KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Ahad, 4 Julai 2010

Penampilan Necas Ubati Kerinduan Peminat



KOTA BHARU – Penampilan bekas bintang import pertahanan Kelantan sedikit masa dahulu, Jan Necas dijangka mengubati kerinduan peminat terhadap aksi beliau apabila akan turun beraksi dalam kesebelasan utama pemain Kelantan pada perlawanan persahabatan hari Jumaat ini.

Pegawai Media Kafa, Wan Badri Wan Omar berkata, Kelantan akan menentang kelab dari Thailand, Pattani FC pada perlawanan persahabatan yang akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu hari Jumaat ini.

“Perlawanan persahabatan ini merupakan sebahagian daripada persiapan pasukan Kelantan menjelang perlawanan menentang Negeri Sembilan pada 6 Julai nanti,” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.

“Pihak Kafa tidak mengambil mudah mengenai prestasi pemain semasa perlawanan liga dihentikan begitu lama. Sebaliknya, latihan harian yang dikendalikan oleh jurulatih, B Sathianathan dilipatgandakan bagi memastikan kecergasan pemain tidak menurun.

“Sehubungan dengan itu, pihak pengurusan telah mengambil inisietif mengatur beberapa siri perlawanan persahabatan untuk skuad Liga Super Kelantan,” katanya.

Menurut Wan Badri, bekas pemain import musim 2008, Jan Necas didatangkan khas ke Kota Bharu oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi membolehkan peminat Kelantan melihat aksi terkini bekas pemain yang pernah menabur bakti bersama The Red Warriors itu.

Jan Necas, 33 tahun, pemain kelahiran Republik Czech pernah beraksi bersama pasukan Kelantan pada tahun 2008 dibawah kendalian jurulatih Norizan Bakar ketika itu.

Bersama beliau, penjaring terbanyak Liga Perdana musim itu, Mouhamadou Moustopha Mane (Senegal) selaku penyerang dan juga pemain tengah, Inepheremo Andrew Amukuro (Nigeria).

Gara-gara larangan penggunaan pemain import yang diputuskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada penghujung musim 2008, memaksa Jan Necas mengangkat kaki meninggalkan pasukan Kelantan walaupun beliau sebenarnya begitu begitu sayang bermain dengan pasukan Kelantan ini.

Sementara itu, Wan Badri berkata, pasukan Liga Super Kelantan dijangka berlepas ke Kuala Lumpur pada 27 Jun bagi menghadapi dua siri perlawanan persahabatan dengan pasukan yang berpengkalan di Lembah Kelang


Asamoah Gyan mahu melupakan kegagalan



JOHANNESBURG: Penyerang Ghana, Asamoah Gyan mahu melupakan kegagalan menjaringkan sepakan penalti pada minit terakhir dan berjanji akan bangkit berikutan penyingkiran pasukannya pada suku akhir Piala Dunia kepada Uruguay, awal pagi semalam.

Gyan berpeluang untuk memenangi perlawanan itu, ketika kedudukan 1-1, dengan sepakan terakhir masa tambahan apabila penyerang Uruguay, Luis Suarez menahan bola dengan tangan tandukan Dominic Adiyiah di atas garisan, menafikan gol.


Namun penyerang Rennes, Gyan terkedu apabila sepakannya terkena palang dan sekalipun dia menyempurnakan sepakannya ketika penentuan sepakan penalti selepas itu, penjaga gol Uruguay, Fernando Muslera menyelamatkan dua sepakan dan pasukan Amerika Selatan itu menang 4-2 untuk bertemu Belanda pada separuh akhir.


“Saya akan bangkit, saya amat kuat daripada segi mental,” kata Gyan. “Saya memang berani untuk mengambil sepakan penalti itu tapi ia biasa, saya adalah pengambil sepakan penalti.


“Tapi ia bukan mengenai perlawanan itu kini dia (Suarez) adalah wira di negaranya, bola itu menuju ke dalam gol, dia menyekatnya dan saya terlepas sepakan penalti. Itulah caranya ia berlaku.” Jurulatih Ghana dari Serbia, Milovan Rajevac berkata kegagalan penalti itu memberikan Uruguay kelebihan pada penentuan sepakan penalti.


“Kami berdepan penalti dan peluang untuk mara ke separuh akhir tapi kami tidak menggunakannya,” katanya. “Pada penentuan sepakan penalti, Uruguay memiliki kelebihan psikologi.” Gyan boleh menyertai pemain legenda Cameroon, Roger Milla sebagai pemegang rekod penjaring gol terbanyak Afrika pada pusingan akhir Piala Dunia sekiranya dia menyempurnakan sepakan penalti itu.


Penjaga gol Ghana, Richard Kingson mendedahkan dia dan rakan sepasukannya cuba memberikan sokongan kepada penyerang mereka.


“Kami memujuknya (dalam bilik persalinan), ia satu perlawanan jadi kami perlu melupakannya,” katanya sebelum merungut mengenai tindakan Suarez.


