KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Ahad, 17 Oktober 2010

Separuh Akhir: Kedah VS Kelantan 19/10/2010




Kemenangan 3-0 Kedah menewaskan Terengganu malam tadi telah menjadikan Kedah pasukan pilihan yang akan bertempur dengan Kelantan selasa ini. Pertembungan ini dianggap klasik bagi Hashim Mustapha kerana Kelantan pernah berjumpa Kedah di separuh akhir ketika zaman kegemilangan beliau dan berakhir dengan Kelantan ditewaskan.

Menggamit kembali sejarah perlawanan Kelantan menentang Kedah dulu, pada waktu inilah kali terakhir melihat rombongan penyokong pelawat paling ramai ke stadium Sultan Muhammad ke 4 dan berlaku insiden pergaduhan kecil antara penyokong Kelantan dengan Kedah dan ianya merupakan misi balas dendam penyokong Kelantan apabila rombongan penyokong Kelantan juga diserang di Alor Star. Bandar Kota Bharu mengalami kesesakan seawal pagi lagi apabila ramai penyokong Kelantan yang datang dari jauh sudah tiba di Kota Bharu. Bendera Kelantan dengan slogan "Cawat Kote" berkibar dimana-mana saja daerah di Kelantan.

Apa yang paling tidak dapat dilupakan, para penyokong Kelantan membawa hampas budu yang diikat dengan balutan kain untuk dibaling pada penyokong Kedah. Bermacam-macam idea dilakukan bagi mencapai misi balas dendam mereka. Perlawanan di Kota Bharu pada masa itu juga merupakan misi balas dendam setelah Kedah menang selesa di Alor Star dan ramai penyokong Kelantan yakin misi balas dendam Hashim Mustapha tercapai, namun perlawanan di Kota Bharu juga memihak pada Kedah.


Akmal Rizal yang sudah kembali mengganas sejak piala Malaysia ini akan berdepan dengan pasukan negeri kelahirannya dan sudah pasti akan berlaku pertembungan jati diri beliau samada menjadikan pasukan negeri kelahirannya mangsa beliau seterusnya atau sebaliknya. Ramai penyokong Kelantan yakin Akmal Rizal seorang pemain yang hebat dan profesional, sudah pasti akan mementingkan kerjaya serta majikannya sekarang daripada tanggapan negatif para penyokong Kelantan apabila beliau mendepani para penyokong Kedah nanti. Akmal Rizal dilihat terlalu profesional dalam menjaga hati rakyat Kelantan, sebagai ingatan bersama beliau pernah dihina oleh penyokong Kelantan pada saingan TM liga Super tetapi beliau melayani karenah dan laungan cemuhan dengan senyuman. Kini dalam saingan piala Malaysia, beliau mampu membuatkan seluruh penyokong Kelantan menobatkannya hero utama yang membawa Kelantan ke separuh akhir.

Peningkatan prestasi jaringan maut dan hantaran kemas Akmal Rizal, Indra Putra, Norfarhan, Mohd Badhri dan pemain-pemain lain ketika menewaskan Selangor jumaat lalu telah menyakinkan seluruh penyokong Kelantan, Kelantan telah memiliki gandingan pemain yang mantap dan berbisa. Kekebalan posisi pertahanan dan penjaga gawang sememangnya sudah membuka mata peminat sukan bolasepak tanahair.

Ramai penyokong Kelantan yakin sekiranya Kelantan terus konsisten dan berwaspada ketika saingan dengan Kedah selasa nanti, mereka yakin sekali lagi stadium keramat The Red Warriors akan menjadi tempat menghukum pasukan lawan. Bagi B. Sathianathan, pasukan Kelantan selesa diletakkan sebagai pasukan kerdil berbanding Kedah yang juga merupakan jagoan utama dalam sejarah piala Malaysia.

