KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Rabu, 26 Januari 2011

Barca sedia jual Alves ke City


BARCELONA bersedia melepaskan Alves (kanan) kepada Manchester City.


LONDON - Johan Cruyff menjelaskan bahawa Barcelona bersedia menjual pemain berharga £25 juta (RM121 juta), Dani Alves kepada Manchester City.
Pertahanan kanan dari Brazil itu kini semakin hampir di penghujung kontraknya bersama Barca.
Cruyff yang juga penaung kepada kelab Sepanyol tersebut, berasa mereka mungkin akan melepaskan bintang Brazil itu selagi mampu.
Legenda Belanda itu berkata: "Barca adalah skuad yang sensasi dengan Alves atau pun tanpanya.
"Adakah lebih bagus jika dia terus bersama kami? Sudah tentu. Tetapi City berminat ke atasnya dan mungkin lebih baik menjualnya daripada tunggu sehingga kontraknya tamat hujung tahun ini dan dia pergi secara percuma."
Cruyff membandingkan perjanjian yang pernah dicapai Barca bersama City ke atas Yaya Toure dan sedia menerima kemungkinan perpindahan Alves, 27, ke kelab Liga Perdana England itu.
Perancang Ivory Coast, Toure berhijrah ke Eastlands dari Nou Camp dengan harga £24 juta (RM116 juta) pada Julai tahun lepas.
Kata Cruyff: "Jika dia pergi, perbincangannya akan menjadi mudah. Kami akan ucapkan selamat tinggal dan selamat berjaya.
"Sama juga dengan kes Toure. Jurulatih, Pep Guardiola mahu Alves kekal di sini seperti juga Toure, namun apa yang tidak boleh berlaku, tetap tidak boleh berlaku.

Nasib Chelsea di tangan United


JOHN Terry (kiri) tonggak yang membantu Chelsea menang 4-0 ke atas Bolton, kelmarin untuk kembali bernafsu mencabar United.


BOLTON - Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti menganggap dua pertemuan dengan Manchester United nanti bakal menjadi penentu sama ada mereka mampu untuk mempertahankan kejuaraan Liga Perdana England atau sebaliknya.
Skuad bimbingannya awal pagi semalam berjaya merekodkan kemenangan pertama di tempat lawan dengan membelasah Bolton 4-0 setelah kali terakhir mereka berjaya melakukannya pada Oktober lalu.
Chelsea kini di tangga keempat liga di belakang United, Arsenal dan Manchester City dengan ketinggalan tujuh mata berbanding United.
Kemenangan ke atas Bolton itu juga merupakan detik kebangkitan Chelsea yang kini berjaya mencatat dua kemenangan berturut-turut setelah mereka hanya menang satu daripada sembilan perlawanan sebelum itu.
"Untuk merapatkan jurang bukan perkara yang mudah kerana ketika ini United sudah jauh meninggalkan kami. Tapi kami tetap akan berusaha melakukan apa saja untuk bangkit semula.
"Kami akan naik sedikit demi sedikit dan saya rasa kami mampu melakukannya. Tapi ia tetap bergantung kepada prestasi United.
"Jika mahu merapatkan jurang mata, kami perlu menang kedua-dua pertemuan dengan United nanti," kata Ancelotti.
Pada aksi awal pagi semalam, gol-gol Chelsea dijaringkan Didier Drogba pada minit ke-11, Florent Malouda (41), Nicolas Anelka (56) dan Ramires (74).
"Kami telah memenangi perlawanan yang cukup penting ini dan bakal mempunyai perlawanan penting lain selepas ini bermula dengan pertemuan Piala FA dengan Everton pada Sabtu ini," jelas Ancelotti.
Chelsea akan bertemu United di Stamford Bridge pada 1 Mac sebelum bertandang pula ke Old Trafford pada 7 Mei.

The Red Warriors akur keputusan FAM


KHAIRUL FAHMI menerima insentif daripada Nik Aziz sambil diperhatikan Annuar (dua dari kanan) dan Abdul Fatah (kiri).