“Anda boleh saksikan daripada awal bahawa tidak ada keadilan di pihak kami, pengadil sepatutnya membenarkan gol itu tapi dia memberikan penalti.


“Ia amat malang tapi ia juga sebahagian daripada perlawanan, anda harus menerimanya dan memperbetulkan kesilapan itu lain kali.


bagai bermimpi di siang hari

PORT ELIZABETH, Afrika Selatan: Wesley Sneijder berlari sambil menepuk dahinya selepas menjaringkan gol kemenangan ke atas Brazil dan dia sendiri pasti tidak percaya dengan apa yang berlaku.

Pemain paling kerdil di tengah padang itu mungkin menggunakan senjata terakhirnya iaitu kepala untuk membolehkan Belanda menang 2-1 ke atas juara lima kali, Brazil di suku akhir.


Dikelilingi pertahanan Brazil yang semuanya tinggi, Sneijder bagaimanapun dibiarkan keseorangan untuk seketika dan dia mengambil peluang itu untuk menanduk masuk hantaran Dirk Kuyt selepas menerima bola sepakan sudut Arjen Robben.


Pemain tonggak Inter Milan itu sudah terkenal dengan keupayaannya menjaringkan gol menerusi sepakan percuma serta hantaran tepat, berkata gol itu adalah yang kedua yang dihasilkan menggunakan kepalanya.


“Saya pernah melakukannya ketika bersama Ajax menentang Ado The Hague,” katanya. “Saya rasa itulah sebabnya mengapa kita mempunyai kepala.” Sebelum itu, Sneijder melakukan sepakan jarak jauh yang mengakibatkan pertahanan Brazil, Felipe Melo tertanduk bola ke gawang sendiri.


Pegawai perlawanan mengira jaringan itu sebagai gol sendiri dan kemudiannya pemain Brazil itu dilayangkan kad merah kerana mengasari lawan tapi Sneijder berkata namanya sepatut dicatat sebagai penjaring gol penyamaan itu.


“Jika ia menerusi penjaga gol, ia biasanya diberikan kepada individu yang membuat sepakan. Kali ini, bola hanya melalui atas kepalanya dan masuk ke gawang,” kata Sneijder selepas dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan. “Ia tidak penting. Perkara paling penting ialah kami menang.” Selepas perlawanan, John Heitinga memeluk Sneijder manakala kapten Belanda, Giovanni van Bronckhorst pula dilihat mengusap kepala Sneijder.


Karier Sneijder cukup menjadi musim ini selepas berpindah dari Real Madrid.


Dia berhijrah ke Inter Milan dan jurulatih Jose Mourinho yang yakin dengan kemampuan Sneijder, memberikan ruang yang cukup luas kepada pemain itu di bahagian tengah Inter.


Sneijder berkata, dia belum lagi mempamer aksi terbaiknya ketika Belanda melakar kemenangan keempat berturut-turut di Piala Dunia



Kaka terlalu sedih



PORT ELIZABETH: Bintang Brazil, Kaka berkata tiada siapa yang lebih bersedih daripada pemain selepas juara lima kali itu disingkirkan Belanda pada Piala Dunia.

“Ramai rakyat dan penduduk yang bersedih di Brazil - tapi tiada siapa yang lebih sedih daripada kami,” kata Kaka, yang gagal menemui persembahan terbaiknya sepanjang kejohanan.


Robinho meletakkan Brazil di depan tapi gol sendiri Felipe Melo dan gol penentu Wesley Sneijder membolehkan Belanda layak ke separuh akhir.


Kaka berkata kejohanan itu secara keseluruhannya amat sukar buatnya.


“Ia adalah Piala Dunia yang merumitkan, cara saya tiba di sini,” kata Kaka, yang hadir ke kejohanan itu selepas mengalami kecederaan paha yang menjejaskan musimnya di Real Madrid berikutan perpindahan dari AC Milan.


Dia kemudian dibuang padang secara tidak adil menentang Ivory Coast pada peringkat kumpulan dan sekalipun dia berjaya membuat tiga umpanan yang menghasilkan gol, dia gagal membuktikan dirinya sebagai pemain yang memakai jersi bernombor 10 Brazil, jersi yang berstatus legenda pernah digunakan Pele.“Saya lakukan sedaya mungkin - saya bertarung, saya merampas bola, saya benar-benar mencuba,” tegas Kaka.


“Sayangnya, jangkaan memang selalunya tinggi di Brazil kerana rakyat mengharapkan kami memenangi kejuaraan dan apabila kami gagal, ia mencetus kekecewaan,” kata perancang utama itu.


Kaka berkata Brazil akhirnya tersingkir selepas babak pertama yang cemerlang menyaksikan Robinho meletakkan mereka di depan.


“Hanya perkara kecil boleh mengubah keadaan - beberapa ‘set-piece’ yang menghasilkan dua gol Belanda.” Kaka, seperti rakan sepasukannya, enggan membincangkan sama ada mereka masih ada peranan penting untuk dimainkan pada kejohanan 2014 di Brazil, yang kali terakhir menjadi tuan rumah acara itu pada 1950, apabila mereka tumpas di tangan Uruguay