KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Ahad, 29 Ogos 2010

Inter tak sedia jumpa Atletico


KAPTEN Atletico, Simao (tengah) menjulang Piala Super Eropah selepas kejayaan membenam Inter Milan di Monaco awal pagi semalam. Atletico menang 2-0.


MONACO - Jurulatih Inter Milan, Rafael Benitez menyalahkan anak-anak buahnya ekoran kekalahan pada aksi Piala Super Eropah awal pagi semalam.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Louis II, Inter yang tampil sebagai juara kempen Liga Juara-Juara, terpaksa akur dengan kehebatan juara Liga Europa, Atletico Madrid apabila tewas 0-2.

Bagi Benitez, punca kekalahan skuad kendaliannya itu adalah disebabkan kurang persiapan selain masalah tahap kecergasan pemain yang masih belum memuaskan.

"Ia adalah suatu yang sukar untuk diterima. Kami bermula dengan begitu baik sekali, namun gagal untuk mengawal situasi dalam perlawanan.

"Persembahan yang dipamerkan Atletico pada perlawanan tersebut jelas membuktikan yang mereka telah melakukan persiapan yang cukup rapi berbanding kami.

"Kami tidak mempunyai banyak masa untuk menjalani latihan bersama disebabkan ramai pemain-pemain yang beraksi pada Piala Dunia 2010 yang lalu lewat untuk menyertai kami semula.

"Selepas Piala Dunia dan kemudian berlangsungnya dua perlawanan persahabatan antarabangsa pada awal musim sememangnya suatu yang tidak baik untuk persiapan pasukan. Saya mahu melakukan perubahan tetapi ia akan mengambil masa," jelas Benitez.

Ketika diajukan soalan berhubung percaturannya yang dianggap tidak menjadi dan sebagai punca kekalahan Inter, Benitez menjawab: "Tidak sama sekali.

"Ini kerana, corak permainan yang saya terapkan tidak ubah seperti yang digunakan oleh (Jose) Mourinho ketika membimbing Inter musim lalu," katanya.

Tambah Benitez, masih terlalu awal untuk membuat penilaian terhadap apa yang telah dilakukannya setakat ini bersama Inter.

"Kami mahu melangkah lebih jauh, namun ketika ini segala-galanya masih terlalu awal dan kami memerlukan masa bagi merealisasikan apa yang diimpikan," kata Benitez.

Pada aksi awal pagi semalam itu, dua gol Atletico dijaringkan oleh Jose Antonio Reyes pada minit ke-62 dan Sergio Aguero (83)

'Hati saya tetap bersama Liverpool'



Kuyt


LONDON - Bintang Liverpool, Dirk Kuyt menegaskan, dia sama sekali tidak pernah terfikir untuk meninggalkan Anfield.

Sebelum ini, timbul spekulasi yang mengatakan Kuyt mahu berhijrah ke Inter Milan.

Lebih menghangatkan keadaan, ejen Kuyt, Rob Jansen turut mengeluarkan kenyataan bahawa pemain sayap antarabangsa Belanda itu akan berhijrah ke San Siro dalam masa terdekat.

Namun tidak mahu isu yang timbul itu terus berlanjutan, Kuyt tampil memberi penjelasan sebenar.

"Saya gembira berada di sini (Anfield) dan mahu terus kekal bagi membantu Liverpool mencipta lebih banyak kejayaan.

"Banyak pihak berbicara mengenai masa depan saya ketika ini tetapi hati saya tetap bersama Liverpool," jelas Kuyt sejurus tamat perlawanan menentang kelab Turki, Trabzonspor dalam aksi keduaplayoff Liga Europa awal pagi kelmarin.

Pada aksi di Anfield itu, Kuyt muncul wira apabila meledak gol kemenangan Liverpool pada minit ke-88 untuk memastikan The Redsmencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Trabzonspor.

Trabzonspor mengejutkan tuan rumah apabila berjaya membuka tirai jaringan menerusi Teofilo Gutierrez seawal minit keempat sebelum Remzi Giray Kacar menyamakan kedudukan buat Liverpool pada minit ke-84.

Kemenangan itu membolehkan Liverpool mara ke saingan peringkat kumpulan Liga Europa dengan agregat 3-1

Malaysia kehilangan legenda bola sepak


SUASANA di hadapan rumah Allahyarham Isa di Sungai Ara, Pulau Pinang semalam.


LEGENDA bola sepak negara, Isa Bakar meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang pagi semalam setelah mengalami batuk berdarah yang teruk.

Beliau atau nama sebenarnya Isa Abu Bakar, 58, meninggal kira-kira pukul 9.40 pagi.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di tanah perkuburan Jalan Perak, George Town petang semalam.

Turut menziarahi jenazah beliau di rumahnya di Sungai Ara ialah bekas rakan-rakan sepasukannya seperti Datuk Soh Chin Aun, Shukor Salleh, Santokh Singh dan Abdah Alif.

Allahyarham meninggalkan isteri, Mazlina Md. Ismail, tiga anak perempuan, Nur Kamalia, 19, Nur Liyana 21, Nur Aishah dan seorang anak lelaki, Muhd. Firdhaus, 16.

Menurut Mazlina, Isa dimasukkan ke sebuah hospital swasta sejak Khamis lalu sebelum dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang.

"Kami tidak menyangka dia akan meninggalkan kami kerana kami berbual-bual elok malam tadi dan dia masih sihat, tetapi dia tiba-tiba meninggal pagi ini," katanya.