Ayuh semua penyokong The Red Warriors lapangkan dada dan suaramu. Bersedia dengan hati yang terbuka untuk menerima sebarang keputusan nanti. Yakinlah dan bersemangatlah untuk bersama-sama pasukan The Red Warriors menuju puncak piala Malaysia 2010. Gegarkan stadium lawan dan stadium keramat kita. Hanya selangkah lagi untuk melihat piala Malaysia menjelajah seluruh bumi Kelantan. Yakin Piala Malaysia bakal menjadi milik kita. Gomo sampai boleh!!!!!

Sokong Bia Bijok , Napok Bijok , Betindok Bijok , Main Bijok , Bijok Sokmo...... Gomo Kelate Gomo

Kelibat de Jong curi tumpuan


LONDON – Pengurus Manchester City, Roberto Mancini bimbang Nigel de Jong akan menjadi tumpuan setiap kali dia turun beraksi.

Ia gara-gara terjahan keras yang dilakukan perancang antarabangsa Belanda itu ke atas pemain sayap Newcastle United, Hatem Ben Arfa dalam aksi saingan Liga Perdana England dua minggu lalu.

Malam ini, kelibat de Jong sekali lagi menjadi perhatian apabila City berkunjung ke Bloomfield Road untuk berdepan Blackpool.

“Dia (de Jong) perlu memberi perhatian yang lebih dalam dua atau tiga perlawanan selepas ini kerana pengadil sudah pasti akan melihat dirinya daripada aspek yang berbeza kali ini,” jelas Mancini.

Aksi-aksi keras yang membabitkan de Jong telah dikecam hebat oleh banyak pihak sejak insiden dia menyepak dada perancang Sepanyol, Xabi Alonso ketika aksi final kempen Piala Dunia 2010 yang lalu.

Ekoran insiden itu, jurulatih Belanda, Bert van Marwijk telah menggugurkan nama de Jong bagi menghadapi kempen kelayakan Euro 2012.

“De Jong turut bersimpati dengan nasib yang menimpa Ben Arfa. Nasib ternyata tidak menyebelahi Ben Arfa kerana bagi saya ia merupakan terjahan biasa dalam perlawanan bola sepak.

“Saya ada bercakap dengan de Jong mengenai perkara ini dan semangatnya untuk beraksi masih lagi menebal.

“Dia seorang pemain yang kuat dan sebenarnya ramai lagi pemain perancang sepertinya,” tambah Mancini.

Liverpool tampil semangat baru



HODGSON mula memikirkan perancangan baru selepas Liverpool sah menjadi NESV.


LONDON – Liverpool mendapat tonik terbaik menjelang pertemuan menentang Everton dalam saingan Liga Perdana England di Goodison Park malam ini.

Ini kerana hasrat penyokong-penyokong setia skuad The Reds untuk menyaksikan New England Sports Ventures (NESV) menjadi pemilik baru kepada kelab tersebut akhirnya tercapai.

Selepas hampir seminggu terpaksa turun naik mahkamah berhubung urusan pertukaran hak milik, pemilik NESV, John Henry akhirnya disahkan sebagai bos baru kepada kelab yang berpangkalan di Anfield itu.

Menurut satu laporan, Henry yang merupakan pemilik kelab bola keranjang Amerika Syarikat, Boston Red Sox membeli kelab tersebut dengan nilai £300 juta (RM1.48 bilion).

Dengan kejayaan membeli Liverpool daripada pemilik asal Tom Hicks dan George Gillet, Henry berjanji memastikan skuad The Reds terus menempatkan diri dalam kelompok kelab terbaik Eropah.

“Fokus utama kami ketika ini adalah memastikan Liverpool terus memperoleh kejayaan.

“Kami mempunyai rekod yang cemerlang sebelum ini dan kami mahu membuktikan kepada seluruh penyokong Liverpool yang kami tidak pernah main-main untuk menjadi pemilik kepada kelab ini.

“Boston Red Sox merupakan kelab kedua yang berbelanja besar dalam saingan Liga Utama Bola Keranjang dan kami akan melakukan apa sahaja bagi memastikan Liverpool meraih kejayaan,” jelas Henry.

