KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Sabtu, 25 Disember 2010

Rajagobal kagum semangat pemain

TENANG... Barisan pemain negara turun menjalani latihan ringan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam sebagai persiapan menghadapi Indonesia, malam esok.


JURULATIH skuad bola sepak kebangsaan, K. Rajagobal tidak senang duduk menjelang perlawanan akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam esok.
Dia bukan takut, tetapi pening memikirkan kesebelasan utamanya kerana semua pemain dalam skuadnya berebur-rebut untuk merampas tempat kerana terlalu memiliki semangat yang cukup tinggi untuk membelasah Indonesia.
Mereka tidak sabar dan setiap pemain telah mempamerkan komitmen yang tinggi malah semua berazam untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama.
Begitupun, Rajagobal hanya akan memilih yang terbaik untuk menggalas perjuangan negara pada perlawanan malam esok dan dia kini memerlukan sedikit ketenangan untuk merencanakan strateginya.
Namun pengendali berusia 54 tahun itu enggan mendedahkan apakah bentuk persiapan yang menjadi tumpuannya bagi mengekang Indonesia daripada mendapat bekalan selesa dari tempat lawan.
"Persiapan kita tak banyak beza. Cuma kita sedang menilai bahagian mana yang perlu diberi fokus lebih. Tapi saya tak boleh mendedahkannya.
"Apa pun, para pemain saya sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi final. Saya mahu mereka turun dengan mempamerkan aksi terbaik dan mencatat kemenangan.
"Saya sendiri menjangkakan aksi final bertemu Indonesia ini bakal menampilkan satu perlawanan yang cukup menarik," kata Rajagobal pada sidang media selepas mesyuarat pengurus pasukan di Stadium Nasional petang semalam.
Mesyuarat tersebut turut memutuskan bahawa Malaysia bakal turun dengan jersi biru dan seluar putih manakala Indonesia pula dengan jersi putih dan seluar hijau.
Dalam pada itu, Rajagobal memberitahu, pemain sayap kanan, Amirulhadi Zainal sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan lutut kanan yang dialami ketika aksi separuh akhir menentang Vietnam di Hanoi minggu lalu.
"Keadaan Amirulhadi nampak okey. Tapi ada dua hari lagi untuk saya menilai tahap kecergasannya. Kemungkinan besar dia boleh diturunkan.
"Cuma Khyril Muhymeen Zambri yang juga cedera lutut masih belum pulih seratus peratus," jelas Rajagobal sebelum bergegas ke Wisma FAM, Kelana Jaya untuk sesi latihan petang semalam.
Sebelum memulakan latihan tersebut, mereka menerima kunjungan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang telah memberikan kata-kata semangat kepada pemain bagi menghadapi Indonesia, malam esok.
Skuad kebangsaan bakal menjalani latihan terakhir di Stadium Nasional pada pukul 5 petang ini.

Arsenal gentar kelibat Drogba


DROGBA ancaman buat Arsenal.


LONDON - Carlo Ancelotti mengakui Arsenal gementar untuk berdepan Didier Drogba pada pertemuan Liga Perdana England di Stadium Emirates, Isnin ini.
Pengurus Chelsea itu berharap penyerang Ivory Coast tersebut untuk meneruskan sentuhan jaringan selepas dia meledakkan 13 gol daripada 13 perlawanan menentang skuad The Gunners itu.
"Saya fikir, Arsenal gementar melihat kelibat Drogba kerana dia seringkali bermain dengan baik apabila bertemu mereka.
"Sekiranya dia bermain pada tahap terbaik Isnin ini, kami memperoleh peluang yang baik untuk menang. Kami memiliki rekod yang baik setiap kami menentang Arsenal dan mereka mengetahui kemampuan kami dengan baik.
"Arsenal menampilkan aksi bola sepak yang menakjubkan tetapi mereka mungkin menggunakan strategi bertahan dan kami perlu menggunakan kemampuan yang ada untuk membuka ruang, sekali gus mencipta sesuatu yang menyukarkan mereka.
Untuk rekod, Chelsea memenangi kesemua tujuh perlawanan terakhir menentang Arsenal manakalaThe Gunners hanya menang dua kali daripada 18 pertemuan.
Situasi yang sama berlaku di Stamford Bridge pada Oktober lalu apabila Drogba sekali lagi menjaringkan gol untuk membantu mereka mencatat kemenangan 2-0.
Bagaimanapun, Chelsea menurun di tempat keempat selepas hanya mampu mengutip tiga mata daripada lima perlawanan terakhir mereka.
"Kami menghadapi masalah kerana ramai pemain kami mengalami kecederaan.
"Apabila kamu berada dalam situasi yang buruk, sangat sukar menurunkan barisan pemain muda kerana kamu tidak mahu meletakkan tanggungjawab yang besar kepada mereka.
"Tetapi, kini kami sudah dua minggu tidak bermain dan kami perlu menggunakan cuti itu sebagai kelebihan.

Liga Super Mula 29 Januari



PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) telah memutuskan bahawa saingan Liga Super 2011 bakal bermula 29 Januari depan manakala Liga Perdana 2011 pula bermula dua hari selepas itu.
Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah menemukan Selangor dan Kelantan turut akan berlangsung pada 29 Januari di Stadium Shah Alam.
“Sebelum ini, kita telah menetapkan perlawanan sumbangsih serta aksi pertama Liga Super 2011 untuk pasukan lain akan berlangsung pada 15 Januari depan.
“Namun setelah diteliti berhubung aspek teknikal dan penajaan, kita akan mulakan Liga Super 2011 pada 29 Januari depan,” kata Hamidin selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.
Kosmo! difahamkan, kontrak Telekom Malaysia Berhad (TM) selaku penaja utama Liga Malaysia sejak 2004 hanya akan berakhir pada 26 Januari depan dan TM tidak berhasrat menyambung tajaan untuk musim 2011.
Justeru, FAM terpaksa mencari tarikh selepas 26 Januari depan untuk memulakan saingan musim 2011 di bawah label penaja baru.
Hamidin turut memberitahu, saingan Liga Super 2011 tidak akan dihentikan ketika skuad Harimau Muda A menentang Pakistan untuk aksi pusingan pertama kelayakan Sukan Olimpik 2012 pada 23 Februari dan 9 Mac depan.
“Saingan tidak akan dihentikan. Harimau Muda A mempunyai baki pemain lain yang boleh diturunkan untuk aksi Liga Super ketika sebahagian besar pemain mereka beraksi pada kelayakan Olimpik itu,” jelas Hamidin.
Namun tindakan itu turut menjejaskan beberapa pasukan lain kerana jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee bercadang menyerapkan Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan), Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan), Faizal Abu Bakar dan Ahmad Shakir Md. Ali (Kedah) untuk dua aksi kelayakan Olimpik itu.
Sementara itu, JKPT semalam turut memutuskan saingan Piala Presiden akan bermula 10 Februari, Liga FAM bermula 13 Februari, final Piala FA pada 11 Jun, Piala Malaysia bermula 7 September dan final Piala Malaysia pada 29 Oktober.