Semasa zaman kegemilangannya, Isa pernah membantu skuad negara memenangi pingat gangsa pada Sukan Asia 1974 di Tehran.

Beliau juga membantu skuad negara memenangi pingat emas pada Sukan SEA 1977 di Kuala Lumpur setelah membelasah Burma (kini Myanmar) 8-1.

Allahyarham merupakan penyerang berkaliber bersama gandingan seorang lagi legenda iaitu Allahyarham Mokhtar Dahari sekitar tahun 1970-an.

Dalam persada bola sepak tempatan, beliau sentiasa menjulang nama Pulau Pinang bersama abangnya, Ali Bakar dan pernah membantu pasukan negeri itu menjulang Piala Malaysia pada 1974.

Isa mula menggilap bakatnya pada peringkat kelab dengan mewakili Malayawata, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang dan seterusnya, Telekom Utara.

Pemergian Allahyarham disifatkan sebagai satu kehilangan besar bagi dunia bola sepak negara.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tan Sri Annuar Musa menyifatkan Allahyarham sebagai seorang bintang yang pernah menyinari persada sukan bola sepak negara pada era 70-an.

"Jasanya tetap akan kita kenang dan semoga rohnya ditempatkan bersama orang yang beriman oleh Allah S.W.T," kata Annuar yang turut merakamkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Ketua jurulatih skuad bola sepak negara, K. Rajagobal berkata, pemergian Isa merupakan peristiwa sedih kepada negara di mana kehadirannya sautu masa dahulu telah memberi impak besar kepada arena bola sepak tanah air.

"Kita kehilangan salah seorang personaliti bola sepak veteran tempatan kerana dahulunya cara mereka (pemain veteran negara) bermain mempunyai perbezaan (dengan pemain sekarang) serta karektor permainan yang tersendiri dalam mencorakkan sesebuah perlawanan," katanya.

Bekas pemain bola sepak negara, Dollah Salleh berkata, satu ciri perwatakan yang tidak dapat dilupakan tentang Isa ialah sikapnya yang suka berjenaka dengan teman-teman.


ALLAHYARHAM ISA ABU BAKAR


"Saya mengenali beliau ketika perlawanan persahabatan bola sepak veteran antara negeri. Oleh kerana beliau veteran, saya memanggil beliau dengan membahasakannya sebagai abang.

"Ada saja cerita yang akan dibualkannya dan beliau sering menceriakan keadaan," katanya.

Chin Aun pula berkata, Allahyarham telah menghubunginya malam kelmarin untuk memberitahu beliau dimasukkan ke wad selepas muntah darah Khamis lalu berikutan masalah perubatan.

"Saya fikir ia tidak serius kerana Isa memberitahu saya yang doktor memberitahu beliau akan dibenarkan keluar Isnin ini (esok).

"Saya juga menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) untuk bertanyakan keadaan beliau pagi ini (semalam) dan Isa membalas beliau okay.

"Saya tidak menjangka Isa meninggal secara tiba-tiba selepas beliau membalas SMS saya," katanya yang menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemain hebat.

Chelsea kekal pendahulu


MALOUDA (kanan) diraikan rakan-rakan sepasukannya selepas menjaringkan gol pertama Chelsea ketika menentang Stoke City semalam. Chelsea menang 2-0.


LONDON - Chelsea terus mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu Liga Perdana England.

Beraksi di hadapan penyokong sendiri di Stamford Bridge semalam, Chelsea mencipta kemenangan bergaya apabila membenam Stoke City 2-0.

Florent Malouda menjaringkan gol pembukaan tuan rumah pada minit ke-32 menerusi rembatan kaki kanan hasil umpanan kapten, John Terry.

Didier Drogba meledak gol kedua The Blues menerusi sepakan penalti pada minit ke-77.

Kemenangan itu menyaksikan Chelsea kekal selaku pendahulu liga dengan mengumpul sembilan mata maksimum.

Terdahulu, skuad The Blues itu mencipta kemenangan besar apabila membelasah West Bromwich dan Wigan Athletic 6-0.

Sementara itu, pengurus Arsenal, Arsene Wenger memuji barisan pemainnya selepas kejayaan menewaskan Blackburn Rovers 2-1 di Ewood Park.

Kelmarin, Wenger meluahkan rasa bimbang terhadap corak permainan keras Blackburn yang dianggap mampu memusnahkan impian The Gunners untuk mencipta kemenangan.

Begitu, selepas berakhirnya perlawanan semalam, pengurus kelahiran Perancis itu ternyata berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan anak-anak buahnya biarpun suatu ketika mereka dilihat tenggelam disebabkan corak permainan keras yang ditunjukkan Blackburn.

"Saya cukup yakin bahawa kami lebih berpengalaman bagi memanfaatkan segala peluang yang diperoleh apabila berada dalam kotak penalti.

"Namun tidak kira hebat mana sekalipun pasukan itu, Blackburn pasti tidak akan memberi kamu laluan yang mudah," jelas Wenger.

Theo Wallcott meletakkan Arsenal di depan menerusi jaringan pada minit ke-20 sebelum penyerang Blackburn, Mame Biram Diouf menyamakan kedudukan tujuh minit kemudian.

Andrei Arshavin muncul wira apabila meledak gol kemenangan Arsenal pada minit ke-51, sekali gus memastikan tiga mata penuh buat The Gunners.