KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Khamis, 21 Oktober 2010

Johor FC menyengat




SHUKOR ADAN (kanan) gagal menyempurnakan peluang meskipun penjaga gol Johor FC, Anis Faron (tertiarap) sudah tertewas.


SANG Lebah menyengat, Rusa merana, Kenari dan Kijang pula belum senang duduk. Itu yang berlaku pada saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia, malam tadi.
Johor FC yang mendapat jolokan Lebah, mengganas di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Negeri Sembilan.
Kemenangan tersebut sekurang-kurangnya melegakan skuad bimbingan Azuan Zain itu yang akan beraksi di gelanggang sendiri pada aksi kedua, Sabtu ini.
Kemenangan Johor FC itu diperoleh menerusi jaringan pemain gantian, Mohd. Ezaidy Khadar yang menyambar bijak kesilapan yang dilakukan oleh penjaga gol Negeri Sembilan, Sani Anuar Kamsani pada minit ke-88.
Kemenangan tersebut boleh dianggap selesa buat Sang Lebah yang telah mempamerkan corak permainan konsisten sejak dari peringkat kumpulan lagi.
Bagi Negeri Sembilan, kekalahan pada perlawanan ini agak menyukarkan misi mereka untuk mempertahankan Piala Malaysia yang mereka menangi tahun lalu dan yang pasti, mereka harus menyalahkan jentera serangan yang gagal menfaatkan beberapa peluang yang diperoleh sepanjang perlawanan tersebut.
Dalam satu lagi aksi separuh akhir di Stadium Darul Aman Alor Setar, Kedah lain pula ceritanya.
Tuan rumah, Kedah mencatat keputusan seri tanpa jaringan dengan Kelantan, namun yang menjadi tumpuan ialah penahanan 10 penyokong Kedah oleh pihak polis selepas dikesan cuba membawa masuk mercun, bunga api, baton spring dan air ketum.
Tindakan pantas pihak polis itu telah menggagalkan hasrat penyokong yang tidak berdisiplin itu untuk mengadakan ‘pesta mercun’ sepanjang perlawanan tersebut.
Meskipun masih terlalu awal untuk membuat ramalan, tetapi keputusan perlawanan malam tadi bakal menyukarkan tugas skuad Kenari yang akan bertandang ke Kota Bharu, Sabtu ini sementara Kelantan boleh mengukir senyuman kerana mereka telah membuktikan kekebalan di halaman sendiri setakat ini.

Chelsea buang badi



ANELKA menyumbang gol kedua Chelsea ketika menentang Spartak Moscow pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Luzhniki awal pagi semalam.



MOSCOW – Nicolas Anelka meledak gol ke-50 bersama Chelsea awal pagi semalam ketika membantu skuad The Blues menewaskan Spartak Moscow 2-0 pada aksi Liga Juara-Juara di Stadium Luzhniki.
Sebelum ini, gelanggang tersebut menjadi kenangan pahit buat Anelka apabila kegagalannya ketika penentuan sepakan penalti pada aksi final menentang Manchester United, sekali gus menyebabkan Chelsea terlepas peluang menjulang trofi Liga Juara-Juara 2008.
“Apa yang berlaku dua tahun lalu sudah tidak memberi apa-apa makna kepada kami lagi. Semuanya sudah berlaku. Kami kini berjaya beraksi mengikut cara kami dan rentak permainan kami.
“Memang bertemu Spartak ini satu perlawanan yang sukar kerana mereka juga sebuah pasukan yang kuat.
“Kami gembira kerana menang 2-0 tetapi sedikit malu kerana sepatutnya kami boleh menang lebih besar.
“Bagaimanapun, ini menunjukkan bahawa kami mampu beraksi di tempat sukar seperti di Rusia ini dan meraih kemenangan biarpun tidak turun dengan kekuatan sebenar,” kata Anelka.
Bekas penyerang kebangsaan Perancis itu menjaringkan gol kedua Chelsea pada minit ke-43 setelah Yuri Zhirkov membuka tirai jaringan pada minit ke-23.
Chelsea yang sekali lagi turun tanpa penggempur utama, Didier Drogba kini mengungguli Kumpulan F dengan tiga kemenangan berturut-turut.
Namun pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti tetap memberi amaran kepada anak-anak buahnya agar tidak mudah cepat berpuas hati.
“Kami masih belum sah layak ke pusingan kalah mati. Masih ada tiga perlawanan untuk diharungi dan kami perlu meneruskan aksi terbaik pada perlawanan tersebut.
“Kami beraksi baik pada perlawanan ini dan bukan sesuatu yang mudah apabila Spartak turut beraksi cemerlang terutama pada babak kedua.
“Tetapi barisan pertahanan telah beraksi baik terutama Petr Cech yang menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya.
“Saya tak rasa pemain teringatkan kekalahan kepada United di stadium ini. Mereka tampak fokus terhadap permainan,” kata Ancelotti

City bukan pilihan utama United



ROONEY dilaporkan bakal meninggalkan Old Trafford ekoran perselisihan faham dengan Ferguson.


MANCHESTER – Manchester United bertekad untuk memastikan Wayne Rooney tidak menyertai musuh setempat mereka, Manchester City. Sebaliknya, skuad The Red Devils itu lebih rela menjual Rooney kepada Barcelona atau Chelsea.
Masa depan Rooney di Old Trafford hampir pasti berakhir pada Januari depan setelah pengurus United, Alex Ferguson mengesahkan bahawa penyerang England itu mahu meninggalkan kelab tersebut.
City dikatakan bersedia menawarkan Rooney gaji sekitar £250,000 (RM1.2 juta) seminggu tetapi United lebih cenderung melihat pemain England itu berhijrah ke luar negara atau menyertai Chelsea.
Jurulatih Barcelona, Pep Guardiola malam kelmarin turut mengesahkan bahawa dia cukup mengidamkan pemain seperti Rooney.
“Dia (Rooney) merupakan salah seorang pemain terbaik di dunia dan tak ramai pemain yang memiliki kualiti sepertinya. Saya dah lama meminatinya,” kata Guardiola.
Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti turut mengalu-alukan kehadiran Rooney ke kelab London itu andai ayam tambatan United itu berminat menyertai mereka.
Ketika ini, United dikatakan begitu bimbang jika Rooney memilih untuk menyertai City dan kemudiannya mereka melihat pula pemain itu berjaya membantu City muncul juara Liga Perdana England musim ini.
“Jika perpindahan ke City itu berlaku, ia pasti akan menjadi satu mimpi ngeri buat kami. Jadi kami akan sedaya upaya untuk menghalang ia daripada berlaku,” kata sumber dalaman United.
Namun United mungkin terpaksa akur dengan kekayaan dimiliki City yang mampu untuk memberikan tawaran lebih lumayan berbanding kelab-kelab lain bagi mendapatkan Rooney.
Nilai Rooney kini telah pun merudum kerana dia hanya memiliki baki kontrak sehingga Jun 2012 bersama United.
Barcelona dijangka akan meletakkan tawaran sekitar £25 juta (RM122.5 juta) untuk mendapatkan Rooney tatkala City pastinya mampu meletakkan tawaran yang lebih tinggi