KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Isnin, 14 Februari 2011

Rooney menakjubkan


ROONEY (kiri) dan Nani masing-masing menjaringkan satu gol untuk United ketika menang 2-1 ke atas City kelmarin.


MANCHESTER - Alex Ferguson mengakui gol kemenangan Manchester United yang dijaringkan Wayne Rooney pada aksi Liga Perdana England kelmarin adalah yang terbaik pernah dilihatnya.
Pada aksi menentang Manchester City di Old Trafford tersebut, penyerang England itu meledakkan gol kemenangan pada minit ke-78 bagi membolehkan United menang 2-1.
Gol itu hadir menerusi satu sepakan akrobatik yang dilakukan Rooney selepas menerima hantaran lintang daripada pemain sayap Portugal, Nani.
Terdahulu, Nani membuka tirai jaringan buat skuad The Red Devils pada minit ke-41 sebelum penyerang City, David Silva menyamakan kedudukan pada minit ke-65.
"Saya belum pernah melihat jaringan seperti mana yang dilakukan Rooney itu sebelum ini.
"Ia mengingatkan saya kepada jaringan yang dilakukan Denis Law tetapi saya tidak pasti sama ada ia sama ataupun tidak.
"Saya tidak terlalu ingat gol-gol menarik yang pernah dicipta di Old Trafford. Jika ada sekalipun, ketika Rooney menjaringkan gol hasil sepakan volinya pada pertemuan menentang Newcastle (United) beberapa tahun lalu.
"Namun, hari ini (kelmarin) Rooney berjaya mencipta satu lagi gol menarik di Old Trafford," jelas Ferguson.
Musim ini, Rooney dikritik hebat ekoran prestasi tidak menentu yang dipamerkan apabila sekadar menjaringkan lima gol buat skuad The Red Devils itu.
Oleh sebab itu, Ferguson menuntut agar 'ayam tambatan' itu terus mengekalkan rentak kecemerlangan seperti mana yang dipamerkan ketika menentang City, sekali gus menjaringkan lebih banyak gol buat United.
Selain Rooney, Ferguson juga turut mengharapkan sentuhan penyudah daripada seorang lagi penyerang United, Dimitar Berbatov.
"Saya berharap Rooney kini telah menemui semula sentuhan penyudah dan begitu juga dengan Berbatov.
"Kualiti yang dimiliki dua pemain itu sudah tidak boleh dipersoalkan lagi. Apabila kedua-duanya dapat beraksi pada tahap sebenar mereka, ia pasti akan membezakan kami dengan kelab lain," kata Ferguson. - AFP

Pemain dapat RM50,000 lagi

SULTAN AHMAD SHAH (dua dari kiri) menerima trofi Piala Suzuki AFF 2010 daripada Rajagobal pada majlis yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


REZEKI barisan 22 pemain yang membawa Malaysia menjadi juara Piala Suzuki AFF 2010 pada 29 Disember lalu terus bertambah.
Semalam, kesemua 22 pemain itu serta ketua jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal menerima RM50,000 setiap seorang daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai ganjaran menjulang trofi terunggul Asia Tenggara itu buat kali pertama selepas 14 tahun.
Ganjaran tersebut disampaikan sendiri oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah pada satu majlis khas yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya.
"Saya cukup gembira kerana selepas berjaya memenangi pingat emas Sukan SEA 2009, kita berjaya pula menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 setelah menanti selama 14 tahun.
"Para pemain telah memberi sepenuh jiwa raga mereka untuk memenangi piala ini. Kita semua patut berasa bangga dengan kejayaan ini," titah Sultan Ahmad Shah ketika ditemui selepas majlis tersebut.
Pada 12 Januari lalu, kesemua 22 pemain negara itu telah menerima ganjaran berjumlah RM65,000 daripada Kerajaan Malaysia yang disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Tanpa dikira ganjaran tambahan yang diperolehi beberapa pemain daripada kerajaan negeri masing-masing, setiap pemain skuad Piala Suzuki AFF 2010 itu kini sudah menerima durian runtuh berjumlah RM115,000.
Sultan Ahmad Shah seterusnya mahu barisan pemain-pemain muda negara mengorak langkah untuk mencipta satu lagi sejarah layak ke Sukan Olimpik 2012 di London dengan melepasi saingan kelayakan yang akan bermula 23 Februari depan.
Namun ditanya sama ada jurulatih skuad Olimpik, Ong Kim Swee turut akan membimbing skuad Sukan SEA 2011 di Indonesia, November depan, titah baginda: "Kita akan putuskan siapa jurulatih Sukan SEA pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM, 23 Februari depan."
Sebelum ini, timbul spekulasi bahawa Rajagobal akan membantu Kim Swee untuk Sukan SEA 2011 tetapi tidak jelas sama ada Rajagobal akan bertindak sebagai ketua jurulatih atau sekadar penasihat pasukan.
Turut berlangsung semalam, mesyuarat Jawatankuasa Kewangan FAM yang dipengerusikan Sultan Ahmad Shah tetapi jumlah geran kewangan kepada setiap pasukan Liga Super dan Liga Premier musim ini masih dirahsiakan nilainya.

Norizan tidak mahu dabik dada

PARA pemain Perak meraikan kejayaan pasukan itu menewaskan Negeri Sembilan 2-0 pada aksi Liga Super di Ipoh kelmarin.


JURULATIH Perak, Norizan Bakar tetap merendah diri meskipun skuad bimbingannya menang 2-0 ke atas Negeri Sembilan pada aksi Liga Super kelmarin.
“Masih terlalu awal untuk menganggap Perak sebagai sebuah pasukan kuat dan sempurna,” kata Norizan di Ipoh semalam.
Katanya, setiap pasukan dalam saingan liga baru beraksi tiga perlawanan dan perjalanan ke penghujung liga masih jauh.
Walaupun berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah, Norizan berkata, Perak masih dihantui dengan beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki segera.
“Kelemahan itu perlu diperbaiki segera supaya ia tidak menjejaskan persembahan pasukan pada perlawanan akan datang,” jelasnya.
Perak akan bertandang ke Stadium Darul Aman untuk berdepan dengan Kedah pada 15 Februari ini.
Skuad bimbingan Norizan itu naik ke tangga kedua daripada kedudukan kelima liga dengan mengutip tujuh mata dan mempertahankan rekod tanpa kalahnya.
Sebaliknya, kekalahan pertama Negeri Sembilan itu menyebabkan mereka turun ke tangga keempat daripada takhta liga dengan mengumpul enam mata daripada tiga perlawanan.
Perak memperoleh gol pertama hasil sepakan penalti Shahrul Nizam Mustapa pada minit ke-50 apabila Akmal Rizal Rakhli dijatuhkan dalam kotak penalti.
Kedudukan Perak semakin kukuh apabila kegagalan dua pertahanan Negeri Sembilan menampan bola dengan kemas di depan gol sendiri.
Kegagalan itu membolehkan Akmal Rizal merembat masuk gol kedua skuad Seladang pada minit ke-65.
Sementara itu, jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan memuji persembahan bertenaga yang dipamerkan pemain Perak sehingga memperolehi gol yang berharga itu.
“Berdasarkan persembahan yang dipamerkan itu, Perak layak merangkul tiga mata penuh,” jelas Wan Jamak.