KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Isnin, 20 Disember 2010

Malaysia yakin juara



ANDAI Malaysia terus kekal dengan prestasi cemerlang, hasrat untuk muncul juara memang mudah dicapai.
Menariknya, langkah skuad bola sepak kebangsaan dalam saingan Piala AFF Suzuki 2010 hampir menyamai perjalanan pasukan Sepanyol pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, Julai lalu.
Sepanyol tewas 0-1 kepada Switzerland pada aksi sulung peringkat kumpulan tetapi akhirnya muncul juara setelah menewaskan Belanda 1-0 pada perlawanan akhir.
Malaysia pula tewas 1-5 kepada Indonesia pada aksi sulung Kumpulan A pada 1 Disember lalu tetapi berjaya juga layak ke final setelah menyingkirkan Vietnam menerusi agregat 2-0 pada saingan separuh akhir.
Jurulatih skuad kebangsaan, K. Rajagobal berkata, kejayaan menewaskan Vietnam 2-0 di Bukit Jalil pada Rabu lalu disusuli keputusan seri 0-0 di Hanoi kelmarin menjadi detik penting dalam mengubah senario Piala AFF Suzuki kali ini.
“Apabila kami berjaya menyingkirkan Vietnam yang merupakan juara bertahan, ia telah memberikan keyakinan kepada para pemain untuk mencipta sejarah pula muncul juara buat kali pertama.
“Bukan senang nak mengikat Vietnam di Hanoi. Lagipun kita boleh menang jika dapat sempurnakan tiga peluang pada separuh masa kedua,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang semalam setibanya dari Hanoi.
Jelas Rajagobal, harapan kini diletakkan di bahu semua pemain untuk mencatat kejayaan pada aksi final timbal balik di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Ahad ini dan aksi kedua di tempat lawan pada 29 Disember depan.
“Semuanya kini terpulang kepada pemain sama ada mereka mahu atau tidak untuk muncul juara. Yang penting kita kena fokus menghadapi final.
“Saya akan beri rehat dua hari kepada para pemain dan mereka akan kembali turun berlatih pada Selasa (esok),” kata Rajagobal.
Malaysia akan menghadapi Indonesia pada final yang dijadualkan pada 26 dan 29 Disember ini. Aksi pertama akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil diikuti aksi kedua di Jakarta.