KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Ahad, 2 Januari 2011

Safiq melakar sejarah peribadi


SAFIQ menjulang trofi Piala Suzuki AFF 2010 selepas Malaysia menang dengan agregat 4-2 ke atas Indonesia, Rabu lalu.


TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tidak siapa yang tahu! Begitulah perumpamaan terbaik untuk menggambarkan untung nasib kapten skuad bola sepak kebangsaan, Mohd. Safiq Rahim.
Safiq mencipta sejarah menjadi rakyat Malaysia pertama yang menjulang trofi Piala Suzuki AFF 2010 biarpun baru dua bulan menggalas tugas selaku kapten skuad negara.
Pemain tengah berusia 23 tahun ini sudah mengetepikan pencapaian bekas kapten skuad kebangsaan terdahulu yang belum pernah mengecap pengalaman tersebut.
Sejak kejohanan itu diperkenalkan dengan nama Piala Tiger pada tahun 1996, Malaysia hanya sekali berjaya mara ke final iaitu pada edisi sulung itu sebelum tewas 0-1 kepada Thailand.
Bagaimanapun, sejarah yang dilakar Safiq bersama 21 pemain yang lain di bawah bimbingan jurulatih, K. Rajagobal tidak boleh dinilai berlandaskan nasib baik semata-mata.
Ironinya, faktor usaha yang gigih, komitmen tinggi, kepimpinan utuh dan semangat kesukanan yang tulus ikhlas mendorong mencipta sejarah itu.
"Kemenangan yang diraih hari ini bukan daripada usaha perseorangan sebaliknya kerjasama dan kegigihan sebuah pasukan yang mendahagakan kegemilangan sejak 14 tahun yang lalu.
"Dulu saya memang ada impian untuk menyertai Piala Suzuki AFF tetapi tidak sangka mimpi itu menjadi kenyataan dalam masa yang begitu singkat," kata anak kelahiran Kuala Selangor, Selangor ini.
Anak sulung pasangan Rahim Mohd. Yatim, 51, dan Aidah Majid, 42, berkata, selaku kapten skuad negara yang digalas buat julung-julung kalinya telah memberi tekanan kepadanya.
Begitupun, sikap rakan-rakan sepasukan yang fleksibel dan terbuka membuatkan dia memimpin pasukan dengan begitu cekap, sekali gus berjaya merangkul piala berprestij di Asia Tenggara itu.
Dia tidak berdepan masalah untuk memimpin rakan-rakan lain ke arah mencapai matlamat yang sama dan menunjukkan komitmen yang tinggi dalam semua perlawanan.
Bercerita mengenai pengalaman pada final kedua Piala Suzuki AFF yang berlangsung di Stadium Utama Gelora Bung Karno di Indonesia pada Selasa lalu, Safiq berkata, perlawanan itu tidak begitu kritikal tetapi seimbang sahaja.
"Disiplin tinggi yang ditunjukkan semua pemain telah memudahkan peluang untuk menjaringkan gol kemenangan.
"Bekalan jaringan 3-0 yang telah diperoleh pada final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, ia telah meningkatkan lagi keyakinan saya dan pemain lain.
"Justeru, saya begitu yakin dan memberi harapan tinggi serta berjanji kepada seluruh rakyat Malaysia untuk membawa pulang Piala Suzuki AFF itu," ujarnya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Dalam masa yang sama, kapten muda itu tetap merendah diri dengan memuji pasukan lawan, Indonesia.
Shafiq berkata, mereka masih lagi pasukan yang bagus dan memberi persaingan yang hebat, sekali gus tertarik dengan sikap pemain lawan yang tidak mudah putus asa.
Dia juga mengakui kemenangan ini, sama sekali mengubah persepsi masyarakat tempatan dan antarabangsa terhadap pasukan bola sepak kebangsaan.
Ia telah menjadi laluan baru ke arah menjadi sebuah pasukan gergasi Asia dan memiliki Piala Asia pada masa akan datang.
Bagi Safiq impian untuk melayakkan ataupun menawan trofi Piala Dunia masih jauh lagi.
Bagaimanapun dia percaya bahawa cita-cita itu pasti dapat dicapai secara berperingkat-peringkat dan menimba pengalaman sebelum menjadi juara dunia.
"Ini adalah perkara biasa dalam senario arena sukan, apabila mana-mana piala yang berprestij tinggi menjadi milik negara tertentu sudah pasti matlamat yang lebih mencabar serta tinggi diletakkan ke atas pasukan tersebut.
"Saya rasa memang mudah untuk meletak matlamat besar tetapi bukan mudah bagi merealisasikan dalam masa yang singkat. Maka, adalah penting bersikap realistik dan berusaha ke arah itu secara perlahan-lahan," jelasnya lagi.
Untuk rekod, Safiq merupakan pemain tengah Selangor dan bekas pemain KL PLUS serta penjaring gol kemenangan Selangor pada perlawanan akhir Piala Presiden Malaysia 2007/2008 menentang Perak.
Dia pernah mewakili pasukan bawah 20 tahun Malaysia ke Piala Belia Asia 2006 dan Sukan Asia 2006 di Doha.
Dia membuat penampilan sulung bersama pasukan utama pada Kejohanan Bola Sepak ASEAN 2007 ketika menentang Myanmar dan kemudian hanya bermain untuk pasukan bawah 23 tahun.

