KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Khamis, 25 November 2010

Wenger berang keputusan pengadil




LONDON - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger (gambar) tiba-tiba mengamuk selepas skuad kendaliannya mengalami mimpi buruk dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Ia gara-gara kekalahan mengejut 0-2 yang dialami skuad The Gunners itu kepada wakil Portugal, Partizan Braga dalam aksi Kumpulan H di Stadium Emirates.
Bagaimanapun, Wenger tidak menyalahkan anak-anak buahnya ekoran kekalahan memalukan itu.
Sebaliknya, Wenger mengkritik mutu pengadilan yang dianggapnya berat sebelah sehingga menyebabkan Braga mampu mencipta kemenangan.
Wenger ternyata berang selepas Arsenal tidak diberikan sepakan penalti biarpun jelas penyerang mudanya, Carlos Vela dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-78.
Belum reda kemarahannya terhadap pengadil perlawanan, Viktor Kassai, Wenger semakin tertekan apabila pasukan pelawat memperoleh dua gol hasil jaringan Matheus Nascimento pada minit ke-83 dan 90.
Kekalahan itu sekali gus menyebabkan Arsenal gagal untuk menempah tiket ke pusingan kalah mati lebih awal kerana terpaksa menunggu sehingga perlawanan terakhir Kumpulan H apabila berdepan kelab Ukraine, Partizan Belgrade.
"Kami seperti dipermainkan di laman sendiri selepas pengadil tidak memberikan sepakan penalti biarpun memang jelas berlaku terjahan ke atas Vela dalam kotak penalti.
"Apa yang membuatkan saya lebih pelik apabila Vela pula yang dilayangkan kad kuning. Mutu pengadilan memang teruk.
"Kini kami perlu menunggu sehingga perlawanan terakhir peringkat kumpulan dan apa lebih penting kami perlu layak ke pusingan kalah mati," jelas Wenger.
Dalam pada itu, perkhabaran kurang gembira terus menyelubungi kem The Gunners apabila bakal kehilangan kapten, Cesc Fabregas dan tonggak pertahanan, Emmanuel Eboue.
Kedua-dua pemain itu dilaporkan mengalami kecederaan dan mereka dijangka berehat untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga ataupun empat minggu

Ibrahimovic nadi Milan




AUXERRE - Penyerang antarabangsa Sweden, Zlatan Ibrahimovic (gambar) menjadi watak utama bagi membantu AC Milan mara ke pusingan kalah mati saingan Liga Juara-Juara.
Awal pagi semalam, Ibrahimovic berjaya meledak satu gol pada minit ke-64 ketika membantu Milan menewaskan kelab Perancis, Auxerre 2-0 dalam aksi Kumpulan G di Stadium Abbe-Deschamps.
Satu lagi gol Milan diperoleh menerusi bintang Brazil, Ronaldinho pada penghujung babak kedua.
Kemenangan tersebut menyaksikan kelab gergasi Itali itu mengiringi Real Madrid yang lebih awal mengesahkan slot ke pusingan kalah mati.
"Inilah yang bakal terjadi apabila kamu berdepan sebuah kelab (Milan) yang memiliki barisan pemain yang berkualiti.
"Dengan peluang yang terhad sekalipun, mereka masih mampu menjaringkan gol, ditambah pula Ibrahimovic yang mengetuai jentera serangan mereka," jelas perancang Auxerre, Benoit Pedretti.
Masih berbaki satu perlawanan lagi, Milan kini menduduki tangga kedua apabila mengumpul lapan mata, empat mata dipisahkan dengan Ajax Amsterdam yang menghuni tangga ketiga manakala Auxerre di tangga tercorot dengan tiga mata.
Real pula unggul apabila menjuarai Kumpulan G selepas mengumpul 13 mata biarpun masih mempunyai baki satu perlawanan.
"Kam beraksi dengan bersungguh-sungguh pada perlawanan tersebut. Ternyata ia bukan merupakan perlawanan yang mudah buat kami.
"Namun dengan kemenangan ini, ia memberikan kami sedikit kelebihan apabila turun beraksi pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan nanti.
"Kami akan beraksi dengan corak permainan kami yang tersendiri dan tidak kiralah siapapun lawan kami pada pusingan kalah mati nanti, kami yakin kami mampu mencatat kemenangan," kata Ibrahimovic

Ronaldo julang Real


RONALDO meledak dua gol bagi membantu Real melakar kemenangan ke atas Ajax Amsterdam dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi semalam.


AMSTERDAM - Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo sekali lagi menjadi 'duri dalam daging' buat pasukan lawan.
Kali ini, Ronaldo meledak dua gol ketika The Galacticosmencatat kemenangan bergaya 4-0 ke atas Ajax Amsterdam dalam saingan Liga Juara-Juara.
Pada aksi Kumpulan G yang berlangsung di Amsterdam Arena awal pagi semalam, Ronaldo menjaringkan gol pada minit ke-70 dan 81.
Terdahulu, penyerang antarabangsa Perancis, Karim Benzema membuktikan sentuhannya masih berbisa apabila membuka tirai jaringan Real pada minit ke-36 sebelum Alvaro Arbeloa menjaringkan gol kedua seminit sebelum babak pertama berakhir.
Real yang telah mengesahkan slot ke pusingan kalah mati muncul selaku juara Kumpulan G apabila mengumpul 13 mata - lima mata meninggalkan AC Milan di tangga kedua yang turut layak ke kelompok 16 pasukan terbaik.
Bagaimanapun, di sebalik kejayaan yang dicatatkan kelab gergasi Sepanyol itu, jurulatih, Jose Mourinho meluahkan kekecewaannya terhadap mutu pengadilan yang didakwa kurang memuaskan.
Ia gara-gara tindakan pengadil perlawanan, Craig Thompson yang melayangkan kad merah kepada dua tonggak utamanya, Xabi Alonso dan Sergio Ramos di atas kesalahan mereka yang dikatakan sengaja melengah-lengahkan masa.
Ekoran kad merah yang dikenakan ke atas Alonso dan Ramos itu, kedua-dua pemain tersebut tidak boleh diturunkan pada pertemuan terakhir peringkat kumpulan menentang Auxerre, 8 Disember depan.
"Memang pertemuan dengan Auxerre tidak penting buat kami, namun saya masih kecewa dengan tindakan pengadil.
"Pada perlawanan tadi (awal pagi semalam), kami telah mendahului 4-0.
"Jadi... tidak ada gunanya pengadil melayangkan kad merah kepada pemain kerana semua sudah boleh meramalkan pasukan mana yang akan menang," jelas Mourinho

Ancelotti 'naik angin'


REAKSI Ancelotti ketika Chelsea menentang Zilina dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi semalam.


LONDON - Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti ternyata berang dengan prestasi skuad The Blues ketika menentang kelab Rusia, MSK Zilina dalam saingan Liga Juara-Juara awal pagi semalam.
Pada aksi Kumpulan F di Stamford Bridge itu, anak-anak buah Ancelotti sekadar mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Zilina.
Sekalipun berjaya melakar kemenangan, Ancelotti tetap tidak berpuas hati dengan corak persembahan yang dipamerkan skuad kendaliannya itu.
Prestasi yang tidak konsisten serta mudah leka yang dipamerkan The Blues telah mengundang padah apabila mereka dikejutkan dengan gol pendahuluan pasukan pelawat menerusi Bello Babatounde seawal minit ke-19.
Mujur Chelsea kembali bangkit sebaik babak kedua bersambung apabila Daniel Sturridge dan Florent Malouda masing-masing meledak satu gol pada minit ke-51 dan 86 bagi membantu Chelsea mencipta kemenangan.
Jelas Ancelotti, pemain-pemainnya sudah boleh melupakan hasrat untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara musim ini jika mereka masih tampil dengan corak persembahan hambar.
"Ia merupakan satu perlawanan yang sukar kerana kami tidak memulakan aksi pada babak pertama dengan baik.
"Hanya pada babak kedua sahaja kami mula mempamerkan corak permainan sebenar apabila berjaya mengawal bola dengan baik.
"Namun jika kami beraksi seperti yang kami pamerkan pada babak pertama perlawanan, adalah mustahil untuk kami menggenggam trofi Liga Juara-Juara," jelas Ancelotti.
Bagaimanapun, kemenangan tersebut cukup bermakna buat Chelsea apabila mereka muncul selaku juara Kumpulan F selepas mengumpul 15 mata, sekali gus mara ke pusingan kalah mati