KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Khamis, 26 Ogos 2010

Mourinho mengaku kalah


MOURINHO gagal dalam usahanya membawa masuk Kolarov ke Santiago Bernabeu musim ini.


LONDON - Jose Mourinho mengakui Real Madrid tidak mampu menandingi kuasa beli Manchester City.

Jurulatih Real itu berkata demikian selepas gagal dalam usahanya membawa masuk tonggak pertahanan Lazio, Aleksandar Kolarov ke Santiago Bernabeu.

Kolarov kini sah menjadi milik City dengan yuran perpindahan bernilai £16 juta (RM77.6 juta).

Justeru, bekas jurulatih Inter itu turut bersetuju dengan pendapat yang dilontarkan pengurus Manchester United, Alex Ferguson yang mengatakan City seperti kamikaze 'berani mati' dalam hal membabitkan pembelian pemain.

"Jika ada pihak yang mahu bersaing dengan mereka (City) dalam hal pembelian pemain, ia adalah suatu yang sukar kerana mereka mendominasi pasaran ketika ini.

"Saya sememangnya berminat untuk mendapatkan Kolarov sejak mula membimbing Real, namun saya terpaksa melupakannya selepas City meletakkan nilai yang begitu tinggi untuk dicabar.

"Jadi... jika Ferguson mengatakan yang City bertindak kamikaze dalam usaha mereka mendominasi pasaran, saya sangat bersetuju dengannya.

"Namun jika City memiliki wang mereka mampu untuk melakukan apa sahaja termasuklah menjadi juara Liga Perdana England sekiranya mereka mahu," jelas Mourinho yang juga bekas pengurus Chelsea

Misi getir menanti Liverpool, PSV



BABEL meledak gol tunggal Liverpool ketika menentang Trabzonspor minggu
lalu.


LONDON - Dua bekas juara Eropah, Liverpool dan PSV Eindhoven bakal berdepan cabaran besar pada aksi kedua playoff awal pagi esok bagi memburu slot ke saingan peringkat kumpulan Liga Europa musim ini.

Liverpool bakal berkunjung ke Turki untuk bertemu dengan Trabzonspor berbekalkan kemenangan tipis 1-0 pada aksi di Anfield minggu lalu hasil jaringan tunggal Ryan Babel.

Setelah gagal layak ke Liga Juara-Juara, Liverpool kini berdepan risiko besar gagal beraksi pada peringkat kumpulan saingan kelas kedua Eropah itu.

"Kami hanya perlu menang pada perlawanan kedua ini tanpa terlalu memikirkan jumlah jaringan.

"Sekurang-kurangnya kami hadir dengan bekalan satu gol dan tidak melepaskan jaringan di tempat sendiri," kata pengurus Liverpool, Roy Hodgson.

Selepas dua perlawanan, Liverpool masih belum mencatat kemenangan dalam saingan Liga Perdana England musim ini setelah seri 1-1 dengan Arsenal dan tewas 0-3 kepada Manchester City awal pagi kelmarin.

Liverpool bakal menurunkan semula Joe Cole yang digantung perlawanan untuk saingan domestik tetapi kehilangan pula Javier Mascherano yang kini dipancing Barcelona.

Sementara itu, PSV pula bermula dengan langkah sumbang apabila tewas 0-1 kepada kelab Rusia, Sibir Novosibirsk pada aksi pertama minggu lalu setelah Francisco Rodriguez dibuang padang pada babak pertama.

Namun skuad bimbingan Fred Rutten itu bangkit pada saingan Liga Belanda pada Ahad lalu dengan menewaskan AZ Alkmaar 3-1.

"Kami gembira kerana mampu bangkit semula setelah tewas kepada Novosibirsk minggu lalu.

"Saya sudah mengingatkan para pemain supaya memperbaiki persembahan dan mereka telah melakukannya ketika menentang Alkmaar,

Semangat juang Werder Bremen



BANGGA... Pizarro (kanan) meraikan jaringannya ketika menentang Sampdoria pada aksi kedua playoff Liga Juara-Juara di Stadium Marassi, Genoa awal pagi semalam.


ROM - Werder Bremen menampilkan semangat juang tinggi bagi menyingkirkan Sampdoria pada aksi keduaplayoff Liga Juara-Juara di Stadium Marassi, Genoa awal pagi semalam.

Sampdoria dilihat berpeluang cerah untuk layak ke saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara setelah Giampaolo Pazzini meledak dua gol pada minit kelapan dan 13 sebelum Antonio Cassano menjaringkan gol ketiga (85).

Tiga gol yang diperoleh itu menyaksikan Sampdoria berjaya mendahului dengan agregat 4-3 buat seketika.

Namun Bremen menyamakan kedudukan agregat 4-4 hasil jaringan Markus Rosenberg pada masa kecederaan babak kedua seterusnya perlawanan terpaksa dilanjutkan pada masa tambahan bagi menentukan pemenang.

Bekas penyerang Chelsea, Claudio Pizarro muncul wira apabila menjaringkan gol berharga Bremen pada minit ke-100.

Biarpun tewas 2-3, kelab Jerman itu tetap mara menerusi agregat 5-4 hasil bekalan kemenangan 3-1 pada aksi pertama di laman sendiri minggu lalu.

Kapten Sampdoria, Angelo Palombo mengakui lawan mereka itu telah beraksi lebih baik apabila perlawanan tersebut menuju ke saat genting.

"Saya rasa kecewa kerana kami boleh menang 3-0 jika kami beraksi lebih baik pada penghujung perlawanan.