Safee tak mahu mendabik dada


SAFEE disambut bagai wira ketika pulang dari Indonesia, Khamis lalu.


PERSIS legenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari. Itulah gambaran yang dapat diberikan ketika melihat aksi penyerang negara Mohd. Safee Mohd. Sali pada kejohanan bola sepak Piala Suzuki AFF 2010.
Tidak keterlaluan sekiranya peminat bola sepak negara melabel Safee setaraf pemain legenda itu berdasarkan pencapaian itu.
Begitupun, penyerang yang berasal dari Kajang, Selangor ini mengambil sikap rendah diri dan merasakan dia masih belum layak untuk disamakan dengan legenda terkenal yang diberi jolokan Super Mokh itu.
Safee, 26, menjadi wira baru dalam arena bola sepak dan memberi harapan kepada seluruh rakyat Malaysia untuk kembali berasa bangga dengan pasukan kebangsaan yang satu ketika dahulu antara yang digeruni di rantau ini.
"Saya berasa sangat bangga sekiranya ada yang menyamakan saya dengan Allahyarham Mokhtar. Itu adalah impian setiap pemain bola sepak untuk mencapai tahap seperti dia.
"Tapi bagi saya tahap permainan saya masih belum layak untuk disamakan dengan beliau. Mokhtar Dahari berada dalam kelas dan tahapnya tersendiri," katanya.
Mungkin tuah Safee datang dari jersi nombor 10 yang disarungnya sama seperti arwah Mokhtar.
Kejayaan Safee menyumbat lima gol pada Piala Suzuki AFF 2010 melayakkan dia membawa pulang trofi sebagai penjaring terbanyak.
Dia telah mengenepikan penyerang Indonesia, Cristian Gonzales yang mengumpul tiga gol untuk menduduki tempat kedua.
Kejayaan itu turut mencipta sejarah paling berharga secara peribadi yang bukan sahaja membawa nama negara untuk julung kalinya menjuarai kejohanan dan menamatkan penantian selama 14 tahun.
Dia meledakkan dua gol pada separuh akhir pertama menewaskan Vietnam 2-0 dan dua gol ketika final pertama menewaskan Indonesia 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Manakala pada final kedua yang berlangsung di Indonesia, Safee memastikan gelaran penjaring terbanyak menjadi miliknya apabila menyumbat satu gol biarpun Malaysia tewas 1-2.
Meskipun tewas pada final kedua, jaringan Safee itu menyumbang kemenangan dengan agregat 4-2, sekali gus mengakhiri penantian 14 tahun untuk menjadi 'gergasi' Asia Tenggara.
"Saya tidak pernah menduga atau meletakkan sasaran untuk menjadi penjaring terbanyak. Tambahan pula, ia merupakan kejohanan tertinggi di ASEAN.
"Saya sangat berterima kasih kepada jurulatih kerana dia telah membantu saya untuk mencapai tahap ini," katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Menurut Safee, sebelum memasuki padang, misi utamanya adalah untuk membantu Malaysia mencipta kemenangan secara berpasukan dan tidak ada langsung memasang misi peribadi.
Safee yang sudah berkeluarga dan mempunyai seorang puteri berusia dua tahun mula beraksi dalam saingan Liga Super seawal usia 19 tahun pada tahun 2003. Ketika itu dia beraksi bersama pasukan Kuala Lumpur sehingga tahun 2004.

Chelsea perlu menang


IVANOVIC (kiri) tidak dapat membantu Chelsea menghadapi perlawanan menentang Villa malam ini.


LONDON - Carlo Ancelotti mengakui Chelsea perlu menewaskan Aston Villa dalam saingan Liga Perdana England di Stamford Bridge malam ini.
Ia bagi menyuntik kembali keyakinan, sekali gus mengakhiri prestasi hambar yang hampir menjejaskan peluang mereka untuk mempertahankan gelaran juara musim ini.
Ketika ini, kedudukan Ancelotti selaku jurulatih pasukan itu semakin tercabar selepas skuad The Blues mencatat keputusan tidak menentu sejak akhir-akhir ini.
Keputusan itu telah menyebabkan juara berganda musim lalu ini menurun di tangga keempat liga, empat mata di hadapan pendahulu liga, Manchester United.
Kemenangan tipis 1-0 ke atas Bolton Wanderers pada Rabu lalu adalah yang pertama daripada tujuh perlawanan liga.
Kini, Ancelotti sedar kekalahan kepada Villa malam ini bakal mengundang lebih banyak bencana.
Kunjungan Villa di Stamford Bridge yang ketika itu dibimbing oleh Martin O'Neill pada Mac lalu meninggalkan kenangan manis buat Chelsea apabila mereka menang 7-0.
"Ia adalah satu tempoh yang sukar, itu adalah normal," kata Ancelotti.
"Ia adalah satu keadaan yang sangat sukar. Kami perlu terus berusaha. Kami perlu kekalkan fokus dalam sesi latihan dan perlawanan sebenar."
Sementara itu, Villa berpeluang untuk menggunakan kelemahan Chelsea itu untuk melakar kejutan.
Skuad bimbingan Gerard Houllier ini dijangka tidak berdepan masalah untuk membolosi benteng pertahanan Chelsea yang bakal dikemudi pemain remaja, Jeffrey Bruma.
Bruma, 19, bakal membuat penampilan pertama berikutan ketiadaan Branislav Ivanovic yang digantung permainan manakala Alex masih belum pulih daripada kecederaan

Beckham bakal sertai Tottenham


BECKHAM mungkin akan menyertai Spurs secara pinjaman bulan ini.


LONDON - Bekas kapten England, David Beckham bakal membuat penampilan semula dalam saingan Liga Perdana England.
Semalam, pengurus Tottenham Hotspur, Harry Redknapp mengesahkan bahawa dia akan berusaha untuk mendapat pemain tengah Los Angeles (LA) Galaxy itu secara pinjaman.
Pada Jumaat lalu, Redknapp memberitahu dia meminta pengerusi kelab, Daniel Levy untuk memujuk pemain berusia 35 tahun itu menyertai Spurs sehingga kempen Liga Bola Sepak Amerika Syarikat (MSL) bermula, Mac ini.
Begitupun pengurus Spurs itu mengesahkan kehadiran Beckham bukan untuk tujuan komersial.
"Dia tidak akan datang ke sini hanya untuk menjual jersi. Dalam tempoh yang singkat, dia tidak akan menjual banyak jersi pasukan ini."
Redknapp yang membantu Spurs melangkah ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara dan menduduki tangga ketiga Liga Perdana England musim ini, juga menegaskan Beckham juga tidak mempunyai motif kewangan untuk kembali ke England.
"Dia bukan datang ke sini untuk memperoleh wang yang banyak. Kami tidak memerlukan pemain seperti itu di kelab ini," katanya.
"Sudah tentu dia sudah memiliki sebuah rumah mewah dan dia boleh duduk di sana setiap hari sambil menikmati kehidupan untuk beberapa bulan sebelum bermain untuk LA Galaxy semula.