KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Rabu, 9 Februari 2011

City bakal jadi mangsa - Fletcher


LONDON - Darren Fletcher menegaskan, Manchester United akan mempamer kebangkitan semula dengan menjadikan Manchester City sebagai mangsa mereka Sabtu ini.
Rekod tanpa kalah The Red Devils dalam 29 perlawanan akhirnya musnah selepas tumpas 1-2 kepada Wolves minggu lepas.
Begitupun, perancang United, Fletcher percaya pertemuan dengan jiran setempat, City di Old Trafford hujung minggu ini adalah masa yang sesuai untuk menebus semula maruah mereka.
"Kami kalah kepada Wolves dan kami perlu bangkit semula mencatat kemenangan serta menunjukkan karakter sebenar," kata Fletcher.
"Dan tiada lagi masa yang paling sesuai untuk melakukannya selain pertemuan dengan jiran setempat, City Sabtu ini.
"Ia satu perlawanan yang penting dan semua pemain sudah bersedia untuk menghadapinya," jelasnya lagi.
Fletcher, 27, menambah bahawa rekod 30 perlawanan tanpa kalah mungkin lebih manis seandainya menang ke atas Wolves, namun sasaran utama United ialah merangkul kejuaraan Liga Perdana England buat kali ke-19, sekali gus mengatasi pencapaian Liverpool.
"Perkara utama ialah memenangi saingan musim ini dan kekalahan kepada Wolves tidak akan menjejaskan misi kami.
"Kami mungkin boleh mempertahankan rekod tanpa kalah sepanjang musim ini, tetapi tiada guna kalau kami gagal menjuarai gelaran liga," katanya.

Fabregas pula jadi sasaran Chelsea


FABREGAS (kiri) dilaporkan bakal menjadi buruan pemilik Chelsea, Abramovich pada musim panas ini.


LONDON - Selepas Fernando Torres, kini giliran Cesc Fabregas pula dilaporkan bakal menjadi buruan Roman Abramovich. Pemilik jutawan kelab Chelsea itu dikatakan mahu mendapatkan Fabregas dengan harga £50 juta (RM245 juta) pada musim panas nanti, sekaligus merampas kapten Arsenal itu daripada tangan Barcelona.
Hajat Abramovich ini adalah satu lagi kejutan selepas Chelsea telah pun berjaya membawa Fernando Torres dari Liverpool dengan harga yang sama.
The Blues menganggap perancang Sepanyol itu adalah gandingan paling ideal buat Frank Lampard di bahagian tengah.
Namun Abramovich mungkin berdepan tugas sukar untuk memujuk The Gunners melepaskan tonggak utama mereka itu yang pernah meminta kebenaran untuk menyertai Barcelona.
Pengurus Arsenal, Arsene Wenger meletakkan harga £60 juta (RM294 juta) ke atas Fabregas bagi menghalang kelab Catalan itu dan akhirnya berjaya memujuk kaptennya untuk kekal di Emirates.
Fabregas pula agak terkilan kerana Barca tidak bersungguh-sungguh untuk menyakinkan Arsenal supaya menjualnya sedangkan dia telah mengambil langkah besar dengan meminta Wenger melepaskannya.
Peluang untuk pulang beraksi di negaranya bersama pemain hebat dunia seperti Gerard Pique, Andres Iniesta dan Lionel Messi sukar untuk dilepaskan Fabregas

Walcott makin bersemangat


WALCOTT semakin mendapat tempat dalam skuad bimbingan Capello.


LONDON - Theo Walcott mengakui dia berada pada prestasi terbaik untuk menghadapi aksi persahabatan antarabangsa menentang Denmark di Copenhagen awal pagi esok.
Pemain sayap Arsenal itu menegaskan dia berjaya mencapai tahap itu selepas mengadakan perbincang dari hati ke hati bersama jurulatih England, Fabio Capello.
Walcott, 21, seakan-akan tidak dapat menerima hakikat selepas dia digugurkan daripada senarai 23 pemain skuad England untuk menghadapi kempen Piala Dunia 2010 lalu.
Dia terpaksa menunggu untuk mendapatkan semula tempatnya dalam skuad itu pada awal musim ini sebelum mengetahui alasan sebenar kenapa dia diketepikan.
"Saya ingin tahu kenapa saya tidak disenaraikan. Jadi, saya bertanya kepada dia (Capello) selepas latihan," kata Walcott.
"Saya cuma menunggu masa yang sesuai. Saya terpaksa memendam perasaan buat seketika. Kamu tidak mahu bermain dalam situasi yang tidak baik dan perlu bertanya kepada pengurus.
"Saya gembira dengan jawapan yang diberi. Ia adalah perkara yang perlu kamu rahsiakan. Meskipun hanya saya dan pengurus yang tahu, ia banyak membantu saya."
Bagaimanapun Walcott menegaskan, Capello mengakui dia membuat keputusan yang silap.
"Saya tidak mahu lagi memikirkan mengenai perkara itu kerana ia akan merosakkan saya. saya perlukan rehat dari segi mental dan fizikal. Ia telah membantu saya musim ini.
"Sesuatu yang baik apabila mendengar pengurus berkata, dia melakukan kesilapan tetapi saya tidak mahu menghukumnya.
"Saya hanya mahu buktikan kepada orang ramai dan berharap saya mampu melakukannya. Ketakutan psikologi telah berakhir. Ia sudah berlalu dan saya hanya perlu memastikan dia tidak berlaku sekali lagi

