KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Khamis, 13 Januari 2011

Dzeko bersemangat


DZEKO (kanan) berazam untuk menamatkan kemarau 43 tahun City bagi menjulang trofi Liga Perdana England.


LONDON - Bintang baru Manchester City, Edin Dzeko berazam untuk menamatkan kemarau 43 tahun kelab London itu bagi menjulang trofi Liga Perdana England.
Kelmarin, City telah menandatangani kontrak bersama penyerang antarabangsa Bosnia yang dibeli dari Wolfsburg dengan yuran perpindahan bernilai £27 juta (RM129.371 juta) itu.
Bagi merealisasikan impian itu, Dzeko telah menonton satu filem baru, Blue Moon Rising yang berkisarkan mengenai situasi yang dialami para penyokong setia City yang dahagakan kejayaan.
"Saya telah menontonnya dan ia memang sebuah filem yang penuh dengan emosi. Saya juga menyaksikan banyak perkara telah terjadi dalam tempoh beberapa tahun.
"Biarpun gagal menjulang sebarang trofi kejuaraan untuk tempoh yang sangat panjang, para penyokong masih tetap setia dengan kelab ini (City). Ia suatu yang menakjubkan.
"Kini, azam saya hanya satu iaitu mahu menghadiahkan kegembiraan kepada mereka (penyokong-penyokong City).
"Saya berjaya membantu Wolfsburg untuk menjuarai Liga Jerman buat pertama kali dan saya bertekad untuk mengulangi kejayaan itu bersama City," jelas Dzeko.
Dalam masa yang sama, kem City tersentak seketika selepas penyerang, Mario Balotelli dilaporkan terpaksa diketepikan untuk tempoh sekurang-kurangnya dua minggu.
Perkara itu disahkan sendiri oleh pengurus City, Roberto Mancini.
Mancini menjelaskan bahawa penyerang antarabangsa Itali itu perlu menjalani pembedahan di bahagian buku lali.
"Saya bimbang dengan masalah kecederaan yang dialami Balotelli ketika ini dan diharapkan pembedahan akan berjalan dengan lancar.

Aidil kembali dalam skuad


ZAFUAN (kiri) kembali disenaraikan dalam skuad bola sepak kebangsaan.


BEKAS ketua pasukan kebangsaan, Aidil Zafuan Radzak kembali dipanggil K. Rajagobal untuk aksi persahabatan antarabangsa menentang Hong Kong di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 9 Februari depan.
Selain Aidil, jurulatih kebangsaan itu turut memanggil enam lagi pemain yang tidak beraksi pada Piala Suzuki AFF 2010 iaitu Farizal Marlias, Ahmad Fakri Saarani, Azmi Muslim, S. Chanthuru, G. Mahathevan dan Shahrizal Saad.
Menurut senarai yang dikeluarkan di laman web rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu semalam, hanya 17 daripada 22 pemain skuad yang menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 bulan lalu disenaraikan Rajagobal untuk latihan pusat kali ini.
Lima pemain yang tidak terpilih ialah Amri Yahyah, Razman Roslan (Selangor), Khyril Muhymeen Zambri, Faizal Abu Bakar dan Khairul Helmi Johari (Kedah).
24 pelatih bagi kem latihan kali ini akan mula menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 2 Februari depan, sehari selepas mereka beraksi untuk perlawanan kedua Liga Super 2011 bersama kelab masing-masing.
Aidil mengalami kecederaan lutut ketika beraksi untuk Negeri Sembilan pada final Piala Malaysia 2010 yang menyebabkan dia terpaksa diketepikan Rajagobal untuk Sukan Asia 2010 dan Piala Suzuki AFF 2010.
Persoalan kini timbul sama ada tugas kapten yang diambil alih Safiq Rahim pada dua kejohanan tersebut akan diserahkan semula kepada Aidil atau terus menjadi milik pemain tengah Selangor itu.
Farizal, Fakri, Azmi dan Chanthuru turut diketepikan daripada skuad Piala Suzuki AFF 2010 kerana kecederaan tetapi mereka kini sudah pulih sepenuhnya.
Mahathevan, bekas pemain tengah PKNS yang beraksi untuk Negeri Sembilan musim ini dan Shahrizal, bekas penyerang Perak yang kini bersama Johor FC pula pernah beberapa kali dipanggil Rajagobal sepanjang tahun lalu.
Namun, beberapa pemain yang masih belum pulih tidak disenaraikan.