Pengurus The Reds, Roy Hodgson sudah pasti antara individu yang paling gembira dengan berita tersebut.

Sebelum ini, dia sudah mula memikirkan untuk membawa masuk beberapa muka baru ke Anfield pada musim perpindahan Januari depan.

Sejak mula mengambil alih tugas selaku pengurus daripada Rafael Benitez awal musim ini, ternyata nasib tidak menyebelahi Hodgson yang merupakan bekas pengurus Fulham.

Dia terpaksa menyaksikan skuad kendaliannya menduduki zon penyingkiran ketika ini selepas sekadar mengumpul enam mata dalam tujuh perlawanan, sekali gus membuatkan masa depannya bersama Liverpool mula dipersoalkan.

“Saya tahu saya sebenarnya mampu untuk mengubah apa yang telah berlaku ketika ini dan apa yang saya harapkan adalah semua pihak bersabar.

“Semua kelab pastinya mahu suatu keadaan yang stabil termasuklah pengurus dan juga pemain namun ia bukanlah suatu perkara yang mudah untuk dilaksanakan.

“Saya sentiasa berharap agar ada pemilik baru yang mengambil Liverpool dan membiarkan ahli lembaga pengarah membuat pilihan mana-mana individu yang dilihat berpotensi.

“Apa yang saya tahu NESV dan Boston Red Sox sangat memahami keperluan semua kakitangannya dan akan berusaha untuk memenuhinya

West Bromwich bikin United gigit jari


HERNANDEZ (kanan) bersaing dengan pemain tengah West Bromwich, James Morrison pada aksi di Old Trafford semalam. United dan West Bromwich seri 2-2.


LONDON – Manchester United mensia-siakan peluang untuk melonjak ke tangga kedua Liga Perdana England apabila sekadar mencatat keputusan seri 2-2 dengan West Bromwich Albion semalam.

Pada aksi yang berlangsung di Old Trafford itu, skuad The Red Devils terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi penyerang muda Mexico, Javier Hernandez seawal minit kelima.

Nani menambah derita West Bromwich apabila meledak gol kedua United pada minit ke-25, sekali gus meletakkan skuad kendalian Alex Ferguson itu selesa sehingga tamat babak pertama perlawanan.

Sebaik babak kedua bermula, West Bromwich dilihat tampil dengan aksi lebih kemas dan hasilnya mereka memperoleh gol pertama apabila tonggak pertahanan United, Patrice Evra menjaringkan gol sendiri pada minit ke-50.

West Bromwich tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila Somen Tchoyi meledak gol lima minit kemudian.

Dengan keputusan seri itu, United masih kekal di tangga ketiga liga dengan hanya mengumpul 14 mata, empat dibelakang pendahulu, Chelsea.

Sementara itu, Arsenal memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi di laman apabila berjaya mengutip tiga mata penuh selepas mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Birmingham City di Emirates.

Begitupun, Birmingham terlebih dahulu mengejut tuan rumah apabila membuka tirai jaringan menerusi Nikola Zigic pada minit ke-33.

Tersentak dengan jaringan awal pihak lawan, The Gunners kembali memperkemaskan jentera serangan mereka sebelum Samir Nasri meledak gol penyamaan hasil sepakan penalti yang diperoleh empat minit sebelum tamat babak pertama.

Marouane Chamakh menyelamatkan maruah The Gunners apabila dia menjaringkan gol kemenangan hanya selepas dua minit babak kedua bermula.

Di Craven Cottage, Tottenham Hotspur turut cemerlang selepas mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Fulham sementara Bolton Wanderers menewaskan Stoke City 2-1 di Stadium Reebok.

Dua lagi perlawanan yang berlangsung semalam menyaksikan Newcastle United sekadar seri 2-2 dengan Wigan Athletic di St. James Park manakala Wolves seri 1-1 menentang West Ham United di Stadium Molineux