebut yang masih ada baki kontrak selama empat tahun lagi di United.
City juga sanggup menjadikan Rooney sebagai pemain yang menerima bayaran termahal dalam Liga Perdana England dengan gaji mencecah £250,000 (RM1.2 juta) seminggu atau £13 juta (RM64 juta) setahun.
Malah, Rooney yang semakin tidak gembira dengan kehidupannya di Old Trafford juga dikatakan bersedia menerima tawaran perpindahan paling kontroversi itu yang melibatkan dua kelab di Manchester.
Real Madrid telah menafikan yang mereka berminat membeli Rooney apabila musim perpindahan
dibuka Januari depan, manakala Barcelona pula tidak mempunyai sumber kewangan yang besar untuk mendapatkan penyerang berusia 24 tahun itu.
Rooney meninggalkan Everton ketika berusia 20 tahun untuk menyertai United pada musim 2004 dengan yuran perpindahan berjumlah £25.6 juta (RM126 juta)

Chelsea buka pintu


LONDON - Carlo Ancelotti membuka pintu buat penyerang sensasi Manchester United, Wayne Rooney menyertai Chelsea. Ketika ini, pengurus The Blues itu sedang memantau hubungan Rooney dengan pengurus United, Alex Ferguson yang kini dilaporkan semakin panas.
Situasi itu mencetuskan spekulasi bahawa Rooney bakal meninggalkan Old Trafford.
"Kami kena tunggu dan lihat sama ada Wayne Rooney benar-benar mahu meninggalkan Manchester United dan mereka juga mahu menjualnya.
"Sekiranya United bersedia melepaskan Rooney, bukan saja akan menarik perhatian Chelsea, bahkan kelab lain juga akan berminat," jelas Ancelotti.
Baru-baru ini, pemilik Chelsea, Roman Abramovich telah mengarahkan agar perbelanjaan skuad The Blues itu dikurangkan.
Namun, sumber rapat kepada jutawan Rusia itu memberitahu: "Sekiranya harga Rooney berpatutan, Abramovich sudah pasti berminat untuk mendapatkannya."
Rooney, 24, mempunyai baki kontrak 18 bulan lagi di Old Trafford dan difahamkan, penyerang England itu juga mahu gaji sebanyak £200,000 (RM985,772) seminggu untuk kekal bersama United