KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Khamis, 1 Julai 2010

Loew pilih Argentina

ERASMIA: Jurulatih Jerman, Joachim Loew menyifatkan Argentina sebagai pasukan pilihan untuk menjuarai Piala Dunia dan menyifatkan satu kesilapan jika percaya Lionel Messi sebagai satu-satunya pemain terbaik dalam pasukan Diego Maradona.

Loew berkata beliau menjangkakan perlawanan sengit apabila kedua-dua pasukan bertemu di suku akhir Cape Town, esok.

“Argentina mempunyai banyak kekuatan. Mereka adalah satu daripada pilihan utama, mungkin pilihan untuk menjulang takhta Piala Dunia,” kata Loew. “Mereka mempunyai pertahanan kental dan barisan penyerang berwibawa. Bukan hanya Lionel Messi. Tapi, saya fikir kami sudah mengenal pasti beberapa aspek yang Argentina agak rapuh.” Bagaimanapun, beliau enggan memberikan maklumat terperinci.


Loew meramalkan yang perlawanan esok nanti akan menjadi tegang dan fizikal seperti mana dialami di peringkat kumpulan di Jerman, empat tahun lalu apabila tuan rumah itu mara ke separuh akhir menerusi penentuan penalti.


Perlawanan itu turut dicemari dengan pemain dan pegawai kedua-dua pasukan bertumbuk selepas penentuan penalti itu.


“Saya juga menjangkakan corak permainan menyerang,” kata Loew. “Argentina sebuah pasukan hebat yang boleh memberikan anda masalah dan mereka begitu klinik ketika menghukum kesilapan anda.” Pada penentuan sepakan penalti pada 2006, penjaga gol Jerman, Jens Lehmann mendapat maklumat pemain Argentina yang mengambil sepakan penalti dan arah sepakan penalti itu dilakukan.


Tapi situasi itu tidak sama seperti sekarang.


“Bila anda lihat berapa ramai pakar sepakan penalti yang mereka ada, maklumat itu tidak banyak membantu,” kata Loew.


Loew menyifatkan Maradona sebagai seorang yang “genius, pencetus fenomena' ketika beraksi dan menjadi idola kepada jutaan peminat.


“Sukar untuk menilai beliau sebagai jurulatih. Saya tidak mengetahui tentang dirinya,” kata Loew. “Namun apa yang saya baca dan apa yang ditunjukkan pasukan itu adalah positif.” Loew berkata, penyerang Cacau dijangka tidak dapat pulih dari kecederaan pangkal paha kanan untuk beraksi pada perlawanan itu.


Cacau tidak akan berlatih dengan rakan sepasukan hari ini dan dia akan menjalani ujian kecergasan sebelum perlawanan Sabtu ini. Cacau selalunya menjadi pemain gantian kepada Miroslav Klose

Tiada ulasan: