KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Khamis, 8 Julai 2010

Mancini berdepan tekanan



SILVA antara pemain yang dibeli Mancini dalam usaha mempertajamkan jentera serangan City musim depan.


LONDON - Roberto Mancini mungkin akan dipecat sekiranya gagal menghadiahkan gelaran Liga Juara-Juara kepada Manchester City musim depan.

Ini kerana, City telah berbelanja besar apabila membawa masuk David Silva, Yaya Toure dan Jerome Boateng ke Eastlands dengan bayaran 60 juta pound (RM292 juta) pada musim panas ini .

Malah pemain tengah England, James Milner dan penyerang Sepanyol, Fernando Torres turut menjadi buruan Mancini.

Penjaga gol City dan Republik Ireland, Shay Given yakin sekiranya semua pemain yang baru dibeli itu gagal membantu mereka memenangi gelaran, sekurang-kurangnya trofi Liga Juara-Juara, Mancini mungkin menerima akibatnya.

"Kami berada di situasi di mana kelab telah berbelanja besar dan pengurus mengetahui serta menyedari tekanan untuk memperoleh keputusan yang baik dan memenangi trofi," kata Given.

"Saya tidak mahu berkata, kami akan menyertai Liga Perdana England untuk menamatkan saingan di tempat keempat. Kami mahu menang dan jika kami tidak dapat memenanginya, kami akan berpuas hati berada dalam kelompok empat terbaik.

"Tetapi dengan barisan pemain yang ada dan pemain tambahan, kami bersedia untuk memberi cabaran kepada Chelsea, Manchester United dan Arsenal untuk memenangi gelaran liga.

"Itu adalah sasaran yang perlu kami tetapkan. (David ) Silva adalah seorang pemain terbaik. Saya tahu, dia telah beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara di Valencia sejak beberapa tahun lalu.

"Saya tahu Silva dan David Villa menjadi tulang belakang kejayaan pasukan itu (Valencia) dan kini, dia akan melakukannya bersama kami."

Ketika ditanya mengenai sasaran yang ditetapkan kepada Mancini, Given berkata: "Terdapat tekanan sepanjang masa buat pengurus dan pemain. Ini kerana, kelab telah berbelanja besar dan mereka mahukan satu keputusan yang baik.

Kelantan agak kehilangan rentak


TEMPOH rehat lima minggu dalam saingan Liga Super tidak merencat rentak persembahan Kelantan apabila mudah membenam Negeri Sembilan 1-0 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV malam kelmarin, lapor YATIMIN ABDULLAH.

Begitupun, bagi pengendali skuad Kelantan, B. Sathianathan, tempoh rehat tanpa sebarang perlawanan kompetitif tampak memberikan sedikit kesan kepada corak persembahan anak-anak buahnya pada perlawanan itu.

Menurutnya, pada perlawanan itu, para pemainya mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan tempo permainan sehingga memberikan ruang buat pasukan pelawat untuk melancarkan serangan bertali arus pada 20 minit pertama.

"Pada separuh masa kedua barulah kita menemui rentak yang dicari. Secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan corak persembahan mereka.

"Pemain tidak mudah berputus asa dan sentiasa fokus sehingga kita memperoleh jaringan tunggal perlawanan pada minit ke-74," katanya.

Tambahnya, terdapat beberapa kelemahan yang perlu diatasi sebelum berkunjung ke Shah Alam, Sabtu ini untuk bertemu pendahulu Liga Super, Selangor.


Stadium kosong angkara Piala Dunia


TEMPAT duduk di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah lenggang ketika berlangsungnya perlawanan Liga Super antara Terengganu menentang Johor FC malam kelmarin.


KOSONG. Keghairahan peminat tempatan kepada aksi Piala Dunia 2010 yang sedang berlangsung di Afrika Selatan ternyata gagal diterjemahkan di gelanggang sendiri.

Buktinya, aksi Liga Super yang kembali membuka tirainya malam kelmarin sekadar menjadi pelengkap jadual apabila semua stadium sepi tanpa sorakan peminat tempatan.

Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu misalnya yang menemukan pasukan tuan rumah, Terengganu menentang Johor FC hanya mencatat kehadiran kurang daripada 250 penonton.

Keadaan ini sekali gus memberi kesan terutamanya kepada semangat pemain-pemain yang begitu dahagakan sokongan daripada penyokong tempatan.

"Saya rasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu bijak dalam mengatur perlawanan kerana demam Piala Dunia di kalangan peminat masih lagi kuat," jelas seorang penonton, Ruslan Muhammad.