KETUA Pasukan Kelantan, Mohd. Badri Radzi mengakui rakan-rakan sepasukan masih lagi terkejut dengan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkenaan hukuman pengantungan ke atas ketua jurulatih mereka, B. Sathianathan selama enam bulan berkuatkuasa semalam, lapor YATIMIN ABDULLAH.
Bagaimanapun, mereka terpaksa akur dengan keputusan tersebut dan menganggap ia sebagai satu cabaran yang perlu ditempuhi oleh The Red Warriors dalam menghadapi perlawanan pembukaan menentang Selangor bagi merebut kejuaraan Piala Sumbangsih di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
"Walaupun sesi latihan tanpa ketua jurulatih, namun saya dan rakan-rakan tetap menjalani latihan seperti biasa di bawah bimbingan penolong ketua jurulatih, Hashim Mustafa dan Sidek Samsudin.
"Mungkin ketiadaan jurulatih akan merencatkan sedikit persiapan pasukan, namun kita tidak harus menganggap ia sebagai satu penghalang untuk kita meneruskan apa yang telah dilakukan sebelum ini," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan cek kepada pemain pasukan Kelantan ekoran kejayaan mereka menjuarai Piala Malaysia tahun lalu.
Tambahnya, untuk perlawanan menentang Selangor Sabtu ini, dia mahu rakan-rakanya fokus dan memberikan aksi terbaik pada kempen sulung bagi musim 2011 itu.
"Saya akui mungkin ia memberikan sedikit tekanan buat kami dengan ketiadaan jurulatih, namun saya yakin rakan-rakan sudah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi perlawanan tersebut."
Dalam pada itu, Mohd. Badri memberitahu untuk perlawanan pembukaan Sabtu ini, Kelantan akan turun tanpa kelibat S.Chanturu yang masih lagi belum pulih daripada kecederaan.
Mengulas mengenai bakal pengganti B. Sathianathan, Mohd. Badri memberitahu dia menyerahkan isu tersebut kepada pihak pengurusan untuk membuat keputusan.
Sementara itu, penyerang sensasi Kelantan yang juga pemain kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha berjanji akan memberikan persembahan terbaik untuk perlawanan pertama bertemu Selangor bagi merebut kejuaraan Piala Sumbangsih.
"Hasrat saya ialah untuk membantu membawa pulang kejuaraan tersebut dan membuktikan kita tetap bersemangat walaupun tanpa ketua jurulatih," katanya.

Kelantan berada dalam bahaya


MESKIPUN berdepan pelbagai cabaran, barisan pemain Kelantan sudah bersedia sepenuhnya bagi menghadapi Selangor pada aksi pembukaan Liga Super 2011 di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.


KELANTAN mungkin berdepan masalah tidak dibenarkan beraksi menentang Selangor pada perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah 2011 di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Ini kerana, peraturan pertandingan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mewajibkan setiap pasukan perlu mendaftar jurulatih yang memegang Lesen A sedangkan Kelantan kini tidak memilikinya setelah B. Sathianathan digantung enam bulan berkuatkuasa kelmarin.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, Kelantan perlu segera mencari pengendali sementara yang memiliki Lesen A dalam tempoh beberapa hari ini bagi membolehkan mereka memenuhi syarat untuk turun beraksi Sabtu ini.
"Perkara ini sudah termaktub dalam peraturan pertandingan. Jadi Kelantan perlu segera mendapatkan seorang jurulatih Lesen A bagi didaftarkan sebelum perlawanan pertama Liga Super 2011 pada Sabtu ini.
"Jika gagal, maka Kelantan dianggap tidak memenuhi syarat pertandingan dan boleh dikenakan tindakan tidak dibenarkan untuk turun beraksi," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.
Kelmarin, Jawatankuasa Rayuan FAM mengekalkan hukuman penggantungan enam bulan ke atas Sathianathan yang sebelum ini ditangguhkan sementara ekoran tindakannya mengkritik FAM secara terbuka di media.
Justeru, desas-desus mengatakan Kelantan bakal mengambil bekas jurulatih Kedah dan Harimau Muda A, Mohd. Azraai Khor Abdullah bagi mengisi ketiadaan Sathianathan memandangkan dua penolong jurulatih Kelantan, Hashim Mustapha dan Sidek Samsudin hanya memiliki Lesen B.
Namun ia tidak semudah disangka kerana menurut Azzuddin, isu penamatan kontrak Azraai dan FAM nampaknya belum selesai manakala KAFA pula belum menyatakan secara rasmi untuk mendapatkan Azraai.
"Sehingga hari ini (semalam), Sekretariat FAM masih belum terima apa-apa permohonan secara rasmi daripada KAFA untuk berunding bagi mendapatkan Azraai.
"Isu FAM dan Azraai juga masih tergantung kerana terdapat perkara yang tidak dipersetujui Azraai. Ia sudah di luar bidang kuasa Sekretariat FAM kerana kini perlu dibawa ke Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Kewangan FAM," jelas Azzuddin.
Azzuddin turut berharap agar isu penggantungan Sathianathan tidak disensasikan semua pihak memandangkan semua pemain dan pegawai pasukan telah sedia maklum peraturan yang termaktub dalam kod disiplin FAM.
"Perkara ini sudah jelas, jika pemain atau pegawai buat kenyataan tidak betul di media, maka mereka boleh dihukum. Jawatankuasa Rayuan tak boleh lari jauh dengan keputusan Jawatankuasa Tatatertib kecuali andai berlaku salah hukum," tegasnya.