KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Selasa, 25 Januari 2011

Liverpool serius buru Suarez


SUAREZ berada dalam senarai utama Liverpool pada musim perpindahan bulan ini. Pegawai Liverpool dikatakan sudah berada di Ajax untuk mengadakan rundingan susulan.


LIVERPOOL - Liverpool semakin serius untuk mendapatkan Luis Suarez sehingga sanggup terbang ke Belanda untuk mengadakan perbincangan lanjut.
Pengarah Strategi Bola Sepak Liverpool, Damien Comolli telah berada di Amsterdam semalam.
Dia akan berkunjung ke Ajax untuk memperhalusi terma dan syarat bagi mendapatkan penyerang Uruguay itu.
Andai Liverpool berjaya membuat tawaran berjumlah £20 juta (RM97.5 juta), mereka pasti akan mendapatkan terus khidmat pemain berusia 23 tahun itu pada pertengahan minggu ini.
Suarez sendiri telah menyatakan yang dia berminat untuk beraksi di Liga Perdana England dan Liverpool menjadi keutamaannya.
"England mempunyai sebuah liga yang begitu menarik perhatian saya sama seperti Liga Sepanyol. Ia merupakan liga terbaik di dunia," kata Suarez.
Penyerang Ajax itu turut telah memberitahu rakan sekelabnya bahawa dia berasakan perpindahan ke Liverpool itu bakal diselesaikan dalam masa terdekat.
Namun jurulatih Ajax, Frank De Boer menyatakan bahawa nilai Suarez adalah sama dengan Edin Dzeko yang dibeli dengan harga £27 juta (RM131.6 juta) oleh Manchester City.

'Rooney akan temui sentuhan'


ROONEY masih tercari-cari rentak untuk menggegar gawang pasukan lawan.


BLACKPOOL - John O'Shea yakin rakan sepasukannya, Wayne Rooney akan kembali menemui sentuhan gol bagi membantu Manchester United mengukuhkan kedudukan di tangga teratas Liga Perdana England.
Pemain pertahanan United itu berkata, mereka perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang bertemu Blackpool awal pagi esok bagi melebarkan jurang kepada lima mata dan sentuhan Rooney amat ditagih.
"Kami semua tahu Rooney sentiasa memberikan yang terbaik untuk pasukan. Dia akan kembali menemui sentuhan gol berdasarkan kualiti yang telah dipamerkannya dalam mencipta ruang buat rakan sepasukan lain.
"Rooney merupakan aset penting pasukan dan saya cukup yakin kegagalannya menjaringkan gol ketika kami membelasah Birmingham 5-0 akan ditebus pada aksi berikutnya ini," kata O'Shea.
Pengurus United, Alex Ferguson turut bersetuju dengan apa yang dinyatakan O'Shea itu.
"Kami harap gol yang dicari oleh Rooney akan hadir," kata Ferguson.
Ditanya tentang saingan yang bakal diberikan Blackpool pada aksi di Bloomfield Road itu, O'Shea berkata, rekod Blackpool di laman sendiri cukup baik sebelum mereka tewas 1-2 kepada Sunderland pada Sabtu lalu.
"Memang kami bakal berhadapan dengan aksi sukar kerana Blackpool pasti mahu bangkit pada perlawanan ini. Cuma kami perlu fokus sepenuhnya terhadap perlawanan ini bagi memburu tiga mata penuh," jelas O'Shea.
Rio Ferdinand masih belum pasti diturunkan selepas mengalami kecederaan pangkal paha manakala Paul Scholes yang diketepikan selama dua bulan dijangka kembali diturunkan kerana sudah pulih sepenuhnya. - AFP