"Mungkin kami terlalu menghabiskan banyak tenaga sehingga keletihan pada masa tambahan.

"Tetapi mereka (Bremen) jelas pasukan yang lebih baik dan lebih berpengalaman. Mereka hanya cipta dua atau tiga peluang saja tetapi berjaya menyudahkannya," kata Palombo.

Sementara itu, jurulatih Bremen, Thomas Schaaf begitu bersemangat setelah melihat barisan pemainnya terus mempamerkan kekuatan biarpun kehilangan Mesut Ozil.

"Kami semua cukup gembira biarpun saya sendiri tak faham kenapa kami mengambil jalan yang sukar pada perlawanan ini.

"Setelah ketinggalan dua gol dalam tempoh 13 minit perlawanan, syukur kami dapat juga melayakkan diri

Felda United dapat duit raya


YUSOF NOOR (duduk, tengah) bergambar dengan pemain pasukan Felda United selepas menyampaikan bonus raya pada majlis berbuka puasa bersama media dan pengurusan Felda di Dewan Perdana Felda, Jalan Semarak, Kuala Lumpur malam kelmarin.


PEMAIN skuad Felda United mungkin tidak dapat menyambut Aidilfitri tahun ini dengan sepuas-puasnya kerana mereka hanya diberi cuti tiga hari sebelum kembali berlatih pada hari raya kedua.

Namun, mereka ada sebab untuk mengukir senyuman kegembiraan sebelum menyambut hari lebaran itu apabila menerima 'duit raya' yang disampaikan oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Dr. Yusof Noor pada satu majlis berbuka puasa di ibu negara kelmarin.

Pengurus pasukan Felda United, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab yang juga Pengurus Besar Felda berkata, duit raya yang diagihkan kepada semua pemain merupakan ganjaran selepas mereka muncul juara Liga Perdana musim ini.

"Sebelum ini kita telah umumkan untuk membahagikan wang kemenangan berjumlah RM200,000 kepada pemain dan pegawai dan semalam (kelmarin) semua pemain telah menerima bahagian masing-masing.

"Jadi saya harap mereka akan lebih bersemangat lagi untuk mencipta kejayaan dalam saingan Piala Malaysia. Sasaran kami ialah untuk layak ke suku akhir," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ditanya tentang persiapan Felda United bagi saingan yang akan bermula pada 14 September depan, Dzulkifli berkata, pasukannya menyenaraikan tiga pemain pinjaman daripada pasukan Pos Malaysia dan USM FC.

"Kami diundi dalam Kumpulan D yang boleh dikatakan sukar kerana perlu bersaing dengan Selangor, T-Team dan juga Perlis.

"Jadi pemain di bawah kendalian jurulatih, E. Elavarasan kini sedang giat menjalani latihan setiap malam di Stadium MPSJ, Subang," jelas Dzulkifli.

Dalam pada itu, Dzulkifli yang juga Pengerusi Bersama Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM 2010 berkata, dia akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai FAM yang baru, Datuk Seri Abdullah Hishan Mohd. Hashim selepas Aidilfitri.

"Saya belum jumpa beliau (Abdullah Hishan) lagi. Biarlah beliau terlebih dahulu lantik timbalannya serta ahli-ahli jawatankuasa tersebut.

"Liga futsal tahun ini akan diteruskan seperti yang telah dirancang bersama pengerusi terdahulu (Datuk Hamidin Mohd. Amin). Kita akan bincang untuk perancangan tahun depan dan saya harap segalanya berjalan lancar

Skuad negara harungi dua perlawanan di Doha




PEMAIN negara ketika memulakan sesi latihan mereka di padang Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.


SKUAD kebangsaan bimbingan K. Rajagobal akan terbang ke Doha, Qatar pada Sabtu ini untuk menghadapi dua aksi persahabatan menentang sebuah kelab Qatar dan skuad kebangsaan Oman.

Menurut Rajagobal, dia hanya akan membawa 22 pemain terbaik daripada senarai 26 pelatih skuad kebangsaan yang telah mula menjalani latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya sejak 16 Ogos lalu.

“Kita akan berlepas pada Sabtu ini sebelum bertemu sebuah pasukan kelab Qatar pada 30 Ogos (Isnin). Ia sebagai persiapan sebelum kita bertemu skuad kebangsaan Oman pada 3 September (Jumaat).

“Tiada tekanan untuk kita memenangi kedua-dua perlawanan ini kerana bagi saya, peluang bertemu pasukan terbaik serta memberi pendedahan dan pengalaman kepada para pemain adalah lebih penting,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Oman dianggap lawan yang cukup baik buat skuad negara memandangkan negara itu menduduki ranking ke-81 dunia berbanding Malaysia di kedudukan ke-139 dunia.

Ditanya pula tentang prestasi para pemain sepanjang 10 hari mereka menjalani latihan, Rajagobal berkata, dia sudah menekankan kepada pemain bahawa fokus utama mereka ketika ini adalah saingan Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China pada November depan.

“Sepanjang latihan, saya mahu lihat sejauh mana kesungguhan dan sikap mereka selain mahu memperkukuhkan tahap persefahaman di kalangan para pemain.

“Setelah gagal mengadakan perlawanan persahabatan di Singapura, kita sempat mengadakan satu aksi persahabatan menentang KL Plus di Wisma FAM semalam (kelmarin) dan menang 3-1,” ujar Rajagobal.

Selepas kem latihan skuad kebangsaan berakhir pada 7 September depan, para pemain akan kembali ke pasukan masing-masing untuk menghadapi saingan Piala Malaysia bermula 14 September depan