KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Jumaat, 24 Disember 2010

Bruce mahu padam badi United


BRUCE hampir mencipta kemenangan di Old Trafford musim lalu.


SUNDERLAND, England - Steve Bruce kembali ke Old Trafford pada Ahad ini dengan matlamat untuk membantu Sunderland menamatkan badi tidak pernah menang ke atas Manchester United dalam saingan Liga Perdana England.
Bekas pemain pertahanan United itu yang kini merupakan pengurus Sunderland gagal mengakhiri kemarau 42 tahun sejak memegang jawatan tersebut.
Kali terakhir Sunderland menang ke atas United dalam liga domestik ialah pada 1968 manakala 10 tahun lalu pernah menang 2-1 dalam saingan Piala Liga.
Sejak itu termasuk di era Bruce, Sunderland terus kempunan. Namun mereka hampir menamatkan badi itu musim lalu di Old Trafford.
Ketika itu Sunderland mendahului 2-1 sebelum mereka dikecewakan gol sendiri Anton Ferdinand pada masa kecederaan untuk keputusan berakhir 2-2.
Musim ini, penampilan Sunderland lebih menyerlah termasuk menewaskan Chelsea 3-0 di tempat lawan. Mereka kini di tangga keenam dengan hanya dipisahkan tujuh mata berbanding United yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah.
"Saya telah berusaha keras tetapi belum lagi berjaya (atasi United). Tapi kami akan terus mencuba. Mungkin ramai pengurus yang sedar United belum kalah lagi setakat ini.
"Kami juga sedar tentang perkara itu dan boleh menjangkakan bakal berdepan kesukaran. Jadi kami akan mempamerkan permainan terbaik untuk berdepan pasukan terbaik," katanya.
United berjaya mencatat sembilan kemenangan dan tujuh seri setakat ini namun Bruce percaya apa jua yang berlaku, pasukannya tidak gentar untuk mencari kemenangan yang diharapkan.
Sementara itu, Sunderland bakal beraksi tanpa tujuh pemain utama termasuk Danny Welbeck yang tidak cedera tetapi terikat dengan perjanjian pinjaman dengan United.
Welbeck berpindah secara pinjaman daripada United. Menyertainya adalah ketua pasukan, Lee Cattermole yang digantung manakala Titus Bramble, Michael Turner, John Mensah, Fraizer Campbell dan David Meyler masih cedera

Tiada ulasan: