KYD

KYD
KYD

WELCOME

Green Hornet

Khamis, 23 Disember 2010

Fadhli makin matang

FADHLI (kanan) merupakan pemain paling muda dalam skuad negara yang akan beraksi pada final Piala AFF Suzuki 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini.


PEMAIN pertahanan tengah, Mohamad Fadhli Shas merupakan pemain paling muda dalam skuad kebangsaan untuk saingan Piala AFF Suzuki 2010.
Fadhli akan berusia 20 tahun pada 21 Januari tahun depan tetapi peluang beraksi pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China bulan lalu dan kini saingan Piala AFF Suzuki telah mematangkan dirinya.
Menurut Fadhli, kesilapan yang dilakukannya bersama rakan-rakan di barisan pertahanan ketika dibelasah 5-1 oleh Indonesia pada aksi sulung Piala AFF Suzuki pada 1 Disember lalu menjadi pengajaran yang cukup bermakna.
"Memang saya akui, ketika turun aksi sulung di Jakarta itu, perasaan gementar memang ada kerana saya perlu beraksi di peringkat tertinggi dan di hadapan puluhan ribu penyokong tuan rumah.
"Tapi kesilapan tersebut telah dijadikan pengajaran dan pengalaman cukup bermakna untuk saya memperbaikinya sedikit demi sedikit setiap perlawanan," katanya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.
Fadhli telah bergandingan baik dengan Muslim Ahmad, 21, di posisi pertahanan tengah setelah ketiadaan tiga tonggak utama skuad kebangsaan, Aidil Zafuan Radzak, Norhafiz Zamani Misbah dan Nasriq Baharom yang mengalami kecederaan panjang.
Fadhli, Muslim, Asraruddin Putra Omar serta Mahali Jasuli atau Sabre Mat Abu sekali lagi bakal dipertaruhkan jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal untuk merantai pergerakan barisan serangan Indonesia yang diketuai penyerang berasal dari Uruguay, Cristian Gonzales.
"Apabila sudah sampai di peringkat ini, sudah tentu kami tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Saya mahu menamatkan tahun 2010 ini dengan kejayaan menjuarai Piala AFF Suzuki.
"Sebagai pemain paling muda dalam pasukan, saya mahu menjadi sebahagian daripada sejarah dengan kejayaan membawa Malaysia menjulang piala ini buat kali pertama," ujar Fadhli penuh yakin.
Pemain Harimau Muda A yang berasal dari Johor Bahru itu turut menyimpan hasrat beraksi bersama kelab luar negara andai ditawarkan peluang sedemikian bagi mengembangkan karier bola sepaknya.

Tiada ulasan: