KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Khamis, 29 Julai 2010

Raul setuju sertai Schalke

BERLIN - Bekas kapten Real Madrid, Raul (gambar) dilaporkan telah bersetuju untuk menyertai kelab Jerman, Schalke 04 dengan kontrak dua tahun selepas menamatkan khidmat selama 16 tahun di Bernabeu.

Penyerang berusia 33 tahun itu yang mengadakan sidang media khas bagi mengucapkan selamat tinggal kepada penyokong Real bersama rakannya, Guti pada Isnin lalu telah diperkenalkan kepada penyokong Schalke semalam.

Raul telah beraksi bersama Real sejak 1994 dan menjaringkan 323 gol daripada 740 penampilan bersama kelab Sepanyol itu.

Selain itu, ketika menyarung jersi Sepanyol, Raul telah meledak 44 gol dalam 102 perlawanan dan membuat penampilan terakhir pada 2006.

Ahad lalu, Real telah memberitahu bahawa Raul dan Guti bakal meninggalkan kelab itu kerana mereka berdua dilihat tidak cukup cergas untuk menyesuaikan diri dengan perancangan jurulatih baru, Jose Mourinho.

Schalke yang dilatih Felix Magath dan berpangkalan di Gelsenkirchen hampir memenangi Liga Jerman musim lalu tetapi dikecewakan oleh finalis Liga Juara-Juara, Bayern Munich.

"Saya cukup gembira kerana kami berjaya mendapatkan seorang pemain yang luar biasa dan merupakan penjaring terhebat ini untuk beraksi bersama Schalke dalam saingan Liga Jerman.

"Kehadiran Raul merupakan satu langkah tepat dalam usaha kami memperkuat pasukan ini bagi menghadapi saingan musim baru," kata Magath

Tevez gesa Torres sertai City


TEVEZ yakin kehadiran Torres bakal menjadikan Manchester City sebuah pasukan yang hebat.

MANCHESTER - Carlos Tevez menggesa Fernando Torres supaya menyertainya di Manchester City.

Awal minggu ini, pengurus City, Roberto Mancini turut membuat pengakuan yang dia berminat untuk menandatangani penyerang Liverpool itu.

Lantaran itu, Tevez dengan yakin membayangkan mereka berdua bakal menjadi gandingan terbaik dalam saingan Liga Perdana England jika perpindahan itu menjadi kenyataan.

"Torres jelas akan menjadikan pasukan kami ini lebih baik. Dia merupakan salah seorang penyerang terbaik dunia dan saya cukup gembira jika dia menjadi rakan sepasukan saya.

"Musim lalu kami gagal dalam perebutan tempat ke Liga Juara-Juara musim ini. Tapi saya yakin kali ini kami akan berjaya merebut slot itu dan mencabar untuk kejuaraan liga.

"Saya lihat kelab ini telah mengambil beberapa pemain baru dan ia telah membuatkan kami semakin kuat. Saya tak rasa menyesal menyertai City," kata Tevez.

Begitupun pengurus Liverpool, Roy Hodgson menegaskan Torres akan kekal menjadi milik mereka.

Bekas pengurus Fulham itu bimbang bakal kehilangan bintang bernilai £50 juta (RM249 juta) itu tetapi dia kini begitu teruja untuk menyambut kepulangan Torres ke padang latihan Melwood minggu depan.

"Dia (Torres) telah memberitahu kami yang dia akan kembali pada Isnin depan. Dia begitu teruja untuk kembali berlatih bersama kami dan bersedia untuk beraksi bersama Liverpool musim ini.

"Dia juga memberitahu yang dia begitu seronok dapat menghabiskan cuti selepas Piala Dunia 2010, sesuatu yang pertama kali dapat dilakukannya sepanjang tiga tahun ini," kata Hodgson