FAS ketat kawalan keselamatan


INSIDEN kekecohan melibatkan penyokong Selangor dan Kelantan pada suku akhir pertama Piala Malaysia 2010 di Stadium Shah Alam pada 12 Oktober tahun lalu dijamin tidak akan berulang, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.
Kedua-dua pasukan tersebut bakal bertemu lagi untuk aksi sulung Liga Super 2011 yang juga perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, sebagai langkah pencegahan pihaknya telah bekerjasama dengan polis untuk meletakkan sekurang-kurangnya 745 anggota bagi perlawanan tersebut.
"Pihak polis akan mengawal dari sebelum perlawanan bermula, ketika perlawanan berlangsung dan juga selepas perlawanan. Ia bagi memastikan pergaduhan penonton sebelum ini tidak berulang.
"Polis juga akan ditempatkan di luar stadium dan sejurus sebelum perlawanan tamat, polis akan berada di lokasi tertentu bagi mengelakkan pertempuran penyokong kedua-dua pasukan.
"Kita harap tiada kejadian yang tidak diingini berlaku dan saya harap penyokong Selangor dan Kelantan datang untuk menikmati perlawanan, bukannya melakukan perkara yang tidak diingini.
"Sila jaga emosi masing-masing," katanya pada sidang media selepas mesyuarat pengelola di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.
Menurut Hamidin, tiket bagi perlawanan sumbangsih itu akan dijual pada Jumaat ini dari pukul 9 pagi hingga 7 malam di kaunter pintu utama Stadium Shah Alam serta pada Sabtu bermula 9 pagi hingga perlawanan bermula.
"Harga tiket ialah RM20 bagi dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak bawah 12 tahun. Untuk mengelak kesesakan, pintu stadium akan mula dibuka pada pukul 4 petang hari perlawanan.
"Kita akan beri tempat duduk 50-50 untuk kedua-dua pasukan. Cuma zon pemisah nanti akan dianjakkan mengikut keadaan iaitu jumlah penyokong pasukan mana yang lebih ramai," ujarnya.



Kelantan kena lagi

DENDA penggantungan selama enam bulan ke atas Sathianathan dikekalkan. Keputusan tersebut dibuat pada mesyuarat jawatankuasa rayuan FAM semalam.
BELUM pun saingan Liga Malaysia musim ini membuka tirainya, Kelantan, juara Piala Malaysia 2010, sudah menerima perkhabaran buruk.
Jawatankuasa Rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan mengekalkan hukuman gantung enam bulan ke atas ketua jurulatihnya, B. Sathianathan berkuat kuasa kelmarin.
Keputusan tersebut mengejutkan penyokong setia pasukan The Red Warriors ketika persiapan mereka sudah memasuki fasa terakhir sebelum aksi merebut Piala Sumbangsih antara Kelantan dan Selangor pada 29 Januari ini bermula di Stadium Shah Alam.
Ekoran keputusan tersebut, Kelantan perlu mencari pengganti Sathianathan untuk mengemudi The Red Warriors berikutan penolongnya, Hashim Mustafa hanya mempunyai Lesen Kelas B dan tidak layak mengetuai pasukan.
Penyokong Kelantan menganggap tindakan FAM itu sebagai ‘kurang cerdik’ kerana membuat keputusan pada saat-saat akhir sekali gus menyusahkan pasukan The Red Warriors untuk mencari pengganti yang sesuai.
Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Siber Kelantan, Marhasim Mat berkata, keputusan FAM itu dilihat sebagai satu cubaan untuk menjahanam serta merosakkan moral pasukan bagi menghadapi saingan liga musim ini
“Saya amat kecewa dengan tindakan FAM, kes ini sepatutnya sudah lama diselesaikan dan tidak perlu mengambil tempoh yang lama untuk membuat keputusan.
“Sekiranya kes ini diselesaikan lebih awal, saya yakin dan percaya ia tidak akan menimbulkan sebarang masalah buat Kelantan dalam mempersiapkan pasukan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Tambahnya, ini merupakan kali ketiga FAM membuat keputusan yang mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan peminat The Red Warriors.
Sementara itu, Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa dalam laman sosial Facebook miliknya mengesahkan, beliau telah menerima surat rasmi daripada FAM mengenai keputusan Jawatankuasa Rayuan badan induk bola sepak itu mengekalkan keputusan ke atas Sathianathan.
Menurut Annuar, pihaknya akan mengadakan mesyuarat tergempar hari ini (semalam) untuk membincangkan masalah tersebut dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan selepas itu.
Kelantan kini dikatakan sedang mengadakan rundingan untuk Azraai Khor Abdullah mengemudi skuad Kelantan.