KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Rabu, 15 Disember 2010

Wenger menyalahkan keadaan padang

WENGER menyalahkan keadaan padang licin selepas pasukannya tewas kepada United semalam.


MANCHESTER - Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mengkritik mutu padang di Old Trafford dengan menganggap ia tidak cukup bagus untuk digunakan selepas pasukannya itu tewas 0-1 kepada Manchester United awal pagi semalam.
Kelab London itu gagal mempamerkan aksi menyerang dengan baik seperti dilakukan mereka sepanjang musim ini sekali gus terlepas kedudukan tangga teratas kepada United selepas kekalahan tersebut.
"Bagi kedua-dua pasukan, kamu boleh melihat berlakunya kesilapan teknikal berpunca daripada keadaan padang yang tidak cukup baik untuk mempamerkan satu permainan bola sepak yang menarik.
"Ia (padang) tampak tidak rata dan kadang kala agak licin," kata Wenger.
Pengurus veteran itu yang sering dilihat enggan bertentang mata dengan pengurus United, Alex Ferguson yang cuba untuk tidak terlalu terlibat dengan sebarang provokasi sebelum bermulanya pertembungan tersebut.
"Kualiti teknikal dalam perlawanan ini pada tahap biasa saja untuk kedua-dua pasukan kerana padang cukup teruk pada padangan saya dan ia telah menjejaskan rentak perlawanan.
"Jika saya tanya kamu, mahu padang yang baik atau padang yang teruk, apakah jawapan kamu?" soal Wenger ketika membidas keadaan padang di Old Trafford itu.
Kakitangan stadium telah menggunakan penyembur air untuk melembabkan padang sebelum perlawanan dan beberapa pemain kelihatan sering tergelincir sepanjang perlawanan tersebut.
Namun, kehebatan lima tonggak tengah United selain kecemerlangan pemain pertahanan, Rafael menghalang hantaran lintang pemain Arsenal sebenarnya turut menyumbang kepada kegagalan pasukan pelawat itu menjana serangan.
Sebelum perlawanan, pemain pertahanan United, Patrice Evra telah melabelkan Arsenal hanya sebagai pusat latihan kerana mereka hanya mampu beraksi dengan cantik tetapi bukanlah pencabar kejuaraan yang sebenar.
Jelas Wenger: "Memang ia satu yang amat mengecewakan tetapi apa yang lebih penting, kami perlu bangkit semula pada perlawanan seterusnya. Kami masih pasukan yang baik secara keseluruhannya biarpun tewas perlawanan ini.

Ji-sung musnahkan Arsenal


JI-SUNG menjaringkan gol kemenangan United pada aksi menentang Arsenal di Old Trafford semalam.


MANCHESTER - Jaringan tunggal pemain Korea Selatan, Park Ji-sung membantu Manchester United menewaskan Arsenal 1-0 untuk merampas semula tangga teratas Liga Perdana England awal pagi semalam.
Namun pengurus United, Alex Ferguson berkongsi perrasaan suka dan duka memandangkan Ji-Sung bakal terlepas beberapa perlawanan selepas ini.
Ji-sung mempunyai tugasan antarabangsa bersama Korea Selatan untuk pusingan akhir Piala Asia di Qatar pada 7 hingga 29 Januari depan.
Pada aksi di Old Trafford itu, Ji-sung melakukan tandukan menarik untuk menghasilkan gol tunggal United pada minit ke-41.
Namun, Wayne Rooney mempersiakan peluang untuk memberikan kemenangan selesa buat United selepas sepakan penaltinya pada minit ke-73 melepasi palang.
"Dia (Ji-sung) kini sedang berada pada prestasi yang cukup baik tetapi kami bakal kehilangannya selepas perlawanan 26 Disember ini.
"Dia akan terlepas tujuh perlawanan kerana menyertai Piala Asia. Ia sesuatu yang membuatkan saya sedih dan kecewa," kata Ferguson.
Dengan kemenangan ke atas Arsenal itu, United bakal berdepan Chelsea pada aksi berikutnya Ahad ini dengan tahap keyakinan yang cukup tinggi.
Andai menang pada aksi di Stamford Bridge itu, United buat pertama kali akan merasai nikmat menghuni tangga teratas liga ketika sambutan Hari Krismas selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 2006.
"Kami beraksi cukup baik ketika bertemu Arsenal ini. Kami benar-benar mahu mempamerkan aksi terbaik dan berjaya melakukannya pada separuh masa pertama.
"Tapi saya tak rasa ia satu permainan yang penuh bersemangat selain pengadil turut terlalu tegas pada babak pertama.
"Arsenal cuba bangkit pada babak kedua tetapi kami masih memiliki beberapa peluang terbaik menerusi serangan balas," jelas Ferguson.
Arsenal yang sebelum ini menghuni tangga teratas liga kini dipintas dua mata oleh United tetapi skuad bimbingan Ferguson itu masih kurang satu perlawanan