Semangat Safee


PENGHIJRAHAN penyerang kebangsaan, Safee Sali ke kelab Liga Super Indonesia (ISL), Pelita Jaya kelmarin telah menimbulkan pelbagai reaksi.
Ramai yang menyokong keberanian Safee untuk keluar dari kepompong pemain-pemain tempatan yang selesa sekadar beraksi di Liga Super Malaysia (MSL).
Namun ada juga yang seolah-olah mempelekehkan tindakan Safee itu dengan menganggap Pelita Jaya yang disertainya kini hanya menduduki tangga tercorot ISL selepas 13 perlawanan.
Situasi tersebut nyata langsung tidak melunturkan semangat Safee, malah ia turut membuatkan pemain berusia 27 tahun itu lebih bersemangat untuk membuktikan tindakannya itu tepat.
“Saya tahu Pelita Jaya kini di tangga tercorot ISL. Jadi ia membuatkan saya bertambah teruja dan bersemangat untuk memperbaiki kedudukan mereka dalam liga.
“Apa yang penting, saya dapat peluang beraksi sepenuhnya bersama Pelita Jaya dan ini juga merupakan langkah sulung saya untuk memasarkan diri di saingan liga luar.
“Kalau saya sertai pasukan yang lebih baik kedudukannya di ISL tetapi hanya duduk di bangku simpanan, tak guna juga,” kata Safee ketika ditemui selepas latihan skuad kebangsaan di Stadium Shah Alam petang semalam.
Selepas berakhir aksi pusingan pertama ISL, Pelita Jaya kini di tangga ke-15 dengan 10 mata tetapi jurang mata dengan pasukan kelompok atasan sebenarnya tidaklah begitu jauh.
Malah Pelita Jaya hanya dipisahkan sembilan mata dengan pasukan di tangga keenam ISL ketika ini, Persisam.
Safee turut menegaskan bahawa penghijrahannya ke Pelita Jaya bukan semata-mata kerana wang tetapi lebih kepada kemajuan kariernya.
Pemain kelahiran Kajang, Selangor itu difahamkan diberi gaji bulanan AS$10,000 (RM30,345) oleh Pelita Jaya.
“Mungkin ramai tak tahu ranking ISL di peringkat Asia jauh lebih tinggi berbanding ranking MSL. Jadi bila ada yang kata ISL sama saja dengan MSL, mereka silap.
“Di ISL saya akan dapat merasai suasana baru dan pengalaman baru beraksi di liga luar serta dapat bersaing dengan pemain-pemain import.
“Jadi saya akan jadikan tanggapan sinis mereka ini sebagai lonjakan semangat untuk mencipta sesuatu bersama Pelita Jaya di ISL,” tegas Safee yang akan berlepas ke Indonesia pada Isnin ini.
Safee menandatangani kontrak setahun bersama Pelita Jaya sehingga 31 Januari 2012 dan akan turun aksi sulungnya bersama kelab itu ketika berdepan Persib Bandung di laman sendiri pada 7 Mac depan.

Rajagobal mahu pemain pamer aksi konsisten


RAJAGOBAL (kanan) bersalaman dengan jurulatih Hong Kong, Wai Chung pada sidang media menjelang aksi persahabatan di Stadium Shah Alam semalam.


SKUAD bola sepak kebangsaan turun berdepan Hong Kong di Stadium Shah Alam malam ini untuk perlawanan persahabatan antarabangsa berstatus A pertama mereka bagi tahun ini, lapor WAN FAKHRUL BAKAR.
Kemenangan sudah pasti menjadi buruan skuad Harimau Malaya sebagai menjaga status mereka sebagai juara Piala Suzuki AFF 2010.
Namun bagi jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal, dia lebih mahu melihat para pemainnya meneruskan aksi konsisten selain memantau prestasi beberapa muka baru yang diserap kali ini.
"Saya mahu para pemain menampilkan satu aksi yang baik biarpun ini hanyalah perlawanan persahabatan. Memang keputusan penting untuk sistem ranking.
"Tapi saya utamakan jangka panjang iaitu untuk mewujudkan satu pasukan yang kuat dan mantap menjelang kelayakan Piala Dunia 2014 pada Jun depan," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Shah Alam petang semalam.
Daripada 24 pemain yang dipanggil sejak 2 Februari lalu, hanya 20 pemain akan disenaraikan Rajagobal untuk aksi malam ini.
Empat pemain yang tercicir ialah Sharbinee Allawee Ramli (isteri bersalin), Amar Rohidan (demam campak), S. Chanthuru (cedera buku lali) dan Izzaq Faris Ramlan (hamstring).
Bagi Rajagobal, dia tidak mahu terlalu risau dengan pemain yang cedera atau tidak dapat diturunkan itu sebaliknya menganggap ia sebagai peluang kepada pemain lain menonjolkan kemampuan mereka.
"Saya akan gunakan peluang ini untuk menilai prestasi seseorang pemain itu sama ada dia boleh beraksi untuk skuad kebangsaan pada masa akan datang atau sebaliknya," jelas pengendali berusia 55 tahun itu.
Norshahrul Idlan Talaha dan Azmi Muslim yang dikatakan cedera dilihat menjalani latihan seperti biasa petang semalam dan mereka mungkin dimasukkan sebagai pemain gantian malam ini.
Ditanya tentang pasukan Hong Kong, Rajagobal berkata: "Cara Hong Kong main sama seperti China, Jepun, Korea Selatan dan Korea Utara iaitu menggunakan corak permainan pantas. Jadi kami takkan pandang mudah."
Skuad kebangsaan kini berada di ranking ke-140 dunia manakala Hong Kong yang dibimbing Tsang Wai Chung di ranking ke-143.