RM65,000 untuk setiap pemain


TENGKU ABDULLAH (tengah) turut hadir pada majlis di Seri Perdana, Putrajaya semalam.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pemberian insentif saham amanah serta wang tunai berjumlah RM65,000 setiap seorang kepada 25 pemain dan jurulatih skuad bola sepak kebangsaan yang menjuarai Piala Suzuki AFF pada bulan lepas.
“Setiap pemain dan jurulatih diberikan unit Amanah Saham Wawasan 2020 berjumlah RM50,000 yang bagaimanapun tidak boleh dikeluarkan sehingga tempoh 10 tahun,” kata Perdana Menteri ketika meraikan skuad itu di kediaman rasminya, Seri Perdana di Putrajaya semalam.
Pada majlis yang turut dihadiri Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan menteri-menteri Kabinet itu, Najib berkata, imbuhan wang tunai RM10,000 adalah daripada kerajaan dan RM5,000 lagi melalui Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) Majlis Sukan Negara (MSN).
Katanya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memperuntukkan RM500,000 kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menaik taraf kemudahan gimnasium dan membina bilik sauna di Wisma FAM di Kelana Jaya bagi kemudahan pemain.
Malaysia menjuarai Piala Suzuki AFF buat julung kalinya dengan menumpaskan Indonesia dengan agregat 4-2 setelah menang 3-0 pada aksi pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebelum tewas 1-2 pada perlawanan kedua di Gelora Bung Karno, Jakarta.
Najib juga berkat, kerajaan akan bekerjasama dengan FAM sekiranya mahu menghantar pemain-pemain untuk menjalani latihan dengan mana-mana kelab bola sepak di luar negara.
“Untuk pembangunan di masa depan, kerajaan akan memberikan kerjasama dan sokongan yang sebaik-baiknya kepada FAM untuk memajukan bola sepak di negara ini.
“Kerajaan akan menaja latihan pemain-pemain kita dengan kelab-kelab ternama di luar negara sebagai persediaan pemain. Terserahlah kepada FAM untuk menentukan di mana, siapa dan sebagainya. FAM perlulah juga berunding dengan KBS dan MSN terlebih dahulu,” katanya.
Mengenai kejayaan sulung skuad negara memenangi Piala Suzuki AFF, Najib berkata, ia perlu dijadikan contoh oleh semua rakyat Malaysia khususnya generasi muda.
“Ia bukanlah sebarang kejayaan kerana ia suatu kejayaan yang mencetus satu semangat patriotisme yang luar biasa di kalangan rakyat.
“Tidak ada satu peristiwa lain ataupun kejohanan lain yang boleh dianggap setanding dengan apa yang telah dilalui dalam peristiwa yang membolehkan kita menjulang Piala Suzuki AFF ini. Suasana di Stadium Nasional, Bukit Jalil boleh dikatakan sebagai electrifying (bersemangat), walaupun saya tidak berada bersama, tetapi saya dapat saksikan jaringan yang menarik pemain Malaysia melalui YouTube,” katanya.
Perdana Menteri turut mengimbau saat-saat manis beliau duduk di atas jalan raya bersama rakyat di Jalan Bukit Bintang ketika menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua antara Malaysia dan Vietnam.
“Saya sendiri mencatat sejarah peribadi, belum pernah ada Perdana Menteri duduk di atas jalan raya bersama-sama rakyat untuk menyaksikan perlawanan bola... dan saya berbangga. Bila kita (Malaysia) menang hari itu, rasa macam hendak menitiskan air mata.
“Saya dapat menyelami kekuatan mental pemain ketika itu begitu juga dengan semangat yang ditunjukkan oleh peminat-peminat. Saya dapat saksikan perubahan besar dalam bola sepak Malaysia,” katanya.
Najib menyeru semua pemain supaya terus berusaha untuk mengekalkan kecemerlangan yang telah ditunjukkan pada Piala Suzuki AFF dengan meningkatkan prestasi.
Tumpuan skuad bola sepak kebangsaan kini, katanya, adalah untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik di London pada 2012 dan berusaha untuk menjadi kuasa besar sukan bola sepak di rantau Asia.