KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Khamis, 19 Ogos 2010

Misi menebus aib Doha 2006



IMBAS KEMBALI... Skuad Malaysia yang beraksi pada Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar.


HANYA tiga pemain skuad bola sepak Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar masih kekal dalam skuad kebangsaan untuk persiapan menghadapi Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China November depan.

Mereka terdiri daripada Safiq Rahim, 23, Khyril Muhymeen Zambri, 23, dan Norshahrul Idlan Talaha, 24, yang masing-masing menyimpan tekad menebus kekecewaan tewas dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan, empat tahun lalu.

Pada ketika itu, Malaysia yang dibimbing jurulatih Norizan Bakar tewas 1-3 kepada Oman dan China sebelum dibelasah 4-0 oleh Iraq pada aksi terakhir.

Safiq dan Khyril beraksi dalam ketiga-tiga perlawanan itu.

Bagi Safiq, yang juga pemain tengah Selangor, dia menyifatkan skuad negara kini jauh berbeza jika dibandingkan dengan skuad empat tahun lalu kerana Malaysia kini sudah mampu mengimbangi kekuatan pasukan-pasukan lain di peringkat Asia.

“Ketika di Doha, saya baru berusia 19 tahun dan masih cetek pengalaman di pentas antarabangsa. Jadi kali ini keyakinan saya bertambah tinggi untuk bersaing dengan pasukan Asia yang lain.

“Di Guangzhou nanti, kami berazam memastikan Malaysia tidak menerima aib pada 2006 itu dan insya-Allah pasukan kali ini boleh mara lebih jauh,” katanya ketika ditemui Kosmo! selepas sesi latihan pertama di Wisma FAM, Kelana Jaya, Isnin lalu.

Khyril yang beraksi untuk Kedah pula berkata, keserasian di kalangan pemain-pemain dalam skuad kebangsaan kali ini merupakan nadi kekuatan mereka untuk mencipta kejutan di Guangzhou nanti.

“Majoriti pemain dalam skuad ini telah lama beraksi bersama. Seperti Safiq, saya juga berusia 19 tahun ketika di Doha dan hanya mengerah kudrat semata-mata. Kali ini kami sudah ada pengalaman.

“Cuma apa yang penting ialah kami perlu menang pada perlawanan pertama nanti bagi mencerahkan peluang layak ke suku akhir,” kata Khyril yang beraksi di posisi sayap.

Norshahrul, penyerang Kelantan pula mahu meneruskan prestasi konsisten kerana dia perlu merebut tiga slot pemain lebih umur untuk senarai 20 pemain yang akan dibawa jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal ke Guangzhou.

“Walaupun saya kerap dipanggil menyertai skuad kebangsaan, saya masih perlu berusaha keras bagi menjamin tempat. Pengalaman beraksi dalam dua perlawanan di Doha pada 2006 akan digunakan sepenuhnya.

“Tapi kali ini saya juga bertambah yakin kerana kita tidak lagi gentar ketika bertemu pasukan dari Timur Tengah seperti Jordan, Arab Saudi, Uzbekistan dan Syria sepanjang tahun lalu,” kata Norshahrul.

Skuad kebangsaan yang kini sedang menjalani latihan sepanjang bulan Ramadan bakal mengadakan aksi persahabatan menentang skuad kebangsaan Thailand pada 28 Ogos, Oman pada 3 September dan Yemen pada 6 September depan

Kelantan tak pinjam pemain





KELANTAN tidak memerlukan khidmat pemain pinjaman.

Demikian pendirian jurulatih Kelantan, B Sathianathan (gambar) menjelang saingan Piala Malaysia yang akan membuka tirainya pada 14 September ini.

Menurutnya, beliau akan menyandarkan harapan kepada barisan pemain sedia ada bagi menggalas cabaran Kelantan selalu naib juara musim lalu.

Malah katanya, anak-anak buahnya mampu mempamerkan aksi yang lebih baik sepanjang saingan musim ini dan ia merupakan petanda baik untuk merebut Piala Malaysia.

“Saya ada banyak pilihan pemain untuk diturunkan dalam setiap perlawanan. Semua pemain yang saya ada telah mempamerkan aksi terbaik sepanjang musim ini,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu semalam.

Diminta mengulas saingan dalam kumpulan A, Sathianathan memberitahu saingan kali ini pasti sengit memandangkan pasukannya diundi bersama juara musim lalu, Negeri Sembilan.

"Saingan kali ini cukup sengit, kemampuan setiap pasukan tidak boleh dipandang rendah. Semua pasukan pasti akan memasang impian untuk mara ke peringkat seterusnya termasuklah Negeri Sembilan, KL Plus dan PKNS.

“Contohnya Negeri Sembilan, sudah pasti mereka memberi tumpuan penuh dalam pertandingan kalah mati seperti Piala Malaysia dan ini dibuktikan apabila mereka melakukannya dalam kejohanan Piala FA musim ini,” ujarnya.

Tambahnya, pada awal musim, pasukannya pernah mengadakan perlawanan persahabatan dengan PKNS FC dan sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 serta diberi tentangan sengit.

“Sudah pasti mereka mempunyai semangat yang luar biasa apabila terpaksa berhadapan dengan tiga pasukan daripada Liga Super dalam saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia ini.

“Saya fikir kita harus berada ditahap yang terbaik menghadapi situasi ini sekiranya ingin pergi jauh. Kita perlu ketepikan keputusan lalu, sebagai naib juara liga musim ini kerana ia sudah menjadi sejarah untuk kita.

Sathianathan yang baru kembali daripada bercuti sambil melakukan tinjauan suasana bola sepak di Australia berkata, saingan pertandingan Piala Malaysia sentiasa menjanjikan pertembungan yang sengit dan ia berbeza dengan kejohanan yang lain.

“Piala Malaysia merupakan satu pertandingan yang mencetuskan kelainan dari segi sambutan peminat bola sepak tempatan dan ianya penuh dengan kejutan,” katanya.

Skuad bola sepak Kelantan akan memulakan latihan harian di bulan puasa ini bermula 20 Ogos ini pada pukul 11 malam setiap hari di Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, Kota Bharu.

Pavlyuchenko penyelamat Spurs


PAVLYUCHENKO (kanan) serta Bassong (tengah) masing-masing menyumbang satu gol buat Spurs awal pagi semalam.


BERN, Switzerland - Roman Pavlyuchenko menyelamatkan maruah Tottenham Hotpsur daripada malu besar pada aksi pertama playoff Liga Juara-Juara awal pagi semalam.

Dalam pertemuan menentang Young Boys, Spurs tewas mengejut 2-3 kepada kelab kurang ternama dari Switzerland itu.

Bagaimanapun, Spurs harus berterima kasih kepada Pavlyuchenko apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-83.

Jaringan tersebut menghidupkan kembali perjuangan Spurs setelah mereka ketinggalan 0-3 hanya selepas beraksi 28 minit di padang rumput tiruan di Stadium Stade de Suisse.

Biarpun pada mulanya menganggap peluang ke saingan peringkat kumpulan tampak bakal berkubur, pengurus Spurs, Harry Redknapp kini yakin pasukannya masih mampu layak apabila mereka menanti kunjungan Young Boys di laman sendiri awal pagi Khamis depan.

"Jika dilihat, ia merupakan kekalahan yang agak memalukan. Ketika ketinggalan 0-3, kami mula berputus asa dan pemain kelihatan tidak gembira serta tidak yakin ketika di atas padang.

"Tetapi jaringan hebat Pavlyuchenko meletakkan kami kembali dalam persaingan. Saya kagum dengan kemampuannya," kata Redknapp.

Young Boys mendahului 3-0 hasil jaringan Senad Lulic pada minit keempat, Henri Bienvenu (13) dan Xavier Hochstrasser (28) sebelum Spurs merapatkan kedudukan menerusi Sebastien Bassong (42).

Dalam pada itu, Redknapp menegaskan, dia tidak bersetuju dengan penggunaan padang rumput tiruan untuk saingan Liga Juara-Juara.

"Saya lihat para pemain kurang gembira berlatih di atas padang ini. Bagaimanapun, Young Boys bermula dengan baik dan mereka banyak menekan kami

Tiga kelab ternama elak musibah


PARIS - Liverpool, Juventus dan Manchester City merupakan tiga kelab ternama yang cuba mengelak daripada tersingkir awal apabila mereka turun pada aksi pertama playoff Liga Europa awal pagi esok.

Roy Hodgson (gambar) yang berjaya membawa Fulham mara ke final musim lalu kini menghadapi tugas penting apabila mengemudi Liverpool berdepan kelab Turki, Trabzonspor.

Hodgson berkata, dia tetap akan menurunkan pemain tengah, Javier Mascherano untuk berdepan Trabzonspor biarpun pemain tersebut mahu berhijrah.

"Sudah tentu saya akan turunkan Mascherano untuk perlawanan ini. Dia masih pemain Liverpool dan saya harap dia akan terus bersama dengan kami.

"Bagi saya, dia akan terus dipilih untuk beraksi sehinggalah tiba suatu hari dia tidak lagi berada di kelab ini," kata Hodgson.

Liverpool dan Juventus mara ke pusingan ketiga kelayakan Liga Europa selepas mereka menamatkan saingan di tangga ketujuh liga domestik masing-masing.

Juventus berjaya menyingkirkan kelab Ireland, Shamrock Rovers untuk layak ke perlawanan playoff menentang kelab Austria, Sturm Graz awal pagi esok.

"Kami tidak akan pandang mudah pasukan lawan. Saya akan turunkan kesebelasan terbaik.

"Saya tidak pasti sejauh mana kami mampu pergi tetapi saya tak mahu meletakkan sebarang had," kata jurulatih Juventus, Luigi Delneri.

Sementara itu, City pula yang akan berdepan kelab Romania, FC Timisoara bakal menurunkan penyerang baru, Mario Balotelli yang dibeli dari Inter Milan.

Saingan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama City semakin sengit tetapi bagi penjaga gol, Shay Given, dia yakin kekuatan tersebut mampu membawa kelab itu melangkah lebih jauh dalam saingan Liga Europa musim ini.

"Berdasarkan kekuatan kami, saya berasakan kami merupakan salah satu pasukan pilihan tetapi kami tetap perlu turun beraksi dan membuktikannya,