22,000 tiket habis dijual


PARA peminat bola sepak tempatan nampaknya begitu teruja untuk menyaksikan pertemuan separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 menemukan Malaysia dan Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Buktinya, sebanyak 22,000 keping tiket telah pun habis dijual dalam tempoh dua hari.
Namun, memandangkan Stadium Nasional boleh memuatkan sehingga 90,000 penonton, para peminat yang belum mempunyai tiket masih boleh membelinya di kaunter tiket stadium bermula pukul 10 pagi ini sehingga perlawanan bermula.
Pengerusi Jawatankuasa Tiket & Pintu Masuk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk S. Sivasundaram berkata, penjualan tiket yang laris sepanjang kelmarin dan semalam membuktikan skuad kebangsaan kali ini mendapat sokongan penuh peminat tempatan.
"Pada hari pertama penjualan tiket di Wisma FAM semalam (kelmarin), sebanyak 5,000 keping tiket telah terjual. Hari kedua penjualan tiket di kaunter Stadium Nasional hari ini (semalam) menyaksikan sebanyak 17,000 keping tiket lagi telah terjual.
"Keseluruhannya, kita sudah menjual 22,000 keping tiket daripada sejumlah 50,000 keping tiket yang kita cetak. Tapi jika tidak mencukupi, kita akan tambah lagi cetakan," katanya ketika dihubungi Kosmo!malam tadi.
Namun, Sivasundaram yang juga Bendahari Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menambah, jika 50,000 penonton hadir malam ini, ia sudah cukup membanggakan kerana sudah lama aksi melibatkan skuad kebangsaan gagal menarik penonton seramai itu.

'Jersi kuning tak bawa tuah'



WIRA-WIRA bola sepak negara sudah bersiap sedia untuk menghadapi ancaman Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.


BIARPUN turun selaku tuan rumah, Malaysia bakal menggunakan jersi kedua mereka berwarna biru untuk menghadapi Vietnam pada separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Pada dua aksi Kumpulan A sebelum ini, Malaysia menggunakan jersi kedua berwarna biru dan berjaya mengikat Thailand 0-0 dan membelasah Laos 5-1. Ketika mereka menggunakan jersi kuning pada aksi pertama menentang Indonesia, skuad negara dibelasah 5-1.
Penentuan untuk menggunakan jersi berwarna biru itu disahkan jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal pada sidang media di Stadium Nasional petang semalam.
"Kami baru saja membuat keputusan pada mesyuarat pengurus pasukan sebentar tadi (semalam) bahawa Malaysia akan menggunakan jersi biru pada perlawanan esok (hari ini)," kata Rajagobal.
Namun jurulatih Vietnam, Henrique Calisto yang turut sama dalam sidang media itu pantas mencelah dan sambil berseloroh berkata: "Kalau Malaysia pakai jersi biru, biarlah kami pakai jersi kuning."

Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan malam ini, Rajagobal berkata, dia berkeyakinan tinggi bahawa barisan pemain mudanya akan memberikan satu keputusan positif selepas berakhir 90 minit permainan.
"Vietnam saya akui sebuah pasukan yang kuat walaupun jurulatih mereka beritahu tiga pemain cedera dan seorang digantung. Lagipun mereka hadir selaku juara bertahan.
"Cuma saya harap para pemain kita tidak takut dan gentar dengan reputasi pasukan lawan dan gunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di tempat sendiri.
"Saya mahu pemain memberikan aksi terbaik sebagai balasan penyokong hadir ke stadium supaya kita dapat mencatat satu lagi kenangan manis sebelum menutup tahun 2010," ujarnya.
Bekalan gol selesa cukup penting untuk dibawa ke perlawanan kedua di Hanoi pada Sabtu ini sambil peraturan gol di tempat lawan turut digunapakai pada kejohanan kali ini.