KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Khamis, 12 Ogos 2010

Malaysia No. 139 dunia



SKUAD negara kini berada pada ranking ke-139 dunia.


SKUAD bola sepak kebangsaan kini berada di ranking ke-139 dunia dalam senarai terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) semalam.

Ia merupakan kedudukan terbaik buat Malaysia selepas kali terakhir berada pada kedudukan lebih baik iaitu di tangga ke-127 dunia pada Jun 2006, kira-kira empat tahun yang lalu.

Kedudukan ke-139 itu juga adalah yang terbaik sepanjang 2010 selepas Malaysia menduduki tangga ke-159 pada Januari, ke-146 pada Februari, ke-147 pada Mac dan April, ke-146 pada Mei, ke-142 pada Jun dan Julai lalu.

Di peringkat Asia, Malaysia kini menduduki tangga ke-25 tetapi di kalangan negara-negara Asia Tenggara pula, Malaysia masih berada di ranking kelima di belakang Thailand (ke-104 dunia), Singapura (ke-120 dunia), Vietnam (ke-127 dunia) dan Indonesia (ke-135 dunia).

Namun Malaysia tidak mungkin akan terus berjaya melonjak secara drastik bagi memintas Indonesia, Vietnam dan Singapura andai jumlah perlawanan kelas A yang dihadapi skuad kebangsaan masih kurang.

Jika tahun lalu Malaysia mengharungi lapan perlawanan kelas A bertemu Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Kenya, China, Arab Saudi, Jordan, Lesotho dan Uzbekistan (dua kali), namun tahun ini baru dua perlawanan dilalui selepas lapan bulan berlalu.

Dua aksi tersebut ialah bertemu UAE (tewas 0-1) di Dubai pada 6 Januari dan bertemu Yemen (menang 1-0) di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 27 Februari lalu.

Andai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat mengatur aksi-aksi persahabatan kelas A berdepan pasukan yang lebih tinggi ranking seperti India, Indonesia, Hong Kong, Vietnam dan Singapura, pasti kedudukan Malaysia akan lebih baik selepas ini.

Jika tidak, peluang Malaysia untuk mengumpul sebanyak mungkin mata hanyalah pada Piala AFF Suzuki 2010 Disember depan memandangkan saingan Sukan Asia 2010 November depan tidak dikira untuk pungutan mata ranking FIFA.

Sementara itu, kedudukan 10 pasukan teratas dalam senarai ranking terbaru FIFA semalam langsung tidak berubah dengan juara Piala Dunia 2010, Sepanyol masih menduduki tangga teratas.

Ia diikuti Belanda, Brazil, Jerman, Argentina, Uruguay, England, Portugal, Mesir dan Chile

Real setuju 'ikat' Carvalho





MADRID - Kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid bersetuju untuk menandatangani kontrak bersama tonggak pertahanan Chelsea, Ricardo Carvalho (gambar kiri) untuk tempoh dua tahun.

"Real dan Chelsea telah mencapai persetujuan dengan segala syarat-syarat dan perjanjian untuk perpindahan yang membabitkan Carvalho.

"Mengikut perjanjian, pemain tersebut (Carvalho) akan beraksi buat Real untuk tempoh dua musim daripada sekarang," jelas kenyataan yang dikeluarkan dalam laman web rasmi Real, kelmarin.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan laman web rasmi Chelsea pula, perjanjian yang membabitkan Carvalho hanya akan diambil kira sekiranya pemain tersebut lulus ujian kesihatan.

Seandainya Carvalho beraksi buat Real, ini bermakna dia akan sekali lagi berada di bawah kendalian Jose Mourinho yang pernah membimbing Chelsea selama tiga musim sejak 2004.

Selain Mourinho, Carvalho juga turut akan beraksi bersama dua rakan senegaranya dari Portugal, Cristiano Ronaldo dan Pepe.

Sementara itu, perancang Liverpool, Javier Mascherano menyatakan hasrat untuk menyertai Barcelona dengan yuran perpindahan £30 juta (RM150 juta).

Ejen Mascherano, Horacio Zandonadi berkata, kapten skuad kebangsaan Argentina itu sedia untuk menolak permintaan bekas pengurus Liverpool, Rafael Benitez yang kini membimbing Inter Milan.

"Mascherano berminat untuk beraksi dengan Barcelona. Pemain kelab itu dan semua orang pasti gembira jika dia menandatangani kontrak bersama Barcelona," kata Zandonadi. - Agensi


Sentuhan Menezes menjadi



NEYMAR (kiri) meraikan jaringannya pada aksi menentang Amerika Syarikat semalam.


EAST RUTHERFORD, New Jersey - Skuad Brazil yang berwajah baru berjaya menewaskan Amerika Syarikat 2-0 pada aksi persahabatan pagi semalam.

Kemenangan tersebut jelas menggembirakan jurulatih baru Brazil, Mano Menezes yang menggantikan tempat Dunga.

Pemain sayap, Neymar, 18, yang disisihkan Dunga pada Piala Dunia 2010 telah mempamerkan persembahan cemerlang termasuk menjaringkan gol pertama.

Selepas beraksi 28 minit, Brazil berjaya memecah kebuntuan setelah Andre Santos melakukan hantaran cantik dari sebelah kiri sebelum ditanduk masuk oleh Neymar.

Gol kedua menyusul pada masa kecederaan babak pertama dengan hantaran Ramires berjaya disudahkan dengan baik oleh Alexandre Pato untuk menewaskan penjaga gol Amerika Syarikat, Tim Howard.

Brazil memiliki deretan peluang terbaik sepanjang babak kedua tetapi penjaga gol gantian tuan rumah, Brad Guzan mempamerkan aksi cemerlang.

Barisan pemain muda sandaran Wenger



WENGER (tengah) percaya penampilan Fabregas (kanan) dan van Persie mampu melonjakkan semangat pemain-pemain muda Arsenal bagi mengharungi saingan musim ini.


LONDON - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berharap seluruh penyokong setia The Gunners agar kembali meletakkan kepercayaan terhadap barisan pemain mudanya musim ini.

Anak-anak buah Wenger dijadualkan membuka tirai saingan Liga Perdana England musim ini dengan berdepan Liverpool di Anfield Ahad ini.

Begitupun, The Gunners akan turun beraksi tanpa khidmat dua bintang mereka iaitu kapten, Cesc Fabregas dan juga penyerang, Robin van Persie.

Meskipun dilaporkan akan mengakhiri kariernya musim ini, Wenger tetap menyimpan hasrat untuk menyaksikan barisan pemain muda skuad kendaliannya menjulang trofi liga.

Jelas Wenger, pemain-pemain yang dimilikinya ketika ini mempunyai potensi besar untuk melakarkan kejayaan selain memberi tentangan sengit buat dua pencabar terdekat mereka iaitu Manchester United dan juga Chelsea.

"Saya percaya kami mempunyai peluang yang cerah untuk merangkul kejuaraan. Perkara yang paling penting adalah kami memiliki kepercayaan tersebut.

"Kami berjaya mengakhiri saingan musim lalu di tangga ketiga liga. Jadi... kami perlu melonjak dua lagi anak tangga sebelum muncul selaku juara dan saya sangat optimis, kami mampu melakukannya," jelas Wenger